BAB 38

Romance Completed 137457

DI DALAM bilik Aqil, Madam Alina menemani cucunya. Sementara Aqil menyiapkan diri, dia pula menyiapkan pakaian untuk cucunya itu. Selesai sahaja kerjanya, dia duduk di birai katil sambil menunggu Aqil keluar daripada bilik mandi.

Mahunya dia panik tadi. Kelam-kabut mereka semua dibuatnya apabila Qaiz memberitahu yang Faira akan ke sini melawat Aqil. Sudahlah dia tidak tahu hendak berbuat apa tadi. Nasib baiklah ada orang-orang gajinya tolong memberikan idea untuk buat semua ini.

Tiba-tiba pintu diketuk dari luar. Madam Alina memberi arahan untuk masuk.

“Ini dia air panasnya, madam.” Melli datang dengan dulang yang berisi tuala kering, termos air panas dan juga gelas kosong.

“Terima kasih, Melli. Tolong letakkan di atas meja tu.” Arah Madam Alina. Melli menurut kata.

Melli meletakkan dulang itu di atas meja sudut dan kemudian meminta diri.

Madam Alina menahannya semula.

“Ya, madam.”

“Bakal menantu saya tengah buat apa sekarang ni?” Tanya Madan Alina ingin tahu.

“Tadi, saya nampak dia tengah bertelefon. Rasanya dia telefon kawan dia. Lagipun, saya ada dengar dia sebut nama Alya.” Beritahu Melli. Tadi dia sempat menyapa Faira sebelum naik ke sini. Faira ketika itu sedang berbual di dalam talian di ruang tamu.

“Oh.”

“Ada apa-apa lagikah yang madam nak saya buat?” Tanya Melli sebelum dia beredar dari situ.

“Hmm... Saya rasa kamu tunggu di luar sajalah. Jaga pintu. Takut nanti mama Aqil tu datang sini pula.” Kata Madam Alina.

Melli menganggukkan kepala dan terus keluar daripada bilik tersebut.

SEMENTARA menunggu Aqil turun, Faira mahu membuat sesuatu untuk budak itu. Tadi, semasa berbual dengan Alya di talian teman baiknya itu memberi macam-macam idea cara untuk menggembirakan hati budak itu. Tapi, semua idea itu ditolak oleh Faira.

Saat itu dia terfikir sesuatu. Mungkin cara itu boleh menggembirakan hati Aqil. Lantas, Faira meminta izin daripada orang-orang gaji rumah agam itu untuk menggunakan dapur sekejap. Dia mahu memasakkan sesuatu untuk Aqil. Mereka mengizinkannya untuk menggunakan dapur dan apabila Faira melangkah masuk ke dalam ruang dapur itu dia sangat terkejut. Ruang dapur itu mengalahkan ruang dapur di rumahnya. Luas dan serba lengkap di dalamnya.

Tiba-tiba dia jadi kekok. Dia ingatkan dia seorang sahaja yang ada di dalam ruang dapur ini. Rupanya, ada juga pekerja-pekerja lain di sini. Semuanya sibuk membuat kerja masing-masing.

Faira masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Pekerja-pekerja di dalam dapur itu juga masih tidak menyedari akan kehadirannya.

“Kalau nak masak pergi sajalah. Mereka tak akan ganggu awak pun. Kalau nak minta pertolongan minta saja dengan mereka.”

Faira menoleh ke sebelah kanan. Terkejut dia dengan kehadiran lelaki itu. Qaiz berpeluk tubuh sambil menyandar di tepi dinding. Dia menyimpul senyuman.

Faira mengecilkan matanya. Lelaki ini suka sahaja muncul di depannya dengan tiba-tiba.

“Mari sini.” Qaiz mengajaknya ke tengah dapur. Dia mahu memperkenalkan Faira kepada pekerja-pekerja di dalam dapur itu. Faira membuntutinya dari belakang.

“Tuan muda!” Salah seorang daripada mereka sedar dengan kehadiran majikan mereka itu. Lantas yang lain menoleh. Serta merta mereka menghentikan kerja mereka dan berkumpul di hadapan tuan muda mereka itu.

“Tuan muda, ada apa-apa yang perlu kami bantu?” Tanya pekerja dapur itu. Dia Adli, ketua dapur di situ.

“Ya. Ini Faira Alisha. Dia bakal duduk di rumah ni dan saya nak kamu layan dia dengan baik.”

Laju Faira berpusing ke sebelah. “Jangan perasan, ya. Buat apa saya nak tinggal lama-lama dekat sini?” Depan semua pekerja dapur itu Faira memarahi Qaiz.

Qaiz tersengih sinis. Dia pandang Faira dan mendekatkan wajahnya ke wajah perempuan itu. Terkejut Faira dek perbuatannya. Lantas, tubuh Qaiz di tolak ke belakang dengan kasar.

“Gilakah?! Kalau awak ter...”

“Tercium awak? Saya okey, saja. Lagipun, kita akan berkahwin juga.”

Faira mengetap bibir. “Siapa yang nak kahwin dengan awak, hah?” Faira menjelingnya tajam.

“Awaklah.”

“Wekk! Perasan. Saya tak sudi tau.”

“Sudi atau tak awak tetap jadi pilihan hati saya.”

Faira terdiam.

Qaiz melihat wajah Faira yang sudah bertukar warna itu. Dia ketawa kecil. Lelaki itu menoleh semula ke hadapan.

Faira tertunduk malu. Pekerja-pekerja dapur itu tersenyum sengih melihatnya.

Ergh! Ini semua salah lelaki ni tau, marahnya dalam hati.

“Kamu semua kena layan dia dengan baik dan biarkan saja dia buat apa yang dia nak di dapur ni. Faham?!”

“Faham.” Serentak mereka memberi jawapan.

AQIL SYAUQI tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri. Sekejap dia berjalan berpusing mengelilingi sofa panjang di ruang biliknya itu. Dia gembira kerana Faira datang melawatnya. Tetapi, dia susah hati juga kerana dia sudah menipu mamanya itu. Dia tidak sangka pula rancangannya kali ini menjadi.

“Ini semua salah grandma tau.” Aqil menghenyakkan punggungnya dengan kasar di atas sofa.

“Salah grandma? Aqil tahukan, semua ni grandma buat untuk Aqil. Grandma tahu yang Aqil rindu sangat dengan mama Aqil tu.” Madam Alina menjeling cucunya.

“Tapi... Aqil tak nak mama marah Aqil lagi. Aqil tak nak menipu mama lagi.” Nadanya perlahan. Dia seakan-akan mahu menangis.

“Mana ada Aqil menipu. Sebelum ni Aqil memang demam, kan.”

Aqil diam. Wajahnya mula masam.

Madam Alina mengeluh. Dia mengubah posisi dan duduk di sebelah cucunya. Pelukan bahu diberikan kepada budak itu. Madam Alina mengusap lembut bahu cucunya.

“Aqil janganlah risau sangat. Grandma kan ada. Papa pun ada. Semua ada untuk tolong Aqil. Kalau mama marah dengan Aqil lagi nanti grandma marahlah dia balik.” Pujuk Madam Alina.

“Betul ni? Tapi, grandma janganlah marah sangat dengan mama. Marah manja-manja saja, ya.”

“Okey.”

MADAM ALINA dengan cucunya beriringan sama turun ke tingkat bawah. Lagipun, Faira sudah menyediakan makanan untuk cucunya itu.

Tadi, Madam Alina baru sahaja selesai dengan tugas rahsianya. Dia menyuruh Aqil berlari di ruang bilik tidur itu. Selepas berlari sekejap, Madam Alina mengelap pula dahi cucunya dengan tuala yang dibasahi dengan air panas. Dia juga menyuruh Aqil berlakon jadi budak lemah apabila berada di hadapan Faira nanti.

Dia kasihan juga bila buat begitu pada cucu sendiri. Tetapi, demi kebahagian cucu dan anaknya dia sanggup buat apa sahaja agar mereka berdua itu dapat apa yang mereka mahukan.

“Grandma...”

“Ya.” Madam Alina mematikan langkah. Aqil juga sama. Hanya tinggal beberapa anak tangga lagi untuk ke tingkat bawah.

“Kalau mama tahu yang Aqil tipu mama macam mana?”

“Jangan risaulah. Kan, grandma dah cakap sebelum ni. Semuanya akan okey. Kalau Aqil kena marah, grandma dengan yang lain akan tolong Aqil.”

“Betul ni? Kalau grandma tak tolong, Aqil tak nak kawan dengan grandma lagi.”

Madam Alina ketawa. “Ada-ada saja budak ni tau. Buat apa grandma nak tipu. Aqil cucu kesayangan grandma. Mestilah grandma tolong.”

Aqil tersenyum gembira. “Okey!” Dia sudah bersedia mahu berjumpa dengan mamanya itu. Aqil menarik tangan neneknya menuruni anak-anak tangga itu.

“MAMA!!” Aqil berlari mencari Faira di ruang makan. Madam Alina membuntutinya dari belakang.

“Aqil! Cuba jangan lari. Nanti jatuh.” Faira menggeram. Dia baru sahaja keluar daripada dapur membawa hidangan terakhir yang dia masak tadi.

“Amboi, banyaknya hidangan yang Faira masak.” Tegur Madam Alina yang baru sahaja tiba di ruang itu.

“Ya. Ini pun anak aunty yang suruh masak.” Faira meletakkan hidangan itu di sebelah mangkuk besar yang berisi bubur ayam istimewa. Mulanya, dia hendak masak bubur sahaja. Tetapi disebabkan lelaki itu merengek, buat perangai di depan pekerja-pekerja dapur itu terpaksalah dia menyediakan hidangan yang banyak.

Madam Alina tersengih. Dari nada suara itu sahaja dia sudah tahu anak dara itu tidak berpuas hati dengan sikap anak terunanya.

“Okeylah tu. Biarkan dia merasa air tangan Faira sendiri. Nanti, kalau dah berumah tangga pun Faira kena juga masak untuk dia.”

Faira terkedu. Biar betul aunty ni? Dia nak sangatkah aku ni jadi bakal menantu dia?

“Mama?”

“Hah.” Faira tersedar dari lamunannya.

“Tengah hari macam ni pun mama boleh mengelamunkah?” Aqil terkekek kecil.

“Mana ada mama mengelamun.” Pantas dia menyentuh dahi Aqil.

Aqil terkejut. Laju dia memandang neneknya. Madam Alina memberi isyarat untuk tenangkan diri.

“Panas sikit saja ni.”

Aqil menarik nafas lega sebaik sahaja Faira melepaskan tangan dari dahinya.

“Aqil duduk makan bubur yang mama masak ni, ya. Lepas makan bubur makan ubat. Tidur.”

“Ala, tak naklah tidur. Aqil nak berbual dengan mama lagi. Aqil rindu dengan mama tau. Rindu Aqil ni Aqil simpan sejak mama marah Aqil di kapal tu lagi sampailah mama datang sekarang.”

“Banyak hari lagi, kan. Bukannya mama larikan diri pun.”

“Tak nak! Aqil tak nak tidur.” Dia menolak mangkuk bubur itu ke tepi dan berpeluk tubuh dengan muka cemberutnya.

“Biarkan sajalah Aqil tu Faira. Layan saja kerenah dia.” Kata Madam Alina.

Faira memandang Aqil. Keluhan kecil dilepaskan.

“Yalah.” Faira akur.

Share this novel

Syura Sakura
2019-08-10 00:22:42 

sambunglah..boleh tak 1 hari buat 2 chapter..citer ni best sangat lahh


NovelPlus Premium

The best ads free experience