BAB 28

Romance Completed 137457

“ABANG ZAHWAN, hadiahnya mana? Cepatlah bagi.” Faira menadah tangan meminta hadiahnya.

Zahwan tersengih. Faira dilihatnya seperti budak-budak yang merengek mahukan gula-gula darinya. Comel sangat.

“Abang Zahwan! Ish, mengelamun pula dia ni.” Faira memuncungkan mulut.

“Ya. Ya. Faira ni tak pandai sabar langsung.”

“Sabar Faira dah habis. Tadi, abang suruh makan Faira makan. Abang pesan pencuci mulut pun Faira makan juga. Sekarang perut Faira dah kenyang. Faira nak hadiah Faira balik. Abang jangan pula nak buruk siku situ, ya.”

Tadi, Faira geram sangat dengan Zahwan. Ingatkan dia sudah boleh dapat hadiah hari jadinya itu. Rupanya tidak. Zahwan mengajaknya makan terlebih dulu dan selepas itu barulah lelaki itu memberikan apa yang dia mahu.

“Mana ada abang buruk siku. Hadiah ni memang untuk Faira pun.” Tangannya bergerak mengeluarkan hadiah yang disimpan olehnya di dalam poket jaket itu.

Bola matanya besar. Laju tangannya mengambil hadiah itu dari tangan Zahwan.

“Amboi, main kebas-kebas pula dia ni.”

Faira tersengih. “Ala, Faira dah tak sabar nak buka hadiah inilah.”

Zahwan senyum segaris.

“Eh, kejap.” Faira hairan melihat kotak hadiah itu. Dia masih ingat lagi hadiah yang diberikan oleh Zahwan kepadanya sebelum ini. Hadiah itu hanya bersaiz kecil tapi hari ini pula saiz kotak hadiah itu agak besar sedikit.

“Pelik?” Zahwan menebak apa yang difikirkan oleh perempuan itu.

“Ya. Rasanya ini bukan hadiah yang abang berikan sebelum ini, kan?”

Zahwan angguk kepala seiring dengan senyumannya. “Ya. Hari tu Faira dah buka habis pembalut hadiah ni. Jadi, abang balutlah lagi hadiah ni dengan kotak lain pula.”

“Yakah? Tak apa. Janji hadiah ni hadiah yang hari tu abang bagi dekat Faira. Faira buka, ya.” Berdebar-debar dia hendak tahu isi hadiah itu.

“Bukalah.”

Faira membuka kotak hadiah itu dan terkejut. Ada sebuah lagi kotak kecil di dalamnya. Faira tidak puas hati. Dia ambil dan buka lagi sehinggalah kotak yang terakhir. Kotak yang terakhir itu agak sedikit pelik.

“A... abang Zahwan. Betulkah ini hadiah hari jadi Faira?” Dia meminta kepastian. Perasaannya tiba-tiba jadi lain apabila melihat hadiah tersebut.

“Ya.” Zahwan perhatikan Faira dan mengerutkan dahi. Air muka Faira itu menyatakan sesuatu yang dia tidak pasti.

“Kenapa? Faira tak suka? Faira tak buka lagi hadiah tu kan. Macam mana nak tahu Faira suka atau tak?”

Faira tersengih. Dia tidak tahu hendak beri reaksi apa pada lelaki itu. Rasa terujanya sudah hilang apabila melihat hadiah itu. Dari luaran kotak hadiah itu saja dia sudah boleh mengagak apa isi didalamnya. Aku nak bukakah atau tak hadiah ni, ya? Ini kotak baldu. Aku takut kalau hadiah di dalam kotak ni mengerikan aku.

“Cik Faira.”

Faira dengan Zahwan serentak mendongak.

Faira terpinga-pinga. Pengawal peribadi bernama Ariz itu datang memberikan dia sejambak bunga ros.

“Untuk saya?”

“Ya. Tuan saya yang suruh berikan kepada cik Faira.”

Faira tergamam. Dia menoleh ke arah Zahwan. Hadiah lelaki itu belum sempat lagi dibukanya.

Ariz meletakkan sejambak bunga ros itu di atas meja. Belum sempat Faira bersuara, datang lagi seorang membawa hadiah lain kepadanya.

“Cik Faira.”

Faira memandangnya. “Ini apa pula?”

“Hadiah untuk cik Faira. Tuan saya yang suruh beri kepada cik Faira.” Kata pengawal peribadi yang bernama Eddy itu sambil tersenyum ke arahnya.

Faira memandang kotak hadiah tersebut. Teragak-agak dia mahu mengambil hadiah dari tangan lelaki itu.

Zahwan berdiri. Dia mengambil semula hadiah pemberiannya itu dan kemudian meminta diri untuk pergi dari situ. Faira rasa bersalah pula pada Zahwan. Sudahlah hadiah lelaki itu dia tidak buka lagi. Macam mana aku nak pujuk lelaki itu lepas ni?

Faira menghela nafas. Tapi, hadiah yang dia bagi itu...

“Cik Faira. Cik Faira.” Eddy menyedarkannya.

Faira tersentak. Cepat tangannya mengambil hadiah itu dan meletakkannya di atas meja.

“Boleh saya tahu, tuan mana yang kamu berdua ni maksudkan?”

“Tuan muda yang kami maksudkan adalah Tuan muda Aqil.” Eddy menjawab.

“Aqil?” Serta-merta ingatannya kembali pada situasi di kafe abangnya. Masa itu, Aqil marah sangat sebab Zahwan mendekatinya. Dia masih ingat lagi dengan kata-kata budak itu kepadanya.

Faira mengeluh. “Ada-ada saja budak ni tau.”

Faira mengambil dan membuka hadiah bersaiz sederhana itu. Eddy sudah kembali kepada majikan kecilnya sementara Ariz pula masih setia berdiri di tepi Faira.

“Patung beruang?” Faira memandang Ariz.

“Ya, cik Faira. Tuan muda Aqil yang suruh kami beli dekat gerai patung di luar kafe tu.”

“Oh...” Faira berpaling semula. Dia perasan sesuatu pada leher patung beruang itu. Seutas rantai yang berbuahkan dua bentuk cincin emas putih.

“Cincin ni...” Faira memandang pengawal peribadi itu.

“Aqil ada suruh kamu beli benda ni jugakah?” Faira meminta kepastian.

Ariz menelan liur. Ekor matanya laju mencari kelibat majikan kecilnya. Faira perasan dengan tingkah laku pengawal peribadi itu. Dia berdiri dan merenungnya.

“Encik bodyguard. Boleh saya tahu di mana tuan muda kecil kamu tu?” Agak keras bunyinya.

“Err... Cik Faira...” Ariz menggaru tepi kepalanya yang tidak gatal itu.

“Bagitahu saya sebelum saya naik angin dengan kamu.” Mencerlung tajam matanya memandang Ariz.

“Ba... Baiklah, cik Faira. Saya akan bawa cik Faira ke tempat tuan muda kecil.”

“Tahu takut.” Faira membawa semua hadiah-hadiah itu ke tempat Aqil.

AQIL SYAUQI sedang menikmati kek coklat bersama dengan pengawal peribadinya, Eddy. Ariz yang melihatnya dari jauh itu berasa iri hati dengan teman sekerjanya. Tak apa, lepas ni aku pula bodek tuan muda kecil tu, katanya dalam hati.

“Tuan muda.”

Aqil dengan Eddy serentak berpaling. Tersedak terus kedua-duanya apabila melihat gerangan tersebut. Laju Eddy berdiri dan mengelap mulutnya yang sedikit comot itu.

“Mama!” Aqil meletakkan sudunya dan memeluk Faira.

Faira tidak tahu hendak beri reaksi apa ketika itu. Hatinya sedikit marah dengan perbuatan Aqil ini. Entah dari mana sahaja budak itu dapat duit untuk beli semua ini. Tahulah dia yang Aqil itu cucu jutawan. Tapi, budak Aqil itu ada minta kebenarankah untuk guna duit beli hadiah-hadiah ini semua. Lagi dia tertanya-tanya sekarang ini adalah cincin pasangan itu.

“Aqil, sayang. Mama nak tanya boleh?” Faira melembutkan suaranya. Dalam situasi ini dia perlu bersabar sikit.

“Tanya apa mama?” Aqil begitu teruja sekali sehinggakan kemarahan Faira itu tidak dapat dihidunya. Eddy dan Ariz berdiri jauh sedikit daripada mereka berdua.

“Ini. Aqil dapat dari mana cincin-cincin ni, hmm?”

“Aqil beli.” Balas Aqil tenang.

“Bila Aqil beli? Dengan siapa?”

“Dengan uncle-uncle Aqil.” Jawabnya tanpa berfikir panjang.

“Uncle-uncle Aqil? Siapa?”

“Ni. Uncle Eddy. Uncle Ariz. Aqil panggil mereka uncle-uncle Aqil.”

Faira memandang dua pengawal peribadi itu. Dia menjulingkan matanya ke atas. Dia tahu budak ini sedang membohonginya sekarang.

“Aqil jangan nak menipu mama.” Faira menarik keluar rantai itu dari leher patung beruang.

“Cincin pasangan ni, Aqil beli atau Aqil curi? Jujur dengan mama. Kalau Aqil bercakap benar, mama tak akan marah Aqil.”

“Mama...”

“Aqil. Mama tahu apa yang Aqil buat ni. Tapi, masalahnya sekarang ni cincin ni. Mama nak tahu dari mana Aqil dapat benda ni? Ini bukannya cincin mainan tahu.” Faira yakin yang Aqil pasti mengambilnya dari seseorang secara sembunyi-sembunyi.

“Cik Faira sebenarnya...”

Faira memandang Eddy.

“Sebenarnya apa?” Faira angkat kening sebelah sambil berpeluk tubuh.

“Faira. Aqil. Kenapa ni?” Muncul Qaiz.

“Papa!” Laju Aqil menerpa ke arah papanya.

“Aqil kenapa ni?” Soalnya.

“Mama... mama...” Aqil tidak berani hendak meneruskan bicaranya.

Qaiz memandang Faira. “Faira kenapa ni? Kenapa Aqil tiba-tiba jadi takut? Awak marah diakah?” Suaranya tegang.

“Bila masa saya marah Aqil. Saya cuma tanya Aqil pasal ni saja. Cincin ni. Budak tu dapat dari mana, hah?” Faira menunjukkan cincin pasangan itu kepada Qaiz. Aqil yang mula gelisah itu laju menyembunyikan diri di belakang dua pengawal peribadinya.

Qaiz mengambil cincin pasangan itu dari tangan Faira dan menelitinya. Bukankah ini...

Qaiz berpaling ke belakang mencari kelibat Aqil. Budak itu tidak ada di tempatnya tadi. Dia menoleh ke arah Eddy dan juga Ariz. Dia tahu Aqil bersembunyi di belakang mereka berdua itu.

“Keluar sebelum papa marah Aqil.” Qaiz memberi amaran.

“Tak nak! Papa mesti marah Aqil.”

“Aqil Syauqi.”

Eddy dan juga Ariz mahu beralih ke tepi tetapi Aqil menghalangnya. Dengan sekuat hati dia menggenggam hujung pakaian dua pengawal peribadinya itu untuk menutupi wajahnya dari dilihat oleh papanya.

“Aqil Syauqi Naqiuddin!”

Eddy dan Ariz yang terkejut dengan suara tinggi majikan mereka itu laju beralih ke tepi. Aqil tunduk ketakutan. Qaiz menghampirinya.

“Aqil cakap dengan papa. Apa sebenarnya yang Aqil buat ni? Papa tahu cincin pasangan ni papa yang punya. Macam mana Aqil boleh ambil cincin ni, hmm?” Qaiz cuba berlembut dengan anak arwah kakaknya itu.

Aqil takut. Air mukanya menunjukkan dia mahu menangis. Tetapi dia cuba menahannya.

“Sudahlah. Daripada saya layan drama anak dengan bapa di sini lebih baik saya balik.” Faira meninggalkan mereka.

Qaiz merenung tajam Aqil, memberi amaran kepada budak itu. Dia kemudiannya berlari mengejar Faira yang sudah jauh meninggalkan dia di belakang.

“Faira tunggu!”

Faira menjulingkan matanya ke atas. Geram. Dia berpaling dengan muka yang marah. “Apa lagi?!”

“Awak marahkan budak tu?”

“Mana ada saya marah. Saya cuma tanya saja. Takkah pelik seorang budak tiba-tiba bagi benda mahal macam tu? Saya tahu cincin itu bukannya palsu. Itu cincin emas putih. Salah satu cincin tu bertatahkan berlian. Mustahillah kalau si Aqil itu beli di sini. Lagipun, mana ada kedai barang kemas dalam kapal ni.”

“Ya. Itu bukan cincin palsu. Cincin tu sebenarnya milik saya. Saya pun tak tahu macam mana Aqil dapat cincin ni dan kenapa budak tu buat begini.”

Faira berasa geram. Dia meniup kerudungnya.

“Ah, sudahlah! Alasan saja semua tu. Entah-entah dalang di sebalik semua ni awak, kan. Awak memang tak suka kalau saya dekat dengan lelaki lain, kan.”

Qaiz bercekak pinggang. Senyumannya senget sebelah. Sinis.

“Apa maksud awak, hmm?” Qaiz berubah rentak.

Faira cuak apabila Qaiz mula mendekatinya.

“Awak ada keluar dengan siapa-siapakah tadi?” Dia berpeluk tubuh menyoal perempuan di depannya itu.

“Mana ada!” Laju Faira menjawab.

“Oh... Yakah?” Qaiz angkat kening sebelah.

“Saya rasa saya boleh agak apa yang terjadi tadi. Pasti ada sesuatu yang buatkan Aqil tak suka dan buat begitu pada awak, kan?”

“Mana saya tahu.” Makin gelisah pula Faira dibuatnya.

“Faira. Sini pula kamu. Puas abang cari kamu tau.” Farish muncul.

Faira melepas lega. Abangnya muncul tepat pada waktunya.

“Terima kasih abang. Faira pergi dulu. Nanti saja kita jumpa.” Laju seperti lipas kudung dia melarikan diri. Farish terpinga-pinga.

“Eh, Faira! Abang ada benda nak cakap ni.” Sia-sia sahaja dia bersuara kerana Faira sudah jauh meninggalkan dia dengan Qaiz. Farish menoleh ke sebelah. Wajahnya berubah.

“Apa yang kau dah buat pada adik aku, hah?” Soalnya tidak puas hati.

“Apa aku buat pada adik kau bukannya urusan kau. Ini urusan kami berdua.”

“Ya memang urusan kamu berdua. Tapi, sebagai abang aku berhak tahu.” Suaranya agak kasar.

“Kau dah lupa. Aku kan dah bagi amaran sebelum ni. Apa-apa yang berlaku di antara aku dengan dia, orang lain tak boleh masuk campur termasuk kau dan ahli keluarga kau sekali.” Qaiz mengingatkannya semula.

“Ya. Aku ingat amaran kau tu. Tapi, kalau sampai diri dia luka aku tidak teragak-agak hendak berlaku kasar dengan kau.” Farish menunding jari ke arahnya.

Qaiz hanya membalas dengan senyuman sinis.

Farish terus berlalu pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience