BAB 10

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA dan Alya Ufaira bergegas ke perpustakaan sebaik sahaja nama mereka berdua diumum oleh pengetua sekolah melalui pembesar suara sekolah itu. Termengah-mengah mereka berdua mendaki anak tangga naik ke tingkat tiga.

“Alya, kenapa tiba-tiba pengetua sekolah ni cari kita berdua, huh?” Dia tercungap-cungap. Keringat di wajahnya diseka dengan sebelah tangan.

“Manalah aku tahu. Bukan main garang lagi pengetua tu umum nama kita tadi.” Alya membetulkan pernafasannya. Mereka berdua sudah hampir dengan pintu masuk ke perpustakaan sekolah.

“Aku takutlah, Faira.” Tiba-tiba dia mematikan langkah.

“Takut kenapa pula?”

“Kalau pengetua tu nak pecat kita macam mana? Aku sayang dengan sekolah ni.” Alya terlalu gemuruh untuk masuk ke dalam perpustakaan itu.

“Buat apa dia nak pecat kita berdua? Cuba kau fikir. Selama kita mengajar dekat sini, kau ada buat benda-benda tak baikkah? Kau ada buli cikgu-cikgu dekat sini? Atau buli murid-murid sinikah? Ada?”

Alya berfikir sejenak.

“Tak ada, kan. Jadi, buat apa nak takut.” Faira mengukir senyuman kecil.

Alya menghela nafas.

“Marilah masuk. Fikir positif saja.” Ujar Faira sambil menarik tangan Alya masuk ke dalam perpustakaan.

Perpustakaan Sekolah Rendah Polaris ini sangat luas dan di dalamnya ada empat bilik utama iaitu pejabat kecil, bilik mini mesyuarat, bilik bahasa isyarat dan juga bilik rehat. Penjaga perpustakaan itu memberitahu mereka berdua bahawa pengetua sekolah itu sedang menunggu mereka di bilik mini mesyuarat. Segera Faira dan Alya ke sana.

Sebaik sahaja Faira menguak pintu dia dengan Alya tergamam. Pengetua sekolah bukan keseorangan di situ. Dia ada membawa tetamu juga. Tetamu yang cukup menyakitkan hati dua anak dara itu.

Alya merenung tajam Shazwan yang duduk tidak jauh darinya. Sementara Faira pula berlagak tenang di depan lelaki itu. Siapa lagi kalau bukan Qaiz Talha.

“Pengetua Shaun, kenapa pengetua panggil kami ke sini?” Tanya Faira. Matanya sekejap melirik jejaka yang duduk bertentangan dengannya itu.

“Begini, saya perkenalkan dulu mereka berdua ini. Ini encik Shazwan pemilik kafe Shaz Alhena dan dia juga merupakan anak kepada Tuan Izdiyad iaitu pengarah syarikat Starspiel. Syarikat yang mengeluarkan permainan berbentuk pendidikan dan juga beberapa jenis permainan RPG (Role-playing game) serta permainan kasual yang lain dalam bentuk telefon dan juga komputer.”

Alya mengerutkan dahi. Rasanya, aku pernah dengar nama syarikat ni. Adik aku Nahwan selalu sahaja menyebut nama tersebut.

“Salah satu permainan yang agak terkenal sekarang ini adalah permainan RPG Battle Shoot.”

“Apa?!” Matanya terbeliak.

“Permainan Battle Shoot tu dia yang punyakah?”

Terkejut semua orang apabila Alya tiba-tiba meninggikan suara.

“Ya. Itu salah satu permainan yang syarikat papa saya cipta. Idea permainan itu semua datang dari saya.” Dengan bangga Shazwan memberitahunya.

Alya bergerak ke tempat lelaki itu. Nafasnya sudah tidak teratur. Pasti dia tengah marahkan lelaki di depannya sekarang ini.

“Encik Shazwan! Encik tahukah apa yang encik dah buat?” Wajah Alya membahang menahan amarah.

“Cikgu Alya. Cikgu dah kenapa? Tiba-tiba saja nak marah encik Shazwan ni.” Pengetua Shaun tersentak dengan tingkah Alya yang tiba-tiba naik angin dengan anak kepada pengarah syarikat Starspiel itu.

“Pengetua Shaun. Disebabkan permainan RPG dia itulah adik saya sudah banyak berubah tau.” Alya mendengus seiring dengan jelingan tajamnya pada lelaki di depannya ini.

Sudah lama dia menyimpan perasan amarahnya pada permainan RPG Battle Shoot itu. Permainan yang mengawal salah satu daripada watak sebuah parti pengembara yang bertujuan untuk memenuhi misi. Permainan ini sangat popular di kalangan remaja mahupun budak-budak zaman sekarang. Mana-mana sahaja dia pergi pasti dia akan nampak mereka main permainan tersebut. Bukan itu sahaja malah anak-anak jiran tetangganya juga sama.

“Err... Alya. Tenanglah. Kita sekarang bukan di luar kawasan sekolah.” Faira cuba memujuk.

“Peduli apa aku.” Alya menoleh ke arah lelaki itu semula. Pengetua Shaun yang ada di depan mereka itu langsung tidak dipedulikan olehnya.

“Kau tau tak?! Sejak adik aku main Battle Shoot tu, perangai dia dah berubah tau. Seharian melekat dengan permainan tu. Pelajaran di sekolah menegah dia pun terabai. Ini semua gara-gara permainan yang syarikat papa kau keluarkan itulah.” Alya sudah tidak terkawal. Habis Shazwan dimarahi olehnya. Faira berdiri dan menuju ke arah temannya itu.

Sikap adik bongsunya yang berumur 16 tahun itu bukan lagi seperti sebelum ini yang fokus pada pelajaran dan bersopan-santun di depan ahli keluarganya. Sejak dia kenal dengan permainan terkenal itu adiknya semakin lupa tanggungjawabnya pada keluarga. Selalu sahaja marah apabila ditegur. Bila Alya merampas telefon pintar dari tangan adiknya pasti adiknya akan buat hal. Sekarang pula adiknya pandai keluar malam dan bermain permainan itu dengan teman-temannya yang lain.

“Alya, sudahlah. Jangan marahkan dia lagi. Bukan salah mereka pun sampai buat adik kau macam tu.” Faira menarik Alya ke tepi.

“Cik Alya. Dengar sini.” Shazwan berdiri. Dia perlu bela dirinya juga.

Qaiz dan pengetua Shaun hanya mendiamkan diri di tempat mereka dan menjadi pemerhati mereka bertiga. Dalam diam Qaiz tersenyum-senyum melihat wajah comel Faira itu. Bersungguh-sungguh dia menenangkan teman baiknya.

“Syarikat papa saya keluarkan permainan sebegitu hanya untuk hiburan saja. Sekadar untuk mengisi masa lapang. Permainan sebegini juga dapat melepaskan tekanan.”

Sinis senyuman perempuan itu apabila mendengar penjelasan Shazwan terhadap permainan RPG.

“Yalah tu. Isi masa lapang apa kalau dah adik saya macam tu.” Alya begitu geram. Dia cuba melepaskan diri dari genggaman Faira tetapi gagal.

“Faira, lepaskan tangan aku. Aku tak puas lagi nak marah dia ni.” Alya mengetap gigi.

“Cik Alya. Awak jangan suka hati saja nak tuduh saya macam tu, ya. Apa yang berlaku pada adik awak itu bukannya salah kami. Itu salah adik awak sendiri. Dia yang tak tahu nak fikir akan keburukkannya. Dia tak pandai nak kawal diri. Semua orang tahu permainan alam maya ni boleh buat orang ketagih kalau tak pandai nak kawal diri. Cik Alya juga salah sebab tak marah, tak tegur adik cik Alya tu.” Shazwan menjelingnya.

“Apa gunanya cik Alya jadi cikgu kalau dengan adik sendiri pun tak pandai nak tegur kesalahan dia.” Sindirnya lagi.

Alya menyelak kasar helaian rambut yang menutup sebahagian wajahnya.

“Tak tegur kau kata? Aku dah banyak kali tegur dia tapi dia sendiri tak nak dengar.”

“Jadi, cik Alya nak saya yang tegur adik cik Alya tu?”

“Kau!”

Mereka berperang mata. Masing-masing cuba mengawal diri. Alya sikit lagi hendak menampar wajah tampan itu. Nasib baiklah Faira menahannya.

“Alya. Encik Shazwan. Sudahlah. Tak payahlah gaduh lagi. Tak malukah gaduh depan pengetua sekolah, huh?” Faira meleraikan persengketaan mereka berdua.

Alya mendengus geram. Dia kembali ke tempat duduknya semula.

“Pengetua Shaun apa hal sebenarnya ni? Kenapa mereka berdua ni ada di sekolah ni?” Soal Faira. Dia masih berdiri di sebelah Shazwan.

“Err... Begini cikgu Faira. Saya panggil cikgu dengan cikgu Alya ke sini pun atas permintaan mereka berdua. Mereka hendak berbincang sesuatu pada cikgu berdua.”

Aku dah agak. Sejak aku melangkah masuk ke sini lagi aku dah boleh baca air muka mereka berdua ini. Faira tarik nafas.

“Untuk apa encik berdua panggil kami ke sini?” Tenang nadanya. Dia perasan Qaiz sedang tersenyum sinis padanya. Ah, jangan aku pula yang naik angin karang!

“Kalau hal penting cakap cepat. Kalau tak, kami pergi dulu. Lagipun, murid-murid tengah tunggu kami di kelas tu.” Alya berpeluk tubuh. Shazwan dipandang tajam sehingga menusuk ke hati.

“Pengetua Shaun, boleh biarkan kami berempat di sini dulu?”

“Eh, boleh sangat. Tak apa. Kamu ambil masa panjang pun tak apa. Saya faham.” Laju pengetua Shaun meninggalkan mereka.

“Pelik. Pengetua Shaun tak pernah lagi berperangai macam ni. Selalu muka ketat saja. Hari ni muka dia longgar sikit.” Faira menghantar pengetua Shaun keluar dengan pandangan sahaja.

“Pantang tengok perempuan cantik atau lelaki kacak, pengetua tu pasti akan berubah riak. Kau pun tahukan pengetua sekolah tu suka dengan orang yang lawa-lawa saja. Kalau orang yang tak ada rupa mana mungkin dia mahu layan begitu.” Alya lebih kenal pengetua Shaun itu berbanding dengan temannya yang tidak suka mengambil tahu hal sekeliling mereka.

“Yakah?” Faira baru perasan. Patutlah. Dengan cikgu Wiyah bukan main lagi pengetua tu layan dia dengan baik. Tapi, bila bersemuka dengan cikgu Kiah yang gemuk hodoh tu tidak pula dia layan begitu. Malah, dimarah-marah lagi. Ada saja yang dia tidak puas hati dengan cikgu Kiah tu.

“Cik Alya. Cik Faira. Kenapa berbual tak ajak kami berdua? Kami pun nak juga berborak dengan cik berdua.” Shazwan kembali tenang. Tadi, dia sengaja hendak bagi perempuan itu marah. Comel.

“Nampak ni.” Alya menunjukkan buku limanya. Telan liur Shazwan melihat wajah garang itu.

“Encik Qaiz. Apa sebenarnya niat encik dengan encik Shazwan ke sini, huh?” Serius Faira menyoalnya.

Qaiz senyum miring. “Niat kami ke sini nak jumpa kamu berdua saja. Kalau cik Faira dengan cik Alya menolak kami pun tak boleh. Lagipun, saya ada hak ke atas sekolah ni.”

Faira dan Alya bingung.

“Apa maksud Encik Qaiz?” Faira mula rasa tidak sedap hati.

“Maksud saya...” Dia berdiri dan menghampiri Faira yang masih berdiri di sebelah Shazwan.

“Kalau cik Faira nak tahu...”

Setapak Faira mengundur ke belakang setapak jugalah Qaiz maju ke hadapan.

“tapak sekolah ini adalah kepunyaan Legasi Sky Magellan. Modal untuk buka sekolah ini saya yang berikan kepada mereka. Pengetua Shaun itu pula adalah pak cik kepada arwah abang ipar saya. Jadi, secara keseluruhannya sekolah ini milik saya.”

“Pak cik kepada arwah abang ipar awak?”

“Ya.”

Faira telan liur. Tidak sangka pula pengetua Shaun itu kenal rapat dengan lelaki ini.

“Awak tahu tak? Sejak hari tu lagi saya geram dengan awak.”

“Huh?” Langkahnya mati. Dia tidak boleh bergerak lagi kerana di belakangnya adalah dinding dan Qaiz pula memampannya di situ.

“Aw... awak geram kenapa?” Dia mengerling kedua tangan yang memampannya itu. Cuak.

“Yalah. Awak ni bukan setakat cantik dan comel saja tapi hati awak baik. Lagi saya suka bila awak ambil berat terhadap anak saya.”

Wajahnya berkerut. “Kejap. Awak dah salah faham ni. Bila masa saya ambil berat terhadap anak awak? Saya dengan budak tu tak sampai seminggu pun kenal.”

“Seminggu?”

Terpegun seketika Faira melihat senyuman manis itu. Lagi-lagi lesung pipi kecil yang ada di bawah bibir sebelah kanannya.

“Awak cuba ingat betul-betul. Awak dengan Aqil sebenarnya dah lama kenal. Bukan seminggu tapi dah bertahun-tahun tahu.” Perlahan suaranya dan langsung tidak didengari oleh dua orang di belakangnya itu.

Makin berkerut-kerut wajah Faira. Tiba-tiba terlintas satu bayangan di mindanya. Dia menyentuh kepalanya yang berlitup.

Qaiz perasan dengan reaksi Faira itu. Tetapi dibiarkan sahaja. “Awak sebenarnya kenal Aqil sejak dia kecil lagi. Takkan semua tu awak tak ingat langsung?”

“Qaiz, awak...” Faira terduduk menahan sakit kepalanya.

Qaiz cuba mengawal rasa takutnya.

“Cik Fai...”

“Encik Qaiz tolong diam!”

Alya yang perasan dengan keadaan temannya itu laju menerpa ke arahnya.

“Faira, kau okey tak?” Alya risau.

“Aku... kepala aku sakit.”

“Sakit sangatkah?” Alya menarik Faira ke kerusi. Faira hanya mengangguk lemah.

“Cik Alya, dia tak apa-apakah? Sebelum ni pernah tak jadi macam ni?” Tanya Shazwan prihatin. Qaiz pula masih tenang memerhatikan perempuan itu.

“Kalau setakat pening biasa, dia kadang-kadang saja kena. Tapi, tengok muka dia macam ni sampai keluar peluh saya tak rasa pening dia ni biasa-biasa saja.”

“Jadi, nak kami hantar dia ke hospital?” Tanya Shazwan lagi.

Alya tidak menjawab. Sebaliknya memandang tajam lelaki di sebelah Shazwan itu.

“Apa awak dah buat dengan kawan saya ni, hah?!” Herdiknya.

“Tenanglah cik Alya. Saya cuma nak tolong dia ingat sesuatu saja.”

Matanya membulat. Baru sahaja dia mahu membidas kata-kata lelaki itu tiba-tiba Faira pengsan. Mereka bertiga panik. Qaiz menarik nafas panjang dan cuba bertenang.

“Saya bawa dia pergi hospital dulu.” Qaiz terus mengangkat Faira keluar daripada bilik tersebut. Dua orang di belakangnya masih terpinga-pinga.

FAIRA ALISHA dibaringkan di belakang tempat duduk kereta miliknya. Setelah itu, dia memanaskan enjin kereta sebelum bertolak ke hospital. Dia menoleh ke belakang. Terbit rasa bersalahnya pada Faira. Tapi, dia perlu berbuat begitu. Dia mahu Faira ingat semula semua memori dua tahun lepas.

“Eh, kau tak bawa aku sekalikah?” Tercungap-cungap Shazwan dibuatnya. Dia baru sahaja mahu buka pintu kereta di depan sebelah tempat pemandu itu tetapi dihalang oleh Qaiz.

“Shaz, kau tak payah ikut aku. Kau pergi pujuk si Alya tu. Kau ikut dia saja. Aku tahu dia juga ke hospital.” Beritahu Qaiz. Dia menaikkan cermin tingkap dan terus memandu keluar daripada kawasan tersebut.

Tercengang Shazwan. “Sanggup kau buat kawan kau macam ni.” Dia meramas kasar kepalanya. Ketika itu muncul Alya.

“Mana mereka?”

“Dah gerak pergi hospital.”

“Tak apa. Awak ikut saya saja.” Alya terus ke tempat dia memarkirkan keretanya. Tadi, sempat dia memberitahu dua orang cikgu perempuan di dalam bilik guru itu dan meminta mereka berdua untuk menggantikan dia dengan Faira.

“Bagi sini.” Shazwan menadah tangannya.

“Bagi apa?” Tidak jadi Alya mahu membuka pintu keretanya.

Shazwan mengukir senyuman. Dengan selambanya dia mengambil kunci kereta Alya itu.

“Awak jangan macam-macam dengan saya, ya. Bagi balik kunci kereta tu!” Alya merampas semula kunci keretanya namun gagal. Sebaliknya, Shazwan menariknya ke pintu sebelah. Dia membuka dan menolak Alya masuk ke dalam perut kereta. Dia menutup kuat pintu kereta itu dan beralih ke tempat pemandu.

“Kenapa dengan awak ni, hah?! Ikut suka hati awak saja buat saya macam ni.” Alya menggeram.

“Untuk pengetahuan cik Alya, saya sebenarnya tak suka jadi penumpang kepada seorang perempuan. Jadi, biar saya saja yang memandu kereta comel cik Alya ni. Cik Alya duduk diam-diam saja di sebelah saya, okey?” Dia mengenyitkan mata.

“Dasar playboy!” Alya mendengus geram.

Shazwan cuma membalas dengan senyuman menggodanya. Dia terus memandu keluar dari kawasan sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience