BAB 18

Romance Completed 137457

“TERIMA KASIH kepada semua yang datang ke majlis makan ini. Majlis ini sebenarnya adalah projek kecil yang saya dengan teman baik saya telah rancang...”

Faira memusingkan kepalanya ke luar tingkap. Cuaca petang di luar itu sungguh indah sekali. Dia menongkat dagu mengelamun jauh. Ucapan abangnya itu langsung tidak menarik minatnya. Bosan.

Tapi... kenapa aku rasa seperti aku terlupa sesuatu? Dia berfikir.

“Faira, abang Zahwan panggil kau tu.”

Faira tersentak dengan sergahan Alya yang duduk di sebelahnya.

“Pa... panggil aku? Siapa?”

“Itu. Abang Zahwan suruh kau ke depan.”

Abang Zahwan? Bukan tadi abang Farish berucapkah? Faira terpinga-pinga.

Zahwan yang berdiri di hadapan mereka itu sedang merenungnya dengan senyuman manis. Dia telan liur. Dia menjeling tepi. Uminya yang duduk tidak jauh darinya itu sedang menahan marah dan merenung tajam ke arah Zahwan. Zahwan pula buat tidak kisah sahaja dengan pandangan tersebut.

“Faira Alisha.” Panggilnya. Dia agak gemuruh.

Suasana ketika itu juga tiba-tiba jadi senyap. Muzik yang dipasang sejak mereka datang tadi juga sudah dimatikan oleh Tina, pekerja kafe D’Raish itu. Kini, semua mata terarah ke arah Faira kecuali puan Daliya yang masih memaku pandangan tajamnya ke arah Zahwan.

Faira memandang uminya dan kemudian beralih kepada abangnya yang berdiri di sebelah Zahwan. Abangnya menyimpul senyuman dan mengangguk kepala perlahan.

“Jangan risaulah. Abang kau ada di depan juga tu.” Kata Alya.

“Faira, kalau boleh saya nak Faira ke sini. Berdiri di sebelah saya ni.” Takut-takut Zahwan mahu bersuara. Farish pula setia berdiri memberi semangat kepada lelaki itu.

“Apa lagi kau tercegat di sini. Cepat. Cepat. Pergi sana. Abang Zahwan dah panggil tu.” Bisik Alya sambil menolak temannya itu ke depan.

Faira menjulingkan mata ke atas. Menyampah.

“Go. Go. Go.” Alya tersengih dengan wajah selamba.

Faira menggeram. Dia teragak-agak mahu melangkah ke hadapan. Dia juga berasa kekok apabila dirinya menjadi perhatian mereka. Senyuman mereka lain macam saja. Ada apa-apakah yang aku tak tahu pasal hari ni? Fikir Faira.

Zahwan menyimpul senyuman. Suka dia melihat wajah malu itu. Faira berdiri dekat dengannya.

Farish perasan wajah Zahwan merah merona. Farish mencuit bahu si teman.

“Kau nak biarkan kami tengok kau merenung adik akukah, huh?”

Zahwan tersentak. Baru sedar dengan kesilapannya. Faira pula sudah cuak. Dia langsung tidak tahu apa rancangan mereka kepadanya.

“Kenapa suruh Faira berdiri dekat sini? Ada apa-apa kejutankah?” Tanyanya pada mereka berdua.

“Sekejap lagi Faira tahulah.” Abangnya mengenyitkan mata. Zahwan pula sudah menghilangkan diri ke belakang.

Semua tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Alya yang sedang merakam gelagat mereka dengan telefonnya hanya tersengih-sengih di belakang.

“Selamat hari lahir Faira Alisha.”

Faira tercengang apabila melihat kek hari jadi tiga tingkat di depan matanya. Sungguh, dia lupa hari pentingnya ini. “Terima kasih abang Zahwan. Susahkan abang saja buatkan kek cantik ni.”

“Tak susah pun. Memang abang nak buat kek ni untuk Faira.” Senyumnya.

Kek itu diletakkan di atas meja tengah. Tanpa nyanyian selamat hari jadi, Farish mengetuai mereka membaca doa. Selesai bacaan doa barulah mereka mengucapkan selamat hari jadi kepada Faira.

“Abang Farish, kek tu abang yang buatkah?” Tanya Qisha, anak bongsu puan Qayla. Dia sebaya dengan Iqram, adik bongsu Alya.

“Taklah. Kek ni abang Zahwan yang buat. Dia buat untuk kakak Faira kamu.” Ujar Farish. Ketika itu Faira memintanya pemotong kek yang ada di atas piring kecil dan Farish segera mengambil dan memberi kepadanya.

Qisha pelik. Di atas kek itu langsung tidak ada lilin. Hanya kek berhias semata-mata. Dia memandang semula abang sepupunya itu.

“Err... abang Farish, kenapa tak ada lilin atas kek tu? Kak Faira tak buat hajat lagi, kan.”

Faira yang memasang telinga hanya membuat rekasi selamba sahaja. Dia terus memotong kek bertingkat itu dan kemudian mengagih-agihkan kepada mereka.

“Kenapa nak tiup lilin buat hajat, hmm? Kenapa tak minta pada Allah saja? Lilin tu boleh kabulkan hajat Qishakah?”

Qisha tersentap.

“Tapi... semua orang buat macam tu, kan? Hari jadi Qisha dengan yang lain pun disambut macam tu juga.”

“Hmm... macam mana abang nak terangkan pada Qisha, ya?”

“Terangkan sajalah. Qisha akan cuba faham dengan apa yang abang Farish terangkan pada Qisha nanti.”

“Hmm... okey. Kita ke sana dulu.” Farish membawa adik sepupunya duduk jauh daripada mereka.

“Terangkan saja si Qisha ni abang Farish.” Faira mencelah. Dia juga ikut serta dengan mereka berdua. Qisha menjelingnya.

“Jeling-jeling. Akak korek mata tu karang, baru tahu. Di sekolah bukan main lagi malas. Satu benda pun tak tahu.”

“Mana kak Faira tahu. Kak Faira bukan mengajar dekat sekolah Qisha pun.” Balasnya dengan sinis.

“Akak tahulah. Qisha ingat akak tak ada kawankah dekat sekolah menengah Qisha tu. Macam-macam cikgu tu bagitahu. Mak Ngah pun sendiri cakap yang Qisha ni malas di rumah. Kerja sekolah tak nak buat. Apa lagi nak ambil tahu pasal agama. Nama saja perempuan tapi perangai macam lelaki. Suka sangat lepak malam dekat gerai pak Hassan tu.” Bukan main panjang lagi leteran Faira pada adik sepupunya itu.

“Ala, lepak saja. Bukan buat apa-apa pun.” Dia mencebik.

Faira menahan geram. “Yalah tu. Qisha sama saja dengan si Iqram tu. Gila permainan Battle Shoot. Ingat permainan tu boleh bawa ke syurgakah, hah? Solat tak lepas. Apatah lagi nak mendalami agama. Seelok-eloknya, malam-malam kita itu kenalah penuhi dengan ibadah atau aktiviti-aktivit berfaedah. Bukannya melepak main permainan tu.”

“Ish, mulalah tu nak berceramah. Salahkah kami nak main permainan tu? Akak ni sengaja cari gaduh dengan Qisha, kan.”

Qisha dan Faira berperang mata. Masing-masing berasa geram.

“Sudah. Sudah tu. Tak payah gaduh. Faira dengan Qisha tak bolehkah kalau jumpa tak gaduh. Ini, kalau dah berjumpa macam anjing dengan kucing. Asyik nak bertekak saja.” Abang Farish geleng kepala. Mujurlah mereka jauh daripada mereka yang lain. Sempat dia mengerling ke arah Zahwan yang mengambil alih tugas Faira memotong kek dan mengagihkan kek kepada mereka.

“Kami bukannya bergaduh. Hanya bergurau saja.” Faira buat muka pada adik sepupunya dan kemudian pergi dari situ.

Qisha menjelir lidah. Menyampah!

“Qisha tak baik macam tu.” Tegur Farish. Qisha tersengih.

“Hah, abang. Abang Farish tak terangkan lagi pasal lilin tu.” Qisha kembali pada topik utama.

“Oh, ya. Pasal lilin... Sebenarnya menyambut hari jadi dengan meniup lilin bukanlah budaya kita sebagai seorang muslim. Kalau nak kek tak salah tapi janganlah sampai ada lilin sekali nak buat hajat. Membazir saja kalau nak letak lilin di atas kek tu.”

“Yakah? Qisha tak tahu pun.”

“Yalah. Nak bazir duit beli lilin buat apa. Lagipun tiup lilin atas kek ni tidak baik. Apabila kita tiup lilin tu kita akan sebarkan bakteria pada kek tersebut. Kalau orang yang sambut hari lahir tu tengah demam atau ada penyakit lain yang kita tidak tahu dan tiup lilin masa hari jadi dia, tidakkah itu akan membahayakan orang yang makan kek tersebut?”

“Manalah Qisha tahu. Qisha okey saja makan kek hari jadi kawan Qisha yang demam bulan lepas. Lilin hari jadi kawan Qisha tu pun bukan biasa-biasa. Lilin bunga api tau. Kek dia pun sedap.”

Farish hanya membalas dengan senyuman palsu. Dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu.

Qisha ini bukan seperti budak-budak remaja perempuan yang lain. Perangainya nakal, suka memberontak, tidak suka duduk diam di rumah, malas buat kerja sekolah dan ada banyak lagi sikap negatif yang ada pada dirinya itu. Sama sahaja seperti adik bongsu Alya. Sudahlah mereka berdua itu satu sekolah. Apa-apa pun berdua. Langsung tidak kisah dengan mulut orang yang mengata mereka. Tapi, nakal-nakal mereka itu pun tidak pernah bawa masalah besar pada keluarga. Qisha dan juga Iqram masih tahu menghormati orang yang lebih tua daripada mereka.

“Itu nasib Qishalah. Tapi Qisha, sepatutnya di hari jadi kita ini seelok-eloknya buatlah kenduri kesyukuran, baca doa. Jemput sanak-saudara dan sahabat-sahabat yang terdekat dengan tujuan untuk bersilaturahim antara satu sama lain. Kita ini kenalah bersyukur kerana Allah melahirkan kita di dunia ini dengan keadaan yang baik dan sihat. Kita juga kena berterima kasih kepada ibu bapa kita terutama sekali pada ibu kerana tanpa dia kita tidak akan lahir di dunia ini. Kita tidak akan dapat merasai nikmat dan melihat keindahan yang Allah ciptakan untuk kita.”

Qisha diam. Mungkin dia cuba untuk mencerna ayat-ayat Farish itu.

“Qisha nak dengar satu cerita?”

“Cerita apa?”

“Cerita pasal lilinlah.” Farish masih mahu mengupas kisah di sebalik lilin itu.

Qisha mengerutkan dahi. “Apa ceritanya?”

“Apa yang abang tahu secara ringkasnya, di abad-abad yang lalu tradisi tiup lilin ini digunakan sebagai memohon hajat pada Tuhan mereka. Tapi, kita sebagai seorang muslim tidak perlu mengikut tradisi tersebut. Kalau nak minta hajat mintalah terus pada Allah. Solat dan berdoa. Itu yang seharusnya dibuat. Bukan buat hajat tiup lilin. Faham?”

“Hmm...” Tiba-tiba Qisha mengeluarkan telefonnya dan membuka applikasi yang Farish sendiri tidak tahu.

“Qisha?”

Adik sepupunya tidak menjawab. Pandangan budak remaja itu fokus pada skrin telefon itu. Kecil sahaja Farish nampak adik sepupunya ini. Mahu sahaja dia renyuk-renyukkan budak itu tahu.

Farish menarik nafas menenangkan diri. Qisha ini ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

FAIRA ALISHA merenung jauh dua saudara itu. Dia senyum sinis. Sia-sia sahaja abangnya menerangkan hal itu. Tidak diambil peduli juga oleh si Qisha. Bukan abangnya seorang sahaja yang penat menasihatinya, dia sendiri juga penat mahu berdalih dengan budak itu. Apatah lagi bila budak itu bergabung dengan adik si Alya. Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka bila dia cuba menasihati kenakalan mereka itu.

“Nah,”

Berkerut wajahnya memandang hadiah kecil yang berbalut itu. Faira mendongakkan kepalanya. Zahwan menyimpul senyuman.

“Hadiah apa ni abang Zahwan?” Tanya Faira. Hadiah itu sudah bertukar tangan. Faira menggoncang beberapa kali hadiah misteri itu.

“Bukalah.” Zahwan menarik kerusi dan duduk berhadapannya. Suka dia melihat senyuman yang terlukis di wajah manis itu.

“Kena buka sekarang jugakah?”

“Ya.”

“Baiklah. Tapi sebelum tu Faira nak ucap terima kasih dekat abang sebab buat semua ni untuk Faira.”

“Sama-sama. Abang memang dah lama nak buat kejutan macam ni. Tapi, tidaklah sampai nak buat majlis besar. Buat ala kadar saja. Untuk Faira dan saudara mara terdekat Faira saja.”

Faira hanya membalas dengan senyuman. Dia kembali meneliti hadiah itu.

“Faira buka sekarang, ya.”

“Buka saja. Abang pun tak sabar nak tengok reaksi Faira.”

Tangannya bergerak membuka pembalut hadiah itu. Bola matanya besar. Teruja hendak tahu isi di dalam kotak hadiah kecil itu.

Tercuit hati Zahwan melihat gelagat Faira.

“Faira buka, ya.”

Zahwan angguk.

Baru sahaja dia mahu melihat isi hadiah itu tiba-tiba dinding kaca kafe di depannya di ketuk oleh seseorang. Lantas mereka berdua berpaling melihat gerangan tersebut. Kedua-duanya tergamam.

“Aqil Syauqi!”

Budak itu melambai-lambai di luar kafe dengan wajah gembiranya. Faira bergegas keluar. Hadiah yang tidak sempat dibuka olehnya itu dibiarkan di atas meja.

“Faira...” Zahwan berasa kecewa. Faira meninggalkannya sebelum sempat melihat isi hadiah yang dia berikan kepada perempuan itu.

“AQIL SYAUQI! Aqil buat apa dekat sini?” Terkejut sungguh Faira dengan kedatangan budak itu di kafe D’Raish ini. Dia meliarkan pandangan. Seorang pengawal peribadi pun tidak ada bersama budak ini.

“Aqil datang sini dengan siapa? Jangan cakap yang Aqil naik bas atau kenderaan lain seorang diri ke sini.” Risau Faira dibuatnya.

“Mama janganlah risau. Aqil datang dengan pemandu papa. Ada dekat sana.” Dia menunjuk ke arah sisi tepi bangunan kafe itu.

“Aqil ke sini pun sebab uncle Farish jemput Aqil. Tapi, Aqil lambat sebab ada hal.”

Faira angkat kening sebelah. “Ada hal? Hal apa? Aqil jangan main-main dengan mama. Kalau Aqil tipu mama, mama tak akan layan Aqil lagi.” Lagaknya seperti seorang ibu.

“Ala, mama ni. Aqil cakap betullah.” Aqil buat mulut itik.

“Sudahlah. Aqil nak merajuk dengan mama. Lebih baik Aqil jumpa uncle Farish saja. Uncle Farish sayang dekat Aqil.” Laju budak itu meninggalkannya.

“Aqil! Mama bukannya marah Aqil pun.” Faira mengeluh. Aku tak marah pun dia. Yang budak itu tiba-tiba emosi, kenapa?

Dia kembali ke kafe semula. Namun, langkahnya mati apabila melihat abangnya dengan yang lain keluar daripada kafe tersebut.

“Kenapa ni abang? Kenapa semua orang keluar? Ada apa-apa yang berlaku dekat dalam kafe itukah?” Faira kehairanan.

“Abang saja nak bawa semua keluar ambil angin.”

Berkerut wajah anak dara itu. Dia menoleh ke sisi kiri. Dia perasan perubahan air muka Zahwan. Tadi, elok saja gembira tapi kenapa dah masam mencuka pula wajah dia ini?

“Abang Zahwan okey tak?”

Zahwan memandangnya dengan senyuman palsu. “Abang okey saja.” Balasnya. Dia merunung wajah manis itu sambil menggenggam hadiah yang dia sembunyikan di dalam poket seluarnya. Kenapa kau tinggalkan hadiah yang aku beri pada kau begitu saja? Kalau budak tu tak datang tadi sudah tentu kau buka hadiah ni, kan. Aku nak sangat kau tengok hadiah yang aku beri ini.

“Abang Zahwan. Abang Zahwan.” Faira melambai-lambai tangannya di hadapan wajah lelaki itu.

Zahwan tersentak. “Maaf. Abang mengelamun tadi.”

Faira mahu membalas kata-kata Zahwan tetapi dihalang oleh abangnya pula. Tergamam Faira apabila abangnya tiba-tiba menutup matanya dengan penutup mata.

“Abang Farish! Faira tak nampaklah.” Faira mahu menarik penutup mata itu tetapi berjaya dihalang oleh Farish.

“Diam. Faira kena tutup mata juga.”

“Kenapa pula? Faira tak selesalah.” Rungutnya.

“Nanti Faira tahulah. Sekarang Faira kena ikut abang.”

“Ke... ke mana?!” Cuak. Ke mana mereka bawa aku ni?

Setiap arahan yang diberikan oleh abangnya itu diturutinya. Sekejap abangnya suruh melangkah. Sekejap abangnya suruh memanjat dan kemudian duduk. Dia merasakan tempat yang dia berada sekarang itu sedang bergerak.

“Abang kita naik apa ni?” Tanya Faira. Panik.

“Faira rasa kita naik apa?”

Faira meraba-raba di sekitarnya.

“Entah. Kereta?”

“Bukan.”

“Faira kau tau tak kenderaan ni besar.” Alya menyampuk ke belakang. Zahwan duduk bersamanya di tempat duduk hadapan dua beradik itu.

“Besar? Eh, kejap. Umi dengan Aqil mana? Tak dengar pun suara mereka?”

“Umi, mak aku, mak ngah dengan suami dan juga Pak long kau dah naik kereta lain. Aqil ada dengan mereka.”

“Yang lain?”

“Ada di kenderaan lain.”

Makin berkerut Faira memikirkannya.

“Apa sebenarnya ni abang? Alya? Kenapa semuanya naik kenderaan yang berbeza. Korang nak bawa Faira ke mana ni, hah?”

“Faira. Boleh tak kau diamkan saja mulut kau tu. Banyak soal betul kau ni. Baik kau tidur atau imaginasi tentang putera idaman kau. Tak pun, kau baiki otak kau tu sampai kau ingat benda lepas. Nanti, sampai kami bagitahulah.” Faira menyampuk sekali lagi.

Faira mencebik. Sudahlah dia tidak nampak apa-apa. Di marah lagi dengan teman baik sendiri.

Dia membetulkan posisi duduknya dan menyandar di kerusi sambil berpeluk tubuh. Farish tersengih kecil melihat tingkah adiknya itu. Mereka kemudiannya senyap sepanjang perjalanan ke destinasi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience