BAB 19

Romance Completed 137457

QALISHA’Qil STAR CRUISE. Bunyi hon besar mengejutkan Faira. Tangannya menggenggam kuat tangan abangnya itu. Langsung tidak mahu melepaskannya.

“Okey. Faira boleh buka penutup mata tu.” Arah Farish. Dia melepaskan genggamannya dan berundur setapak ke belakang.

Faira membuka penutup mata. Dia terkejut. Sekarang mereka berdua berada di kawasan pelabuhan kapal dan di depannya ada sebuah kapal layar yang sangat besar.

“Qalisha’Qil Star Cruise? Kapal mewah siapa ni abang Farish? Kenapa bawa Faira ke sini? Mana yang lain? Aqil? Umi?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut mungil itu. Hatinya dipagut risau. Tiada seorang pun manusia di situ melainkan mereka berdua.

“Faira. Faira. Faira nak abang jawab soalan yang mana satu ni, huh?”

“Semua.” Jawabnya laju. Matanya meliar di sekitar kawasan yang begitu asing baginya itu.

“Tenang. Tenang. Tak payah takut.”

“Macam mana nak tenang kalau mereka semua tak ada. Tadi elok saja mereka dengan kita. Lepas tu, tiba-tiba hilang. Alya dengan abang Zahwan pun tak ada. Hanya Faira dengan abang saja dekat tempat asing ni. Faira tak naklah apa-apa buruk berlaku di hari lahir Faira ni.” Perasaannya tidak senang dengan situasi ini.

Farish ketawa. “Adik abang ni macam-macamlah. Tak payah nak berfikiran negatif sangat. Semuanya selamat sajalah. Mereka semua dah masuk dalam kapal ni.” Farish menjuih ke arah kapal layar yang besar di depan mata.

“Sini? Betul? Aqil?” Dia masih ragu-ragu dan tidak percaya.

“Betul. Sebenarnya Aqil yang nak kita semua ke sini. Dia ada kejutan untuk Faira. Kalau nak tahu kejutannya kenalah masuk dalam. Tengok apa yang ada dekat dalam tu.” Farish menolak Faira masuk ke dalam kapal.

Faira teragak-agak. Kakinya masih takut-takut hendak melangkah masuk ke dalam kapal besar itu.

“Tapi kenapa kapal besar? Kenapa tak buat saja kejutan tu di tempat lain?”

“Suka hati si Aqillah. Lagipun dia cucu jutawan. Suka hati budak itulah nak guna duit dia.”

Faira angkat kening sebelah. Dia tidak percaya dengan kata-kata abangnya itu.

“Tak. Ini mesti dia pujuk papa dia tu. Ini mesti kerja papa dia ni.” Faira mengetap bibir. Farish geleng kepala.

“Apa-apa pun kita masuk dulu. Semua orang tunggu tu. Lagipun, kita nak belayar sepanjang cuti sekolah ni. Balik sini sehari sebelum hari sekolah bermula.”

“Apa?!” Faira tercengang. Mahu sahaja dia melarikan diri tetapi keluarganya yang lain sudah berada di dalam.

Dia menggeram. Terpaksalah ikut belayar.

“Takkan pergi macam ni saja. Pakaian semua...”

“Tak payah risaulah. Umi dah siapkan pakaian Faira masa Faira pergi rumah Alya semalam. Yang lain pun macam tu juga.”

Patutlah aku pelik pagi tadi. Pakaian aku dalam almari tinggal separuh lagi. Rupanya umi dah ambil separuh bawa sini.

“Tak payah nak buat muka sangat. Jom, masuk.”

SUASANA dewan utama Q’Star dalam kapal layar itu sungguh meriah sekali. Semua tetamu jemputan yang ada di dalam dewan itu nampak bergaya. Puan Daliya dengan yang lain juga tidak kurang cantiknya. Mereka berpakaian kurung moden. Anak-anak remaja mereka pula ada yang berpakaian gaun hingga paras lutut dan ada juga yang berkebaya. Sementara laki-laki pula berpakaian kasual dan pakaian-pakaian mereka itu semuanya dari jenama yang mahal. Itu semua adalah hadiah pemberian daripada keluarga Aqil.

Puan Daliya membetulkan kain sarungnya sebelum melabuhkan punggung di meja tetamu bahagian depan. Wajahnya langsung tiada senyuman. Hanya puan Zaliah sahaja yang tersenyum-senyum apabila tetamu memandang ke arahnya.

“Daliya. Tak payahlah kau pamer wajah tegang kau tu. Ini majlis besar. Cubalah senyum sikit.” Tegur puan Zaliah. Baru mereka berdua yang ada di meja bulat itu.

Di dalam dewan ini, setiap meja mempunyai enam buah kerusi. Meja tetamu di bahagian belakang sudah hampir penuh. Di bahagian depan pula hanya tinggal beberapa meja lagi yang kosong.

“Aku nak senyum macam mana, Zaliah. Aku tak sukalah semua ni.”

“Kau tak suka sebab kau tak biasa. Cuba kau tenang dan berfikiran terbuka sikit. Rasai keseronokkan majlis besar ni. Aku pasti kau akan sukakannya.” Katanya sambil membetulkan cucuk sanggul di rambutnya.

“Kau saja yang begitu. Aku tak. Aku memang tak suka benda-benda ni semua. Apatah lagi bila bercampur dengan orang-orang kaya macam mereka.”

“Sebab tu aku suruh kau berfikiran terbuka sikit. Aku tahu kau pasti akan fikir benda-benda yang buruk pasal mereka-mereka ni semua. Kau jangan pandang mereka macam tu, Daliya. Pandang dengan hati. Kalau kau pandang dengan mata kasar memang kau akan kata mereka ini semuanya jahat dan pentingkan diri. Tapi, kalau kau pandang dengan mata hati dan menilai mereka pasti kau akan dapat tengok kebaikan mereka tu.” Nasihat puan Zaliah.

Puan Daliya menjelingnya.

“Sebelum kau suruh aku berfikiran terbuka, kau tengok dulu orang-orang di sekiling kau ni. Kau tengok penampilan mereka dengan kita. Jauh beza tau. Aku lagi suka dengan pakaian kurung biasa yang aku pakai tadi. Aku tahu puan Alina buat macam ni mesti sebab tak nak kita malukan dia, kan?”

“Daliya. Daliya.” Puan Zaliah menggeleng kepala.

“Bila masa pula puan Alina tu nak malukan kita. Bukankah dia kata tadi pakaian-pakaian ini semua hadiah untuk kita. Kalau dia nak malukan kita sudah tentu dia layan kita dengan sinis tadi.”

Sewaktu mereka datang tadi, Madam Alina dan juga suaminya menyambut mereka dengan mesra sekali. Semua kemudahan di dalam kapal layar untuk mereka sudah disediakan oleh pasangan suami isteri itu. Percuma lagi. Bukan itu sahaja malah mereka juga menyediakan hadiah di setiap bilik penginapan mereka. Pakaian-pakaian yang mewah dari pelbagai jenama, gaya dan juga saiz.

“Sebelum ni pun kau ada cerita yang puan Alina dengan cucu dia ada datang rumah kau. Layanan puan Alina mesra, kan. Dia langsung tak tunjukkan sifat-sifat buruk dia, kan.”

Serta merta memori itu berlegar di kepalanya. Ya, sepanjang Madam Alina dengan Aqil di rumahnya mereka tidak menunjukkan pun sikap-sikap negatif mereka padanya. Malah, memujinya lagi.

“Dia ingat kita ni kemaruk nak duit diakah?”

Serentak dua wanita itu menoleh ke belakang.

“Siapa yang kak ngah cakap ni?” Soal puan Daliya. Wajah kakaknya itu nampak bengis dan tidak puas hati.

Puan Qayla menghenyakkan punggung dengan kasar. Puan Daliya dengan puan Zaliah hanya memerhatikan sahaja tingkahnya. Elok-elok wajah dia cantik dengan mekap tapi nampak hodoh sebab buat muka bengis macam itu.

“Siapa lagi kalau bukan perempuan tu. Isteri orang kaya tu. Hina sangatkah pakaian yang kita pakai sebelum ni? Atau dia malu kalau kita tampil sini dengan pakaian buruk kita tu?” Puan Qayla mendengus geram.

Puan Zaliah tepuk dahi. Seorang lagi yang berfikiran negatif. Kakak dengan adik sama sahaja. Tak pernah nak berfikiran positif dan terbuka.

“Qayla, boleh tak jaga sikit mulut kau tu. Tak baik cakap macam tu tau.” Tegur puan Zaliah.

“Ini mulut aku. Bukan mulut kau.” Balasnya. Dia memandang adiknya pula.

“Eh, Daliya kau dengar sini. Kau jangan sesekali terima anak orang jutawan tu. Bukan boleh percaya sangat orang-orang kaya ni. Depan saja buat muka baik. Nanti, kalau anak kau dah kahwin dikuli-kulinya anak kau tu sampai mati.”

“Ya Allah. Sudahlah Qayla. Cukup-cukuplah tu. Kenapa kau buruk sangka sangat dengan mereka tu, hah?” Mahu sahaja puan Zaliah melepaskan marahnya di situ. Tetapi, ditahan olehnya.

Di kampung, semua orang kenal dengan sikap buruk puan Qayla yang satu ini. Sikap yang suka mengata dan bersangka buruk terhadap orang lain. Kadang-kadang adik-beradik puan Qayla juga tidak suka dengan sikapnya itu. Mereka mahupun orang-orang kampung hanya pekakkan telinga sahaja apabila puan Qayla mengata mereka.

“Aku bukan buruk sangka. Tapi apa yang aku kata ni kenyataan. Semua orang kaya begitu. Mana ada hati mereka hendak bermenantukan orang miskin macam kita ni.” Puan Qayla mencebik.

Puan Daliya dan puan Zaliah beristighfar dalam hati.

Kesian abang Halim. Dapat bini lawa tapi mulut longkang. Dah di tegur pun masih tak nak dengar, kata puan Zaliah dalam hati.

“Kalau akulah, Daliya. Aku lagi suka Faira tu dengan anak saudara suami aku si Amzar tu. Budak tu tua setahun dari si Faira. Budaknya baik. Alim lagi.”

“Tak payahlah kak ngah nak kenankan anak Daliya dengan anak saudara suami kak ngah tu. Daliya tak suka. Selagi Faira tak ingat memori lepas dia selagi itulah Daliya tak benarkan dia jatuh cinta dengan siapa-siapa pun.”

“Sampai bila kau nak tunggu ingatan Faira tu pulih, hah? Kau nak si Faira tu jadi andartukah?”

Puan Daliya terdiam mendengar perkataan ‘andartu’ itu. Tidak terlintas langsung perkataan itu dalam fikirannya.

“Tapi...”

“Tapi apa?” Tajam matanya menusuk ke anak mata puan Daliya.

“Eh, Daliya. Kau dengar saja cakap aku ni. Kau ingat lelaki kaya tu baik sangatkah, hah? Entah-entah, tiap-tiap malam pergi kelab. Berfoya-foya. Kau nak menantu macam itukah?”

“Sudahlah Qayla. Tak payah kau nak kusutkan fikiran adik kau tu. Lagipun, kau bukan umi si Faira. Yang layak buat keputusan itu umi dengan abang dia. Bukannya kau.”

“Itu aku tahulah. Tapi tak salah kan aku bagi cadangan.” Dia menjeling puan Zaliah.

“Tak salah. Tapi cara kau tu macam nak memaksa orang saja aku dengar.”

“Kau apa tahu. Hah, yang anak kau tu pula bila nak kahwin? Dah ada calon suami? Kalau tak ada aku carikan untuk dia. Pasangan untuk kau pun aku boleh carikan sekali. Lagipun kau dah lama menjanda, kan.”

Puan Zaliah mengetap bibir. Mahu sahaja dia cili mulut itu. Sabar, Zaliah. Sabar. Kau bertenang.

Puan Zaliah memandang puan Qayla dengan senyuman.

“Simpan sajalah rasa mahu tolong kau tu. Kau tak payah nak carikan laki untuk aku dengan anak aku. Pasal si Alya tu pula aku tak kisah pun kalau anak aku tu tak kahwin lagi. Aku bukan jenis ibu yang nak paksa anak dia berkahwin. Kalau kau nak sangat cari calon menantu, kau cari sajalah untuk anak-anak kau tu. Lagipun si Qirisya tu dah habis sekolah, kan. Kau kenankan sajalah dia dengan anak saudara suami kau tu.” Puan Zaliah mengenakannya balik.

Puan Qayla menggeram. Panas sungguh hatinya bercakap dengan puan Zaliah itu. Dia berdiri dan berpindah ke meja sebelah. Lebih baik dia duduk dengan anak, suami dan cucunya di meja sebelah.

“Sakit pula hati aku dengan kakak kau tu.”

“Kau ingat kau saja yang sakit hati. Aku dengan abang aku pun tak suka dengan perangai dia. Dah berapa kali abang aku tegur dia tapi dia buat tak tahu saja. Aku lagilah. Mana dia nak dengar cakap orang yang lagi muda dari dia.”

“Aku doakan saja dia tu berubah. Asyik nak bercakap buruk saja pasal orang.” Puan Zaliah menjeling puan Qayla yang duduk bersama keluarganya.

“Sudahlah bercakap pasal kakak aku tu. Ni, meja kita baru kita berdua. Mana yang lain?” Puan Daliya tercari-cari ahli keluarganya yang lain. Kelihatan Madam Alina dan suaminya datang menghampiri mereka.

“Puan Daliya dengan puan Zaliah sudah ada di sini rupanya.” Tegur Madam Alina. Dia mengambil tempat di sebelah puan Daliya. Tuan Hafizuddin meminta diri ke tempat cucu dan anaknya yang sibuk menguruskan meja di atas pentas kecil itu.

Tersenyum-senyum sahaja dua wanita itu.

“Puan Alina nampak Faira dengan Alyakah? Dari tadi tak nampak batang hidung mereka tu.”

“Oh, tadi saya berjumpa dengan mereka berdua. Mereka masih di dalam bilik. Tak siap lagi.”

“Yakah.”

Mereka bertiga meneruskan perbualan lagi sementara menunggu yang lain tiba di dewan ini.

KAPAL layar Qalisha’Qil Star Cruise berlayar meninggalkan pelabuhan sejak sejam yang lalu. Tiupan angin yang agak kuat di atas geledak menampar kulit wajah masam itu. Zahwan mengeluh seorang diri di situ. Tiada perasaannya mahu menyertai acara dalam dewan Q’Star.

“Sini pula kau. Puas aku cari kau dekat dalam tu. Rupanya, ambil angin dekat sini.” Farish menegurnya. Sebentar tadi dia berurusan dengan Qaiz tentang hal Faira.

“Aku malaslah nak pergi majlis tu.”

Farish merenungnya. Dia tahu apa yang sedang bermain difikiran teman baiknya itu.

“Pasal Fairakah?”

Zahwan menghela nafas. Dia menundukkan wajah sambil meramas kasar rambutnya.

“Aku tak tahulah apa aku nak buat sekarang ni.” Sekali lagi dia menghela nafas.

Farish menepuk lembut bahu Zahwan. Dia cuba menenangkan diri temannya.

“Kenapa kau ada dekat sini pula? Bukankah sepatutnya kau ada bersama dengan adik kau sekarang ni?”

“Dia dengan Alya. Jadi aku tak risau sangat.”

Zahwan tersenyum nipis.

“Aku minta maaflah Zahwan. Sebab itu saja yang aku dapat bantu kau. Yang lain terserah pada diri kau untuk dapatkan cinta adik aku.”

Farish sebenarnya kasihan dengan Zahwan kerana teman baiknya ini sudah lama menaruh harapan pada adiknya. Cuma tidak ada peluang untuk meluahkan hasrat di hati. Lagipun, mereka jarang berjumpa.

Sejak pertama kali Zahwan melihat Faira dia sudah jatuh hati pada perempuan itu. Zahwan mengenalinya pun semasa mengunjungi rumah Farish. Farish selalu mengajaknya ke rumah untuk makan bersama. Lagipun, Zahwan tinggal berseorangan dan keluarganya tidak ada di sini. Keluarganya tinggal luar daripada kota Allend ini.

“Aku hampalah Farish. Kau tau tak aku teruja sangat bila dia terima hadiah aku tadi. Tapi aku kecewa. Kalau budak tu tak datang kacau dia, sudah tentu dia buka dan tengok isi di dalam hadiah tu. Habis rosak rancangan aku hendak meluah perasaan pada dia.” Dia meramas kasar rambutnya.

“Kenapa kau tak tahan dia? Suruh dia buka hadiah tu sebelum pergi.”

“Aku tak terfikir pun nak buat begitu. Kecewa sangat, kan.” Tubuhnya disandarkan pada penghadang kapal layar.

“Haaih... melepaslah kau, Zahwan. Kau tau tak sekejap lagi anak jutawan tu nak buat kejutan untuk dia.”

“Suka hati lelaki itulah nak buat kejutan untuk dia. Aku tahu, Faira tak suka dengan kejutan yang dia buat ni. Kau pun kenal adik kau tu macam mana, kan. Dia lagi suka majlis yang simple.”

Farish senyum. Dia memang kenal sikap adiknya itu. Walaupun, Faira hilang ingatan tetapi sikap dulunya tidak pernah berubah.

“Tapi tak apa. Aku tak akan berputus asa untuk dapatkan cinta adik kau. Hari ini hari dia. Hari lain hari aku pula dan aku akan pastikan masa itu aku akan luahkan isi hati aku padanya.” Tiba-tiba Zahwan bersemangat.

Farish terdiam. Tak mungkin kau akan menang cinta adik aku, Zahwan. Lelaki itu kenal Faira dulu sebelum kau.

Farish rasa bersalah. Tapi dia sudah berjanji dengan Qaiz agar tidak bercerita mengenai hubungan lelaki itu dengan adiknya. Dia mahupun orang lain tidak boleh masuk campur dalam masalah mereka berdua. Farish menghela nafas berat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience