BAB 8

Romance Completed 137457

SEKEMBALINYA Faira ke rumah dia terkejut dengan kehadiran Aqil dan juga seorang wanita yang hampir sebaya dengan uminya. Temannya pula sudah meminta diri untuk pulang sebaik sahaja turun daripada kereta tadi. Bukan main marah lagi Alya menceritakan perbuatan Shazwan di kafe tadi kepadanya.

“Assalamualaikum, umi.” Teragak-agak Faira mahu menapak masuk ke dalam rumah. Matanya menangkap hadiah-hadiah yang bertimbun di atas meja kecil dekat dengan pintu masuk ke dapur.

“Waalaikumussalam. Hah, Faira cepat masuk. Salam puan Alina ni.”

Laju Faira menurut kata. Madam Alina tersenyum melihat wajah ayu anak dara itu.

“Mama Faira!”

Aqil? Kenapa budak ni ada di sini?

“Aqil rindu dengan mama Faira tau.” Aqil melompat dari sofa dan memeluk Faira. Faira pula tidak tahu hendak beri reaksi apa pada budak itu. Dia memandang uminya dan juga Madam Alina. Takut panggilan Aqil kepadanya itu tidak menyenangkan hati mereka berdua.

“Hah, kamu ada jumpa dengan abang kamukah tadi?” Tanya puan Daliya.

“Tak sempat jumpa.”

Mana mungkin Faira mahu beritahu apa yang terjadi tadi. Sepatutnya, dia dengan Alya berjumpa dengan abang Farish selepas ke kafe Shaz Alhena. Tapi disebabkan lelaki itu sudah merosakkan mood Alya, Alya terus mengajaknya pulang.

“Eh, kenapa pula? Petang tadi umi telefon abang kamu. Dia kata kamu dengan Alya nak ke sana.”

Faira tersengih. “Memang nak pergi pun. Tapi, Alya tiba-tiba ada hal. Jadi, terpaksalah hantar dia pulang.” Dia kemudian beralih pandang. Senyuman kecil dihadiahkan kepada Madam Alina.

“Susahkan puan Alina saja datang ke sini.”

“Tak ada susah pun, Faira. Aunty datang pun sebab permintaan budak ni. Dia nak sangat jumpa kamu.”

“Yakah?” Faira merenung Aqil yang masih memeluknya. Dia menyimpul senyuman dan mencubit pipi gebu Aqil.

“Mama Faira. Mama Faira macam tak suka saja Aqil datang sini.” Aqil dari tadi menarik muka dengan layanan Faira kepadanya. Dia merasakan dirinya tidak disukai oleh Faira.

“Bila masa akak cakap macam tu, huh? Aqil saja yang berfikiran negatif.” Sekali lagi pipi budak itu menjadi mangsa cubitannya.

“Kakak. Kakak. Aqil tak suka dengar panggilan tu. Mama kenalah panggil dengan panggilan mama.” Aqil mendengus geram.

Faira menjuling mata ke atas. Budak ni suka betul memaksa aku tau.

“Okey. Okey. Mama Faira.” Faira membetulkan panggilan. Tersenyum puas si Aqil mendengarnya.

“Aqil, sekejap ya. Mama nak bersihkan diri dulu. Lepas tu, mama nak masak untuk makan malam.”

“Okey.” Aqil melepaskan pelukan dan kembali duduk di sebelah Madam Alina.

“Puan Alina tidak kisahkan makan malam di sini?”

“Aunty tak kisah pun." Ujarnya.

“Hmm... Faira,"

“Ya,"

“Tak payahlah Faira berpuan dengan saya. Panggil aunty saja. Kalau nak lagi sedap panggilan tu panggil aunty dengan panggilan mama.”

Faira hanya tersengih. Kenapa dengan mereka berdua ini? Nak sangat aku panggil mereka dengan panggilan yang aku tidak suka.

“Err... Lebih baik saya panggil puan Alina dengan panggilan aunty sajalah. Saya tak bersedia lagi nak panggil puan Alina dengan panggilan mama.” Yalah. Lagipun, orang di depannya itu bukannya dia kenal sangat pun.

“Tak apa. Aunty tak kisah pun.” Ada nada kecewa di situ.

“Kalau macam tu, saya minta diri dululah.”

Mereka mengangguk dan Faira berlalu ke biliknya.

Masuk sahaja di dalam bilik dia terus merebahkan tubuh di atas tilam. Dia merasakan hari ini adalah hari malangnya. Petang tadi seorang lelaki yang tidak dikenali tiba-tiba sahaja menariknya untuk berbincang sesuatu mengenai Aqil Syauqi. Apabila dia tiba di rumah, bertemu pula dengan Madam Alina dan juga budak itu.

“Lelaki itu betulkah papa Aqil?” Dia berfikir. Dia masih ingat lagi perwatakkan lelaki itu di kafe petang tadi. Cukup bergaya dan berkelas tinggi. Wajah lelaki itu pun boleh tahan.

“Tapi...” Faira menyentuh dadanya yang tiba-tiba berdebar kencang. semakin dia fikir tentang lelaki itu semakin dia terasa sesuatu.

“Kenapa aku rasa aku pernah lihat wajah dia?” Dia cuba mengingat sesuatu. Tetapi hanya bayang-bayang samar sahaja yang muncul.

“Aww!” Dia menyentuh kepala yang mula terasa pening.

“Mama Faira!” Aqil muncul saat Faira memerlukan orang di situ. Hilang terus wajah ceria budak itu sebaik sahaja melihat keadaan Faira.

“Mama Faira kenapa ni?” Risau mula bersarang dihati kecilnya.

“Aqil...”

“Aqil panggil nenek, ya.” Aqil buka langkah ke arah pintu tetapi dihalang oleh Faira.

Faira geleng kepala. “Tak payahlah Aqil. Mama cuma pening kepala saja. Kejap lagi mama okeylah.”

“Betul ni?”

Faira tersenyum pahit. “Ya. Bagi mama rehat sekejap. Aqil duduk sini. Temankan mama, ya.”

Lebar senyuman Aqil apabila Faira menyuruh menemaninya di situ. Faira mengambil tuala dan berlalu ke bilik air. Dia membiarkan sahaja budak itu bermain di dalam biliknya.

HIDANGAN makan malam sudah disediakan. Faira menyuruh Aqil memanggil yang lain ke ruang makan. Sementara menunggu mereka tiba, Faira menyediakan pencuci mulut yang agak ringkas penyediaannya. Siap sahaja pencuci mulut itu dia terus memasukkannya ke dalam peti sejuk.

Orang pertama yang muncul di ruang makan itu adalah Farish. Dia tiba sejak beberapa minit yang lalu. Selesai menunaikan ibadahnya, dia berbual sekejap dengan pemandu Madam Alina. Farish juga mengajak pemandu Madam Alina itu makan malam bersama. Mulanya, si pemandu itu menolak tetapi apabila diajak oleh Madam Alina dia terus bersetuju.

Farish mengetuai mereka untuk bacaan doa makan. Bukan main lahap lagi Aqil menyumbat makanan-makanan tersebut ke dalam mulutnya. Faira sesekali membantu Aqil makan. Kalau dibiarkan budak itu makan sendiri pasti wajahnya akan comot.

Madam Alina yang memerhati tingkah dua orang itu tersenyum sendiri. Aku kena pujuk si Qaiz nanti. Rugi kalau tak dapat gadis baik macam Faira ni, dia menggumam dalam hati.

SESEKALI Faira mengerling orang-orang disekelilingnya itu. Setelah sekian lama baru hari ini Faira merasakan makan malam mereka meriah. Kalaulah abahnya encik Alias itu masih ada sudah tentu bertambah meriah lagi suasana malam ini. Tapi, sayang sekali kerana tidak mungkin yang mati hidup semula. Abahnya meninggal dunia beberapa tahun yang lepas akibat serangan jantung.

“Tak sangka masakan Faira semuanya sedap-sedap belaka. Aunty rasa macam nak ajak saja Faira tinggal dengan aunty. Bolehlah aunty belajar dan rasa masakan Faira hari-hari.”

“Aunty Alina janganlah puji melambung dekat saya. Malu saya.”

“Tapi, betullah cik Faira. Semua masakan cik Faira sedap-sedap belaka. Makanan-makanan di restoran belum tentu sedap macam masakan ni.” Puji Pian, si pemandu.

“Terima kasih dengan pujian itu. Ini semua sebab saya belajar dari umi dengan abang saya juga.” Beritahu Faira dengan perasaan bangga.

“Faira ini suka memasak. Kalau puan Alina hendak tahu, Faira sebelum ini tidaklah sehebat hari ini. Dulu, masakan dia semuanya hangus. Tak ada rasa. Kurang bahan. Tapi, bila saya dengan abang dia ajar dia cara memasak yang betul barulah dia pandai.”

“Sekarang dia lagi hebat memasak dari kami. Untung siapa yang jadi suami dia ni.” Sampuk Farish.

Madam Alina ketawa. “Semua orang pun macam tu juga. Mulanya tak pandai tapi bila dah belajar akan jadi hebatlah. Kalah tukang masak di restoran.”

Serentak itu tawa mereka meletus.

Selesai makan Faira mengemas ruang makan. Aqil membantunya mengemas walaupun sudah berkali-kali Faira menegahnya. Degil. Uminya pula sudah membawa mereka yang lain ke ruang tamu. Mereka menyambung perbualan mereka di ruang sana.

Selesai mengemas dapur, Faira mengeluarkan pencuci mulut yang dibuat olehnya sebentar tadi. Bukan main besar lagi mata Aqil melihat pencuci mulut tersebut. Kena sangat dengan seleranya malam itu.

“Aqil tahu tak apa ni?” Tegur Faira yang menyedari pandangan budak kecil itu masih melekat pada pencuci mulut yang dia letakkan di setiap gelas kaca.

“Tahu. Aiskrim.” Jawabnya dua patah. Matanya langsung tidak berkedip melihat setiap pergerakkan tangan itu melakukan kerjanya.

“Betul. Aiskrim ni mama buat tadi. Ada dua perisa. Yang ni vanila. Satu lagi perisa coklat. Aiskrim coklat tu mama bagi Aqil bawa balik rumah, ya.”

Laju Aqil menganggukkan kepala.

“Mama, Aqil nak rasa. Bagilah Aqil rasa aiskrim tu.” Dia sudah tidak sabar hendak merasa aiskrim tersebut.

Aiskrim vanila diletakkan di dalam gelas kaca. Kemudian diatasnya diletakkan cairan coklat hitam dan ditabur dengan kacang badam dan akhir sekali hiasan daun pudina di atas aiskrim tersebut. Ringkas tetapi amat menyelerakan.

“Nah,” Faira tahu budak itu dari tadi lagi menahan liur melihat hidangan pencuci mulut ini. Tangan Aqil laju mengambilnya dan berlari membawa keluar pencuci mulutnya itu. Faira geleng kepala. Dia membawa dulang berisi pencuci mulut itu ke ruang tamu.

TERSENYUM hingga ke telinga Madam Alina pulang ke rumah. Begitu juga dengan cucu lelakinya. Apatah lagi dengan pemandunya si Pian itu kerana dapat makan percuma di rumah Faira. Dia juga dilayan baik oleh keluarga Faira tadi.

“Melli, aiskrim ni simpan di peti sejuk. Lepas tu bawa Aqil naik atas. Bersihkan dia dan suruh dia tidur.” Arah Madam Alina. Melli adalah orang gaji yang ditugaskan untuk menjaga Aqil di rumah itu dan sebab itulah setiap kali Aqil pulang ke rumah dia pasti akan segera menyambut kepulangan tuan muda kecil itu.

“Baik, madam. Ada apa-apa lagi?” Tanya Melli sebelum beredar.

“Dah. Itu saja.”

Melli menyimpan aiskrim itu terlebih dulu dan kemudian membawa Aqil ke bilik tidurnya. Hilang kelibat dua manusia itu, muncul pula Tuan Hafizuddin. Dia mendekati isterinya.

“Abang dari mana?" Soalnya. Dia pelik kerana suaminya muncul di depannya dengan tiba-tiba sahaja.

“Abang dari belakang. Abang berbual dengan Qaiz." Beritahu si suami.

“So, macam mana lawatan ke rumah bakal menantu Lina tu?” Tuan Hafizuddin sudah sedia maklum akan hal tersebut. Ikutkan hati, dia juga mahu ikut sama ke sana tetapi urusan kerja di pejabat masih belum selesai. Nasib baiklah balik rumah tadi ada anak terunanya. Dapat juga dia berbual dengan anaknnya itu

Lebar senyuman Madam Alina dengan soalan tersebut.

“Senyum hingga ke telinga ni mesti suka, kan?” Tebak si suami.

“Ya. Lina suka dengan penampilan Faira tu. Baik dan sopan orangnya. Sesuai untuk dijadikan mama kepada Aqil. Tapi...”

“Hah, kenapa pula dengan muka monyok tu?”

“Lina kesian dengan Faira. Rupanya, Faira tu hilang ingatan. Sampai sekarang ingatan dia tak pulih lagi.”

“Habis, macam mana? Lina setuju juga nak ambil dia jadi menantu kita?”

“Lina okey saja. Tapi, puan Daliya tu pula tak setuju. Katanya, selagi ingatan Faira itu tidak pulih selagi itulah dia tidak mahu mana-mana lelaki dekat dengan anak dia itu.”

“Kenapa pula macam tu?”

“Puan Daliya tidak mahu bawa masalah nanti. Dia tidak mahu rosakkan kebahagian Faira. Lagipun, tiada siapa yang tahu apa yang berlaku sebelum Faira hilang ingatan dua tahun lepas. Apa yang abang Faira ceritakan pada dia pun bukan dia percaya sangat. Yalah, itu semua luaran. Dalaman gadis itu tiada siapa yang tahu, kan?”

“Hmm...” Tuan Hafizuddin mengatur langkah membawa isterinya naik ke atas.

“Susah kalau begini. Dia dah dua tahun hilang ingatan dan sampai sekarang masih tak ingat benda lepas. Kalau dia kahwin dengan Qaiz nanti...”

“Mama! Papa!”

Terus mati langkah dua pasangan itu. Mereka berpaling.

“Qaiz...?”

“Qaiz dah dengar semuanya. Qaiz nak bagitahu sesuatu dengan papa dan juga mama.”

Tuan Hafizuddin dan isterinya berpandangan dengan tanda tanya.

“Pentingkah?” Tanya Tuan Hafizuddin.

“Ya. Kita cakap dekat sana sajalah. Sini tak sesuai. Takut budak Aqil tu bangun dan dengar apa yang kita cakap ni.” Qaiz menunjuk ke arah bilik bacaan. Tadi, dia berada di halaman belakang rumah agam. Apabila dia masuk ke dalam rumah dan mahu ke bilik tidurnya langkahnya terhenti mendengar perbualan kedua ibu bapanya itu. Dia mendengar setiap perbualan tersebut dan bersembunyi di sebalik dinding kaca ruang tamu.

“Baiklah.” Mereka bertiga beriringan ke bilik bacaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience