BAB 68

Romance Completed 137457

RUMAH puan Daliya didatangi oleh sanak-saudara dan juga beberapa tetamu yang lain. Mereka baru sahaja selesai kenduri doa selamat dan kesyukuran.

“Syukurlah, semuanya selamat. Mereka semua pun dah di tangkap.” Kata puan Iyza.

“Macam mana dengan penginapan? Semua okey?” Tanya Madam Alina.

“Semua baik-baik saja. Terima kasih sebab sudi membantu kami di sana.”

“Itu semua perkara kecil saja.” Balas Madam Alina.

“Saya tak tahulah macam mana keadaan saya kalau Faira mati dibunuh oleh mereka tu. Saya tak sanggup kehilangan dia lagi.” Luah puan Daliya.

“Itulah kau. Aku suruh kau kahwinkan dia dengan si Amzar kau tak mahu.”

Semua mata memandang ke arah puan Qayla.

“Kak ngah ni dah kenapa? Asyik nak buat hal saja. Suka hati Fairalah nak pilih siapa. Dia ada hak dia sendiri nak tentukan hidup dia.” Puan Daliya menggeram.

“Aku tak suka, Daliya. Aku langsung tak berkenan dengan anak-anak orang kaya ni.”

“Qayla!” Tiba-tiba encik Halim berdiri.

“Kau ni tak pernah nak hormatkan orang langsung. Sebelum aku naik marah baik kita balik.”

“Abang. Qayla cuma nak...”

“Cukup! Kalau kau nak tahu sangat, si Amzar tu dah ada kekasih dah. Dia tu diam depan kau sebab dia malas nak buka mulut pasal kekasih dia tu. Sebab dia tahu sangat mulut kau ni macam mana.”

Puan Qayla tergamam.

“Sebelum aku buat kau malu lagi baik kau ikut aku balik. Cepat!”

Laju puan Qayla membuntuti suaminya.

Semua mata memandang ke arah dua pasangan itu.

“Selama ni, baru hari ni abang Halim buka mulut. Selalunya diam saja bila isteri dia buat perangai.” Puan Zaliah bersuara.

“Mungkin sebab dia dah tak tahan dengan sikap isteri dia tu. Itu sebablah dia jadi macam tu tadi.” Sampuk encik Daim, abang sulung puan Daliya.

“Sudahlah. Pedulikan sajalah hal dia orang tu.” Kata puan Daliya.

Mereka menyambung perbualan mereka dan beberapa minit kemudian encik Daim meminta diri untuk pulang disusuli dengan puan Zaliah dan juga yang lain.

FAIRA ALISHA menyibukkan diri di dapur. Malas dia hendak berbual dengan mereka di ruang tamu itu. Lagipun, temannya sudah balik dengan Shazwan tadi. Tinggal Madam Alina, anak dan cucunya lagi di sini menemani umi dan abangnya. Tuan Hafizuddin pula sudah ke tempat kerja. Katanya, ada kerja sedikit di sana.

Faira mengambil bekas-bekas lauk yang telah habis dan diletakkan di luar dapur. Selesai mengemas dapur dia ke luar dapur pula. Pinggan mangkuk semua ada di situ.

Sambil dia mencuci pinggan mangkuk itu sambil dia menyanyi. Dia tidak sedar seseorang sedang memerhatikannya dari belakang.

“Sedap suara.”

Faira tersentak. Nasib baik dia tidak melatah. Qaiz berdiri menyandarkan tubuh di tepi pintu dapur itu sambil berpeluk tubuh.

“Apa kacau orang ni?” Faira mendengus kasar.

“Tak bolehkah?”

“Ya.” Jawab Faira sepatah tanpa menoleh ke arahnya. Dia meneruskan semula cuciannya.

Qaiz mengukir senyuman. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada ini. Rindunya masih belum terubat lagi. Sebulan lebih Faira menghilangkan diri membuatkan dia hampir gila. Di tambah lagi dengan apa yang berlaku tempoh hari. Mahu kena serangan jantung dia dibuatnya. Nasib baiklah dia bertindak cepat.

“Tak payahlah. Awak masuk dalam saja. Jangan kacau saya.” Marah Faira apabila Qaiz cuba membantunya.

“Ala, abang nak bantu pun tak boleh. Kalau tak nak abang bantu dear Lisha, dear Lisha berbuallah dengan abang. Abang bosan borak dengan mereka di dalam tu.” Suaranya dimanjakan.

“Qaiz! Eee, dia ni. Gelilah telinga ni nak dengar ayat macam tu. Lagi satu. Saya tak suka awak gelar diri awak tu abang tau.”

Qaiz angkat kening sebelah. “Kejap. Tak suka? Dear Lisha lupakah apa yang abang cakap sebelum ni?”

Faira diam. Malas dia hendak membalasnya. Dia berdiri dan kemudian mengangkat besen besar yang berisi air kotor itu.

Qaiz menahannya. “Bagi abang buat. Lagipun, besen tu penuh air.”

Faira buat muka.

“Buatlah lagi muka garang tu. Nanti, abang terkam baru tau.”

Faira menggeram.

“Nak buang mana air kotor ni?”

“Dalam parit tu.” Balas Faira dengan kasar. Dia kembali ke tempat duduknya dan mencuci pinggan kotor yang lain.

Qaiz meletakkan semula besen kosong itu di bawah paip air.

“Abang nak tanya Faira.”

“Tanya apa?”

“Sejak bila lagi ingatan Faira pulih?”

Faira mengerlingnya sekilas. “Bulan lepas. Lepas daripada kejadian kemalangan tu.”

Qaiz angguk perlahan.

“Jadi Faira betul-betul dah ingat semualah?”

“Ya.”

“Pertemuan kita?”

“Ingat.”

“Pasal Faira beria-ia nak jadi mama angkat Aqil?”

“Ingat.”

“Pasal hubungan kita yang renggang?”

Faira terus diam. Ada sesuatu mengganggunya saat itu.

“Qaiz, kenapa awak bohong saya masa tu? Kenapa awak tak bagitahu saya yang awak dah bertunang masa tu? Saya pun tak tahu yang awak ni anak jutawan. Arwah kak Adellia pun tak pernah bagitahu yang dia anak jutawan. Dia cuma cakap dia anak orang kaya saja.”

“Abang tak bermaksud pun nak bohong sayang. Abang cuma takut kalau abang bagitahu masa tu nanti sayang tinggalkan abang. Lagipun, sebelum abang kenal sayang lagi abang dah ada masalah dengan Talita.” Qaiz menghela nafas berat.

“Silap abang sendiri juga. Salah pilih teman hidup. Abang termakan dengan kata-kata manis dia. Perlakuan baik dia tu membuatkan abang jatuh cinta pada dia. Abang sedar pun bila orang-orang abang bagitahu abang perangai sebenar Talita tu. Siap dengan gambar lagi mereka berikan pada abang. Disebabkan perangai buruk dan jijik dia itulah abang mahu memutuskan pertunangan kami.” Dia melepas keluh.

“Saat abang dilanda masalah, sayang pula datang. Tapi, jujur abang katakan. Rasa yang hadir pada diri abang ketika itu jauh berbeza sekali dengan perasaan yang abang rasa pada Talita sebelumnya.”

“Rasa yang macam mana?”

Qaiz tersenyum nipis. “Rasa suka. Cinta. Rasa tak nak melepaskan orang yang disayangi. Rasa yang membahagiakan. Rasa yang abang sendiri tak pernah rasa pada Talita. Abang puas fikir tentang sayang dan masa tu abang memang yakin yang abang dah jatuh cinta pada sayang.”

Hati Faira sudah tidak keruan. Dia cuba menahannya.

“Tapi, kenapa awak tak cari saya dalam dua tahun tu?”

“Abang rasa bersalah. Lagipun, masa tu hubungan kita tak baik. Sayang asyik menjauhkan diri saja dari abang. Abang tahu sayang tertekan dengan amaran Talita tu tapi sayang sendiri tak pernah beri abang peluang untuk jelaskan semuanya. Abang memang nak lindungi sayang tapi sayang pula sebaliknya. Sampailah kejadian tu berlaku yang membuatkan abang lagi rasa bersalah.”

Faira memandangnya.

“Abang salahkan diri sendiri. Abang gagal melindungi sayang. Jadi, abang menghilangkan diri. Tapi, abang tak sampai hati. Bila abang kembali ke hospital, sayang pula tak ada dekat sana. Kata mereka sayang dah dipindahkan ke tempat lain. Abang nak juga cari sayang tapi niat tu abang batalkan saja. Abang hanya berdoa untuk keselamatan dan kesembuhan sayang. Abang berdoa juga, sekiranya kita bertemu jodoh lagi abang tak akan melepaskan sayang lagi.”

Faira mencebik. Telinga aku ni bengkak bernanah dah. Entah berapa banyak kali ‘sayang’ sudah dia panggil aku ni.

“Jadi, apa jadi dengan pengetua Shaun dan juga bekas tunang awak tu?” Faira mahu tahu juga apa berlaku pada mereka.

“Meringkuk dalam penjaralah. Terima kasih pada sayang jugalah sebab jagakan bukti-bukti tu semua.”

“Sama-sama. Sudahlah. Awak nak sangat bantu sayakan. Cuci semua pinggan mangkuk ni. Saya nak masuk dalam dulu.”

Qaiz melopong. “Takkan abang seorang saja?”

“Seoranglah. Saya ada kerja lagi di dalam.” Faira menjelirkan lidah. Dia terus melarikan diri masuk ke dapur.

Qaiz geleng kepala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience