BAB 50

Romance Completed 137457

QAIZ TALHA tersengih-sengih melihat wajah cemberut itu. Apa tidaknya tadi dia sudah memaksa Faira untuk datang ke kafe Shaz Alhena ini.

“Janganlah marah.” Qaiz melembutkan suara. Faira menjelingnya.

Ergh! Ikutkan hati ni memang aku tak nak datang. Ini gara-gara dua orang ni jugalah. Sibuk nak menangkan majikan dia ni. Faira menjeling pula dua pengawal peribadi itu.

“Sham. Rais. Kamu berdua duduk di sana dulu.” Arah Qaiz.

“Err... Tuan muda. Boleh kami pesan makanan?” Sham buat muka kesiannya. Begitu juga dengan Rais. Semalam mereka hanya makan roti kosong sahaja sambil memerhatikan rumah Faira dari dalam kereta.

“Boleh. Makan sajalah apa yang kau orang nak. Tapi bayar sendiri.” Kata Qaiz.

“Baik, tuan!” Laju Sham dan Rais mencari tempat duduk mereka.

Faira tepuk dahi. Tidak sangka perangai dua pengawal peribadi itu sebegini. Nampak sahaja garang tapi dalam hati ada taman.

“Kita makan dulu. Lepas makan nanti saya nak cakap sesuatu dekat awak.”

“Kenapa tak cakap sekarang saja?”

“Lapar.” Qaiz buat muka comel sambil mengusap perutnya.

Meluat pula Faira melihat muka manja lelaki itu.

SELESAI makan Qaiz memesan lagi pencuci mulut. Faira mahu menghalangnya tetapi pelayan itu sudah pergi dari tempat mereka.

Faira menyentuh perut. Mahu meletup perut aku ni gara-gara makan saja. Lepas pesan satu dia pesan lagi satu. Ergh! Dia ni memang sengaja nak cari pasal dengan aku, kan.

Sempat Faira mengerling ke belakang melihat Sham dan juga Rais. Bukan main gembira lagi mereka berdua menikmati hidangan mereka. Siap gelak ketawa dengan seorang pelayan perempuan lagi. Entah bila masa pula pelayan itu duduk di situ menyertai mereka berdua.

“Awak tak marahkah dia orang tu?” Faira memuncungkan mulut menunjuk ke arah dua pengawal itu.

“Buat apa nak marah mereka. Biarkan sajalah mereka makan dengan senang hati. Yang penting sekarang ni awak ada di depan mata saya. Kalau balik nanti, itu tugas mereka untuk menjaga awak pula.”

“Tapi saya rimas tau. Nak keluar, mereka ada. Nak ke sana sini pun mesti dengan mereka berdua. Lagi saya tak suka bila mereka datang meluru tiba-tiba di depan saya.”

Qaiz ketawa kecil. “Mesti sebab cincin tu, kan?” Qaiz sudah sedia maklum tentang hal yang terjadi di antara Faira dengan pengawal-pengawal peribadinya itu. Sham ada menghubungi memberitahunya tentang cincin tersebut.

“Yalah. Kenapa awak tak nak saya tanggalkan cincin ni, hah?”

“Sebab saya tak naklah. Biar cincin tu melekat di jari awak supaya lelaki lain tahu yang awak dah ada pemiliknya.”

“Siapa pemilik saya, hah? Ingat sikit, ya. Saya ni milik Allah dan milik keluarga saya. Awak tu pula bukan siapa-siapa pada saya.” Faira menjelingnya.

Qaiz ketawa. “Faira. Faira. Memanglah kita semua ni milik Allah. Milik keluarga juga. Kalau tak ada ibu bapa tak adalah kita, kan.”

Faira buat muka.

“Tapi sekarang ni, milik yang saya maksudkan adalah teman hidup. Saya tak nak perempuan lain. Saya tak nak Talita. Saya cuma nak awak saja. Saya nak awak jadi isteri saya. Saya nak awak jadi peneman hidup saya hingga akhir nyawa. Saya nak awak jadi mama pada Aqil.”

“Aqil?” Laju Faira geleng kepala.

“Saya tak bersedia lagi nak jadi mama Aqil.” Katanya.

“Tak bersedia? Faira, sebenarnya awak dah lama bersedia tau. Sejak awak kenal Aqil lagi.”

Mulalah tu nak buka cerita dua tahun lepas.

“Saya nak balik.”

“Awak tak boleh balik dulu.” Qaiz cepat menghalangnya.

Faira menjulingkan mata ke atas. Dia menggeram.

“Apa lagi?”

“Saya sebenarnya nak ke luar kota. Saya ada hal kerja sikit. Syarikat baru ada masalah.”

“Jadi, apa kena mengena dengan saya?”

“Mestilah ada kena mengena dengan awak. Sepanjang ketiadaan saya nanti saya nak awak jaga Aqil. Kalau boleh tinggal di rumah saya. Lagi senang.”

“Ish, tak naklah. Kalau awak nak saya jaga dia, hantar dia ke rumah sayalah.”

“Mana boleh. Kalau awak tinggal dekat sana lagi senang nak pantau awak. Kalau awak di rumah awak nanti macam-macam yang awak buat. Saya tahu sangat perangai awak, Faira.” Qaiz berpeluk tubuh.

“Ergh! Berapa lama awak ke luar kota?” Tanya Faira malas.

Qaiz senyum. “Sebulan mungkin. Masalah dekat sana mana boleh selesai cepat. Ambil masa juga. Lagipun, ada orang sabotaj akaun syarikat. Lepas tu, bangunan tu pula hampir kena bom.”

Faira melopong. Dia baru teringat berita semalam. Syarikat Eksport N.Q yang baru sahaja dibangunkan oleh Tuan Hafizuddin dengan Qaiz tiga bulan lepas itu hampir di bom oleh beberapa orang yang tidak dikenali. Namun, pihak berkuasa telah berjaya menangkap pelakunya dan masih dalam siasatan.

Bukan itu sahaja masalah yang dihadapi oleh syarikat Eksport N.Q itu. Masalah akaun juga turut di sabotaj oleh orang dalam syarikat tersebut. Tapi, masalahnya sampai sekarang mereka tidak tahu siapa pesalahnya.

“Selama ni, bukankah perniagaan awak dengan keluarga awak okey? Dalam berita dan gosip-gosip di media massa pun kata yang baik-baik tentang syarikat awak. Tapi kenapa sekarang boleh timbul masalah macam tu pula?” Faira pelik.

“Sebab itulah saya perlu ke sana. Saya nak siasat sendiri apa yang berlaku dekat sana.”

“Oh.”

“Jadi, saya nak awak tinggal dengan keluarga saya. Jaga Aqil. Kalau semua dah selesai nanti saya baliklah ke sini.”

Faira diam. Memikirkan kata dan cadangan Qaiz itu.

“Baiklah. Tapi, saya tak nak tinggal sana. Saya cuma datang situ waktu pagi sampai petang. Malam saya pulang.”

Kali ini Qaiz pula diam.

“Baiklah. Tapi dengan syarat. Mana-mana saja awak pergi, Sham dan Rais mesti ikut awak. Okey?”

“Okey. Tapi, saya pun nak letak syarat juga.”

Dia pun nak bersyarat juga. Qaiz ketawa kecil. “Apa dia?”

“Disebabkan saya tak ada kerja, awak kena bayar gaji saya. Gaji untuk jaga si Aqil.”

Qaiz ketawa lagi. “Boleh saja. Saya bagi lebih lagi daripada gaji seorang cikgu.”

Faira mencebik.

“Satu lagi. Kalau boleh dengar cakap abang awak. Kalau nak buat sesuatu minta kebenaran daripada umi awak atau abang awak dulu. Tak kisah hal tu kecil atau besar kena juga bagitahu mereka. Faham?”

Faira menggeram. “Kalau nak jalan-jalan dalam kawasan kampung...”

“Apa-apa saja hal sama ada yang berat atau remeh kena juga bagitahu mereka. Kalau awak tak nak bagitahu dia orang, awak bagitahu sajalah dengan saya.”

Faira menjelir lidah. “Tak nak! Sudahlah. Saya nak pulang. Apa-apa mesej.” Faira berdiri menuju ke tempat Sham dan juga Rais.

Qaiz geleng kepala. Tunggulah lepas saya pulang nanti Faira. Dia menyimpul senyuman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience