BAB 62

Romance Completed 137457

SEBULAN lebih sudah Faira tinggal di Bamboo Inn. Puan Iyza juga tidak menghalangnya untuk melakukan kerja-kerja di sana. Sejujurnya, wanita itu sudah menganggap Faira seperti anaknya sendiri. Jadi, dia tidak kisah kalau Faira mahu buat apa di kawasan penginapan mereka.

Sedang Faira membantu Miena mengalihkan pasu-pasu bunga itu ke kawasan kolam dia telah ditegur oleh seorang lelaki.

“A... abang Zahwan!” Matanya membulat. Mulutnya melopong. Tidak sangka lelaki ini muncul di depannya.

Zahwan juga tergamam melihat Faira. Lebih sebulan perempuan ini menghilangkan diri. Tidak sangka pula dia menemuinya di tempat seperti ini.

TADI Zahwan ke sini mahu berjumpa dengan temannya, Ezrey. Dua hari lepas, Ezrey telah menempah makanan dari kafenya. Ezrey menempah makanan dengan jumlah yang banyak untuk diberikan kepada teman-teman sekerjanya di sini.

Sementara menunggu Ezrey datang dia berjalan-jalan dulu mengambil angin di sekitar Bamboo Inn ini. Tapi, tidak sangka pula dia menemui Faira di sini. Dia telah meminta kepastian daripada salah seorang pekerja Bamboo Inn dan pekerja itu mengiakannya.

“Abang tak sangka selama ini Faira bersembunyi dekat sini.”

“Maaflah, abang Zahwan. Faira terpaksa. Faira tak nak abang dengan yang lain dapat bahaya disebabkan Faira.” Beberapa minit yang lalu dia telah menceritakan segalanya tentang apa yang berlaku sebelum ini.

Zahwan melepas keluh. Pada masa yang sama dia berasa lega kerana Faira masih dalam keadaan selamat.

“Selama Faira ada di sini Faira baik-baik sajakah?”

“Faira okey. Sihat macam biasa. Cuma, Faira jarang keluar dari tempat ni. Faira takut kalau lelaki-lelaki misteri tu cari Faira lagi.”

Zahwan faham.

“Abang Zahwan boleh tolong Faira tak?”

“Tolong apa?”

“Abang tolong Faira tanya abang Farish tentang telefon dengan kotak kecil kepunyaan Faira. Faira yakin abang Farish masih simpan barang-barang lama Faira tu.”

“Tapi benda-benda tu pentingkah?”

Faira angguk laju.

“Lepas abang dapat benda-benda tu, abang bawa sini, ya.”

Zahwan berfikir. Berat rasanya dia hendak menolong Faira. Dia takut sekiranya keluarga Faira tahu tentang ini. Lagipun, dia sudah berjanji dengan Faira tadi agar tidak membocorkan rahsia tempat tinggalnya sekarang.

“Baiklah. Tapi, abang perlukan masa. Faira pun tahukan abang tak suka menipu orang. Apatah lagi dengan teman sendiri. Abang Faira tu kenal abang kalau abang menipu dia.” Perlahan suaranya.

Faira faham. Dia tidak membantah.

PETANG itu Faira membantu puan Iyza di Glass Garden. Banyak anak-anak pokok yang perlu dipindahkan ke taman penjagaan. Selesai tugasnya, dia ke lobi pula menggantikan Liana sekejap di kaunter pendaftaran.

Faira menyimpul senyuman apabila melihat dua pengunjung yang baru tiba. Begitu mesra sekali dia melayan mereka. Pasangan dari kota Ipamoea itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan mereka seminggu yang lepas dan mahu berbulan madu di kota Allend ini. Banyak jugalah tempat-tempat menarik yang Faira cadangkan kepada mereka berdua.

“Amboi, mesra sungguh Faira dengan pasangan tadi. Mentang-mentanglah lelaki tu kacak.” Liana kembali semula ke kaunter.

“Ish, kak Liana ni. Mereka dah berkahwinlah. Kita sebagai pekerja di sini kenalah layan mereka dengan mesra. Kalau tak rosaklah imej penginapan kita ni.”

“Ala. Akak tahulah. Akak saja gurau tadi.”

Mereka sama-sama ketawa.

Tidak lama kemudian datang seorang lelaki menuju ke kaunter mereka. Lelaki itu membawa hadiah kecil dan juga sejambak bunga ros merah.

Faira buat muka. Ini bukan pertama kali dia jumpa lelaki pelik ini. Masuk hari ini sudah 15 kali mereka bertemu. Liana yang berdiri di sebelahnya sudah tersengih-sengih.

“Kalau kau orang tak nak aku kacau daun, kau orang pergi duduk dekat sana.” Liana menghalau mereka seiring dengan tawa kecilnya.

“Ish, kak Liana ni!” Faira menggeram. Lantas dia keluar dari situ. Lelaki itu membuntutinya dari belakang.

“KALI ni hadiah apa pula yang awak bawa untuk saya.” Kasar bunyinya.

Lelaki itu berdeham. “Nah. Bukalah sendiri.”

Faira menjeling sebelum membuka hadiah kecil itu.

“Huh, coklat lagi.” Sinis nadanya.

“Ya. Walaupun coklat sama tapi bunga berbeza.”

Faira mencebik. Ekor matanya melirik ke arah bunga ros merah itu. Sebelum ini dia sudah menerima pelbagai jenis bunga dan warna dari lelaki itu. Setiap bunga yang diberikan kepadanya membawa makna yang sama iaitu suka, sayang, cinta dan setia. Kali ini bunga ros merah dan sudah tentulah makna di sebalik bunga itu cinta.

“Ayat manis apa pula kali ni awak nak bagi dekat saya?” Faira berpeluk tubuh. Bukan dia tidak tahu niat lelaki ini padanya. Dia masih ingat lagi pertemuan pertama mereka. Macam-macam ayat manis diberikan.

Apa yang merimaskannya lagi bila melihat penampilan lelaki ini. Dia selalu datang ke sini dengan pakaian yang sama. Memakai jaket kulit berwarna merah dan berhelmet.

Kecil sahaja Faira tengok lelaki itu. Geram melihat helmet yang melekat di kepalanya. Sudah berapa kali dia menyuruh dan memaksa lelaki itu membuka benda tersebut tetapi lelaki itu tetap bertegas tidak mahu.

Dia berdeham sekali lagi. Faira menjulingkan mata ke atas.

“Mister QT. Boleh tak kalau setiap kali awak bercakap jangan berdeham atau batuk macam tu? Saya tak suka.” Marah Faira. Marahnya bukan pada dehaman lelaki itu saja tapi nama lelaki itu juga membuatkan dia berasa sakit hati. Terlalu pendek.

“Okey. Okey.” Sekali lagi dia berdeham dan membuatkan perempuan itu menggeram.

“Maaflah sebab asyik bagi awak coklat saja. Tapi, saya bukan saja-saja bagi benda ni pada awak tau. Saya bagi sebab perempuan memang sukakan coklat, kan.”

“Tak semua perempuan sukakan coklatlah.” Bidasnya.

“Ya, saya tahu. Awak lain. Awak sukakan aisrkim. Tapi saya tetap nak bagi awak coklat ni. Sebab saya nak awak tahu yang ni adalah makanan kegemaran saya. Kalau awak nak tahu lagi, saya makan benda ni bila saya rindukan orang tu saja.”

“Mana awak tahu saya suka aiskrim?” Faira berasa pelik bila lelaki itu tahu makanan kegemarannya.

“Saya tahulah. Yang ni pula...”

Faira menarik kasar jambak bunga ros merah itu. “Tak payah terangkan. Saya faham. Tapi, apa pun cara awak tak akan dapat buka kunci hati saya ni tau. Sebab...” Faira menunjukkan cincin di jari manisnya.

“saya dah berpunya. Hati ni tak ada ruang lagi untuk awak. Faham!”

“Faham. Tapi, saya tetap nak bagi awak hadiah selagi awak tinggal di sini.” Katanya lalu pergi seiring dengan tawa kecil.

Faira buat muka. Tapi hatinya suka kerana mendapat bunga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience