BAB 16

Romance Completed 137457

PETANG itu Faira membawa Aqil berjalan ke taman rekreasi berdekatan dengan kawasan tasik. Tadi, puas dia membawa budak itu berjalan-jalan di sekitar kawasan Nerium. Banyak juga barang-barang yang dia belikan untuk Aqil. Semua barang-barang itu sudah disimpan di dalam kereta. Bukan keretanya tapi kereta keluarga Aqil. Pemandunya yang menghantar mereka ke mana sahaja mereka pergi.

“Mama...”

“Ya.”

Mereka berpimpin tangan berjalan di taman itu.

“Mama suka dengan uncle Zahwankah atau papa Aqil?”

“Huh? Kenapa Aqil tiba-tiba saja tanya soalan macam tu?” Terkejut juga Faira apabila Aqil mengajukan soalan sebegitu kepadanya. Langsung tidak terlintas pun di fikirannya untuk memikirkan perkara itu.

“Tak ada. Aqil saja nak tanya.” Aqil melepaskan tangan dari genggaman Faira. Dia berjalan mendahului perempuan itu. Jauh di sudut hatinya masih memikirkan bicara Farish tadi tentang projek minggu depan.

“Aqil jangan laju sangat berjalan tu. Nanti jatuh. Sini.” Faira melajukan langkah. Soalan tadi diabaikan sahaja olehnya. Malas dia hendak mengusutkan kepalanya dengan hal yang dia tidak suka.

"Mama!” Aqil mematikan langkah. Dia berpaling ke belakang.

“Mama. Aqil nak main basikal, boleh?” Aqil rasa cemburu melihat kanak-kanak bermain basikal dengan orang tua mereka. Lagi-lagi apabila dia melihat ibu salah satu budak di taman itu sedang mengajar anaknya berbasikal. Dia pun hendak merasai suasana seperti itu juga.

“Aqil pandai main basikalkah?” Soal Faira.

“Tak. Tapi, mama ada. Mama boleh ajar Aqil, kan?” Aqil memandangnya dengan penuh harapan.

Faira tersenyum. “Baiklah.”

Lantas dia membawa Aqil ke tempat sewa basikal. Sepanjang jalan ke tempat sewa basikal, Faira melihat beberapa pasangan sedang bergembira menikmati suasana petang di taman ini. Bukan main mesra lagi mereka.

Faira mengeluh. Dia juga mahu seperti mereka. Berjalan bersama menikmati pemandangan petang. Bergurau senda dan membuat aktiviti-aktiviti petang di taman rekreasi ini. Tapi, malangnya sampai sekarang dia masih belum berpunya. Ada sahaja lelaki yang mahukan dia tetapi uminya pula tidak mahu. Tidak suka, katanya.

Ini semua gara-gara ingatan aku inilah. Agaknya, bilalah ingatan ni nak pulih? Betulkah aku ada kekasih di masa lalu seperti yang umi selalu katakan?

“Mama Faira. Apa yang mama sedang fikir tu?”

Faira tersedar dari lamunan. Rupanya mereka sudah sampai di tempat sewa basikal.

“Mama tak fikir apa pun.” Faira menoleh dan melihat ada pelbagai jenis basikal yang disediakan di situ.

“Hah, Aqil pilihlah basikal yang Aqil nak pakai.” Faira menyuruhnya memilih basikal-basikal tersebut.

“Mama tak nak basikal?” Aqil memandangnya.

“Lain kali saja. Sekarang mama nak Aqil yang pilih basikal. Kalau mama ambil basikal juga macam mana mama nak ajar Aqil nanti.”

“Betul juga kata mama tu. Okey. Aqil cari basikal dululah. Mama tunggu dekat sini.” Laju dia melangkah mencari basikalnya. Faira tersenyum angguk.

SELESAI urusan sewa, mereka terus keluar dan mencari tempat yang sesuai untuk berlatih bermain basikal. Aqil laju ke depan dengan basikal sewanya. Faira hanya memerhatikan budak itu dari belakang. Dia masih mencari tempat yang sesuai untuk melatih Aqil.

“Aqil, sini.” Panggil Faira. Nampaknya, dia sudah menjumpai tempat yang sesuai untuk mereka. Kawasan yang agak lapang dan ada beberapa pokok pine di situ.

“Kenapa mama?” Termengah-mengah si Aqil dengan basikalnya.

“Kita berlatih dekat sana tu. Okey?”

Aqil memerhatikan kawasan yang ditunjukkan oleh Faira itu. Dia tersenyum lebar.

“Okey. Mari mama.” Laju dia membawa basikalnya ke sana. Faira pula sudah ditinggalkan di belakang.

Seronok Faira mengajar Aqil mengayuh basikal. Sekejap-kejap Aqil jatuh dari basikalnya tapi itu langsung tidak mematahkan semangat budak itu untuk belajar berbasikal. Dicubanya berulang kali sehinggalah dia mahir membawa basikal tersebut.

Setelah penat bermain Faira menyuruh Aqil berehat. Nasib baik dia sudah membeli air minuman tadi sebelum ke taman rekreasi ini. Faira membantu membuka penutup botol dan kemudian memberikan minuman botol itu kepada si kecil. Sesudah itu, Faira mengeluarkan tisunya dan mengelap peluh di wajah dan leher Aqil.

“Mama. Nanti kita datang sini lagi, ya. Aqil seronoklah. Tadi, Aqil sikit lagi nak lancar bawa basikal tu tau.”

Faira mencubit pipi gebu itu. Geram dia tahu. “Okey. Nanti kita datang sini lagi, ya.”

Faira mengemas tempat mereka sebelum bergerak pergi. Dalam perjalanan ke tempat sewa basikal mereka nampak satu kejadian yang tidak di sangka berlaku di depan mata mereka. Seorang remaja lelaki mengayuh basikal dengan kelajuan maksima dan melanggar pokok besar. Habis kepalanya berdarah.

Ketika itu dia cuba mengelak daripada melanggar seekor burung merpati yang tiba-tiba sahaja mendarat di depannya. Akibatnya, tali rantai basikalnya terkeluar dari landasan dan dia juga tidak sempat untuk membrek. Gara-gara itu dia terlanggar pokok besar.

Faira menyentuh kepala. Terlintas bayangan yang dia sendiri tidak pasti. Dalam bayangan itu dia melihat kejadian yang serupa yang berlaku di depan matanya. Cuma, kejadian dalam bayangan itu lagi dahsyat. Kereta berlanggar dengan lori dan ada seorang perempuan cuba menyelamatkan keluarga dalam kereta tersebut. Tapi, mangsa itu menyuruh dia menyelamatkan anaknya terlebih dulu dan apabila dia membawa anak itu keluar daripada kawasan kemalangan tiba-tiba kereta meletup dan mereka berdua tercampak ke semak.

“Aqil...” Faira menarik Aqil dekat dengannya.

“Mama kenapa ni?” Aqil mula risau. Dia memandang sekeliling. Cuba mencari seseorang yang boleh membantu mereka.

“Aqil jangan jauh dari mama, ya. Mama nak duduk sekejap. Kepala mama pening sangat ni.” Faira menarik Aqil duduk di kerusi panjang yang tersedia di situ.

“Mama. Mama janganlah begini. Aqil risau tau.” Dia panik.

Saat itu mereka didatangi oleh seseorang. Kakinya laju melangkah ke arah mereka berdua. Wajahnya serius dan sepertinya dia hendak melepaskan marahnya pada seseorang. Dia mematikan langkah. Matanya merenung pada wajah yang sedang menunduk itu.

“Aqil!”

Aqil telan liur sebaik sahaja dia mendongak melihat wajah garang papanya itu.

Qaiz cuba menahan sabar. Sewaktu dia sibuk di pejabat tadi, orang suruhannya menelefon memberitahu bahawa papanya telah membawa Aqil keluar berjumpa dengan Faira. Apa lagi, dia bergegas ke sini. Sempat dia bertembung dengan papanya di pejabat tapi dia tidak menegurnya. Sebaliknya terus keluar daripada bangunan tersebut.

Qaiz menghela nafas kasar. Dia sudah menjangkakan hal ini akan berlaku. Tidak ada gunanya dia mengupah ramai pengawal. Aqil tetap berjaya keluar dari rumah tersebut. Ini pun disebabkan papanya termakan pujuk budak kecil itu.

“Aqil, dah berapa kali papa kata...”

“Awak jangan marah dia boleh tak!” Laju Faira memangkas katanya. Dalam keadaan begitu Faira masih lagi boleh memarahi lelaki di depannya ini.

Aqil menggenggam hujung pakaian Faira. Takut.

“Suka hati sayalah nak marah. Awak jangan campur urusan saya dengan anak saya, ya.” Qaiz berpaling semula ke arah Aqil.

“Papa janganlah marah dengan mama. Mama tengah sakit tu.” Tuturnya perlahan. Dia masih menundukkan wajah. Tidak mahu melihat wajah garang itu.

“Sakit?!” Air mukanya berubah secara drastik. Dia mendekati Faira.

“Awak sakitkah? Bahagian mana yang sakit? Awak ada bawa ubat awakkah?” Laju dia melontar soalan. Namun satu soalan pun tidak di jawab oleh Faira.

Berkerut-kerut dahi Qaiz melihat Faira dalam keadaan yang tidak senang itu.

“Aqil, mama Aqil sakit apa ni?” Rasa marahnya dibuang jauh. Kesihatan Faira lagi penting, katanya dalam hati.

Aqil yang menahan tangisan dari tadi terus menghamburkan air matanya di depan Qaiz.

“Mama tiba-tiba pening kepala. Sakit mama datang lagi. Aqil tak nak mama pergi dulu. Aqil sayang mama.” Dia menangis dalam pelukan Qaiz.

“Shhh! Aqil jangan cakap macam tu. Mama sakit sikit saja. Kita hantar mama pergi hospital, ya.”

Laju Aqil mengangguk.

“Faira, mari saya hantarkan awak ke hospital.” Dia cuba memapah Faira tetapi perempuan itu menolak.

“Bagi saya rehat sekejap.” Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit yang datang dengan tiba-tiba itu.

“Kalau macam tu...” Dia berfikir. Aqil dilihatnya sudah berhenti menangis.

“Aqil jaga mama dekat sini dulu. Papa nak pergi beli ubat.”

“Baik.” Jawab Aqil perlahan.

SENJA mula melabuhkan tirainya. Qaiz masih lagi tidak kelihatan. Faira yang terlena di kerusi tersedar dari tidrunya. Aqil masih setia duduk di sisinya. Wajah budak itu cukup menjelaskan bahawa dia masih merisaukan keadaannya.

“Mama, okey sudahkah?” Laju Aqil bertanya sebaik sahaja Faira bangun.

“Okey sikit. Mana papa?”

“Tak tahu. Lama Aqil tunggu papa. Sampai sekarang tak datang-datang lagi.”

Faira membetulkan posisi duduk. Tudung juga dibetulkan. Lama juga lelaki tu pergi beli ubat untuk aku. Dia betul-betul beli ubatkah atau saja tinggalkan kami di sini?

Dia memandang sekelilingnya. Pengunjung sudah berkurang di taman ini. Baru sahaja dia mahu menoleh ke arah Aqil, dia ternampak kelibat Qaiz dari jauh.

“Itu papa dah sampai.”

Aqil menoleh ke arah papanya yang sedang menghampiri mereka.

“Maafkan papa. Papa lambat sebab nak cari ubat yang terbaik untuk mama Aqil ni.”

Faira tercengang. Sampai begitu sekali dia cari ubat untuk aku.

“Ubat apa yang awak bawa untuk saya? Saya nak tengok.”

Laju dia memberi ubat tersebut kepada Faira. Lama Faira memandang ubat itu. Kemudian dia meledakkan tawanya. Qaiz terpinga-pinga.

“Kenapa awak ketawa?”

“Encik Qaiz. Awak ni pernah atau tidak beli ubat? Ubat inikah yang awak kata ubat terbaik?” Faira menyambung tawanya. Geli hatinya melihat ubat paracetamol itu.

“Ketawalah. Penat-penat saja saya cari ubat ni tau. Jalan kaki lagi tu.” Ada nada merajuk di situ.

Mati terus ketawanya. Hatinya dilanda rasa bersalah.

“Awak tak bawa kereta?”

“Buat apa nak bawa kereta. Lebih baik jalan kaki. Lagipun taman ni dekat dengan kedai-kedai ubat di sana tu, kan.”

Faira terdiam. Dia tidak menyangka pewaris jutawan ini akan bertindak seperti itu. Berjalan kaki tanpa kereta. Bukankah itu menyusahkan orang-orang kaya seperti dia ini? Kenapa dia tidak menyuruh sahaja pemandu atau pembantunya carikan ubat untuk aku.

Baru sahaja dia bertenang, sakit kepalanya datang lagi.

“Mama!”

“Faira!”

Serentak tangan mereka berdua menyentuh bahu Faira.

“Saya okey. Cuma pening saya datang balik.”

“Kita pergi hospital nak?” Qaiz memujuk untuk sekian kalinya.

Faira geleng kepala. “Awak hantar saya pulang sajalah.”

Aqil memandang papanya. “Papa, jom hantar mama pulang.”

Qaiz menghela nafas. “Baiklah.”

Qaiz membantu Faira. Dia memapah perempuan itu ke keretanya. Pemandu yang membawa Faira dengan Aqil tadi itu disuruhnya pulang dulu.

Sampai di tempat parkir kereta, Qaiz laju membuka pintu depan sebelah pemandu. Faira pula tidak membantah. Dia duduk dan menutup matanya semula sambil mengurut dahi. Aqil pula sudah duduk di tempat duduk belakang.

Sebaik sahaja Qaiz masuk ke dalam perut kereta dia terus memanaskan enjin keretanya. Dia mengerling ke sebelah. Faira masih tidak memakai seat belt. Lantas dia menolong perempuan itu.

Perlakuannya dilihat oleh si kecil. Aqil tersenyum-senyum melihat papanya menarik seat belt dari tempat duduk mama kesayangannya itu. Mereka terlalu dekat.

Faira langsung tidak sedar dengan keadaan itu. Mungkin juga dia sudah lena.

“Kenapa Aqil senyum-senyum sendiri ni, huh?” Tanya Qaiz yang perasan dengan kelakuan anak kecil itu. Dia menekan minyak memandu keluar daripada kawasan tersebut dan memasuki lebuh raya.

“Aqil sukalah tengok papa dengan mama. Comel.”

Qaiz berdeham. Malu. Nasib baiklah Faira tidak sedarkan diri. Sepatutnya dia datang dengan egonya tadi. Namun, sejurus melihat keadaan Faira yang tidak begitu sihat dia tidak jadi untuk teruskan egonya itu.

“Aqil, ceritalah dekat papa. Apa yang Aqil buat dengan mama tadi.” Sambil memandu dia mahu juga dengar aktiviti-aktiviti yang Aqil dengan Faira lakukan tadi.

“Mama bawa Aqil pergi shopping. Lagi...” Aqil dengan terujanya menceritakan aktiviti-aktiviti dia bersama Faira tadi. Tidak lupa juga cerita Farish kepadanya. Dia memberitahu papanya tentang projek kecil yang Farish dengan Zahwan rancangkan itu.

Qaiz mengerling ke arah Faira yang sedang tidur. Dia mengukir senyuman misteri. Aqil pula langsung tidak menyedari senyuman papanya itu kerana fokus bercerita tentang halnya dengan Faira.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience