BAB 13

Romance Completed 137457

AQIL SYAUQI tidak senang duduk di rumah. Mahu sahaja dia melarikan diri dari rumah itu tetapi dia tidak boleh kerana papanya sudah menyuruh semua pengawal untuk berjaga di luar rumah dan juga di sekitar kawasan rumah.

“Papa jahat! Papa jahat!” Dari tadi lagi Aqil membentak. Merengus. Merungut pasal papanya. Papanya langsung tidak membenarkan dia berjumpa dengan Faira.

“Cucu grandpa ni dah kenapa, huh?” Muncul Tuan Hafizuddin.

“Grandpa. Papa jahatlah. Dah banyak hari dah terlepas. Aqil rindu dengan mama Faira. Aqil nak jumpa dengan mama Faira.” Mulutnya sudah muncung sedepa. Geram sungguh dia dengan papanya itu.

“Aqil betul-betul nak jumpa mama Fairakah?”

Laju budak kecil itu mengangguk dan ketika itu dia mendapat satu akal. Dia merenung dalam wajah tua itu. Sepertinya ada sesuatu yang sedang dirancangkan olehnya.

“Kenapa pandang grandpa macam tu?” Cuak pula Tuan Hafizuddin bila cucunya merenungnya sebegitu. Seperti hendak telan manusia pun ada juga.

“Grandpa. Hari ni, grandpa tak pergi pejabatkah?”

“Tak. Papa kamu ganti grandpa. Beria-ia dia nak ke pejabat. Padahal, grandpa sudah beri dia cuti panjang.” Keluhan kecil dilepaskan.

“Itulah, papa. Tak hargai langsung cuti yang grandpa bagi dekat papa.” Aqil mencebik kecil. Ketawa Tuan Hafizuddin.

“Grandpa,”

“Hmm,”

Pelik Tuan Hafizuddin melihat cucunya tiba-tiba tersengih. Hujung pakaiannya ditarik-tarik oleh budak kecil itu. Tangan nakal itu kemudiannya naik mencubit lembut pipinya. Tidak puas dengan itu Aqil memanjat pula naik ke riba Tuan Hafizuddin dan melentokkan kepalanya di dada orang tua itu.

“Grandpa...” Dia melunakkan suara. Kalau aku buat suara manja macam ni pasti grandpa akan cair dengan aku. Aku pasti berjaya pujuk grandpa. Aqil ketawa terkekek-kekek di dalam hati.

“Grandpa sayang dengan Aqil, kan. Grandpa, marilah jumpa mama Faira. Grandpa tak kesiankah dengan Aqil. Aqil sampai nak sakit-sakit rindukan mama Faira tau.”

Ish, budak ni. Ingat aku termakan pujukkah kalau Aqil buat macam tu, Tuan Hafizuddin menggeleng kecil. Namun, jauh di lubuk hatinya memang dia kesiankan cucunya ini. Tapi, disebabkan anaknya itu telah beri amaran kepadanya dia tidak dapat berbuat apa-apa.

“Grandpa bukannya tak nak bawa Aqil jumpa dengan mama Faira tapi...”

“Jahat! Grandpa dengan papa sama-sama jahat. Langsung tak kesiankan Aqil. Aqil nak larilah kalau macam ni.” Dia melompat turun dari riba dan menuju ke arah pintu. Dia langsung tidak mahu mendengar penjelasan atuknya itu.

“Baiklah. Grandpa bawa Aqil jumpa dengan mama Faira. Tapi, Aqil kena janji dengan grandpa dulu.”

Langkahnya terus mati dan menoleh ke belakang semula. “Janji apa?” Dia masih bermasan wajah.

“Janji jangan beritahu papa Aqil. Lagipun, grandpa dah janji dengan papa Aqil yang grandpa tidak akan benarkan Aqil jumpa dengan mama Faira. Tapi disebabkan grandpa kesian dan sayangkan Aqil, grandpa akan penuhi permintaan Aqil.”

“Yeah!!” Dia jerit keriangan. Laju dia memeluk tubuh atuknya.

“Satu lagi. Grandpa nak Aqil ubah perangai Aqil tu. Tak baik cakap orang tua jahat macam tu. Kalau Aqil buat begitu lagi nanti mama Faira pula yang tak sayangkan Aqil. Aqil nak kalau mama Faira tahu yang Aqil cakap macam tu dekat papa dengan grandpa?”

Wajahnya masam semula. Dia tunduk dan menggeleng kepala.

“Baiklah. Aqil janji. Lepas ni Aqil jadi budak baik. Tapi Aqil baik dengan grandpa, grandma dan juga mama Faira saja. Kalau papa, tengoklah. Kalau papa baik dengan Aqil, Aqil pun baiklah dengan papa. Kalau papa jahat dengan Aqil, Aqil pun jahatlah dengan papa.”

“Budak ni, kan.” Tuan Hafizuddin geram. Lantas, satu cubitan manja mendarat di pipi gebu cucunya itu.

“Sudah, pergi siap cepat. Grandpa tunggu sini.”

Laju Aqil naik ke atas bersiap.

TUAN HAFIZUDDIN sudah memberitahu isterinya tentang niatnya hari ini. Madam Alina setuju sahaja. Tapi, sayangnya isterinya itu tidak dapat ikut serta mereka berdua kerana isterinya lagi sibuk menguruskan butik pakaiannya.

“Grandpa inilah rumah mama Faira. Mama Faira tinggal dengan umi dia dan juga abang dia. Abah mama Faira pula sudah meninggal beberapa tahun yang lepas. Kena serangan jantung.” Beritahu Aqil yang serba tahu tentang keluarga Faira.

“Rumah mama Faira cantik.” Puji Tuan Hafizuddin.

“Grandpa, jom!” Ajak Aqil.

Mereka keluar dari kereta dan menuju ke rumah tersebut. Tuan Hafizuddin memerhati kawasan sekeliling. Kampung ini bersih dan cantik. Dulu, tapak perkampungan Indah Bulan ini adalah kepunyaannya. Tapi sekarang tapak ini bukan lagi hak milik dia. Tuan Hafizuddin sudah memberi percuma kepada ketua kampung Indah Bulan ini tetapi dengan bersyarat. Tidak sangka pula ketua kampung mengotakan janjinya.

Ada dua belas syarat yang dia beri kepada ketua kampung Indah Bulan. Mencantikkan kawasan kampung, Menjaga dan membersihkan kampung, Kekalkan alam semula jadi, duit yang dia beri sebelum ini perlu diguna pakai untuk pembaikan rumah-rumah kampung dan juga jalan raya, kawasan kebun buah dan sawah padi yang menjadi hak miliknya sebelum ini perlu diagihkan sama rata dan juga tidak membuat perkara buruk yang menjatuhkan maruah kampung ini. Syarat-syarat lain adalah berkenaan jiran tetangga. Sekiranya hal-hal itu terjadi akan memburukkan namanya kelak.

“Assalamualaikum, nek! Nenek! Aqil datang dengan grandpa ni.” Jerit Aqil sambil mengetuk-ngetuk pintu.

“Nenek!!”

“Ya. Ya. Nenek buka pintulah ni.” Bergegas puan Daliya ke depan sebaik sahaja mendengar suara Aqil. Tadi, dia sibuk membuat kuih karipap dan juga kuih donat di dalam dapur.

“Waalaikumussalam.”

Dia terkelu lidah apabila melihat lelaki disamping Aqil itu. Pasti ini suami puan Alina, katanya dalam hati.

“Nenek! Aqil rindulah dengan nenek.” Laju budak kecil itu memeluknya. Puan Daliya membalas pelukan tersebut.

“Aqil, ini siapa?” Tanya puan Daliya.

“Ini grandpa Aqil.” Jawabnya girang.

“Hafizuddin. Suami pada Alina.” Dia memperkenalkan diri.

“Err... Maaflah. Kita berbual di luar sajalah. Lagipun, tidak manis dipandang orang dengan situasi begini.”

Tuan Hafizuddin ketawa kecil. Puan Daliya membawa mereka ke halaman rumah. Mereka duduk di tempat yang disediakan di bawah pokok mangga.

“Tidak sangka kampung puan Daliya ni cantik dan bersih.”

“Ya. Kebersihan kampung haruslah dijaga. Lagipun, ini adalah tanggungjawab.” Balas puan Daliya.

“Nenek. Mama Faira mana? Aqil nak jumpa mama Fairalah. Dah lama Aqil tak jumpa dia.” Aqil mencelah.

“Aqil, mama Faira tidak ada di rumah. Sepanjang cuti sekolah ni dia di kafe abang dia. Mama Faira bantu uncle Farish dekat kafe.” Beritahu wanita itu. Aqil mula menunjukkan wajah kecewanya.

“Hmm, puan Daliya tahu di mana kafe abang Faira itu?”

Haaih... tak senang hidup langsung. Tak bolehkah biarkan anak aku itu hidup senang sikit?

“Kafe D’Raish. Kafe tu dekat kawasan Nerium.”

“Yeah! Terima kasih, nek. Aqil tak sabar nak jumpa mama Faira.” Pantas Aqil mencium pipi puan Daliya.

Tersentuh dia dengan perbuatan budak kecil itu. Jauh dalam sudut hatinya dia mula menyukai budak ini. Tetapi, dia tidak mahu merosakkan kebahagian anak dia. Dia yakin yang anak dia pasti ada seseorang yang dia suka sebelum ini. Maafkan nenek Aqil.

Mereka berbual lagi dan beberapa minit kemudian Tuan Hafizuddin meminta diri. Dia perlu bawa Aqil berjumpa dengan Faira sekarang. Puan Daliya hanya menhantar mereka keluar dengan pandangan sahaja.

Sebelum pergi tadi, Tuan Hafizuddin ada memberitahunya mengenai tapak perkampungan ini. Kini, baru dia tahu bahawa pemilik asal tapak perkampungan ini adalah Tuan Hafizuddin. Sebelum ini dia hanya mendengar cerita dari mulut jiran tetangganya sahaja. Ketua kampung juga tidak banyak bercerita tentang pemilik asal tanah ini.

Tuan Hafizuddin memberikan tapak ini secara percuma kepada ketua kampung Indah Bulan ini adalah disebabkan niatnya sendiri. Pada masa itu, terdetik dihatinya mahu membuat kebaikan dan ini adalah salah satu kebaikan yang dia buat ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience