BAB 27

Romance Completed 137457

MALUNYA masih bersisa. Dia tidak boleh berhadapan dengan lelaki itu buat masa sekarang. Takut kalau dirinya itu nanti jadi bahan usikan lelaki itu lagi. Jadinya, Faira mengambil keputusan untuk bersiar-siar di atas geledak kapal layar sahaja.

Faira duduk termenung sambil menikmati cuaca petang yang indah. Laut ketika itu sedikit berombak. Sekawan burung berterbangan melimpasi kapal layar. Tenang sedikit jiwanya. Tidak ada yang menganggunya saat ini.

Ketika dia sedang menenangkan diri, ada sesuatu yang telah menarik perhatiannya. Seorang nenek bergelak tawa dengan seorang lelaki. Dia fikir lelaki itu mungkin cucu kepada nenek itu. Dari jauh dia memerhatikan mereka. Lelaki itu sepertinya sedang membuat lawak di depan nenek itu kerana nenek itu asyik ketawa sahaja.

Faira tersentak apabila lelaki itu menoleh ke tepi.

“Abang Zahwan?” Tidak sangka pula lelaki yang dia perhatikan sejak dari tadi itu adalah Zahwan, teman baik abangnya. Faira berdiri dan menghampiri Zahwan dengan nenek itu.

“Assalamualaikum, abang Zahwan.” Sapa Faira.

Zahwan membalas salam dan berpaling. Dia mengernyih lagi menampakkan giginya apabila melihat perempuan yang disukainya itu ada di depan mata.

“Apa abang Zahwan buat dekat sini? Mana abang Farish?” Faira meliau mencari abangnya. Kalau ada Zahwan pasti ada abangnya di situ.

“Oh, abang Faira tak ada dekat sini. Abang seorang saja. Saja, jalan-jalan dekat sini. Lepas tu, nenek ni pula tegur abang. Kami berbuallah sekejap.” Kata Zahwan. Nenek itu tersengih-sengih memandang Faira.

“Siapa ni, cu.” Tanya nenek itu.

“Ini Faira. Adik kepada kawan baik saya yang saya ceritakan pada nek Taya tadi.”

Terangguk-angguk nenek itu memandang Faira.

“Cantik. Manis. Lawa. Comel. Semua ada pada dia ni.” Puji nek Taya.

“Saya tak adalah cantik mana pun, nek.” Faira merendah diri.

“Tapi, nenek tengok kamu memang lawa. Sama lawa dengan perempuan yang nenek jumpa malam tu. Entah, ke mana sudah perempuan lawa tu menghilang. Nenek suka tengok drama dia dengan kekasih dia tu.”

Faira dan Zahwan berpandangan. Siapalah agaknya pasangan kekasih yang dikatakan oleh nek Taya ini?

MELETUS tawa Faira mendengar cerita nek Taya itu. Dia yakin dan pasti pasangan yang dimaksudkan oleh nek Taya itu adalah teman baiknya sendiri dan juga lelaki yang bernama Shazwan.

Tidak sangka pula nek Taya ada bersama dengan mereka malam itu. Cerita nek Taya tentang mereka berdua membuatkan Faira berasa geli hati.

Kata nek Taya, sewaktu Alya hendak melarikan diri malam itu nek Taya menariknya semula. Dia mahu Shazwan dengan Alya buat lawak di depannya. Lagipun, nek Taya ketika itu rasa bosan. Akibatnya, bukan lawak yang nek Taya dapat sebaliknya melihat pergaduhan mereka berdua. Bagi nek Taya, pergaduhan di antara Alya dengan Shazwan malam itu sangat comel di matanya. Shazwan siap panggil pengawal peribadinya lagi untuk sediakan apa yang disuruh olehnya ketika itu.

Faira dengan nek Taya meneruskan lagi perbualan mereka. Zahwan pula tidak mahu menyampuk cerita mereka. Dia hanya memerhatikan Faira sahaja. Dia suka melihat perempuan itu senyum. Ketawa. Cara Faira bertutur itu semua membuatkan hati lelakinya berbunga-bunga. Sesekali Zahwan terlepas tawa kerana tidak tahan melihat kecomelan Faira melayan kerenah nek Taya itu.

“Di sini rupanya nek Taya ni.”

Seorang remaja perempuan datang menegur.

“Siapa mereka ni nek Taya?” Tanya budak remaja itu. Nek Taya tersenyum-senyum.

“Ini kenalan baru nek Taya. Ini cik Faira. Yang ni kawan dia Zahwan.” Nek Taya memperkenalkan mereka kepadanya.

“Cik Faira. Zahwan. Ini cucu nek Taya, Ziera.” Nek Taya memperkenalkan cucu perempuannya pula. Masing-masing membalas senyuman.

“Maaflah kak. Abang. Saya nak bawa nenek saya pulang ke bilik dulu. Nak bagi makan ubat.” Beritahu Ziera.

“Ubat? Nek Taya sakit apa?” Tanya Faira.

“Nek Taya ada penyakit jantung.” Zahwan mencelah. Faira memandangnya.

“Sakit jantung? Faira tengok nek Taya sihat saja. Kuat lagi walaupun dah tua.”

“Nek Taya memang macam tu. Dia tak nak orang lain nampak dia lemah.” Kata Ziera.

“Oh...”

“Nek Taya, mari.” Ziera mengajaknya pulang ke bilik penginapan mereka. Nek Taya turutkan sahaja kehendak cucunya itu.

“Hmm, yalah.” Nek Taya berdiri dan memandang Faira dengan Zahwan.

“Nenek nak rehat dulu. Kalau ada jodoh berjumpa lagilah kita, ya.” Dia tersenyum dan kemudian beriringan dengan cucunya meninggalkan kawasan tersebut.

ZAHWAN dan Faira berjalan beriringan ke kawasan kolam renang. Ramai sungguh pengunjung yang datang beriadah di kawasan tersebut. Ada sekumpulan kanak-kanak sedang bermain di dalam kolam yang dikhaskan untuk mereka. Faira tersenyum melihat kerenah budak-budak bermain di dalam kolam itu. Mereka juga di pantau oleh pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan tersebut.

“Faira memang sukakan budak-budak, ya?” Zahwan memecah kesunyian di antara mereka berdua.

Faira senyum lebar. “Ya. Faira suka tengok mereka. Comel.”

“Patutlah. Abang perasan Faira ni kalau dah ada budak-budak di depan mata, orang lain pun Faira tak nampak dah.”

“Yakah?”

“Yalah. Tengok macam hari tu. Faira tinggalkan abang begitu saja bila nampak Aqil datang. Hadiah abang pun ditinggalkan macam tu saja di atas meja.”

“Err... Yakah, abang Zahwan? Maaflah kalau abang kecil hati dengan sikap Faira hari tu. Faira tak berniat pun nak buat macam tu.”

Zahwan tersenyum kecil. “Tak apa. Jadi, sekarang macam mana? Faira nak lagi tak hadiah yang abang beri hari tu?”

“Nak. Nak. Hadiah dari abang Zahwan mana boleh Faira tolak begitu saja. Sebab hadiah abang Zahwan kan special.”

Tersengih Zahwan mendengarnya.

“Jom, kita cari tempat sesuai dulu.”

“Err... hadiah Faira?”

“Ada. Abang simpan dalam poket jaket abang ni.” Beritahunya.

Faira tersenyum lebar. Dia tidak sabar mahu membuka hadiah tersebut.

AQIL SYAUQI dan dua pengawal peribadinya masuk ke dalam kafe Erianthe untuk mencari makanan sampingan. Langkahnya mati apabila melihat dua pasangan yang duduk tidak jauh dari tempat dia dengan dua pengawal peribadinya itu berdiri.

“Uncle Eddy.” Panggil Aqil.

“Ya, tuan muda kecil.” Pengawal peribadinya yang bernama Eddy itu membongkokkan tubuhnya hingga separas dengan kepala Aqil.

“Uncle Eddy tengok betul-betul dekat sana tu. Itu mama saya, kan?” Aqil menunjuk ke arah meja dekat dengan tempat hidangan layan diri itu. Pengawal peribadinya menajamkan mata memandang ke arah tempat yang ditunjuk oleh majikan kecilnya.

“Ya. Itu memang cik Faira. Mama tuan muda kecil.” Katanya. Matanya masih tidak lepas memandang pasangan itu. Siapa pula lelaki yang ada bersama dengan cik Faira itu pula? Patutkah aku laporkan pada tuan muda Qaiz?

“Uncle Eddy. Uncle Ariz. Uncle berdua boleh tak buat sesuatu untuk Aqil?”

Eddy dan Ariz berpandangan. Mereka telan liur. Mereka tahu sangat apa yang sedang difikirkan oleh majikan kecil mereka itu.

“Uncle-uncle Aqil!! Dengar tak?” Aqil bercekak pinggang mendongak memandang dua pengawal peribadinya itu dengan wajah yang geram.

“Err... tuan muda kecil...”

“Boleh tak?!”

“Boleh. Boleh tuan muda kecil.” Serentak mereka berdua memberi jawapan.

“Begitulah my uncle-uncle.” Aqil tersenyum senang. Dia menoleh semula ke arah dua pasangan itu dan kemudian mengukir senyuman nakalnya.

Share this novel

Ming Ho
2019-07-31 14:22:08 

bila update lagi


NovelPlus Premium

The best ads free experience