BAB 47

Romance Completed 137457

SUDAH beberapa hari berlalu sejak dia dengan Alya diberhentikan kerja dari Sekolah Rendah Polaris. Bosan, itu apa yang dirasakan oleh Faira sekarang. Di rumah dia hanya menolong uminya membuat kerja-kerja rumah. Malam pula dia dengan Alya masih membuat tuisyen di kampung sebelah.

“Haaih...” Faira mengeluh. Dia duduk menongkat dagu sambil membuang pandang ke luar dinding kafe abangnya. Hari ini dia dipaksa oleh abangnya ke sini. Mulanya dia tidak mahu tetapi abangnya sudah memberi amaran kepadanya. Dia disuruh buat semua kerja-kerja di rumah itu setiap hari tanpa melibatkan umi mereka sekiranya dia tidak mahu mengikut abangnya ke sini.

“Apalah agaknya kawan aku tu buat dengan si Shazwan?” Faira mengelamun.

Pagi tadi dia mahu mengajak Alya ke sini tetapi melihat pergaduhan kecil Alya dengan Shazwan di luar rumah temannya itu dia tidak jadilah mahu mengajaknya. Sempat juga Faira mengambil gambar comel pasangan itu.

Sedang Faira mengelamun, muncul pula Zahwan. Lelaki itu menarik perlahan kerusi di depan Faira. Dia duduk dan merenung perempuan itu dengan senyuman manisnya.

“Eh, abang Zahwan!” Faira terkejut. Laju dia menegakkan tubuhnya. Dia tersengih.

“Jauh mengelamun. Ingat apa?” Zahwan juga turut sama tersengih.

“Tak ingat sesiapa pun.”

“Yakah? Eh, tapi... bukan hari ni Faira kerjakah? Kenapa duduk dekat kafe abang Faira ni pula?” Zahwan hairan. Setahunya, cuti hanya sabtu dan ahad sahaja. Tapi hari ini hari selasa dan sepatutnya Faira berada di sekolah.

Faira tersengih lagi. Jarinya menguis-nguis meja itu. “Sebenarnya... saya kena berhenti kerja. Saya tak boleh dah mengajar dekat sekolah tu.”

“Hah? Kenapa pula?” Terkejut besar Zahwan apabila mengetahui hal itu.

“Sebab saya buat nakal dekat sekolah. Alya pun kena berhenti sama.”

Zahwan melopong. “Faira dengan Alya? Dua-dua sekali kena berhenti?” Dia meminta kepastian lagi. Faira angguk.

“Kenakalan apa pula yang Faira dengan Alya buat ni, hah? Selama ni okey saja kan kamu berdua kerja dekat sana. Kenapa tiba-tiba pula jadi macam ni?” Sungguh, Zahwan tidak puas hati. Pasti ada sebab Faira dengan Alya jadi begitu.
Faira tidak senang duduk apabila Zahwan menyoalnya lagi. Dia tidak tahu bagaimana hendak terangkan hal itu kepada lelaki ini.

“Sebenarnya...”

“Assalamualaikum.”

Tersentak kedua-duanya. Qaiz muncul di depan mereka berdua.

QAIZ TALHA duduk di sebelah dengan wajah normal. Faira pula mempamerkan wajah bengisnya. Dia masih lagi marah pasal hal yang terjadi sebelum ini. Kalau boleh dia langsung tidak mahu tengok wajah lelaki ini lagi.

“Awal-awal lagi dah pandai curang dengan saya, ya.”

Faira laju menjelingnya. “Curang apa?!” Dia mendengus. Benci sungguh dia hendak melayannya.

“Eh, tanya pula dia ni. Nak kena denda dengan sayakah?”

Faira buat muka. Dia siap mengajuk lagi kata-kata lelaki itu.

“Ada apa hal kau datang ke sini?” Tegur Zahwan pula.

Qaiz senyum sinis. Dia merenung dalam lelaki di hadapannya itu.

“Aku rasa hal kita belum selesai lagi.” Qaiz berpeluk tubuh memandang Zahwan tanpa riak.

“Hal apa yang awak maksudkan ni, huh?” Faira menyampuk.

“Hal lelakilah.”

Zahwan yang tadinya bingung kini faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Qaiz itu. Dia senyum miring. Sebab kaulah aku tak jadi nak bagi hadiah aku tu dekat dia, katanya dalam hati.

“Aku nak kau putus asa saja dengan dia ni.”

“Kenapa pula? Setahu aku, Faira bukannya suka dekat kau pun.”

Qaiz ketawa sinis. Pergelangan tangan kanan Faira di tarik ke depan.

Faira terkejut. “Apa awak nak buat ni?” Dia cuak.

“Tenanglah sweetheart. Saya nak pinjam jari awak sekejap saja.” Dia mengenyitkan matanya pada perempuan itu.

“Untuk apa?” Tanya Faira. Dibiarkan sahaja lelaki itu menyentuh pergelangan tangannya. Nasib baik berlapik.

“Untuk sarungkan cincin ni ke jari manis awaklah.” Qaiz mengeluarkan cincin dari dalam poket seluarnya lalu menyarungkan cincin itu ke jari manis Faira.

Faira melopong. Dia pandang Zahwan dan mahu menerangkan hal sebenar tetapi suaranya tersekat. Tergamam.

“Sebenarnya aku tahu hadiah yang kau berikan kepada Faira sebelum ini.”

“Awak tahu?” Faira merenungnya.

“Ya, sweetheart. Jadi, sebelum terlambat baik saya yang sarungkan dulu cincin ni di jari awak.”

“Mister...” Terdiam Faira apabila Qaiz menjelingnya.

“Bukan sebelum ni kita dah janji nak tukar panggilan masing-masingkah?”

Wajah Faira berkerut. Setahunya mereka tidak pernah pun berbincang tentang panggilan tersebut. Dia mahu menarik keluar cincin itu dari jarinya tetapi Qaiz pantas menggenggam erat jari jemari Faira itu.

Zahwan berdiri. Lebih baik dia beredar daripada situ sebelum marahnya memuncak. Dia tidak suka melihat perbuatan lelaki itu pada Faira.

“Abang Zahwan dah nak pergikah?”

“Abang nak balik dululah. Lagipun, urusan abang dengan abang Faira dah selesai tadi.” Kata Zahwan. Baru sahaja dia membuka langkah tiba-tiba Qaiz menyuruhnya berhenti. Zahwan berpaling ke belakang semula.

“Aku sebenarnya ada benda mahu cakap dengan kau.”

“Benda apa? Baik kau cakap sekarang. Aku tak ada masa.” Balas Zahwan.

“Aku rasa kita bincang dekat hujung sana saja.” Qaiz menunjuk ke arah hujung kafe itu. Dia berdiri dan Faira juga turut sama berdiri.

“Awak tunggu di sini saja. Hal ni antara saya dengan dia. Awak tak payah masuk campur.” Qaiz sempat mencuit hidung Faira sebelum beredar dari situ.

Faira mencebik. Hal lelakilah sangat!

Faira duduk kembali. Matanya pula memaku ke arah mereka berdua.

“HAL apa yang kau nak cakap dengan aku ni, hah?” Tanya Zahwan.

“Hal yang aku nak cakapkan ini adalah mengenai Faira.”

Zahwan tersentak. Dia tidak memandang lelaki itu. Sebaliknya menjatuhkan pandangannya di atas meja. Jarinya bermain di tempat tisu yang ada di atas meja itu.

“Aku tahu kau ada hati dengan dia, kan?”

Zahwan senyum sinis. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi. “Ya, aku memang ada hati dengan dia. Aku suka dekat dia dan aku nak dia jadi teman hidup aku.” Dia berterus terang.

Qaiz mengetap gigi.

“Sejak bila lagi kau ada hati dekat dia?”

“Dah lama. Sejak abang dia bawa aku ke rumah mereka.”

“Jadi kau tahu yang Faira tu...”

“Ya. Aku tahu dia hilang ingatan. Aku kenal dia selepas dia pulang daripada hospital.”

Qaiz diam. Dia terfikir sesuatu.

“Boleh aku tahu sesuatu?”

Zahwan angkat kening sebelah. “Nak tahu pasal apa?”

“Ada apa-apa yang pelik berlakukah selepas Faira keluar daripada hospital?” Qaiz mahu siasat sesuatu.

Kening Zahwan bertaut. “Manalah aku tahu. Aku kenal dia pun selepas beberapa minggu dia keluar daripada hospital.”

“Tapi...” Wajah itu berkerut-kerut. Dia cuba mengimbas sesuatu.

“Ada satu yang musykil difikiran aku sampai sekarang ni. Aku masih ingat lagi orang tu.”

“Farish tahukah pasal ni?”

“Rasanya tak. Lagipun, aku tak pernah cerita lagi dekat dia pasal ni.”

“Kenapa pula kau tak bagitahu dia? Apa yang kau nampak masa tu?”

Perbicaraan mereka ketika itu mula serius.

“Aku tak nak bagitahu sebab aku tak nak teman baik aku tu risau. Dua tiga kali jugalah aku nampak orang tu di depan rumah mereka. Yang peliknya, setiap kali aku ke sana pasti ada dia. Mungkin juga orang tu sudah lama perhatikan rumah mereka. Tapi apa yang menyakinkan aku masa tu, orang tu asyik perhatikan Faira dan bukannya Farish mahupun umi dia.”

Nampaknya, kali ini Qaiz perlu melindungi Faira daripada orang-orang jahat itu.

“Orang tu kau kenal tak?”

“Tak. Orang tu lelaki dan memakai pakaian serba hitam. Lelaki tu juga ada memakai topeng mulut.” Beritahu Zahwan.

Qaiz diam lagi.

“Apa sebab kau tanya aku pasal hal-hal pelik ni, hah?” Zahwan pelik. Perbualan mereka itu sudah jauh daripada topik asal.

Qaiz memandangnya. “Zahwan. Aku mahu berterus terang dengan kau. Tapi, aku betul-betul minta dengan kau jangan bagitahu dia.”

Berkerut wajahnya. “Apa maksud kau ni?”

“Aku nak kau hapuskan perasaan kau pada Faira. Aku cakap macam ni sebab aku sayang dekat dia. Aku cintakan dia sebelum kau lagi. Jadi, tolonglah jangan ada apa-apa perasaan lagi dengan dia.” Pinta Qaiz.

Zahwan menghela nafas berat. Bukan mudah untuk menghapuskan perasaan yang sudah sekian lama tersemat di kalbunya itu.

“Aku tak tahulah, Qaiz. Permintaan kau tu sukar untuk aku buat. Lagipun, perasaan aku terhadapnya sudah lama aku simpan dalam hati ni. Aku cuma perlu tunggu masa yang sesuai saja untuk luahkan kepadanya. Tapi tak sangka pula kau pesaing aku untuk dapatkan cinta dia.”

“Zahwan. Aku putus cinta dengan Talita dua tahun lepas pun disebabkan Faira. Hati aku masa tu...” Kalau ini caranya boleh membuatkan Zahwan putus asa, dia akan buat. Qaiz akan ceritakan semuanya pada lelaki itu. Tetapi, Zahwan harus merahsiakannya daripada orang lain.

Ketika mereka sedang bercerita datang pula Farish ikut serta dengan mereka. Qaiz membiarkan sahaja Farish mengikuti cerita mereka. Lagipun, Farish sudah mengetahui cerita keseluruhannya dari mulut Qaiz sendiri sebelum ini.

Farish juga meminta maaf pada teman baiknya itu kerana tidak berterus terang sebelum ini. Dia membiarkan sahaja lelaki itu menggunakan caranya sendiri untuk dapatkan cinta adiknya itu. Mujurlah Zahwan memahaminya. Dia tidak berasa sakit hati cuma kecewa sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience