BAB 29

Romance Completed 137457

TUAN HAFIZUDDIN dan isterinya telah menjemput ahli keluarga Faira dan juga ahli keluarga Alya serta saudara-mara mereka untuk makan malam bersama di kafe Erianthe. Keluarga Faira dengan yang lain menerima jemputan itu dengan hati yang terbuka kecuali Faira.

Faira bermalas-malasan di atas sofa. Dia sibuk bermain permainan di dalam telefon pintarnya itu. Alya menggeram. Cerita petang tadi dia sudah tahu. Tapi, kawannya ini susah untuk mendengar nasihatnya.

Bagi Alya, ada sebab Aqil berbuat seperti itu. Tapi, Faira pula degil. Geram dengan budak itu. Marah pula dengan bapa angkat budak itu. Ditambah lagi dengan hal tadi buatkan hati Alya rasa panas sekali. Dia hanya mampu bersabar pun kerana Faira itu adalah teman baiknya.

Tadi, Farish singgah ke bilik penginapan. Terkejut juga Alya dengan kedatangan Farish. Nasib baik jugalah Faira ada di situ. Temannya ke sini pun hendak meluahkan rasa marahnya pada Qaiz dan juga Aqil.

Farish memberitahu pada mereka berdua bahawa mereka akan makan malam bersama dengan keluarga jutawan itu. Tetapi Faira menolaknya. Beberapa kali jugalah Farish memujuk Faira tetapi adiknya itu tetap berdegil tidak mahu ikut bersama mereka. Farish juga cuba untuk cari tahu apa yang berlaku petang tadi tetapi adiknya hanya menyepikan diri. Bila ditanya pula dengan Alya, laju anak dara itu melarikan diri ke bilik air.

Alya bersiap-siap hendak ke kafe Erianthe. Dia menggelengkan kepala. Faira masih berpakaian biasa dan bersenang-lenang di atas sofa. Langsung tidak pedulikan dia yang sedang memerhatikan temannya itu.

“Faira, marilah. Kau tak kesiankah dengan uncle dan aunty tu? Mereka penat-penat sediakan makan malam untuk kita semua tapi kau pula senang-senang menolaknya.” Alya duduk di hujung sofa sambil menggoyangkan kaki Faira.

“Ah, kau pergi sajalah. Aku malaslah nak makan. Perut aku tak lapar lagi ni.” Faira mengubah posisi. Dia mengiring ke sebelah kiri.

“Ala... marilah. Tak eloklah macam tu.” Alya memujuknya lagi.

“Ish, tak naklah. Kau pergi sajalah. Katakan pada mereka yang aku ni sakit. Ah, suka hati kaulah nak beri alasan apa dekat dia orang tu.”

Alya menggeram. “Faira Alisha. Kau sebagai cikgu tahu mana sikap yang baik dan buruk, kan. Kalau kau buat begini maksudnya kau dah tunjukkan sikap buruk kau pada Aqil dengan saudara-mara kau yang masih bersekolah.”

Faira menekup telinga. Tidak mahu dia mendengar bebelan itu.

“Ergh!”

ALYA UFAIRA tersengih-sengih. Dia mengerling ke sebelah. Tegang sungguh wajah itu. Ah, pedulikan. Yang penting aku berjaya bawa dia makan malam dengan yang lain di kafe, kata Alya dalam hati.

“Sukalah tu. Puas hati kau.” Faira menjelingnya sambil berpeluk tubuh. Kalau ikutkan hatinya tadi dia memang tidak mahu pergi tapi Alya sudah mengugutnya. Kalau dia tidak pergi, maka, hubungan persahabatan mereka akan tamat sampai di sini sahaja. Temannya itu tidak akan melayannya lagi selepas ini.

Sakit hati Faira dibuatnya. Siapalah yang mahu kehilangan teman sebaik Alya ini. Mana mungkin dia mahu rosakkan hubungan persahabatan mereka itu. Jadinya, dia mengalahlah.

“Tau takut. Tapi aku memang serius tau dengan kata-kata aku tu.”

Faira mencebik. “Yalah. Kau menang.”

Mereka beriringan ke kafe Erianthe.

TUAN HAFIZUDDIN selesai mengetuai bacaan doa makan malam mereka. Masing-masing mengambil hidangan. Faira menjeling Qaiz yang duduk jauh darinya. Lelaki itu sedang melayan seleranya. Aqil pula duduk dekat dengan atuknya. Wajah budak itu tidak seceria seperti sebelumnya.

Faira menjuih bibir. Hidangan di dalam pinggannya itu langsung tidak diusik. Dia hanya meneguk air manisan yang dituang oleh temannya sebentar tadi.

“Kenapa kau tak makan?” Alya menyedari yang temannya langsung tidak mahu menjamu selera.

“Aku tak ada selera.” Jawab Faira ringkas.

“Yakah? Atau kau cemburu tengok Talita duduk bertentangan dengan si Qaiz tu?” Sempat Alya mengerling ke arah Talita dengan Qaiz yang duduk jauh dari mereka.

“Buat apa aku nak cemburu. Aku sakit hati lagi adalah.” Faira mendengus.

“Yalah tu.” Alya mencebik. Dia meneruskan suapannya.

Terkejut juga Faira tadi apabila tiba di kafe Erianthe ini. Tidak sangka mereka menjemput Talita makan malam di sini. Pengetua Shaun juga turut sama dijemput oleh Tuan Hafizuddin dan isterinya.

Terus kejadian malam itu menjengah ke fikirannya. Geli pula dia melihat mereka berdua. Nampak sangat lakonan mereka itu palsu. Nasib baik malam itu dia sahaja yang nampak kalau ada Alya sekali pasti temannya itu akan naik angin. Mujurlah juga dia tidak menceritakan pada sesiapa. Hanya dia dengan Qaiz sahaja yang tahu akan hal ini.

“Aku tengok kau senang hati pula.”

Alya tersengih. “Mestilah sebab dia tak kacau aku hari ni. Nasib baik si Qisha ni yang duduk depan aku. Kalau tak, sudah tentu dia duduk sini tadi.” Bisik Alya di telinga Faira. Dia menyambung sengihannya lagi.

“Tuah kau sekejap saja. Lepas makan ni mesti dia sambung kacau kau balik.” Giliran Faira mentertawakannya.

Alya mencebik. “Sudahlah. Baik kau makan. Diam lagi bagus.”

“Tak nak. Aku tak ada selera. Aku nak balik.”

“Cubalah kalau kau berani pergi. Kau tak ingatkah amaran aku tadi. Nak aku ulang balikkah amaran aku tu?”

Faira geram. Dia membetulkan posisi duduk. Pinggannya ditarik semula dan dia menyumbat makanannya ke dalam mulut dengan kasar sekali. Alya tersenyum menang.

FAIRA ALISHA menguis-nguis sisa makanan di dalam pinggan. Entah berapa lama lagi mereka akan duduk di situ sambil makan dan bercerita. Matanya sudah penat menjeling lelaki itu termasuklah si Aqil. Tanpa dia sedari sikapnya itu diperhatikan oleh uminya dan juga Madam Alina.

Farish dan Zahwan pula sudah kenyang. Mereka sudah meminta diri untuk ke tempat lain. Faira perasan dengan perubahan air muka Zahwan saat lelaki itu memandangnya. Dia mahu mengejar mereka tetapi temannya ini pula langsung tidak mahu dia berganjak daripada situ.

“Duduk. Makan. Kau tak boleh lari lagi tau.” Alya bersuara tegas. Faira mengajuk katanya.

“Makanan aku dah habis. Aku kenyanglah.”

“Tak habis lagi tu. Itu, pencuci mulut kau tak makan lagi.” Balas Alya. Dia mengambil puding karamel itu lalu diletakkan di depan Faira. Faira membuat muka cemberutnya.

“Makan.” Arah Alya.

Faira menggeram. Macam mak-mak saja dia ni tau, omelnya dalam hati.

“Eh, Faira. Mak ngah perasan kau dari tadi macam tak ada selera saja nak makan. Kau sakitkah, huh?” Tanya puan Qayla yang duduk bertentangan dengannya.

“Mana ada. Faira sihat sajalah.” Jawab Faira malas.

“Hah, baguslah sihat. Ingatkan sakit tadi. Kalau sakit suruh saja dia orang tu pusing balik kapal ni. Mak ngah pun dah tak larat duduk lama-lama dalam kapal ni. Bukan seronok pun.”

“Kalau tak seronok kenapa ikut juga ke sini?”

“Tak bolehkah? Lagipun, bukan senang nak naik kapal mewah yang percuma ni. Tapi, bila dah merasanya baru mak ngah tahu. Langsung tak menyeronokkan. Membosankan. Pemandangan pun laut dengan langit saja.” Puan Qayla buat muka menyampah.

Faira menahan marah.

“Mak ngah. Bukan tadi mak ngah duduk dekat depan itukah? Kenapa boleh pindah dekat sini?” Faira tukar topik.

“Saja.”

Faira tersenyum sinis.

“Sajakah... atau mak ngah nak cakap pasal soal jodoh dengan Faira?”

“Kalau ya, kenapa?”

“Tak payahlah mak ngah campur urusan jodoh Faira. Pandailah Faira cari sendiri.” Balas Faira bersahaja.

“Yalah tu. Asyik-asyik dengan alasan yang sama saja. Sampai bila kau nak cari sendiri tu, huh?”

Faira mengetap bibir. Alya yang duduk di sebelah hanya memasang telinga sahaja. Dia tidak mahu menyampuk perbualan mereka. Kalau dia menyampuk nanti dia pula yang kena dengan mak cik si Faira itu.

“Sampai bila tu tak payahlah mak ngah nak tahu. Mak ngah, daripada mak ngah sibuk pasal jodoh Faira lebih baik mak ngah sibuk pasal anak-anak mak ngah tu. Anak perempuan mak ngah yang baru habis sekolah tu pun dah boleh kahwin dah, kan. Mak ngah pasangkan saja si Qirisya tu dengan pilihan mak ngah sendiri. Yang penting bukan dengan Faira.” Bidas Faira yang sedang menahan marahnya.

“Kau ni, Faira. Darinya kau habis sekolah menengah sampailah sekarang ni asyik nak melawan saja cakap mak ngah.”

Yakah? Aku tak tahu pula aku ni suka melawan cakap dia, Faira ketawa mengejek di dalam hati.

“Mak ngah, bukan Faira seorang saja tau yang melawan cakap mak ngah. Umi, pak long dengan orang-orang kampung yang lain pun melawan cakap mak ngah juga.” Balas Faira dengan sinis.

Puan Qayla mendengus kasar. Matanya mencerlung tajam hingga ke anak mata Faira. Faira pula langsung tidak memandang orang tua itu.

Lantas, puan Qayla berdiri menuju ke bahagian depan. Lebih baik dia duduk dengan orang-orang tua di sana yang sedang sibuk bercerita itu.

Faira senyum kambing.

“Kau ni Faira. Tak baik tau buat mak ngah kau macam tu.” Tegur Alya.

“Aku tahu. Tapi aku sakit hati betul dengan mak ngah aku tu. Tak habis-habis cakap pasal jodoh. Nak sangat aku ni kahwin dengan pilihan dia. Padahal, dia sendiri ada anak perempuan. Tapi sibuk nak jodohkan pilihan dia tu dengan anak orang lain.” Faira menggeram.

“Kalau mak ngah kau suruh aku kahwin dengan pilihan dia pun aku tak nak.” Kata Alya.

“Macam tu jugalah aku. Beria-ia nak kahwinkan anak orang. Anak sendiri pula buat tak tahu saja.” Faira menggeram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience