BAB 6

Romance Completed 137457

ENJIN kereta dimatikan. Mereka betul-betul berada di hadapan rumah itu. Rumah di depan mereka ini tidaklah terlalu besar. Luarannya nampak sederhana. Halaman rumah yang cantik dan bersih. Terdapat pelbagai jenis bunga di halaman tersebut. Pasti pemiliknya suka dengan bunga-bungaan.

Dia tersenyum lebar hingga ke telinga. Tidak sabar dia hendak ke rumah itu. Hari ini dapat juga dia melepaskan rindunya pada orang itu.

“Grandma, cepatlah!” Gesa Aqil. Budak itu meluru keluar daripada kereta.

"Ya. Ya. Sabarlah." Madam Alina sukar untuk bergerak kerana terlalu banyak hadiah di dalam kereta tersebut. Bonet kereta juga penuh dengan hadiah yang mereka beli tiga hari lepas. Nasib baiklah ada pemandunya. Kalau tidak, terpaksalah dia angkat semua hadiah-hadiah ini.

"Grandma, lekaslah. Aqil dah tak sabar ni."

“Sekejaplah. Grandma mahu meletup dengan hadiah-hadiah yang Aqil bawa ni tau.” Madam Alina menggeram.

"Pian, ambil hadiah ni letak atas kereta dulu." Arahnya. Pian, si pemandu itu menurut kata. Sejurus kemudian dia keluar daripada perut kereta dengan berhati-hati kerana masih ada banyak lagi hadiah di dalam kereta tersebut.

Dia mengimbas memori kelmarin. Bukan main ragam lagi cucu kesayangannya itu memilih hadiah. Dari kedai ke kedai mereka masuk membeli hadiah. Sampai naik pening Madam Alina dibuatnya. Nasib baiklah wang yang di bawa olehnya itu mencukupi.

Aqil laju melangkah ke arah pintu rumah yang terbuka. Dia memberi salam dengan suara yang kuat. Terkejut puan Daliya dengan kehadiran yang tidak di sangka itu.

“A... Aqil? Kenapa Aqil datang ke sini?” Tanya puan Daliya.

“Dia rindu dengan mama dia. Sebab tu dia datang ke sini.”

Puan Daliya tergamam. Rupanya Aqil datang berteman.

“Saya nenek Aqil. Alina.”

“Oh, saya Daliya. Umi Faira.”

Walaupun terasa janggal tetapi mereka tetap berbalas senyuman.

“Jemputlah masuk ke rumah yang tak seberapa besar ni. Ini rumah kampung-kampung saja.” Tersengih-sengih puan Daliya mempelawa mereka masuk ke dalam.

“Walaupun rumah kampung tapi puan Daliya pandai menghiasnya. Saya tengok dalaman dan luaran rumah ni dah tak macam rumah kampung. Lebih kepada rumah moden.” Pujinya.

“Ala, puan Alina ni. Tak payahlah puji-puji sangat. Jemputlah duduk. Saya buatkan air sekejap.” Puan Daliya mempelawa mereka duduk terlebih dahulu sementara dia membuatkan mereka minuman.

“Nenek, mama Faira mana?” Tanya Aqil sebaik sahaja puan Daliya muncul di ruang tamu itu.

“Dia keluar.” Jawabnya. Dulang berisi minuman panas dan juga makanan ringan diletakkan di atas meja. Sejujurnya, puan Daliya masih tidak suka mendengar anaknya dipanggil dengan panggilan ‘mama’.

“Maafkan saya, Madam Alina. Hadiah-hadiah ini semua nak letak dekat mana?”

Terkejut puan Daliya melihat hadiah-hadiah tersebut. “Kenapa puan Alina bawa banyak hadiah ni?”

“Ini semua si kecil yang beli. Dia nak bagi dekat mama Faira dia. Saya pun ikut sekali beli hadiah untuk puan Daliya.”

“Eh, tak payahlah semua ni. Susah-susah saja tau.” Segan puan Daliya mahu terima pemberian tersebut.

“Tak susah pun. Untuk Aqil, apa saja saya sanggup buat.”

“Err... Sayang betul puan Alina dengan cucu puan Alina ni.”

“Mestilah. Dia satu-satunya cucu yang saya ada.”

“Grandma. Nenek.” Aqil memanggil mereka berdua. Ada sesuatu yang dia tidak puas hati terhadap dua wanita itu.

“Ya,”

“Kenapa Aqil?”

Kedua-dua wanita itu memandang Aqil.

“Grandma dengan nenek tak payahlah berpuan-puan dekat sini. Panggil nama pun cukuplah.” Dia mendengus. Terlalu sopan, katanya dalam hati.

Ketawa dua wanita itu.

“Err... Madam Alina. Hadiah-hadiah ni...”

Mereka tersentak.

“Terlupa pula saya. Kamu boleh letak dekat sana tu. Nanti pandailah saya susun hadiah-hadiah tu di bilik Faira.” Kata puan Daliya.

Pemandu Madam Alina itu mengangguk kepala dan menurut arahan.

“Hmm... Alina nak terus tunggukah atau macam mana? Saya tak tahu lagi bila budak tu balik.”

“Tunggulah. Aqil ni rindu betul dengan mama Faira tu.”

“Ya. Aqil nak jumpa mama Faira. Aqil nak lepas rindu dengan mama.” Balasnya bersahaja. Ada grandma dia. Sudah tentulah dia tidak takut.

“Err... Aqil. Janganlah panggil anak nenek tu mama.”

“Tak bolehkah? Aqil suka dengan mama Faira. Mama Faira tu sesuai dengan papa Aqil.”

Puan Daliya terkedu mendengar bicara budak kecil itu. Dia memandang Madam Alina. Wanita itu menyimpul senyuman. Tenang.

“Maaflah, Alina. Bukan saya tak suka...” Puan Daliya tidak tahu hendak terangkan bagaimana tentang hal ini. Selagi anak dia tidak ingat memori lepas selagi itulah dia tidak mahu anaknya ini terikat dengan mana-mana lelaki. Dia sayangkan Faira. Dia tidak mahu anak bongsunya itu menderita satu hari nanti.

“Tengok tu. Dari hari tu lagi nenek nak membantah. Apa pun terjadi Aqil nak juga mama Faira tu. Aqil tak nak mama lain.” Dia mendengus sambil berpeluk tubuh. Wajahnya ketat.

“Daliya, Aqil ni bukan senang hendak terima perempuan lain dalam hidup dia. Selama ini, baru hari ini saya tengok dia gembira. Di rumah dia asyik bercerita saja pasal Faira. Jadi, alang-alang dah dekat sini saya pun nak juga jumpa dia. Nak tengok orangnya macam mana.”

Puan Daliya tidak terkata. Dia meneliti Madam Alina dari atas ke bawah. Memang berbeza daripada penampilannya.

“Saya tak kisah kalau Alina nak kenal-kenal dengan anak saya. Tapi, kalau nak jadikan mama Aqil ni saya tak berkenan sangat. Lagipun, Alina tahukan kita dari dunia yang berbeza. Tengok saja penampilan Alina dengan Aqil. Mesti orang-orang kaya, bukan? Tak setaraf dengan saya.”

Madam Alina tepuk dahi. “Ke situ pula kamu. Saya tak kisahlah pasal darjat ni. Apa yang penting kebahagian cucu saya ni. Daliya, kamu buang jauh sajalah fikiran negatif tu. Jangan risau, kami ni keturunan yang baik-baik. Tak memilih siapa pun calon untuk mama Aqil ni.”

“Itu Aqil. Anak Alina bagaimana pula? Janganlah paksa kalau mereka tak suka.”

Madam Alina mengeluh. Dia ingatkan senang sahaja mahu berurusan dengan puan Daliya ini. Rupanya, tidak.

“Soal jodoh itu tuhan dah tentukan. Kita hanya merancang saja. Kalau kita mencuba apa salahnya, kan?”

“Betul! Kalau papa Aqil tak suka. Aqil tetap nak mama Faira. Mereka tak kahwin pun tak apa. Nanti, Aqil pujuklah mama Faira supaya jadi mama angkat Aqil.”

Terharu puan Daliya mendengarnya. Dia mengusap pipi gebu itu. Mereka terus berbual lagi.

“Terima kasih, Aqil. Sayang betul Aqil dengan anak nenek tu. Padahal kamu berdua baru saja berjumpa beberapa hari lepas.”

“Aqil memang sayangkan mama Faira. Jadi, nenek tak boleh benci Aqil. Kalau nenek benci Aqil, Aqil bawa mama Faira lari dari rumah ni.”

Mengugut pula budak kecil ini. Walaupun dia suka tapi dia tetap geram dengan perangai Aqil. Dia rasakan yang budak itu tidak ada kesopanan langsung dengan orang tua.

“Err... Daliya...”

Alang-alang sudah berada di sini, Madam Alina mahu juga mengorek semua cerita tentang Faira Alisha itu. Maklumat-maklumat yang dia ada nanti bolehlah dia guna pakai untuk pujuk anak terunanya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience