BAB 36

Romance Completed 137457

“SUDAH dua minggu kamu terperap dalam rumah ni Faira. Tak keluar jalan dengan Alyakah? Jumpa Aqilkah?” Tegur puan Daliya. Dia sibuk membuat kuih jala di dapur. Dia perasan yang anaknya asyik termenung saja di meja makan itu.

“Faira malaslah nak jalan.” Balasnya.

Puan Daliya mengerutkan dahi. Dia tahu sangat sikap anak bongsunya itu. Faira bukannya pandai duduk diam di rumah. Tapi dia perasan yang anaknya ini sudah jarang keluar. Kalau keluar rumah pun hanya ke tempat kerja atau pergi mengajar tuisyen sahaja. Dari air muka Faira itu dia pasti yang anaknya itu mesti ada masalah.

“Kamu ada masalahkah, hmm?” Puan Daliya menghampiri anaknya.

Faira senyum nipis. “Mana ada. Umi, Faira ke depan dululah.” Faira terus berlalu ke ruang tamu.

Puan Daliya hanya menggeleng kepala.

RANCANGAN televisyen itu langsung tidak menarik perhatiannya. Ajakan temannya untuk berjumpa dengan Shazwan dan Qaiz tempoh hari juga ditolak olehnya.

Faira mengeluh di atas sofa panjang itu. Abangnya pula tidak ada kerana sibuk menguruskan kafe D’Raishnya itu. Faira mengambil telefonnya. Baru saja dia mahu membuka kunci telefon itu tiba-tiba ada panggilan masuk.

“Mr. Annoying. Ergh!” Dia menjulingkan mata ke atas. Dari semalam lagi lelaki ini menelefonnya. Tetapi dia tidak menjawab panggilan itu.

Ish, mengacau betul dia ni tau. Tak bolehkah kalau tak ganggu aku sebulan dua ni. Faira menggeram dalam hati. Telefon yang berdering itu langsung tidak diendahkan olehnya.

“Kenapa tak jawab panggilan tu?” Puan Daliya muncul duduk di sofa sebelah tepi. Dia mengelap tangannya yang masih basah. Puan Daliya baru sahaja habis mencuci pinggan mangkuk yang digunakan olehnya tadi.

“Tak penting pun.”

“Yakah? Mana tau panggilan dari nenek Aqil.”

“Kenapa pula nenek budak tu tiba-tiba nak telefon Faira?”

Puan Daliya tersentak. Agaknya, anaknya itu belum tahu lagi tentang hal tersebut. Dia berdeham. “Betul... Faira tak tahu apa-apa ni?”

“Tahu apanya umi?” Dia paling tidak suka bila di tanya dengan soalan begini. Rimas.

“Pasal Aqillah. Nenek Aqil ada telefon umi beberapa hari yang lepas. Dia bagitahu yang Aqil kebelakangan ni asyik sakit saja.”

Terbeliak mata Faira mendengarnya. Tegak terus badannya menghadap uminya itu.

“Betulkah umi?”

“Betullah. Takkan umi nak bohong pula.” Puan Daliya berdiri mahu ke dapur semula.

“Ya, Allah!” Segera Faira masuk ke dalam bilik dan menukar pakaiannya. Dia tidak sangka pula akan jadi begini.

FAIRA ALISHA tiba di perkarangan rumah agam milik keluarga jutawan itu. Sebaik sahaja dia mematikan enjin kereta dia terus keluar dan mengunci keretanya. Dia memehatikan kawasan sekelilingnya. Sekarang dia berada di tempat parkir kereta.

Tiba-tiba dia berasa pening. Bukan sebab hal lain tapi sebab dia sudah lupa jalan ke rumah agam itu. Lagipun ini kali pertama dia ke sini. Masuk sahaja kawasan rumah ini dia diminta memarkirkan kenderaannya di tempat parkir kereta. Seorang pengawal telah membantunya hingga ke sini. Tetapi, pengawal itu sudah tidak kelihatan lagi.

“Macam mana aku nak ke sana?” Faira mula merungut. Dari jauh dia melihat rumah besar itu. Bukan itu sahaja malah kawasan rumah ini juga terlalu luas dan banyak simpang-siurnya ke rumah itu.

“Cik Faira.”

Laju Faira berpaling ke belakang. Tadi dia asyik memerhatikan kawasan rumah ini.

“Awak siapa?” Tanya Faira. Dia meneliti lelaki itu.

“Bukankah awak yang bawa saya ke sini tadi?” Dia masih ingat wajah pengawal itu. Pengawal itu menaiki kereta bugi dan membawanya ke tempat parkir kereta ini.

“Ya, saya. Nama saya Dean. Saya salah seorang pengawal peribadi di sini.” Dia memperkenalkan dirinya.

“Saya...”

“Cik Faira tak usahlah kenalkan diri lagi. Kami semua sudah sedia maklum tentang cik Faira.” Dia mengukir senyuman. Faira membalas dengan sengihan.

“Err... saya nak tanya, boleh?”

“Tanya apa tu cik Faira?” Mesra sungguh Dean dengan perempuan di hadapannya ini.

“Betulkah cucu jutawan tu sakit?” Takut-takut Faira menyuarakan pertanyaannya.

Lagi sekali Dean tersenyum. Dia mengangguk. “Ya, cik Faira.”

Tiba-tiba air muka pengawal peribadi itu berubah. “Sejak balik daripada percutian, tuan muda kecil kami lihat sangat lemah. Suhu badan dia tiba-tiba saja naik mendadak. Kata doktor, tuan muda kecil kami itu kena demam panas.” Dengan penuh emosi Dean memberitahu Faira tentang keadaan tuan muda kecil mereka itu.

Faira tercengang.

“Tapi, kami pelik. Sebab kebiasaannya demam tuan muda Aqil akan cepat sembuh. Tapi, kali ni demam dia agak pelik sikit. Demamnya sekejap baik sekejap datang. Ada kalanya panas badan dia naik dan ada kala panasnya turun.” Sambung pengawal peribadi itu lagi.

Faira telan liur. Sungguh, dia rasa bersalah sekarang. Dia tidak mahu ada apa-apa berlaku pada budak itu.

“Bawa saya jumpa dia, boleh?”

“Boleh, cik Faira. Silalah naik kereta bugi ni. Saya akan bawa cik Faira ke rumah agam tu.” Dean mempelawanya. Faira terus menaiki kereta tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience