BAB 11

Romance Completed 137457

SIAPA lelaki itu?

Kenapa kami bergaduh?

Siapa budak yang aku dukung itu pula?

Perempuan itu siapa?

Sekejap ke sana. Sekejap ke sini. Tidak senang dia dibuatnya. Wajahnya berkerut-kerut dan ada keringat di dahinya.

“Faira.” Qaiz cuba menyedarkan perempuan itu.

“Cik Faira Alisha. Cik,” giliran jururawat perempuan itu pula menyedarkannya. Alya dan Shazwan yang berdiri di tepi katil pesakit itu hanya menjadi pemerhati. Dalam tidak sedar Alya menggenggam erat tangan Shazwan.

“Siapa di antara kamu bertiga yang kenal dengan keluaga dia?” Seorang doktor muncul di depan mereka.

“Saya.” Alya angkat tangan.

“Kamu sudah telefon keluarga diakah?”

“Belum lagi doktor.”

“Doktor Arman, boleh saya tahu kenapa dengan dia ni?” Tanya Qaiz.

“Perlukah saya terangkan kepada awak semua? Lagipun hal ini saya kena bagitahu dulu ahli keluarganya sebelum saya bagitahu kamu semua.”

“Tak apa, doktor. Saya ini bakal suami dia. Jadi, apa-apa pasal dia saya kena tahu.”

Melopong dan terbeliak mata kedua-duanya. Renungan tajam Alya itu langsung tidak dihiraukan oleh Qaiz.

Alya geram. Yang jadi mangsanya pula adalah Shazwan. Habis lengan lelaki itu dicubit olehnya.

“Aduh, sakitlah!” Shazwan mengadu kesakitan.

“Padan muka!”

“Okey. Memandangkan kamu ini bakal suami cik Faira, saya nak bagitahu kemungkinan besar ingatan dia akan pulih.”

Semua terkejut.

“Betulkah, doktor?!” Teruja pula si Alya. Sudah lama dia menunggu saat ini. Dia dengan Faira sudah lama berkawan sebelum temannya itu hilang ingatan lagi. Tapi, sewaktu kejadian itu Alya tidak ada disamping Faira. Dia ke luar negara kerana menyambung pelajarannya.

“Ya. Apa yang berlaku pada cik Faira tadi itu adalah tindak balasnya. Kamu boleh teruskan membantunya untuk ingat semula memori lama dia. Tapi, jangan memaksanya kalau dia tidak mahu.” Terang doktor Arman.

Alya mengangguk faham.

Qaiz memandang wajah yang tenang itu semula. Ini adalah satu permulaan yang baik baginya. Selepas ini, banyak perkara lagi yang dia harus lakukan untuk memulihkan ingatan Faira Alisha.

MALAM itu Faira berbaring diatas tilamnya. Banyak sangat gambaran yang muncul dimindanya tadi sehingga membuatkan kepalanya sakit yang teramat. Faira mengurut dahi. Dia cuba meredakan rasa sakit di kepala.

Susah dia hendak bertenang kerana banyak persoalan yang timbul di benak fikirannya itu sekarang.

Saat itu, Farish masuk dengan membawa segelas susu suam untuknya. Dia meletakkan susu itu di atas meja tepi katil Faira dan melabuhkan punggung di birai katil.

“Faira okey tak ni?” Tanya Farish.

“Okey. Tapi, kepala Faira masih pening lagi. Abang Farish, apa sebenarnya yang berlaku pada Faira dua tahun lepas?” Tanya Faira yang tiba-tiba ingin tahu masa lalunya.

Farish tersentak dengan soalan tersebut. Lambat-lambat dia mengukir senyuman kecilnya.

“Faira nak tahu jugakah?”

“Ya. Bayangan-bayangan yang Faira nampak tu...” Dia tidak jadi untuk teruskan bicaranya kerana peningnya datang menyerang lagi.

“Kenapa Faira?” Rasa bimbang dan risau menerjah ke lubuk hati si abang.

“Pening kepala Faira datang balik. Abang, Faira nak tidur.”

“Faira makan ubat dulu. Lepas tu, minum susu ni. Baru tidur.” Farish menyuakan ubat dan juga susu kepada adiknya. Faira menelan ubat yang diberi kepadanya dan meneguk sehingga habis air susu tersebut. Farish membetulkan bantal dan menyuruh adiknya berbaring.

“Panggil saja abang kalau Faira nak apa-apa, ya. Abang tidur dekat luar saja hari ni.” Beritahu Farish sambil membetulkan selimut adiknya itu. Faira angguk perlahan dan matanya terus tertutup.

Farish keluar daripada bilik dan menutup daun pintu dengan perlahan. Gelas kosong itu diletakkan di atas meja sahaja. Dia ke ruang tamu. Uminya pula sudah lama masuk ke bilik untuk berehat. Mungkin juga puan Daliya sudah tidur sekarang ini.

Farish duduk di sofa. Wajahnya serius. Dia berpeluk tubuh seiring dengan pandangan tajamnya.

“Macam mana keadaan Faira?"

“Dia masih pening. Tapi dia dah tidur. Qaiz," dia merenung tajam lelaki sebaya dengannya itu.

Khabar petang tadi tentang adiknya masuk hospital itu benar-benar mengejutkan dia dengan uminya. Alya menelefon dan memberitahunya bahawa Faira pengsan di sekolah. Puncanya tidak pula diberitahu oleh teman adiknya itu. Tapi, firasat mengatakan yang Faira pasti ada kena mengena dengan lelaki di depannya ini. Kalau tidak, mengapa lelaki ini sanggup ikut dia sampai ke sini, kan?

“Aku nak kau jujur dengan aku. Bagitahu aku semua apa yang berlaku dua tahun lepas sebelum adik aku hilang ingatan.” Keras nadanya.

“Aku akan ceritakan semuanya pada kau. Tapi, aku nak kau janji dengan aku dulu yang kau tak akan bagitahu cerita ni pada Faira. Segala apa yang aku cerita dekat kau biar aku sendiri saja yang bagitahu dia nanti.”

Farish mendiamkan diri. Dia harus berfikir dalam lagi tentang janji Qaiz itu. Bukan senang hendak berjanji dengan perkara seperti ini. Lagipun, dia takut nanti Faira akan menyoalnya tentang kehidupan lepasnya.

“Kau nampaknya berat hati saja nak berjanji dengan aku.”

Farish menjeling tajam.

“Baiklah. Aku janji. Tapi, kau kena ingat. Kalau jadi apa-apa buruk pada Faira, kau yang aku persalahkan nanti.”

Qaiz senyum senget dengan kening yang terangkat sebelah. “Okey. Aku tidak kisah kalau kau nak salahkan aku. Tapi, aku tidak akan sesekali lepaskan adik kau tu. Sekali dia masuk dalam hati ni, dia tidak akan terlepas daripada aku mahupun Aqil.”

Ayat itu membuatkan Farish ketawa sinis.

“Memandangkan aku dah berjanji, kau ceritalah. Aku nak dengar dari awal kau kenal adik aku sampailah kejadian yang menimpa dia itu.”

“Begini...”

Qaiz memulakan ceritanya. Sepanjang malam mereka berdua di ruang tamu itu. Namun, dalam diam ada yang mendengar cerita mereka.

SEHARI berlalu sejak Faira pengsan hari itu. Qaiz Talha pula hanya duduk diam sahaja di rumah sambil berfikir panjang untuk rancangan seterusnya. Dia berharap yang Farish akan mengotakan janjinya. Dia tidak mahu ada orang lain campur tangan dalam urusan dia dengan perempuan itu.

Tiba-tiba Aqil datang menyergahnya. Habis lengannya dicubit dan dipukul oleh budak kecil itu.

“Aqil kenapa ni, hah?” Qaiz mengunci tangan nakal itu.

“Papa jahat! Papa jahat! Kenapa papa tak bagitahu Aqil yang mama Faira sakit. Aqil nak jumpa mama Faira.” Dia menangis sambil menghentak kaki. Geram sungguh dia dengan papanya.

“Siapa bagitahu Aqil yang mama Faira sakit?”

“Grandma.”

Qaiz menghela nafas. Mamanya itu tidak pandai simpan rahsia langsung. Dia masih ingat lagi dengan kata-kata mamanya pagi kelmarin. Dia sudah menceritakan keadaan Faira pada mamanya dan meminta merahsiakan daripada Aqil. Mamanya siap berjanji lagi tapi sudahnya janji dimungkiri.

“Aqil, maafkan papa. Bukan papa tak nak bagitahu Aqil tentang keadaan mama Faira. Kalau papa bagitahu Aqil nanti Aqil jadi degil macam ni. Aqil berkeras nak ke sana. Papa tak nak Aqil ganggu mama Faira sekarang. Papa nak mama Faira sihat sepenuhnya tanpa gangguan kita. Kalau mama Faira dah sihat nanti papa bawalah Aqil jumpa mama Faira.”

“Janji?” Aqil memuncungkan mulut.

“Papa janji. Sekarang ni kita jangan ganggu mama Faira dulu, ya?”

Aqil angguk lemah.

Kasihan pula aku dengan Aqil ni. Keluhan halus dilepaskan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience