BAB 06

Family Series 39843

Tasneem buka planner kerjanya yang dia simpan di dalam dashboard kereta. Mahu melihat senarai barang yang perlu dia bawa esok untuk ke tempat kursus. Namun tangannya melencong ke arah lain. Dia buka halaman tengah. Di situ ada sekeping pesanan pelanggan yang telah dia simpan. Terus bibir terlorek senyum bahagia dan tangan pantas menyelak tarikh yang telah dia catatkan fasal kejadian lepas.

- Encik Zaim Muazzam bin Dato’ Zakri
- Umur 29 tahun.
- Pengurus Projek di ZakBina Costruction and Renovation
-Tarikh pertemuan : 08.09.2023 (Jumaat)
-Jam : 6.30 petang
-Tempat : Depan East Coast Mall

(Sejak dari itu hati berdegup rasa yang sukar aku terima.
Tetapi hari demi hari aku tak mampu lelapkan mata,
jika aku tak melihat wajahnya.)

Tasneem ukir senyum. Sungguh dia tak percaya, buat kali pertama dia merasai perasaan yang selalu diceritakan Dahlia. Bakal isteri orang itu sering kali menceritakan keindahan percintaan gadis itu dengan tunangnya. Tasneem semat dalam hati mahu merasai semua itu sementelah dia tak pernah bercinta. Akhirnya Tuhan makbulkan. Dan… dia amat berharap lelaki yang dia suka ini suatu hari nanti akan sedar perasaan yang ada di dalam hatinya.

Tasneem senyum kemudian hembus nafas panjang. Kemudian dia tarik sekeping kertas kecil. Dia salin semula perkataan di situ ke dalam planner miliknya.

-11.09.2023
hari Isnin waktu lunch
Dia datang makan di restoran Mak Usu
Minta air kosong

-12.09.2023
Kenal mak ayah dia. Tak sangka mereka ramah
Lagi sekali dia minta air kosong
Tapi dia alergi kacang. Dia makan biskut yang dia bawa sendiri
Jantung aku rasa berhenti berdegup tengok dia macam tu
Aku tak sanggup tengok dia sakit.

Terus kepala Tasneem mengingati kejadian tengah hari kelmarin. Macam manalah keadaan lelaki itu sekarang?

“Hah, buat apa?” sergah Dahlia yang muncul di sebelah Tasneem.

Tasneem cepat-cepat tutup jurnal lalu masukkan ke dalam dashboard.

“Tengah rangka surat cinta ke tu?” usik Dahlia. Nasiblah badan. Pintu kereta tak ditutup. Tentulah Dahlia ambil peluang nak mengusik.

“Tak adalah. Aku tengah tengok senarai barang yang aku kena bawa esok.

“Oh, kau kena pergi kursus kan. Aku lupa,” ucap Dahlia lantas hulurkan plastik berisi pakaian kotor.

“Apa ni?” tanya Tasneem hairan.
“Kau nak balik dah kan. Tolong basuh lepas tu jemur. Tadi ada budak tertumpah air kat baju aku.”

Terkebil-kebil Tasneem memandang.
“Kau tak balik ke?” soal Tasneem hairan.

“Baru pukul 9. Kau nak mak usu tendang aku ke?”

Barulah Tasneem sedar. Dahlia kan sepenuh masa jaga kedai. Tentulah akan menunggu sehingga jam 12 malam. Bila pelanggan dah balik barulah boleh kemas kedai dan tutup.

“Beres. Aku memang pandai mendobi,” perli Tasneem dan Dahlia tarik kuat pipi Tasneem. Terus Tasneem mengaduh sakit.

“Dah pandai guna ayat sinis kan sejak jatuh cinta ni.” Lagi sekali Dahlia mencubit dan Tasneem tolak tangan Dahlia kuat. Wajahnya muram tiba-tiba.

“Macam mana dengan hubby aku, ya?”

Dahlia buntangkan mata. Memang Tasneem dah angau teruk. Suka hati je panggil anak teruna orang hubby dia. Memang Tasneem dah kena hantar Tanjung Rambutan ni.

“Kenapa tak call. Tanyalah sendiri. Kau cakap Dato’ ada bagi kad bisnes dekat kau.”

Tasneem geleng laju.
“Nak mati. Kau ingat laki tu bapa saudara aku ke?”

Hek eleh. Dahlia mencebik. Tunjuk bagus sangatlah.
“Kalau dah nak tahu sangat telefonlah. Pandai-pandailah kau reka ayat.”

Namun Tasneem tetap menggeleng. “Kalau kau dapat apa-apa info kau cakap terus dengan aku tau. Aku tak datang sini dah. Lepas habis kursus terus aku balik Pasir Mas. Nak lepas rindu kat family aku pula,” pesan Tasneem sayu.

Dahlia rasa nak luku je kepala Tasneem. Tunjuk sedih konon. Apa bendalah si minah sorang ni. Macam mati laki pulak.

“Kalau aku pergi melawat dia okay tak?” tiba-tiba keluar idea tak munasabah dari kepala Tasneem.

Dahlia jegilkan mata.
“Pergilah. Tak ada salah pun. Tapi… apa pula kata dato’, datin. Kau bukannya kawan anak dia. Kawan dato’ datin pun bukan. Tentu dia orang pelik. Apahallah minah sorang ni datang jenguk anak dia. Tentu dia orang akan cakap kau nak kat anak dia.”

Wajah Tasneem terus berubah kelat.
“Mesej je. Tanya sepatah.” akhirnya Dahlia beri cadangan bernas. “Lagipun kau ada sama kan masa kejadian tu. Dato’ tak akan syak apa-apa.”

Barulah wajah Tasneem berubah manis.
“Aku masuk dalam dulu. Ada customer tu.” ujar Dahlia sambil memandang ke dalam restoran. “Drive elok-elok. Kereta ni kereta lama. Rajin buat hal pula tu. Kalau ada apa-apa terus call aku,” pesan Dahlia lantas meninggalkan Tasneem yang sudah mengambil telefon.

Hati berbelah bahagi namun dia risaukan lelaki itu. Tambahan pula dia rindu.

Pap!
Tasneem tampar pahanya.
“Jangan gatal sangat boleh tak.” pesannya pada diri sendiri. Hela nafas panjang kemudian baca basmalah. Dengan tangan terketar-ketar dia menghantar pesanan kepada Dato’ Zakri.

***

“Siapa tu, bang?” tanya Datin Hakimah mahu tahu. Mata memandang suaminya tetapi tangan menyuap makanan ke mulut Zaim.

Nasib baik Zaim sudah kembali normal. Nasib baik juga alergi kali ini tidaklah lama sangat. Sebab mereka cepat sedar dan cepat sampai ke hospital lalu Zaim berjaya dirawat.

“Tasneem. Anak saudara Tini. Restoran Nasi Ulam tu,” balas Dato’ Zakri lantas tarik kerusi dan duduk di sebelah Zaim.

Datin Hakimah mengangguk. Kelmarin baru dia kenal. “Tanya fasal Im, ke?” agak Datin Hakimah. Dia maklum. Tentu gadis itu risaukan Zaim sebab gadis itu melihat dengan mata kepala sendiri keadaan Zaim.

Dato’ Zakri angguk. Pandang anak jantannya.
“Lain kali hati-hati. Dah tahu tak boleh makan kacang bacalah label betul-betul sebelum beli. Ini tak. Main bedal je,” omel lelaki itu macam mak nenak lantas menggeleng kesal.

Zaim angguk malu. Teringat kes semalam. Tak pasal-pasal tunjuk kekurangan depan orang yang baru dia kenal.

“Im ni kena kahwin cepat. Biar ada yang jaga. Bimbang jadi macam ni lah nanti.” Datin Hakimah mencelah dan Zaim larikkan senyum. Peluang dah muncul. Jadi dia perlu segerakan.

“Tasneem tu nampak bagus kan, bang?” ujar Datin Hakimah lantas pandang suaminya. Dato Zakri hanya senyum. Lelaki itu tak mahu cakap apa-apa.

Bibir Zaim pula terus mengendur. Faham sangat dengan kata-kata emaknya.

“Macam sesuai je jadi menantu mami.”

Pantas Zaim herotkan bibir.
“Nak bagi dekat Zayn ke?”

Serta-merta tangan Datin Hakimah menepuk lengan Zaim.
“Zayn dah ada tunang. Im lah yang tak ada lagi.” Bibir Datin Hakimah sudah muncung sedepa.

“Mami… dia pelayan restoran kut. Mana layak dengan Im.”

Mata Datin Hakimah membulat tak setuju.
“Mami tak kisah pun. Kerja ke tak ke mami tolak tepi. Yang penting menantu mami pandai jaga anak mami.”

Zaim pandang ayahnya pula. Kemudian alihkan semula pandangan ke arah emaknya.
“Im kan dah ada someone. Kenapa mami nak kenenkan dengan orang lain pula.”

“Dah Im asyik tangguh je. Bukan mami tak tanya bila boleh pergi merisik. Tapi Im yang asyik bagi alasan cakap Nel masih belajar. Tunggu Nel habis belajar dulu. Dah banyak tahun mami dengar. Sampai ke sudah tak ada bekas.”

Zaim akhirnya lega.
“Nel dah bagi greenlight, mi. Suruh pergi merisik.”

Cerah mata Datin Hakimah memandang anaknya. Bibir pun terlukis senyum panjang.
“Betul ni?” tanya Datin Hakimah meminta kepastian.

Zaim angguk segan. Malulah pula bila mami nampak teruja sangat.

Dato’ Zakri pula hanya diam. Pandangannya jauh ke luar wad hospital. Entah kenapa hatinya tak setuju dengan pilihan Zaim. Sedari Zaim mula bercinta sampailah sekarang, dia tak suka dengan Neldhia.

Dia sedar gadis itu memang rapat dengan Zaim. Sejak zaman sekolah menengah lagi. Lagipun dia dah kenal keluarga gadis itu. Mereka jenis yang suka bersosial. Sebab itulah penampilan Neldhia selalu menyakitkan matanya. Walaupun orang tua gadis itu amat baik, namun dia tetap tak dapat nak menerima Neldhia. Dia tak tahu kenapa.

Kalau ikutkan zaman sekarang, ramai lagi gadis yang lebih teruk dari Neldhia. Itulah, nak ukur orang dengan pandangan mata saja tak cukup. Dia kena kenali hati budi gadis itu dulu.

“Nel dah habis belajar ke?” soal Dato’ Zakri tiba-tiba. Zaim rasa bangga. Papanya masih ada budi bicara.

“Dah pa. Itu yang dia suruh ke rumah. Bila boleh merisik pa?” tak sabar pula Zaim. Alang-alang dah buka perbincangan baik biar sampai ketemu penghujungnya.

“Kita jumpa kat luar. Papa kena kenal Nel dulu sebelum nak pergi rumah dia.” ujar Dato' Zakri lantas kerling isterinya. Datin Hakimah faham. Suaminya pernah bercerita mengenai Neldhia. Jadi dia akan ikut saja.

Muka Zaim pula terus berubah.
“Papa kan dah kenal Nel. Kenapa nak jumpa lagi?”

“Sebab… dia dah lama sangat kat luar negara. Jarang sangat balik. Setiap kali papa tanya orang tua Nel, dia orang cakap Nel tak boleh balik. Nel nak tumpukan perhatian pada pelajaran. Dia kan sambung master. Tak boleh buat main-main.”
Zaim mengeluh.

“Bawa jumpa dekat restoran yang kita biasa makanlah. Kat situ nanti pandai-pandailah papa nak bagi markah.” Dato Zakri beri keputusan dan hati Zaim berlayar sedih.
Nampak macam tak akan berjaya.
Hatinya yakin.

Dan… Datin Hakimah pula memandang sedih. Kasihan pula!

Si Zaim ni ingat Tasneem tu Betul2 pelayan ek.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience