BAB 5

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA selesai menyemak dan menanda buku-buku kerja sekolah murid-muridnya. Dia menyusun dan meletakkan tepi buku-buku latihan tersebut. Dia meregangkan otot-otot sendi dan kemudian beralih ke birai katil. Telefon pintar diambil dan dia membuka salah satu applikasi yang ada di dalam telefon tersebut.

“Anak jutawan Legasi Sky Magellan bergaduh lagi dengan teman wanitanya.” Faira ketawa membaca tajuk tersebut.

“Kacak sangatkah anak jutawan tu?” Faira tertanya-tanya. Setiap kali anak jutawan Legasi Sky Magellan itu diperkatakan dalam media internet pasti wajahnya dikaburkan. Pernah juga dia mencari siapa pewaris legasi tersebut tetapi tidak jumpa. Pandai betul mereka menyembunyikan identiti anak jutawan ini.

Dia menggerakkan lagi jarinya untuk mencari berita lain. Kebanyakkan gosip dan berita yang ada di dalam applikasi Line-News ini semuanya berkaitan dengan kejayaan Legasi Sky Magellan dan juga model terkenal yang bernama Talita.

“Nasib kaulah anak jutawan dapat Talita, model terkenal tu.” Faira menutup telefon dan meletakkannya di meja lampu. Lagi bagus dia tidur daripada memikirkan gosip-gosip hangat itu.

Faira berpusing ke kanan dan kemudian berpaling ke kiri. Dia menggeram.

“Ish, kenapa aku tak dapat tidur pula ni?” Gerutunya.

Dia bangkit dari tidur dan menuju ke arah tingkap. Dia menyelak langsir dan membuka tingkap tersebut. Bayu lembut menampar kulitnya. Dia mendongak memandang langit hitam.

“Kenapa aku teringat si Aqil pula ni?” Laju dia menggeleng kepalanya. Tingkap ditutup dan langsir ditarik semula. Dia menuju ke katilnya.

Apa yang budak tu buat sekarang? Dia baik-baik sajakah? Dia larikan diri dari papa dia lagikah? Macam-macam pertanyaan yang muncul di benak fikirannya itu.

Risau terhadap kanak-kanak itu sudah sebati dalam dirinya. Mungkin juga kerana dia ini seorang guru yang mengajar budak-budak sekolah rendah. Kerenah anak-anak muridnya yang nakal sentiasa membuatkan hati kecilnya risau. Dia sentiasa mencari cara untuk menarik perhatian murid-murid yang nakal supaya berminat untuk belajar.

“Aku harap dia baik-baik saja.” Tidak pernah lagi dia serisau ini. Budak 6 tahun seperti Aqil itu sudah pandai keluar rumah tanpa izin keluarga. Nasib baiklah dia yang menjumpainya. Kalau budak Aqil itu terserempak dengan orang-orang jahat, tidakkah bahaya namanya itu?

Makin difikirkan makin serabut kepalanya.

“Ah, baik aku pergi tengok rancangan televisyen. Lagipun esok cuti. Budak-budak tak sekolah.” Faira melangkah keluar daripada bilik tidurnya.

“FAIRA ALISHA, Alya datang ni! Lekaslah!” Laung puan Daliya dari luar. Wanita itu sibuk membersihkan halaman rumah. Anak sulungnya sudah keluar menguruskan kafe.

Kadang-kadang geram juga puan Daliya dengan perangai anak daranya itu. Dengan orang lain laju sahaja dia bersiap tapi dengan teman baik sendiri tidak pandai pula dia ini mahu bersiap cepat. Kesian Alya menunggu lama di luar ini.

“Lambat lagikah si Faira tu mak cik?” Tanya Alya. Sementara menunggu temannya bersiap dia membantu puan Daliya membersihkan halaman rumah.

“Faham-faham sajalah perangai teman kamu tu. Lagipun, semalam dia tidur lewat. Bangun pun lambat. Alya tak payahlah bantu mak cik. Sekejap lagi siaplah ni.” Puan Daliya menarik penyapu yang Alya pegang dan kemudian meletakkan di tepi pokok.

“Ala, mak cik ni. Alya nak tolong pun tak boleh.” Dia menjuih bibir.

“Kalau kamu tolong mak cik nanti kamu berpeluh pula. Hilang bau wangi kamu tu.”

“Ke situ pula mak cik ni. Kalau hilang wangi, Alya pakailah pewangi badan Alya balik.”

Berdekah tawa mereka berdua di halaman rumah itu.

“Amboi, gelak sakan umi dengan Alya.”

“Saja bergurau senda di waktu pagi begini.” Kata Alya dengan sisa tawanya.

“Sudahlah. Jom!” Faira keluar dan memakai kasutnya. Dia menyalami puan Daliya.

“Umi, Faira balik lewat tau. Kalau ada apa-apa telefon Faira.” Pesan si anak dara.

“Yalah. Hati-hati!” Pesan puan Daliya.

“Ya!” Laung kedua-dua anak dara itu.

“Ikut kereta akulah. Kereta kau tinggal sini.” Faira menarik tangan Alya ke keretanya.

Alya jungkit bahu. “Okey.”

“KITA nak pergi mana dulu ni?” Tanya Faira yang sedang memandu di jalan besar bandar Islean.

“Kita pergi tengok wayang dulu. Lepas tu, temankan aku pergi beli baju. Habis tu baru aku temankan kau ke tempat yang kau nak pergi. Okey?”

Faira membelok ke kanan. Jalan itu menuju ke kawasan pusat beli-belah Qa Tha yang terbesar di kota metropolitan Allend ini. Semua orang tahu bangunan itu milik Legasi Sky Magellan.

“Aku okey saja.”

Alya tersenyum senang. “Tapi sebelum tu temankan aku ke bank dulu. Aku nak keluarkan duit.”

“Ish, kau ni. Kenapa tak ambil duit kelmarin?”

“Aku lupa. Ala, sekejap sajalah. Kalau kau tak nak ikut aku, kau tunggulah aku dekat dalam kereta ni dulu. Ya?” Dia buat muka comel.

“Okey. Okey. Kita pergi sama. Aku pun nak keluarkan sikit duit. Manalah tahu terjumpa barang-barang yang mahal. Ada juga duit untuk beli.”

“Good!”

Mereka terus berbual sehingga Faira memarkirkan kenderaannya di tempat parkir kereta. Tempat utama yang mereka mahu pergi itu ada tidak jauh dari tempat Faira memarkirkan keretanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience