BAB 3

Romance Completed 137457

“NAK MAMA! Aqil nak mama!!” Jerit Aqil dengan tangisannya. Ketika itu dia sudah berada di rumah agam.

“Melli, tolong bawa budak ni naik atas.” Arahnya. Pening kepala dengan perangai Aqil.

Baru sahaja sebentar tadi Dean iaitu orang kanannya telah menceritakan hal yang berlaku pada budak itu. Mujurlah, semasa Dean ke rumah itu Aqil masih lagi dalam keadaan tidur. Budak itu memberontak pun semasa berada di dalam kereta. Aqil menggeram sampailah tiba di rumah agam ini.

Sepatutnya dia yang datang ke sana untuk mengambil Aqil selepas dia dihubungi oleh perempuan yang menjaga Aqil itu. Tetapi dia ada masalah lain pula. Bukan masalah kerja tetapi masalah perempuan. Ada seorang perempuan itu yang tidak pernah kenal perkataan malu dan juga putus asa. Sudah berkali-kali dia memarahi perempuan tersebut tetapi katanya langsung tidak didengari oleh perempuan itu.

“Tapi, tuan...” Melli telan liur apabila melihat perangai aggresif tuan muda kecil dia itu. Bukan senang hendak melayan kerenah budak ini. Semua pekerja termasuk dirinya sudah serik dan buntu sebaik sahaja nama Aqil itu disebut.

“Saya tak nak dengar perkataan tapi tu. Kalau saya dah beri arahan, ikut sajalah.” Suaranya naik satu oktaf.

“Tak apalah Melli. Kamu buat kerja kamu sana. Biar saya saja yang bawa cucu saya ni naik ke atas.” Ujar Madam Alina, nenek kepada Aqil. Melli tunduk hormat sebelum mengundurkan diri dari situ.

“Qaiz, dah berapa kali mama kata. Cuba kawal perasaan marah tu.” Madam Alina memandang anaknya dengan gelengan kepala.

“Aqil, mari grandma bawa Aqil naik atas.” Pujuk Madam Alina. Dia cuba menyentuh cucunya tetapi laju Aqil ke belakang. Budak kecil itu menghentakkan kakinya dengan perasaan geram.

“Aqil nak mama! Aqil nak tidur dengan mama!!” Jeritnya.

Turun naik nafas Qaiz dibuatnya.

“Aqil! Dah berapa kali papa kata dengan kamu. Mama tak ada.”

“Tipu! Habis tu siapa perempuan dalam gambar yang Aqil nampak dalam buku papa tu? Gambar perempuan tu sama dengan yang ini, kan?” Laju Aqil mengeluarkan sekeping gambar yang dia simpan di dalam beg kecilnya itu.

“Mama Faira ni mama Aqil, kan?!”

Qaiz dan Madam Alina berpandangan dengan kerutan di dahi.

“Aqil dapat dari mana gambar tu, huh?” Qaiz mendekatinya dan mengambil gambar tersebut. Ya, gambar perempuan ini sama seperti gambar yang dia simpan di dalam buku notanya itu.

“Dari bilik mamalah. Aqil dah jumpa mama. Masa mama mandi, Aqil curi gambar ni dekat meja lampu dia.” Jawab Aqil tanpa ada rasa bersalahnya.

“Siapa nama mama yang Aqil sebut tadi? Grandma tak dengarlah.” Madam Alina ingin tahu.

“Mama Faira. Nama panjang mama yang tertulis dalam buku kerja dia tu Faira Alisha binti Alias.”

“Faira Alisha?” Berkerut-kerut dahinya memikirkan nama tersebut. Lantas, Qaiz meminta diri untuk keluar.

“Nak keluar ke mana?” Soal Madam Alina.

“Tenangkan fikiran. Mama pandai-pandailah uruskan si Aqil ni.” Ujar Qaiz lalu beredar dari ruang tamu itu.

“Macam inikah nak jadi papa Aqil?” Madam Alina geleng kepala.

“AQIL SYAUQI, tolonglah dengar cakap grandma ni. Aqil makan, ya?” Madam Alina masih tidak berputus asa. Nasi ayam yang dimasak oleh orang gajinya itu ditiup-tiup sehingga sejuk sebelum menyuakan ke mulut si kecil.

“Aqil janganlah macam ni. Aqil tak kesiankan grandmakah?”

“Kesian. Tapi, grandma tak kesiankah Aqilkah? Aqil ni masih kekurangan kasih sayang.”

Madam Alina terkena. Pandai pula dia kenakan aku.

“Kalau Aqil tak nak makan, mari grandma tidurkan Aqil.” Madam Alina meletakkan pinggan berisi makanan itu di atas meja.

Laju budak kecil itu menggeleng kepala.

“Aqil tak nak. Aqil nak mama. Grandma pujuklah mama pulang sini dulu barulah Aqil makan.” Dia berkeras mahukan mamanya.

Tingkah laku Aqil itu menyentuh perasaannya. Perangai cucunya ini mengingatkan dia kepada anak sulung perempuannya, Adellia. Berani, degil dan bijak berkata setiap kali di soal. Kalau sahaja kejadian itu tidak terjadi sudah tentu cucunya ini tidak sesedih ini.

“Kenapa grandma menangis?” Aqil tergamam. Laju dia mengesat air mata neneknya. Madam Alina ketawa kecil.

“Aqil nak tahu sesuatu tak?”

“Apa?”

“Aqil...” Sukar untuk dia memberitahu si kecil ini. Hatinya pilu setiap kali mengenangkan kisah lepas.

Aqil melepas keluhan halus.

“Aqil tahu apa yang grandma nak cakap. Mama dengan papa Aqil dah tak ada, kan?” Tebaknya.

Bulat mata Madam Alina. “Aqil tahu?”

Bagaimana budak ini tahu tentang hal itu? Tanya Madam Alina dalam hati.

“Aqil dah lamalah tahu pasal ni. Grandpa yang bagi tahu. Dia suruh Aqil jadi kuat. Lagipun, Aqil masih ada grandma dengan yang lain. Papa Qaiz sayang dengan Aqil. Tapi...”

“Tapi kenapa sayang?"

“Papa saja tak cukup. Aqil nak mama juga. Aqil nak rasa kasih sayang mama macam budak-budak lain.”

Luruh jantungnya mendengar bicara si kecil itu. Madam Alina memeluk cucunya. Cepat-cepat dia mengesat air matanya yang hampir jatuh.

“Grandma boleh jadi mama Aqil juga, kan?”

Aqil geleng kepala. “Kasih sayang grandma lain. Mama lain.” Dia menjuihkan bibir.

“Grandma, Aqil sebenarnya dah jumpa mama yang sesuai untuk jaga Aqil dengan papa. Jauh lebih baik lagi daripada teman wanita papa tu.”

“Yakah?” Madam Alina tidak percaya.

“Ya. Mama Faira. Dia tu baik orangnya. Aunty Talita pula jahat. Depan orang saja aunty Talita itu baik dengan Aqil tapi belakang dia jahat. Aqil lagi suka dengan mama Faira. Aqil nak mama Faira saja yang jadi mama Aqil.”

Madam Alina tidak terkata. Sebenarnya, hal ini pun baru hari ini dia tahu. Dia juga sendiri tidak tahu kenapa anaknya menyimpan gambar tersebut. Setahunya, Qaiz tidak pernah bercinta walaupun ramai perempuan yang tergilakannya. Si Talita itu pun bukan dilayannya sangat. Tapi kenapa dia simpan gambar perempuan yang bernama Faira ini?

“Jadi, Aqil larikan diri sebelum ni pun sebab nak cari mama Aqillah?”

Budak kecil itu angguk perlahan.

“Papa tak tahu pun kenapa Aqil buat begitu.”

Hidung Aqil jadi mangsa cubitan Madam Alina.

“Aqil ni jahat tahu. Kenapa buat grandma dengan yang lain risau. Kalau nak cari mama dalam gambar tu pun beritahulah grandma. Grandma pasti akan bantu Aqil.” Madam Alina menggeram kemudian tersenyum. Dia menggosok-gosok kepala cucunya.

“Betul ni?”

“Ya. Untuk cucu kesayangan grandma ni, apa pun grandma sanggup buat.”

Mereka berpelukan.

“Tapi, Aqil tak harapkan pun bantuan grandma. Aqil boleh buat sendiri.” Aqil tersengih.

“Eee! Budak ni.” Madam Alina geram. Main-main pula budak ni dengan aku.

“Betullah. Aqil berani pun sebab ada orang-orang papa juga yang tengok-tengokkan Aqil dari jauh.” Dia tersengih.

“Kamu ni masih muda. Tapi otak macam orang dewasa.” Madam Alina geleng kepala. Ketawa.

“Sudah. Mari grandma suapkan. Lepas tu, grandma nak bercerita sampai Aqil tidur.”

“Okey.”

Gembira hati Madam Alina apabila cucunya kembali ceria. Dia sanggup buat apa sahaja untuk cucu kesayangannya ini. Lagipun, Aqil Syauqi ini sahajalah satu-satunya peninggalan yang anak sulung dan menantunya berikan kepadanya.

MADAM ALINA duduk di birai katil. Aqil sudah pun tidur. Fikirannya melayang memikirkan perkara yang terjadi tadi. Faira Alisha Alias. Entah, kenapa nama itu buatkan dia rasa senang sekali.

“Aqil dah tidur?”

Terkejut Madam Alina dengan suara suaminya. “Eh, abang dah siap mandi? Biar Lina ambilkan pakaian abang.” Laju Madam Alina mencari pakaian tidur untuk suaminya itu. Suaminya hanya memakai jubah handuk.

Sewaktu Madam Alina di dalam bilik cucunya tadi, salah seorang orang gajinya telah memberitahunya bahawa suaminya telah pulang. Madam Alina tidak dapat melayan suaminya itu kerana masih lagi memujuk cucu kesayangannya untuk makan dan tidur.

“Nah,”

Tuan Hafizuddin mengambil pakaian yang diberikan oleh isterinya itu.

“Aqil dah tidur. Tadi, budak tu buat hal lagi. Nasib baiklah Lina pandai pujuk dia. Bukan macam anak abang tu.”

Suaminya angkat kening sebelah mengeling si isteri yang sedang memerlinya. Dia sudah siap berpakaian.

“Cari mama dialah tu, kan?”

Madam Lina baru teringat sesuatu. Dia memandang suaminya.

“Abang, kenapa tak bagitahu Lina yang abang dah bagitahu Aqil pasal arwah ibu bapa dia?”

“Saja. Kalau abang bagitahu Lina nanti Lina pula sibuk itu ini dengan Aqil. Nanti, tambahlah tekanan si Aqil tu.”

Bulat mata si isteri mendengar ayat tersebut. “Bukan abangkah penyebabnya si Aqil itu buat perangai. Nasib baiklah Lina tak bagitahu Qaiz yang abang ini punca cucu abang buat begitu.” Madam Alina mendengus geram. Ketawa sahaja si suami melihat wajah masam isterinya.

“Lina, abang bukan saja-saja nak bagitahu Aqil pasal hal ibu bapa dia. Hari tu, Aqil ada ambil gambar dari buku nota Qaiz. Lina pun tahukan Aqil itu macam mana budaknya. Selagi tak dapat apa yang dia nak selagi itulah dia bertanya. Aqil tetap berkeras nak tahu semua. Abang cerita sajalah."

“Apa yang Aqil cakap sampai abang ceritakan pasal arwah ibu bapa dia tu?” Madam Alina semakin panasaran. Suaminya terlepas tawa. Si isteri berwajah ketat.

“Lina sembunyikan macam mana pun gambar arwah Adellia tu, budak itu tahu juga. Dia jumpa album gambar keluarga dia dekat bilik bacaan dan dari situ dia kumpul maklumat yang dia mahu. Dia tanya abang siapa Adellia tu. Siapa lelaki bersama Adellia tu. Gambar yang Qaiz simpan sampai sekarang ni. Macam-macam lagilah pertanyaan budak tu. Abang nak tipu pun tak boleh. Terus terang sajalah.”

Madam Alina geram. Dia mencubit lengan suaminya.

Tuan Hafizuddin mengadu kesakitan.

“Lain kali, apa-apa pasal Aqil bagitahu Lina dulu. Tengok apa dah jadi sekarang.” Dia menjeling si suami. Langkahnya di atur ke birai katil.

“Abang tahu tak yang Aqil dah jumpa perempuan dalam gambar Qaiz simpan tu?”

“Bila?"

“Tadi.”

Tuan Hafizuddin bagaikan tidak percaya. “Biar betul, Lina?”

Si kecil itu telah mengagumkannya. Tidak di sangka dalam sekelip mata sahaja cucunya itu menjumpai perempuan yang ada di dalam gambar kepunyaan Qaiz itu.

“Ya. Aqil kata dia lari dari orang-orang Qaiz. Lepas tu sembunyi dekat satu sekolah tu dan disitulah dia jumpa perempuan dalam gambar tu. Namanya, Faira Alisha.” Tersenyum Madam Alina menyebut nama Faira.

“Aik, macam berkenan saja isteri abang ni dengan perempuan tu.”

“Entahlah, bang. Lina rasa Lina nak jumpa perempuan tu. Nak tengok macam mana orangnya. Aqil asyik puji saja perempuan tu. Hati ni dah membuak-buak nak tahu siapa dia.”

Tercuit hati si suami melihat tingkah comel si isteri itu. “Suka hati Linalah. Kalau Lina nak jumpa perempuan tu, kirim salam dekat dia.”

Terus Madam Alina menjelingnya. “Abang jangan nak menggatal, ya.” Sekali lagi si suami dihadiahi cubitan pedas dari sang isteri.

“Buat apa abang nak menggatal dengan perempuan lain sedangkan bidadari abang ada di sini. Lina seorang saja yang bertakhta di hati abang ni, tau.”

Geli pula Madam Lina mendengar ayat manis suaminya.

“Sudahlah. Abang tidur saja. Lina nak turun bawah sekejap. Geli telinga ni nak dengar ayat manis abang tu. Abang tu dah tua tau.”

“Abang memang dah tua tapi hati masih muda.” Dia ketawa melihat wajah geram isterinya. Madam Alina terus keluar dari bilik itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience