BAB 2

Romance Completed 137457

“FAIRA ALISHA, anak siapa yang kamu bawa balik ni, hah?!” Terkejut puan Daliya apabila melihat anak bongsunya itu membawa seorang budak lelaki pulang ke rumahnya. Faira dan budak lelaki itu di pandang bersilih ganti.

“Umi, Faira boleh jelaskan semua ni.” Takut sungguh Faira melihat air muka uminya yang garang itu.

“Jelaskan? Cepat jelaskan umi sekarang juga.” Suara tingginya menakutkan Aqil. Segera Aqil bersembunyi di belakang Faira.

“Mama, kenapa nenek ni garang sangat?” Perlahan. Namun, dapat didengari oleh wanita separuh abad itu.

"Mama?!" Bulat mata si umi. Dia bercekak pinggang memandang tajam budak itu. Kecil sahaja dia tengok budak lelaki ini. Berani-beraninya dia memanggil anak aku dengan panggilan itu.

“Umi. Umi janganlah marah budak ni, ya.” Faira cuak. Air muka uminya menakutkan Aqil.

“Kenapa budak ni panggil kamu mama, huh?” Suara tegang itu membuatkan Faira telan liur berkali-kali.

“Umi janganlah fikir yang bukan-bukan. Budak ni sebenarnya dah sesat. Nasib baiklah budak ni ada bawa telefon dia. Faira cuba telefon papa budak ni tapi panggilan tak bersambut. Sudah banyak kali Faira cuba tapi tetap tak dapat.”

“Betul dah telefon?”

Faira laju mengangguk.

Puan Daliya beralih pandang. Wajah ketatnya berubah. Dia mendekati budak lelaki itu lalu tersenyum manis.

“Maafkan nenek, ya. Nenek cuma risaukan anak nenek ini saja.” Puan Daliya mendekati Aqil dan mengusap kepalanya.

Aqil masih menundukkan wajahnya. Takut.

“Siapa nama?” Lembut puan Daliya bertanya.

“Aqil Syauqi. Mama, Aqil takutlah.” Dia memeluk pinggang Faira.

Bulat mata Faira apabila uminya merenungnya tajam.

“Mama lagi?” Berubah terus nada suara si umi itu.

“Umi... Aqil ni salah faham. Faira pun tak tahu kenapa Aqil panggil Faira macam tu.” Tergagap-gagap dia bersuara.

Puan Daliya menggeram.

“Faira cuba lagi telefon papa dia ni. Umi tak suka ada budak-budak dekat rumah ni, tahu.” Puan Daliya mengatur langkah ke belakang.

“Mama...” Aqil mahu menangis.

“Umi, janganlah cakap macam tu. Kesianlah Aqil ni.”

“Umi cakap umi tak suka bukan benci. Dah, pergi mandi. Aqil ikut nenek ke dapur. Nenek sediakan makanan untuk Aqil.”

“Tak nak. Aqil nak ikut mama.” Dia menggenggam erat hujung lengan baju kurung Faira itu. Lagi sekali puan Daliya menggeram.

“Suka hati kamulah.” Puan Daliya terus beredar ke dapur menyiapkan makan malam untuk mereka.

“ASSALAMUALAIKUM, umi!” Laung Farish dari luar rumah. Dia adalah anak sulung puan Daliya.

“Waalaikumussalam! Umi dekat dapur ni.”

Laju Farish melangkah ke ruang dapur. Bau masakan yang sedap itu membuatkan dia berasa lapar. Lantas dia mencuci tangan dan kemudian melabuhkan punggung di meja makan.

“Amboi, dah tak sabar nak makankah?” Puan Daliya sibuk menyediakan minuman manis untuk mereka.

“Mestilah. Tak ada makanan lain yang lagi sedap daripada masakan umi tau.” Dia tersengih. Dia mendekatkan wajahnya pada setiap hidangan tersebut lalu menghidu bau masakan itu.

“Sedap. Sedap.” Pujinya.

“Umi, Faira dah pulang?” Soalnya sambil mengaup lauk. Batang hidung adiknya itu langsung tidak kelihatan di ruang dapur mahupun di ruang tamu.

“Sudah. Ada dalam bilik. Dia bawa balik seorang budak lelaki.”

“Hah?!” Farish terkejut.

“Bu... budak lelaki? Anak siapa? Kenapa pula Faira bawa budak balik ke sini?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut anak bujang itu.

“Katanya, budak tu sesat. Umi suruh dia telefon keluarga budak tu. Lagi umi geram yang budak tu ikut sedap mulut saja panggil Faira tu mama.” Puan Daliya menggeram.

“Farish, cuba kamu ingat balik. Faira pernah berkahwinkah sebelum ni?”

“Apa soalan umi ni? Faira tu masih muda, 25 tahun. Tak kahwin lagi. Setahu Farish, Faira memang tak ada teman lelaki melainkan ada seorang mamat tu yang minat sangat dekat Faira.”

“Siapa?” Tergendala terus kerja puan Daliya membuat air minuman.

“Ala, kawan Farishlah. Zahwan. Dia pun ada buka kafe sama macam Farish.”

Puan Daliya memandang anaknya. “Umi tak berkenan. Jangan Farish pandai-pandai nak kenankan adik Farish tu dengan lelaki yang umi tak suka.”

“Umi, sampai bila umi nak kawal anak bongsu umi tu? Farish tengok Faira baik saja.”

“Itu kamu. Bagi umi, Faira tetap sakit. Selagi ingatan Faira tak pulih selagi itulah umi tak bagi dia bercinta dengan sesiapa. Umi tak nak dia dapat masalah nanti.” Puan Daliya menyambung semula kerjanya.

Pening Farish dibuat oleh uminya. Kesian dia dengan adik kesayangannya itu.

“Umi, Faira sendiri tahu yang dia hilang ingatan. Tapi, itu dua tahun yang lalu. Umi sendiri tengokkan perubahan Faira sekarang. Dia baik saja.”

“Itu Faira sekarang. Kalau tiba-tiba ingatan dia pulih, macam mana?”

“Macam mana apanya, umi? Faira itukan anak kandung umi juga. Satu-satunya adik yang Farish ada.”

“Bukan itu maksud umi.” Puan Daliya membawa air minuman tersebut di atas meja makan. Gelas diambil dari rak dan kemudian di bawa ke meja.

“Cuba Farish fikir sikit. Bukan semua perkara yang kita tahu pasal Faira, kan? Kalau dia bercinta dengan orang yang salah dan tiba-tiba mereka kahwin. Lepas tu, ingatan dia pula tiba-tiba pulih. Pada masa itu baru dia tahu bahawa lelaki yang dia kahwini itu bukanlah cinta hati dia yang sebenar. ”

“Sebab?”

“Sebab sebelum Faira hilang ingatan dia dah ada kekasih.”

Farish tepuk dahi. Dia ketawa kecil.

“Umi. Umi. Apa yang umi merepek ni. Fikiran umi dah melampau, tahu.” Farish geleng kepala.

“Farish sebenarnya dah siasat semua yang berlaku pada diri Faira sebelum dia hilang ingatan. Dia memang tak ada sesiapa pun yang dia suka. Waktu dia belajar dekat luar negeri pun, tak ada lelaki yang rapat dengan dia. Kalau ingatan dia pulih sekalipun tak akan ada masalah.” Sambung Farish.

“Yang kamu siasat tu luar saja. Dalam hati adik kamu tu siapa yang tahu, kan?”

“Aduhai, umiku sayang. Farish yakinlah. Sudahlah, umi. Jangan difikirkan sangat tentang hal tu. Hidup Faira sekarang bahagia. Farish tengok Faira tu pun macam dah lupa yang dia tu sebenarnya masih hilang ingatan.”

“Umi. Abang. Faira nak keluar pergi mengajar.” Faira muncul tiba-tiba.

“Eh, mengajar dekat mana? Si Aqil tu macam mana pula?” Tanya puan Daliya.

“Faira ada tuisyen dekat kampung sebelah. Faira dah telefon papa dia. Sekejap lagi mereka datanglah. Tapi...” Faira memandang abangnya.

“Abang Farish pandai-pandailah cakap nanti. Aqil tengah tidur tu. Kalau boleh, masa dia orang datang tu tolong jangan kejutkan Aqil. Suruh saja papa dia angkat dalam keadaan budak tu tidur. Nanti, kalau Aqil bangun takut pula dia cari Faira.”

“Yalah. Nanti, pandailah umi cakap dengan papa dia tu.” Puan Daliya pula yang membalasnya.

“Faira tak nak makan dulu?” Tanya Farish.

Faira senyum nampak gigi. “Faira makan dengan Alya nanti. Pergi dulu. Assalamualaikum!” Faira bergegas keluar dari rumah. Takut dia jika budak itu bangun mencarinya lagi. Bukan senang dia hendak tidurkan Aqil tadi. Budak itu siap peluk dia dengan erat lagi. Langsung tidak mahu melepaskannya keluar daripada bilik. Nasib baiklah budak itu sudah tidur nyenyak.

“Faira! Jangan balik lewat. Kalau ada apa-apa telefon abang!” Jerit Farish.

“Ya! Faira pergi dulu.” Balas Faira lalu melangkah pergi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience