BAB 49

Romance Completed 137457

LIMA hari telah berlalu. Rindu sungguh Faira dengan anak-anak muridnya di Sekolah Rendah Polaris itu. Tapi, sayang sekali dia tidak diterima mengajar ke sana lagi. Ini semua gara-gara mereka berdua itulah!

Faira mengetap bibir. Sisa marahnya masih lagi ada. Namun setiap kali dia hendak membalas Qaiz, lelaki itu ada sahaja cara untuk mendiamkannya. Hendak merajuk pun tidak jadi. Kalau dia merajuk sekali pun pasti lelaki itu akan bawa Aqil untuk memujuknya.

Faira menarik nafas panjang sambil mendongak ke langit malam. Dia menyendiri di halaman rumah melayan perasaan. Selain Qaiz dia juga berfikir tentang Zahwan. Dia tidak sangka selama ini Zahwan menyimpan perasaan terhadapnya. Jadi kekok terus dia apabila berjumpa dengan lelaki itu. Mungkin sebab selama ini dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap lelaki itu selain daripada hubungan persahabatan mereka.

“Faira!”

Faira tersentak. Dia mengurut dada.

“Kau ni Alya! Nasib baik aku tak ada sakit jantung tau.” Faira menjelingnya.

“Aku tengah sakit hati ni. Aku geram dengan si Shazwan tu.” Luahnya kasar. Dia menarik kerusi lalu duduk.

“Pasal apa pula kau geram dengan dia tu, hah?” Faira membetulkan posisi duduknya.

“Kau tahu tak? Adakah patut dia bawa aku jumpa keluarga dia. Aku apa lagi. Menggelabahlah. Cuak bila keluarga dia tanya itu ini dengan aku.” Alya mendengus geram.

“Nak dekat seminggu pula tu tinggal dekat sana.” Sambungnya lagi.

“Oh, patutlah.” Uminya ada juga memberitahunya pasal cerita ibu Alya itu tetapi tidak semua didengarinya. Temannya ini pun satu. Bukan ingat nak mesej dia. Bagitahu dia ke mana dia pergi.

“Okeylah tu. Yang penting keluarga dia dah terima kau, kan.”

“Ya. Tapi masalahnya aku tak bersedia lagi. Lelaki tu pula paksa-paksa aku kahwin dengan dia.” Alya mencebik pula.

“Eleh. Paksa-paksa pun kau terima juga, kan.” Faira menjelingnya.

“Yang kau tu. Bukan main sakit lagi mata ni bila benda tu bercahaya tau.” Alya perasan sesuatu pada diri temannya itu. Tangannya pura-pura menutup wajah seolah-olah benda yang dia lihat itu bercahaya.

“Bercahaya apa?” Faira bingung. Dia pandang kiri kanannya. Tidak ada pun benda bercahaya yang dimaksudkan oleh temannya ini. Hanya cahaya lampu rumah sahaja yang ada di situ.

“Itulah. Benda yang melekat dekat jari manis kau tu.”

“Oh, ini.” Faira menunjukkan cincin emas putih berlian yang tersemat di jari manisnya itu.

“Cincin dari siapa? Mr. Richest kau itukah?”

“Siapa lagi kalau bukan lelaki tu. Aku nak buka benda ni pun tak boleh tau.” Rungutnya.

Alya mengerutkan dahi. “Kenapa pula?”

“Yalah. Aku dah cuba buka cincin ni dua hari lepas. Kau tau apa jadi?”

“Apa?”

“Aku punyalah terkejut besar. Tiba-tiba saja orang-orang si Mr. Richest tu meluru masuk ke sini kepung aku. Siap bagi amaran lagi. Kalau aku buka cincin ni aku akan di heret ke tempat majikan mereka.”

Membulat mata Alya mendengarnya. Dia menekup mulut. “Biar betul?!”

“Ya. Abang aku ada bagitahu lagi dengan aku semalam. Rumah aku dengan rumah kau dah ada penjaga. Dua lelaki tu dah sediakan pengawal-pengawal peribadi untuk kita.”

“Sampai begitu sekali?!”

Faira angguk lemah. Dia mengeluh.

“Bukan pasal ni saja. Kau nak dengar lagi cerita aku tak?”

“Cerita apa lagi?” Alya menongkat kepala sambil memandang Faira. Jari kirinya bermain-main di atas meja halaman itu.

“Aku tak sangka pula selama ni abang Zahwan ada hati dekat aku.”

“Hah?!” Alya membeliakkan matanya.

“Jadi, apa jadi?”

“Aku tak tahu apa yang dia dengan si Mr. Annoying tu bincangkan masa tu. Tapi lepas saja daripada perbincangan mereka, abang Zahwan minta ruang untuk bercakap dengan aku. Dia luahkan isi hatinya pada aku. Lepas tu dia kata nak mengalah. Dia cakap dia tak setanding dengan lelaki tu.” Faira menjatuhkan kakinya ke tanah.

“Uiyoo! Aku tak sangka pula kawan abang kau tu ada hati dengan kau selama ni.”

“Aku pun terkejut bila dia luah macam tu. Kau nak tau lagi?”

“Banyak pula cerita kau ni. Apa dia?” Alya menggaru sikunya yang terasa gatal.

“Pasal dua lelaki misteri yang datang ke kafe abang aku.”

Kening Alya bertaut. “Lelaki misteri? Apa pula mereka buat dekat sana?”

Faira jungkit bahu. “Manalah aku tahu. Tapi dari cara mereka tu aku rasa masa tu mereka macam cari aku.”

“Hah?! Buat apa pula mereka cari kau? Kau kenal merekakah?”

“Bukan aku kenal pun.” Faira memuncungkan mulut. Dalam diam dia masih memikirkan amaran pengetua Shaun. Sampai sekarang dia tidak bagitahu siapa-siapa lagi tentang hal tersebut. Dia tidak mahu mereka risau dengan dirinya.

FARISH dan teman baiknya keluar mengambil angin malam di sekitar tasik Nerium. Kedua-duanya duduk bersantai di atas rumput dekat dengan tepi tasik itu.

Zahwan berbaring di atas rumput sambil melihat bintang-bintang berkelipan. Perlahan-lahan dia menarik nafas dan menghembuskannya semula.

“Kau kenapa?” Tanya Farish sambil melontar batu-batu kecil ke dalam tasik yang tenang itu.

“Aku sebenarnya risau dengan adik kau tu.”

“Kau risau sebab adik aku dalam bahayakah?”

“Ya. Aku tak kisah kalau dia tolak cinta aku. Tapi aku nak melindungi dia, Farish.”

Farish tersenyum nipis.

“Boleh saja kalau kau nak melindungi adik aku. Tapi, janganlah sampai bahayakan diri kau dalam rancangan si Qaiz ni. Dia dengan kau lain. Kau seorang saja. Qaiz pula berpengaruh. Banyak pengawal peribadi. Tambah lagi dengan bantuan-bantuan khas dia tu. Kalah kau, Zahwan.”

“Kalah bukan masalahnya. Aku tak kisah pun kalau aku seorang. Aku sanggup bahayakan diri aku untuk lindungi dia.”

Farish terharu mendengar kata-kata Zahwan itu. Tetapi dia tidak mahu temannya ini membahayakan diri kerana seorang perempuan.

“Tak payahlah kau bahayakan diri kau. Aku tak nak kau mati katak.”

Zahwan tersenyum kecil. “Itu keputusan aku, Farish. Adik kau tu cinta pertama aku. Bukan mudah aku hendak melepaskan dia begitu saja. Tak apalah kalau dia tak cintakan aku. Tapi aku tak sanggup kalau ada apa-apa terjadi pada dia.”

Farish tersengih. “Aku ingatkan kau okey bila Faira tolak cinta kau.”

“Huh! Okey kau kata?” Zahwan bangun.

“Sampai sekarang hati aku ni masih luka. Kau ingat senangkah nak keluarkan dia dari hati aku ni? Semua tu kena ambil masa juga.”

“Haaihlah... kawanku ni.” Farish menepuk bahu Zahwan.

“Aku doakan kau sajalah. Semoga hati luka kau tu cepat sembuh dan semoga kau bertemu jodoh dengan perempuan yang jauh lebih baik lagi daripada adik aku tu.”

Zahwan hanya membalas dengan senyuman.

“Sudahlah. Duduk lama-lama dekat sini pun bukannya dapat apa-apa. Baik kita pergi cari makan.” Farish berdiri. Lagi lama mereka duduk di situ lagi emosilah temannya ini memikirkan si Faira.

“Kita nak makan dekat mana?” Zahwan turut sama berdiri dan merapikan pakaiannya.

“Mana-mana sajalah. Asalkan makanan tu memuaskan hati aku.”

Farish dan Zahwan ketawa sama. Mereka terus meninggalkan tempat tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience