BAB 66

Romance Completed 137457

MATA dan mulutnya ditutup dengan kain hitam. Tangan dan kakinya diikat ketat sehingga tubuh itu tidak boleh bergerak. Dia diangkat dan dibawa masuk ke dalam gudang lama yang terbiar. Faira dicampak kuat ke lantai yang berair itu.

Dalam keadaan mata yang tertutup dia menangis. Faira tidak pernah menyangka hal seperti ini akan berlaku pada dirinya. Dia betul-betul berasa takut. Dia hanya mampu berdoa dalam hati.

“Faira Alisha!” Suaranya bergema di ruang itu seiring dengan tawa besar. Dengan gaya lenggang-lenggoknya dia berjalan mendekati Faira.

Faira berhenti meronta saat pipinya disentuh dengan kuku tajam.

“Akhirnya aku dapat kau juga. Aku ingatkan kau dah mati dalam kemalangan tu. Tak sangka pula masih hidup lagi.” Muncung pistol di main-mainkan di pipi Faira.

“Tapi kali ni, kau jangan haraplah boleh hidup lagi.” Dia meludah wajah Faira. Kemudian menjauhkan diri darinya.

“Kau! Buka benda tu.” Dia mengarahkan Max membuka penutup mata dan juga penutup mulut itu.

“Aku dekat mana ni?” Terkebil-kebil Faira melihat sekelilingnya.

“Kau rasa?” Dia memandang orang-orangnya yang berdiri di belakang Faira. Mereka sama-sama tersenyum sinis.

“Talita! Lepaskanlah aku. Kenapa kau buat aku begini, hah?!” Jerit Faira.

“Kau tanya aku?” Ditunjal-tunjalnya dahi si Faira.

“Sakitlah!” Faira mendengus kasar.

“Tahu sakit. Hei, perempuan! Kau sendiri tahu kenapa aku buat kau macam ni. Sebelum ni kau buat-buat lupa dengan amaran aku, kan. Sekarang inilah balasan kau. Keluarga kau tak mati tapi kau yang mati!”

“Kalau disebabkan Qaiz, aku dah cuba jauhkan diri dari dia. Tapi dia... dia tetap nak dekat dengan aku balik.”

“Kau ingat aku percayakah?!” Talita merenung dengan penuh amarah. Dia menyuruh Akker mengambil tin minyak dekat dengan pintu masuk gudang.

“Apa kau nak buat dekat aku ni, hah?” Faira menggelabah.

“Aku nak bakar kau hidup-hidup.” Jawabnya tanpa belas kasihan. Dia mundar-mandir di situ sambil menunggu orangnya membawa tin minyak itu ke sini.

“Kau tau tak Faira. Dulu, aku dengan Qaiz sangat mesra. Apa yang aku nak semua dia bagi. Tapi, aku tak faham kenapa dia tiba-tiba nak putus dengan aku. Aku cuma tahu masa tu dia dah rapat dengan kau.”

“Talita, aku memang tak tahu apa-apa masa tu. Aku tak tahu pun tunang misteri kau tu si Qaiz.”

“Tak tahu kau kata?!” Wajahnya bengis. Laju tangannya menarik tudung Faira ke belakang.

“Dah terang-terang tajuk gosip tu anak jutawan, kan. Atau kau memang tak tahu Qaiz tu anak jutawan masa tu?”

Baru sahaja Faira mahu menjawab, Akker datang semula dengan tin minyak di tangannya.

“Ta... Talita tolonglah jangan buat macam ni.” Pinta Faira apabila melihat lelaki itu membuka penutup tin minyak.

Talita menjelingnya. Rayuan itu langsung tidak diendahkan olehnya. Dia menarik tin minyak dari tangan Akker. Baru sahaja dia mahu menuang minyak itu di kepala Faira ada pula suara lain menghalangnya.

“Sabar dulu Talita.”

Talita mendengus. Marah. “Kenapa you halang I, hah?!”

“Sekejaplah. I nak cakap dengan dia dulu.” Kata pengetua Shaun.

Talita menjulingkan mata ke atas. Dia terus ke tepi.

Pengetua Shaun berdeham. Dia menyuruh semua orang ke tepi kemudian mengheret Faira ke tempat kering. Faira yang mengadu kesakitan itu langsung tidak dipedulikan olehnya.

“Pengetua Shaun, saya tak sangka pengetua begini.” Faira mendesit kesakitan. Bahagian kakinya yang diheret tadi sudah bercalar.

Pengetua Shaun ketawa. Dia duduk bertinggung di hadapan Faira. “Saya dah lama jadi orang jahat, Faira. Cuma awak dengan yang lain saja yang tak nampak.”

Faira mahu ketawa mendengarnya. Bila teringat rakaman-rakaman itu dia rasa sakit hati pula. Mahu marah.

“Ya, memang saya tak nampak. Tapi saya tahu apa yang pengetua Shaun buat sebelum ni.” Sinis nadanya.

Lelaki itu pandang ke tepi. Dia senyum miring. Tutur kata itu membuatkan hatinya panas. Tangan yang dikepal tadi terus menerkam wajah lembut itu.

Faira mengadu kesakitan.

“Tahu sakit. Aku rasa tak payahlah aku nak berlembut dengan kau lagi, kan.” Dia menekan wajah Faira sehingga perempuan itu mendesit.

“Sebelum kau mati aku nak kau bagitahu aku dulu. Mana semua bukti-bukti tu, hah?!”

“Bu... bukti a... apa?” Sukar dia hendak bersuara dengan tangan yang masih mencengkam wajahnya.

“Buktilah! Aku tahu kau simpan bukti-bukti tu semua. Dua tahun lepas, kau ada rakam kejadian tu, kan?”

Faira diam.

“Kau juga yang pergi selamatkan si Aqil tu, kan?”

Faira masih tidak membalas. Sebolehnya dia mahu mengawal reaksinya yang agak terkejut dengan kata lelaki itu. Entah, macam mana lelaki ini tahu yang dia ada di tempat kejadian?

“Mesti kau hairan, kan?” Pengetua Shaun berdiri.

“Masa tu, aku berdiri tak jauh pun dari kau. Aku nampak apa yang arwah bagi dekat kau. Dia ada suruh kau simpan sesuatu, kan? Aku tahu itu adalah bukti-bukti yang aku nak. Jadi, sekarang ni kau bagitahu aku di mana kau simpan benda-benda tu semua?”

Faira telan liur. Pengetua Shaun mengacukan pistol ke arahnya.

“Hei, Faira! Kau ingat kemalangan tu terjadi secara kebetulankah? Semuanya di rancanglah, kau tau tak.”

Bulat mata Faira memandang Talita.

“Kemalangan dua tahun lepas tu sebenarnya rancangan aku, Faira. Aku memang sengaja buat semua tu. Aku nak bunuh anak saudara aku sendiri dan juga ahli keluarga dia. Sebab dia tak nak bekerjasama dengan aku. Dia tak nak tolong aku dapatkan dokumen-dokemen harta milik jutawan tu. Dia lebih menyebelahi keluarga mertua dia berbanding aku ni. Isteri dia pula tahu semua rancangan aku. Aku dah bagi amaran dah dekat dia orang tu tapi malangnya seorang pun tak nak dengar.”

Tidak sangka orang yang selama ini dia hormat sebagai pengetua cemerlang di Sekolah Rendah Polaris itu rupanya seorang yang sangat kejam. Bertahun-tahun dia sembunyikan identitinya. Tapi, kenapa tiada yang pernah mahu siasat dan menangkapnya?

“Kau dah kaya kenapa nak harta mereka lagi? Kau ni langsung tak pernah bersyukur, kan.”

“Ya. Aku memang kaya. Tapi, aku tak puas dengan kekayaan yang aku ada. Aku nak lebih daripada tu lagi dan disebabkan itu aku sanggup buat apa saja. Aku sanggup bunuh mereka kalau mereka tak jayakan rancangan aku.”

Faira bagaikan tidak percaya.

“Untuk pengetahuan kau juga Faira.” Talita pula mencelah.

“Aku juga macam dia. Tapi aku tidaklah gila harta. Aku cuma gilakan si Qaiz tu saja. Aku tak nak ada perempuan lain suka dengan dia melainkan aku seorang saja.”

Tiba-tiba pengetua Shaun memeluk bahu Talita. “You ingat sikit yang you tu milik I.”

“I tahulah.” Talita mencebik. Dia memandang Faira semula.

“Aku geram betul dengan kau tau. Cubaan pertama aku kau tak mati. Kemalangan dekat jalan Alpha tu pun kau tak mati juga. Penat-penat aku rancang semua tu.”

Kau ni memang tak pandai jaga mulut, kan. Panas hatinya apabila di kata seperti itu.

“Talita. Apa jenis manusia kau ni, hah?! Bagus-bagus hidup kau tu baik kau jadi penjenayah pula. Eh, kau tak sayangkan diri kaukah, hah?! Kau tak ingatkah setiap apa yang kau buat tu Tuhan nampak?!” Faira sudah tidak peduli. Kalau ditakdirkan mati di sini pun dia rela. Dia melampiaskan kemarahannya pada perempuan itu.

“Ah! Ada aku kisah. Nampak tak nampak, itu hal aku dengan Tuhanlah. Kau nak sibuk apa hal. Apa yang aku nak sekarang ni Qaiz saja. Tapi kau dah ambil dia dari aku!”

Kau memang nak kena dengan aku, kan. Tak apa, kejap lagi kau kenalah dengan si pengetua Shaun tu.

“Kau tau tak kenapa dia tak nak kau lagi? Kenapa dia putus dengan kau? Sebab kau tu perempuan murahan. Qaiz tahulah perangai kau yang sebenar. Cuma dia tahan saja. Tunggu masa sesuai untuk putuskan tunang dengan kau. Perempuan macam kau ni tak layak dijadikan isteri.” Dengan beraninya Faira bersuara lantang di hadapan mereka.

Talita mengetap bibir. Sakit hati dia mendengar ayat itu.

BANG!

Faira menutup matanya. Mengeletar tubuhnya mendengar bunyi tembakan itu.

“Baru satu das aku lepaskan. Itu pun kau dah takut.” Talita menyengih dengan wajah bengisnya. Dia merenung Faira dalam. Hatinya masih tidak puas. Dia mengacukan pistol itu pula ke dahi Faira.

“Sabar dear. Sabar.” Pengetua Shaun menenangkannya.

“Nak sabar macam mana? Dia dah buruk-burukkan I tau.”

“Perangai kau memang buruk pun. Tak sedar diri. Lelaki tukar sana sini.” Faira mencelah dengan berani.

“Eh, pegetua Shaun. Kau ingat dia ni setia dengan kaukah, hah? Aku pernah nampak dia keluar dengan lelaki lainlah.”

Pengetua Shaun tersenyum sumbing. Dia memandang Faira dengan rasa tidak percaya. “Kau ulang balik apa yang kau cakap tadi? Aku tak dengarlah.”

“Aku cakap si Talita ni bukan setia pun. Lepas dari percutian kapal tu aku nampak dia keluar dengan lelaki lain. Bermesra lagi dekat kawasan umum.” Faira menjeling Talita yang sudah cuak.

“Talita!” Pengetua Shaun naik berang.

Talita gerun melihat wajah itu.

“Kau janji kau setia dengan aku walaupun hati kau tu masih dengan Qaiz. Tapi kenapa kau keluar bermesra dengan lelaki lain lagi, hah?!”

“Sh... Shaun. You jangan percaya cakap dia.” Talita ketakutan. Dia tahu dia khianati janji mereka.

Pengetua Shaun naik gila. Dia merampas pistol dari salah seorang anak buahnya.

Faira tidak sabar mahu melihat tindakan pengetua Shaun yang seterusnya. Dua-dua bodoh. Yang satu kaki lelaki. Yang satu lagi kaki perempuan. Kalau si Talita tahu yang pengetua Shaun tu ada skandal dekat sekolah pasti dia mengamuk, kan? Dalam keadaan lemah sempat juga Faira mengutuk mereka.

“Shaun. You jangan begini. I...”

BANG! BANG! BANG!

Belum sempat pengetua Shaun berbuat apa-apa, kedengaran bunyi tembakan bertalu-talu yang datang dari arah luar gudang. Mereka cuak. Pengetua Shaun dan juga Talita terlebih dulu melarikan diri. Max pantas memberi arahan untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Faira dibiarkan di situ sahaja dengan keadaan yang masih terikat. Dia hanya mampu menutup mata dan berdoa untuk keselamatan dirinya.

“Faira!”

Faira buka mata. Kelibat seorang lelaki dari jauh sedang berlari ke arahnya.

Bola matanya semakin besar apabila melihat lelaki itu semakin mendekat. “Qaiz!” Gugur terus air matanya.

“Faira.” Qaiz tidak dapat menahan rasa di hati. Dia terus memeluk perempuan itu. Mujurlah Faira dalam keadaan yang selamat walaupun ada kesan-kesan luka di tubuhnya.

“Shhh... Faira dah selamat. Jangan nangis, ya.” Qaiz menyeka air mata Faira sebelum berpaling ke belakang.

“Kamu semua, tangkap mereka! Jangan ada satu pun yang terlepas.” Arah Qaiz. Dia mencari kelibat pengetua Shaun tetapi tidak ada. Begitu juga dengan Talita.

“Qaiz! Faira!” Shazwan muncul. Dia tercungap-cungap berlari tadi.

“Faira macam mana?” Tanya Shazwan.

“Wajah dia pucatlah Shaz.” Qaiz risau.

“Qaiz... saya...” Faira tiba-tiba rasa lain. Dunianya semakin kelam.

“Sayang kenapa ni? Faira!” Qaiz panik. Faira sudah pengsan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience