BAB 20

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA dan teman baiknya sudah bertukar pakaian. Mereka berdua kelihatan begitu cantik dan bergaya dengan gaun labuh mereka itu. Faira berasa gemuruh. Begitu juga dengan teman baiknya.

“Aku tak sangkalah Faira. Kita berpeluang juga pakai pakaian gaun labuh ni.” Alya masih tidak puas hati membelek dirinya di depan cermin.

“Gaun labuh muslimah kau pun cantik. Nampak elegan.” Puji Alya.

“Kau pun apa kurangnya. Cantik. Rambut kau pun di dandan dengan kemas. Aku tengok kau dah macam puteri tau.” Faira turut sama memuji kecantikkan teman baiknya.

Tersengih-sengih si Alya. Dia meneliti lagi dirinya di cermin. Tidak cukup dengan cermin dia ambil pula telefon dan berswafoto. Geleng kepala sahaja si Faira melihat tingkah temannya itu.

“Cik Faira. Cik Alya. Cik berdua kena pergi dewan sekarang. Majlis akan bermula sekejap lagi.” Beritahu pembantu bernama Yati itu. Dia dengan pembantu-pembantu lain mengemas peralatan mekap mereka dan kemudian meminta diri.

“Sudah-sudahlah tu Alya. Mari kira pergi sekarang.” Ajak Faira. Tinggal mereka berdua lagi di bilik itu. Tapi Alya buat-buat tidak dengar. Dia masih meneruskan swafotonya.

Geram pula Faira melihat Alya yang tidak habis-habis mengambil gambar dirinya itu. Kalau ada puan Zaliah di sini sudah tentu ibunya itu akan berleter dengannya. Mujurlah bilik penginapan mereka tidak sama. Faira berkongsi bilik dengan teman baiknya sendiri. Saudara mara mereka yang lain pula masing-masing di bilik penginapan sendiri.

“Eh, kejap.” Alya meneliti setiap gambar yang dia ambil sebentar tadi. Dia memandang Faira dan kemudian memandang dirinya di cermin.

“Kenapa aku rasa aku lagi cantik daripada kau, Faira?”

Faira melopong. Mahu muntah dia mendengar ayat itu. “Perasan!”

“Betullah, Faira. Kau tengok sini. Kita sama-sama cantik. Tapi, aku lebih menyerlah daripada kau.”

Faira merenung penampilan Alya dan dirinya di dalam cermin besar itu. Mereka memang nampak cantik. Cuma, warna gaun kuning keemasan yang temannya pakai itu lagi menyerlah berbanding dengan gaun muslimah berwarna maroon yang dia pakai ini. Dandanan rambut Alya juga nampak kemas dan cantik.

“Aku baru ingat. Kau perasan tak pembantu-pembantu tadi? Dengan kau bukan main kasar lagi mereka buat kerja mereka tapi bila dengan aku, mereka berlembut saja.” Faira cuba ingat situasi tadi.

“Ya. Aku ingat. Aku pun pelik juga dengan pembantu-pembantu tu.”

“Aku rasalah ada orang yang suruh pembantu-pembantu tu ubah kau seperti mana yang dia nak. Aku tak rasa ini kerja si Mr. Richest. Ini mesti kerja kawan dia tu.” Tiba-tiba dia teringat lelaki yang bergaduh dengan Alya tempoh hari. Tidak mustahil kawan si orang kaya itu yang bagi arahan untuk ubah temannya ini jadi lebih menawan.

Alya angkat kening sebelah. “Yakah?”

Faira jungkit bahu. Itu cuma andaiannya sahaja.

Alya mencebik. “Kalau aku tahu ini kerja dia, tahulah aku apa nak buat nanti.”

“Beranikah kau nak kerjakan dia?”

“Kau jangan pandang aku sebelah mata saja. Aku ni nampak saja lembut tapi kasar orangnya tau.”

“Yalah tu.”

“Yang kau pula. Bila masa kau mula gelar dia tu Mr. Richest, hmm?”

Main-main bahu pula dia ni. Faira menjeling temannya.

“Buat apa kau nak tahu. Aku ni sebenarnya tak suka sebut nama dia tu. Dalam kepala aku ni dah siap simpan dah senarai nama gelaran untuk dia. Kalau dia buat hal dengan aku lepas ni, aku tidak teragak-agak nak panggil dia dengan nama-nama gelaran yang aku sediakan untuk dia tu tau.”

“Uik, garangnya.”

“Muka mesti kena garang. Tak boleh baik-baik dengan lelaki macam dia tu.”

“Eleh, kau garang dengan dia saja. Tapi kau kalah juga bila budak Aqil tu ada dengan dia.” Alya senyum kambing. Faira mencebiknya.

“Aku kenalah jaga hati budak tu. Nanti, merajuk. Aku juga yang susah tau.” Faira mengangkat sedikit kain bawahnya. Susah untuk dia bergerak dengan kain yang tebal ini.

“Betul juga tu. Aku tengok si Aqil tu comel sangat. Dah tu kacak pula. Putih melepak lagi. Geram aku tengok dia tau. Kalau budak tu merajuk dengan aku pun aku tak sanggup.” Terbayang-bayang si Alya dengan wajah comel budak itu. Dia sempat berbual dan bergambar dengan si Aqil di kafe petang tadi.

Menyampah Faira melihat reaksi temannya. “Kalau kau suka sangat dengan budak tu, kau ambillah papa dia sekali. Selesai masalah aku.”

Alya tersentak. Dia buat muka. “Wekk! Aku tak nak. Aku tak ada hati nak berkahwin dengan anak orang kaya.”

“Yakah? Dengan kawan baik si Mr. Richest itu pun kau tak nakkah?”

Alya memandangnya tajam. “Lelaki itu lagilah aku tak nak. Buang ke laut saja dia tu. Muka saja lawa tapi perangai hantu.”

“Itu baru dua kali bertemu. Kalau hari-hari berjumpa siapa tahukan?”

Alya buat muka mahu muntah.

“Sudahlah. Baik kita ke dewan cepat. Aku tak sabar nak tengok kejutan si Aqil tu bagi dekat kau.” Ujar Alya. Dia memimpin tangan Faira dan beriringan ke dewan Q’Star.

TERGAMAM mereka berdua apabila melangkah masuk ke dalam dewan Q’Star itu. Dewan itu gelap. Hanya disinari dengan cahaya samar-samar dari lilin yang dipasang di setiap meja dan juga lampu kelip-kelip bewarna kuning keemasan di ruang dewan itu.

Faira dan Alya teragak-agak hendak melangkah ke hadapan. Walaupun dalam keadaan yang samar-samar mereka dapat merasakan yang semua mata memandang ke arah mereka.

“Faira...”

Faira diam. Dia langsung tidak menoleh ke arah temannya. Dia sebenarnya terpaku melihat suasana dewan itu. Indah dihiasi dengan cahaya malap dari lilin dan juga lampu kelip-kelip. Bukan itu sahaja, buih-buih yang berterbangan di ruang dewan itu serta kelopak-kelopak bunga mawar di atas lantai menambahkan lagi suasana romantik itu. Sungguh mempesonakan.

“Mama! Aunty Alya!”

Tersentak mereka dengan suara Aqil dari jauh. Budak itu berlari ke arah mereka sambil menjerit nama mereka berdua.

“Ini semua idea siapa Aqil?” Tanya Alya apabila Aqil sudah ada di depan mata.

“Papa Aqil dengan uncle Shazwan.” Jawab Aqil dengan senyuman lebarnya.

“Sebenarnya ini idea Aqil tapi papa dengan uncle ubah jadi majlis kejutan untuk mama dengan aunty Alya.”

“Maksud Aqil?” Faira bersuara setelah beberapa minit mendiamkan diri.

“Papa dengan Aqil buat majlis ini untuk hari jadi mama. Uncle Shazwan pula nak...” Aqil diam. Dia berfikir sama ada mahu memberitahunya atau pun tidak. Dia takut nanti teman baik mamanya ini marah pula.

“Apa?” Alya nampaknya tidak berpuas hati.

“Nanti aunty Alya tahulah.” Dia tersengih.

Alya menggeram. Dia menggigit bibir bawah. Berahsia pula budak ni dengan aku. Apa pasal pula lelaki tu nak babitkan aku dalam majlis si Faira ni?

Aqil mencapai tangan Faira dan juga Alya. Dia membawa Faira dan Alya ke depan. Terkedek-kedek dua anak dara itu berjalan sambil mengangkat kain gaun mereka itu. Hampir sahaja Faira terjatuh dek pakaian labuhnya itu.

TERSENTAK Faira apabila mereka tiba-tiba menyanyikan lagu hari jadi kepadanya. Bergema terus dewan itu dengan suara mereka. Faira memandang Aqil dengan Alya silih berganti. Kedua-dua mereka juga turut sama menyanyikan lagu hari jadi itu kepadanya.

“Selamat hari jadi mama!” Ucap Aqil setelah tamat menyanyikan lagu hari jadi itu. Mereka yang lain juga turut sama mengucapkan selamat hari jadi kepada Faira.

Faira cuma tersengih. Ketika itu dia langsung tidak perasan dengan keberadaan ahli keluarganya kerana fikirannya sibuk memikirkan kejutannya ini. Dia tergamam melihat kek hias empat tingkat yang berukuran 16 hingga 7 inci itu. Di atas kek itu ada dua lilin besar dan lima batang lilin kecil. Namanya juga terukir di kek tersebut.

“Selamat hari jadi, Faira Alisha.” Ucap Qaiz. Dia mendekati perempuan itu dengan renungan dalam.

“Suka?”

Nada lelaki itu menggetarkan jiwanya. Faira berdeham apabila lelaki itu masih tidak melepaskan pandangannya. Qaiz tersenyum dan Faira menjelingnya.

“Saya nak jawab perkataan apa? Ikutkan hati ni memang tak suka. Tapi, untuk Aqil saya terpaksa suka dengan semua ni.” Balasnya dengan nada yang perlahan tetapi keras. Qaiz tersenyum senget.

“Kenapa buat kejutan macam ni, hah? Untuk pengetahuan awak, saya tak suka majlis macam ni tau. Kek ni pula bertingkat-tingkat macam kek kahwin. Membazir saja. Bukannya ramai tetamu pun.”

“Awak tak sayang mulutkah, huh? Nak saya kiss awak baru awak nak keluarkan kata-kata yang elok pada saya, hmm.”

Faira laju menekup mulutnya. Qaiz tersenyum sinis. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Faira.

“Ini memang kek kahwin pun. Tapi, awak selamat sekarang sebab tok kadi tak ada dekat sini. Kalau dia ada, kita kahwin hari ini juga tau.” Dia mengenyitkan mata dan kemudian berundur ke tepi memberi peluang kepada Aqil yang dari tadi asyik menarik hujung pakaiannya.

“Terima kasih papa.”

Qaiz senyum dan mengusap kepala budak itu.

“Mama, cepatlah buat hajat. Lepas tu tiup lilin.” Gesa Aqil. Teruja sungguh dia.

Faira menyengih. Dia tidak tahu hendak berbuat apa dengan situasi yang dia tidak suka ini. Dia berpaling ke sebelah memandang temannya yang juga tersengih.

“Mama, cepatlah.” Sekali lagi Aqil menggesanya.

Tiba-tiba Qaiz berdiri rapat di sebelahnya. Dia berbisik sesuatu di telinga Faira.

“Saya tahu awak tak suka dengan semua kejutan yang saya buat ni. Tapi, awak perlu ingat yang sekarang ini awak bukan saja berhadapan dengan saya tau. Awak berhadapan dengan tetamu-tetamu yang lain juga. Jadi, terserah kepada awak. Kalau awak tak suka permintaan Aqil tu awak boleh pergi dari sini. Itupun kalau awak tak ada rasa malulah.”

Faira mengepal tangannya kuat. Turun naik nafas dibuatnya. Menyakitkan hati sungguh. Ikutkan hatinya dia memang mahu pergi dari sini. Tetapi, dia berhadapan dengan orang ramai. Kalau dia buat perangai nanti naik pula namanya di media sosial.

“Mama. Mama. Apa yang papa bisikkan pada mama tu?” Aqil ingin tahu.

“Tak ada apa-apa.” Faira memaniskan wajah.

“Faira. Aku tahu kau tak suka. Tapi, demi Aqil. Kau buat sajalah.” Bisik Alya.

Faira menghela nafas berat. Alya di pandang seketika dan kemudian berpaling ke arah lilin kek itu. Tak payahlah buat hajat, kata Faira dalam hati. Dia tahu apa yang perlu dibuat.

Faira menjeling lelaki di tepinya itu sebelum menarik keluar satu persatu lilin-lilin di atas kek itu. Dia kemudiannya menyuruh Aqil meniup lilin-lilin tersebut. Laju sahaja budak itu meniupnya. Selesai acara meniup lilin, lampu dipasang semula. Faira buat tidak tahu dengan renungan tajam lelaki itu padanya.

Tidak cukup dengan majlis hari jadi, mereka dikejutkan lagi dengan kejutan daripada Shazwan. Shazwan menyuruh pembantu-pembantu majlis itu membawa masuk tower cake yang dibuatnya semalam dan menyuruh mereka meletakkannya bersebelahan dengan kek hari jadi Faira.

“Alya Ufaira.” Shazwan memanggilnya.

Alya terpinga-pinga. Wajahnya jelas terkejut dengan kejutan lelaki itu padanya. Tower cake di depannya ini ada lima tingkat semuanya. Empat tingkat tower cake diletakkan dengan kek-kek cawan yang pelbagai jenis hiasan comel. Manakala yang paling atas pula kek hias yang berukuran 6 inci. Kek itu dihiasi dengan bunga-bunga lili putih yang diperbuat daripada fondan dan diukir nama penuh Alya di atas kek tersebut.

“Un... untuk apa semua ni?” Tersekat-sekat suaranya.

“Untuk awaklah.”

Alya telan liur. Dia mula tidak keruan apabila Shazwan mendekatinya.

“Apa sebenarnya yang awak nak cuba sampaikan pada teman baik saya ni, hah?” Celah Faira.

“Err... Nak...”

“Nak apa?!” Alya meninggikan suara.

“Nak ajak bertunang.”

Semua melopong. Alya dan Faira juga terkejut. Terbeliak mata mereka mendengar lamaran tersebut.

“Bertunang?!” Alya bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Suka hati lelaki ini sahaja buat keputusan tanpa pengetahuannya.

“Awak sedar tak apa yang awak buat ni? Awak buat depan semua orang tau. Depan keluarga saya lagi tu.” Alya mengetap gigi.

“Saya tahu dan saya sudah minta izin daripada keluarga awak pun.”

Alya tercengang. Dia mencari ibunya yang duduk di bahagian depan mereka. Ibunya tersenyum kepadanya. Alya memandang Shazwan semula. Dia menjeling lelaki itu dan kemudian meluru keluar daripada majlis tersebut.

Shazwan panik. Tidak sangka ini pula yang terjadi pada dirinya.

“Alya! Alya tunggu!” Shazwan mengejarnya. Qaiz dengan yang lain hanya menjadi pemerhati.

“ALYA UFAIRA! Berhenti!” Shazwan cuba menghalangnya tetapi Alya berkeras juga hendak meninggalkan tempat tersebut.

“Alya, dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni. Please?” Pujukkannya langsung tidak dilayan oleh Alya. Perempuan itu terus mengorak langkahnya ke tingkat atas kapal.

Shazwan menggeram. Ingatkan senanglah hendak pujuk hati dia. Rupanya, sangkaannya salah. Alya tidak sama seperti perempuan-perempuan yang dia dampingi sebelum ini.

“Alya. Ikut saya.” Kali ini Shazwan berkasar dengannya. Dia menarik tangan Alya dan membawanya ke kawasan kolam renang yang berada di tingkat atas kapal layar itu.

“Awak ni dah kenapa, hah?!” Alya cuba melepaskan tangannya daripada genggaman lelaki itu. Mereka sudah tiba di kawasan kolam renang.

“Awak tanya saya kenapa?” Mahu ketawa Shazwan mendengarnya. Dia melepaskan genggaman itu dengan kasar. Alya menjauhkan diri darinya.

“Biar saya berterus terang saja dengan awak.” Shazwan mengambil nafas sebelum meluahkannya. Alya pula seperti tidak berminat dengan bicaranya itu. Perempuan itu masih mengusap tangannya yang digenggam kuat tadi. Shazwan tidak peduli. Dia harus luahkan isi hatinya malam ini juga.

“Alya. Sejak saya tengok gambar awak, saya dah jatuh hati pada awak. Bila saya bertemu dengan awak, hati saya berbunga-bunga. Jantung saya asyik berdebar saja. Sebelum ini saya tak pernah rasa pun perasaan ni dekat mana-mana perempuan. Awaklah perempuan pertama yang buat saya sasau seperti ni.” Shazwan mendekatinya.

Alya senyum sinis. Tidak percaya.

“Lelaki tak sah kalau tak mulut manis. Awak ingat saya percayakah dengan kata-kata awak tu? Entah-entah yang tadi tu awak saja nak kenakan saya, kan.”

Shazwan ketawa. Comel pula dia tengok wajah sinis itu.

“Ketawa. Ketawa. Awak nampak ni!” Alya menunjukkan buku limanya.

“Beranikah Alya buat macam tu dekat saya?” Shazwan mendekat. Pantas Alya mengundur ke belakang. Namun, nasibnya malang kerana terpijak kain sendiri. Hampir dia terjatuh ke dalam kolam renang besar itu tetapi diselamatkan oleh Shazwan.

Pandangan mereka bertaut seketika.

“Cantik.” Puji Shazwan. Matanya tidak berkedip memandang wajah itu.

Alya berdeham menyedarkan kelakuan lelaki itu. Tapi, Shazwan sebaliknya pula. Dia memperkemaskan lagi pelukan tersebut.

Alya tergamam. Sikap Shazwan sudah melebih-lebih dan membuatkan dia berasa rimas. Lantas dia menolak kasar tubuh sasa itu jauh darinya. Dia mengetap bibir apabila lelaki itu mentertawakannya.

“Awak sengaja nak buat saya jatuh tadi, kan?” Alya menunding jari ke arahnya.

“Mana ada. Awak sendiri yang undur ke belakang. Saya tak buat apa-apa pun.”

Alya menggeram. Dia mahu pergi dari situ tetapi Shazwan laju menghalangnya.

“Apa lagi yang awak nak ni, hah?!”

“Kita tak selesai lagi. Saya nak tagih cinta awak. Boleh? Jadi tunang saya?”

“Tak nak! Awak ni tak tahu malukah, hah? Sudahlah buat perkara yang saya tak suka. Malukan saya lagi depan keluarga saya dengan tetamu-tetamu yang lain.” Alya mendengus.

“Alya sayang. Untuk pengetahuan sayang, saya dah minta pun kebenaran daripada ibu sayang tau. Termasuk adik-beradik sayang. Sayang nak tahu, adik-adik sayang tu semuanya suka dekat saya.”

Alya senyum sinis. Lelaki di depannya ini ingat dia tidak tahu apa sebabnya. Pasti dia sudah menceritakan latar belakangnya pada adik-beradiknya yang lain. “Sebab awak bagitahu dia orang yang awak ni pencipta permainan RPG tu, kan?”

“Pandai sayang ni.”

“Eee! Gelilah telinga ni nak dengar perkataan tu.” Alya menggosok-gosok telinganya. Lebih baik dia beredar dari situ. Tahap kesabarannya sudah menipis.

“Alya!”

Buat-buat tak dengar saja, bisik Alya.

“Alya ingat ni!”

Alya tersentak. Langkahnya mati.

“Saya tau saya gagal jadikan awak sebagai pasangan hidup saya hari ni. Tapi tidak bermakna saya sudah berputus asa. Saya tidak akan sesekali menyerah kalah. Saya dah jatuh cinta pada awak tau. Lepas ni, awak kena bersedia sebab saya akan buatkan Alya Ufaira jatuh cinta pada Shazwan!” Laungnya.

“Huh! Semoga berjaya.” Sinisnya tanpa memandang lelaki itu. Alya terus berlalu pergi dari situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience