BAB 42

Romance Completed 137457

HARI-HARI Faira berjalan seperti biasa. Pagi mengajar di sekolah. Malam pula buat tuisyen di kampung sebelah. Walaupun penat tapi dia tetap berasa seronok. Baginya, mengajar itu bukan sahaja memberi ilmu kepada mereka tetapi pada masa yang sama dia dapat mengenali mereka dan membantu mereka yang kurang berilmu.

Tapi, minggu ini tidak seperti minggu-minggu yang sebelumnya. Entah apa yang merasuk pengetua Shaun itu tiba-tiba sahaja meminta Faira buat itu dan ini di sekolah. Sekejap-kejap penegtua itu memanggil Faira dan mulalah menyuruh perempuan itu buat kerja yang bukan-bukan.

“Cikgu Faira.”

Faira berpaling. Cikgu Helmi datang menghampirinya. Ketika itu Faira baru sahaja selesai mengajar dan menapak masuk ke dalam bilik guru.

“Ada apa cikgu Helmi?”

“Tadi pengetua cari cikgu. Dia suruh cikgu ke bilik pejabatnya.”

“Apa lagi yang pengetua tu mahu, huh?”

Cikgu Helmi jungkit bahu. “Saya pun pelik dengan pengetua tu. Tak pernah-pernah dia buat perangai macam ni. Selalunya kalau nak apa-apa dia minta saja dekat puan Hida, penolong kanan dia tu. Kalau bukan puan Hida dia akan minta tolong dengan cikgu kesayangan dia tu. Cikgu Wiyah. Tapi, sekarang cikgu Faira pula jadi pilihan dia.”

“Itulah. Kalau dia suruh saya sediakan aktiviti sekolahkah, atau aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan dengan sekolahkah tak apalah. Ini tak, dia suruh saya pergi beli makanan dekat kantin. Lepas tu masuk bilik pejabat dia. Bawa pula saya berbual hal-hal yang saya tak suka.” Faira mendengus geram.

Tiba-tiba Alya muncul dengan muka marahnya.

“Hah, cikgu Alya ni dah kenapa pula?” Tanya cikgu Helmi.

“Itulah! Cikgu Wiyah tu tiba-tiba pula cari pasal dengan saya.” Marahnya.

“Kenapa pula dengan cikgu Wiyah tu? Apa dia dah buat dekat kau.” Tanya Faira. Cikgu Helmi terangguk-angguk mahu tahu juga.

“Tadi aku ke perpustakaan. Aku nampak cikgu Wiyah dalam perpustakaan tu juga. Telinga aku ni dengar dia dengan cikgu Ratna mengutuk pasal kau. Aku memang nak cekik sudah dia tu tau. Lepas kutuk kau dia kutuk aku pula. Lagi aku naik marahlah.” Turun naik nafas Alya dibuatnya.

“Adakah patut dia kata kita berdua ni hodoh. Dia tu pula cantik. Seksi. Lepas tu perasan diri. Dia kata semua cikgu lelaki suka dekat dia. Aku memang tak tahanlah bila orang mengata kami berdua. Aku pun gaduh mulut dengan dialah.” Sambungnya lagi.

“Wekk!!” Cikgu Helmi laju memberi reaksi.

“Cikgu Wiyah kata macam itukah?” Macam tidak percaya sahaja cikgu Helmi mendengarnya.

“Yalah.”

Cikgu Helmi ketawa sinis. Dia becekak pinggang. Panas pula hatinya bila cikgu Wiyah kata seperti itu. Serasa dia juga termasuk dalam senarai lelaki yang suka dekat cikgu gedik itu.

“Hei, cikgu Alya. Cikgu Faira. Dengar sini, ya.”

Alya dan Faira memandangnya.

“Untuk pengetahuan cikgu berdua. Saya tak masuk dalam list dia tu, ya. Saya? nak suka cikgu tu? Huh!” Dia ketawa sinis lagi.

“Daripada saya suka cikgu Wiyah tu lebih baik saya suka cikgu berdua. Ada sopan santunnya. Tak hipokrit. Tulus dan suci lagi.”

Malu kedua-dua anak dara itu apabila cikgu Helmi memuji mereka.

“Amboi! Kalau suka dua-dua tu kahwin sajalah. Cikgu Faira dengan cikgu Alya bolehlah bermadu.”

Muncul cikgu Wiyah. Nafas Alya mula tidak teratur. Begitu juga dengan cikgu Helmi. Kedua-duanya menahan amarah.

“Cikgu-cikgu sekalian. Tak payahlah nak bergaduh dekat sini. Malulah kalau cikgu-cikgu lain datang sini tengok cikgu-cikgu bergaduh. Lagi malu kalau ada murid-murid tengok.” Faira cuba menenangkan mereka bertiga. Waktu itu hanya mereka berempat sahaja yang berada di bahagian depan. Beberapa orang cikgu yang lain menyibukkan diri di tempat masing-masing di bahagian belakang.

Cikgu Wiyah menolak tubuh cikgu Helmi dengan Alya ke tepi. Dia berdepan dengan Faira sekarang. Wajahnya sinis melihat Faira.

“Eh, cikgu Faira. Sebelum ni cikgu diam saja. Tapi, beberapa hari ini cikgu dah jadi liar pula. Tak pernah-pernah pengetua Shaun tu tolak saya. Sejak cikgu ambil alih tempat saya, dia dah tak layan saya dah. Asyik cikgu. Cikgu. Cikgu saja!” Dia menunjal bahu Faira.

Faira mengetap bibir.

“Eh, cikgu Wiyah. Cikgu ingat saya suka sangatkah dengan pengetua Shaun tu. Kalau cikgu dah kemaruk dengan pengetua Shaun tu, kenapa cikgu tak suruh saja pengetua tu pergi meminang cikgu. Lagipun, cikgu dengan pengetua tu sama-sama single. Satu duda yang satu janda.” Bidas Faira.

Kembang-kempis hidung cikgu Wiyah mendengarnya.

“Eh, cikgu Faira! Cikgu jaga sikit mulut tu, ya.”

“Eh. Eh. Eh! Yang jaga mulut tu cikgu Wiyah. Cikgu ingat semua lelaki suka cikgukah, hah?!” Herdik Alya. Rambut depannya itu di selak ke tepi. Rambut ni pun mengacau pandangan aku saja.

“Yalah.”

“Perasan!” Cikgu Helmi mengejeknya.

“Kalau cikgu nak tahu sama ada lelaki suka cikgu atau tak, cikgu pergi tanya dia orang. Cikgu tanya cikgu Faid tu. Tak pun cikgu tanya cikgu Mizan. Setahu saya dua orang cikgu tu tak suka perempuan jenis macam cikgu Wiyah ni. Mereka lagi suka perempuan ala-ala cikgu Alya dengan cikgu Faira ni.”

“Betul. Tapi sayang sekali cikgu Alya dengan cikgu Faira sudah dimiliki orang.”

Semua mata memandang ke arah pintu. Ternganga mereka melihat orang-orang di depan mereka itu. Dua orang daripada mereka segak bergaya dengan pakaian sut biru navy mereka. Empat orang pengawal peribadi berdiri tegak di belakang dua orang itu dan beberapa orang pengawal peribadi yang lain pula sedang berjaga di hadapan bilik guru.

“Kenapa dia orang ke sini?” Faira berbisik di telinga Alya.

“Manalah aku tahu.” Balas Alya. Dia melarikan pandangannya apabila Shazwan mengenyitkan mata seiring dengan senyuman manisnya.

“Siapa pula mereka berdua ni?” Cikgu Wiyah tertanya-tanya. Dalam hati sempat lagi memuji ketampanan dua orang jejaka itu. Dia mula menunjukkan gaya gediknya itu.

Cikgu Wiyah berdeham dan meluru ke arah mereka. Faira dan yang lain menjadi pemerhati.

“Err... Hai, kacak.”

Qaiz tidak membalas. Shazwan juga sama.

Cikgu Wiyah tidak puas hati. Dia mendekatkan lagi jaraknya dengan mereka.

“Encik berdua ni datang sini ada apa? Nak berjumpa dengan pengetua Shaunkah? Saya boleh panggilkannya.”

“Tak usah. Kami datang sini nak ambil hati kami saja.” Kata Qaiz. Dia perasan yang Faira melarikan pandangannya ke arah lain. Cikgu lelaki yang berdiri di sebelah Faira itu pula sedang berbisik dengan dia dan juga teman baiknya itu.

“Hati encik berdua? Hati yang macam mana tu? Rasanya saya tak nampak pun hati encik berdua dekat dalam bilik guru ni.”

Qaiz dan Shazwan berpandangan dan tersenyum sinis.

“Hati kami memang ada dalam bilik guru ni. Hati kami tu lagi manis daripada cikgu yang hanya berlagak cantik di depan lelaki.” Shazwan menjeling cikgu Wiyah.

Cikgu Wiyah melopong. Dia mengetap gigi dan terus pergi dari situ.

“Padan dengan muka!” Puas hati cikgu Helmi melihat wajah malu cikgu Wiyah itu.

Faira dengan Alya pula sudah tidak keruan melihat wajah yang serius itu.

Qaiz dan Shazwan terus keluar daripada kawasan bilik guru. Mereka sempat menyuruh Sham ke tempat Faira dan juga Alya.

“Pergi macam tu saja. Tak kenalkan diri pun.” Ekor mata cikgu Helmi masih memerhatikan dua jejaka itu pergi daripada situ.

“Mungkin mereka berdua saja nak tengok-tengok bilik guru ni.”

“Yakah? Habis, kenapa mereka kata hati mereka ada dekat dalam ni?”

Faira dan Alya tersengih. Kalau boleh mereka berdua tidak mahu menjawab soalan itu.

“Cik Faira. Cik Alya.” Sham sudah ada di hadapan mereka.

“Ya.”

“Tuan Qaiz dan Tuan Shazwan minta cik berdua keluar. Mereka berdua hendak berjumpa dengan cik berdua. Tapi bukan di sini.”

“Habis dekat mana?” Tanya Alya.

“Luar daripada sekolah.”

“Tapi, masa sekolah tak habis lagi.” Faira pula membalas.

“Tak apa. Hal itu biar saya saja yang selesaikannya.” Kata Sham, pengawal peribadi itu.

“Tapi...”

“Kau orang pergi sajalah. Manalah tahu ada hal penting.” Kata cikgu Helmi.

“Ish, cikgu tak tahu apa-apa janganlah menyampuk.” Marah Alya.

“Ingat saya tak tahukah? Hati manis yang mereka berdua maksudkan tu mesti cikgu Alya dengan cikgu Faira, kan?”

“Ada-ada saja cikgu Helmi ni.” Faira mengemas meja kerjanya dan mengambil beg sandangnya.

“Alya, pergi lekas ambil beg kau. Ikut saja kata dia orang tu. Kalau kita berlama-lama dekat sini nanti datang pula cikgu Kiah. Dia tu lagi teruk dari cikgu Wiyah.” Kata Faira.

“Ya. Betul tu. Baik kau orang pergi saja sekarang sebelum cikgu Kiah tu masuk sini. Kalau dah masuk kau orang dah tak boleh lari dah.” Sokong cikgu Helmi. Sham juga menyetujuinya.

Alya menghentakkan kaki sebelum ke mejanya.

TERBELIAK mata kedua-dua anak dara itu apabila melihat kereta panjang berwarna hitam di hadapan mereka. Faira dan Alya memandang dua jejaka yang berdiri di hadapan kereta mewah itu. Wajah mereka tegang.

“Masuk!” Arah Qaiz.

Faira menjelingnya. Tiba-tiba saja nak marah orang, omelnya dalam hati.

Shazwan pula menggunakan isyarat mata pada Alya menyuruhnya masuk ke dalam kereta.

“Kereta kami macam mana?” Tanya Faira dengan kasar.

“Bagi kunci kereta kamu berdua pada mereka berdua.” Arah Qaiz.

Faira dan Alya memandang dua pengawal peribadi yang berdiri di tepi Shazwan.

“Tak nak!” Alya membantah.

“Okey. Bagi sayalah kunci kereta tu kalau awak tak nak bagi dekat dia ni. Biar saya saja yang pandu kereta awak.” Shazwan menadah tangan meminta kunci kereta daripada Alya.

Alya menjelir lidah. Dia menjauhkan diri dari lelaki itu.

“Kamu berdua nak jadi perhatian murid-murid dekat atas itukah atau tak? Kalau tak nak, bagi kunci kereta tu pada Mika dengan Brian. Sekarang!” Qaiz menjegilkan mata.

Faira menggeram. Dia keluarkan kunci keretanya dari dalam beg tangan dan diberikan kepada Mika. Alya pula memberikan kunci keretanya kepada Brian.

“Mika. Brian. Hantar kereta mereka ke rumah mereka, ya.” Arah Shazwan.

“Baik tuan!” Serentak mereka menundukkan kepala. Mika dan Brian kemudiannya ke tempat parkir kereta di mana Faira dengan Alya telah memarkirkan kereta mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience