BAB 40

Romance Completed 137457

SEPANJANG perjalanan itu Faira berasa kekok. Baginya, ini kali pertama mereka berdua-duaan di dalam kereta. Qaiz pula asyik tersenyum sahaja dari tadi.

“Diam lagi.” Qaiz memecah kesunyian. Dia masih fokus dengan pemanduannya.

“Saya malas nak berbual dengan awak. Kalau awak sunyi pasang sajalah radio tu.” Faira memalingkan tubuhnya membelakangi lelaki itu. Dia membuang pandang ke luar tingkap sambil berpeluk tubuh.

“Saya tak nak buka radio. Saya nak berbual dengan awak saja.” Sekejap-kejap dia mengerling Faira di sebelahnya.

Faira menutup mata. Berpura-pura tidur.

“Eloklah tidur tu. Jangan menyesal kalau awak bangun tak bertudung nanti.” Qaiz menakut-nakutkannya.

Faira terus mencelikkan matanya semula. Dia mengetap bibir seiring dengan jelingan mautnya pada lelaki itu.

“Apa yang awak nak sebenarnya ni, hah?!” Faira melepas marah.

“Sudahlah halang saya balik sendiri. Paksa saya ikut awak. Ugut-ugut saya lagi. Awak ingat saya ni apa?”

“Manusia.” Jawab Qaiz spontan.

“Qaiz Talha! Saya tengah serius ni. Awak boleh pula main-main dengan saya.” Faira mendengus geram.

“Okey. Okey. Saya minta maaf.”

“Simpan saja kata maaf awak tu. Saya tak akan terimanya.”

Qaiz senyum miring.

“Faira. Faira. Kenapa hati awak ni susah untuk berlembut dengan saya, hmm? Asyik nak bersuara kasar saja. Awak tak fikirkah perasaan saya ni?”

“Buat apa nak fikir perasaan awak kalau awak sendiri tak fikir perasaan saya ni. Awak ingat saya sukakah dengan apa yang awak buat sebelum ni dan juga sekarang ni?” Soalan berbalas soalan.

“Saya tahu awak tak suka. Tapi apa yang saya buat dekat awak ni saya tak menyesal. Sebabnya saya nak awak ingat semula. Saya nak awak ingat balik semua kenangan kita yang lalu.” Qaiz mula serius. Dia memberhentikan kereta di tepi jalan.

“Faira,”

Faira memandangnya sekilas.

“Awak tahu tak saya dah banyak bazirkan masa. Dua tahun saya cari awak tau. Sampai ke luar negara saya cari awak.”

Faira tergamam. Dua tahun dia cari aku? Untuk apa dia cari aku balik?

Serta-merta ingatan malam itu menjengah ke mindanya. Selepas abangnya menghantar minuman susu kepadanya di bilik, abangnya itu terus keluar. Tapi, ketika itu dia hendak ke bilik air dan kebetulan dia nampak Qaiz di ruang tamunya. Dia tidak sengaja hendak curi dengan perbualan abangnya dengan lelaki itu.

Faira tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak cerita Qaiz itu. Namun, semenjak dia kenal lelaki ini macam-macam bayangan misteri yang muncul di fikirannya. Tetapi dia tidak tahu sama ada bayangan-bayangan yang dia nampak itu adalah sebahagian daripada apa yang Qaiz cerita kepada abangnya atau pun tidak.

“Mister Qaiz. Apa sebenarnya yang terjadi dua tahun lepas, hah? Awak asyik memaksa saya untuk ingat balik masa lalu. Tapi, awak tak pernah pun cerita apa yang berlaku masa tu.”

“Saya akan ceritakannya tapi bukan sekarang. Sebab sekarang ni saya nak bawa awak pergi ke tempat-tempat yang kita selalu terserempak sama.”

Faira mengernyit. “Kita? Terserempak?”

“Ya. Tak apa. Saya bawa awak pergi tempat tu dulu. Sampai sana nanti saya cerita.” Qaiz menyimpul senyuman. Dia terus memandu masuk ke lebuh raya menuju ke tempat destinasi pertama mereka.

PUSAT BELI-BELAH QA THA. Faira masih bingung. Dia tidak tahu ke mana lelaki ini mahu membawanya pergi. Tempat ini sering juga dia kunjungi bersama teman baiknya. Tapi kali ini dia pula dibawa oleh lelaki ini ke sini.

“Ini bukan bangunan awakkah?”

“Ya.”

“Awak nak buat apa? Awak nak melawat orang-orang yang sewa kedai-kedai dalam bangunan inikah?”

“Hmm... Tak juga.”

“Habis, nak beli-belahkah? Awak nak beli apa?” Tanya Faira lagi.

Qaiz mengukir senyuman manis. Suka dia mendengar nada suara perempuan itu. Tidaklah kasar seperti sebelum ini.

“Saya tak nak beli apa-apa pun. Kan saya dah cakap sebelum ni saya nak bawa awak jalan-jalan saja. Saya nak tunjukkan pada awak sesuatu dekat sini.”

“Tunjukkan sesuatu? Apa?”

“Jom. Dekat sana.” Qaiz membawanya ke sebuah butik pakaian.

“KITA buat apa dekat depan butik Lylia ni?” Faira memerhatikan orang-orang di dalam butik itu. Pelanggan-pelanggan yang datang ke butik itu sibuk mencari pakaian yang sesuai untuk mereka. Pekerja-pekerjanya pula ada yang melayan pelanggan dan ada yang sibuk menguruskan stok di bahagian belakang.

Qaiz duduk di bangku panjang yang diperbuat daripada konkrit itu. Dia duduk berdepan dengan butik Lylia. Tangannya menepuk-nepuk di sebelah menyuruh Faira duduk di situ. Faira hanya menurut.

“Di sinilah tempat mula-mula kita bertemu. Masa tu kecoh juga. Sebab awak cari gaduh dengan saya dekat sini. Awak kata saya langgar awak. Padahal, masa tu awak saja nak tutup kesalahan awak. Awak salah sebab awak jalan sambil pegang telefon. Bermesej langsung tak pandang depan.” Qaiz ketawa kecil apabila dia mengingat kembali situasi tersebut.

“Saya memang tak boleh lupa kejadian tu sampailah sekarang. Awak orang pertama yang buat saya macam tu. Saya siap suruh awak mengaku depan pekerja-pekerja butik ni lagi tau. Tapi, awak tak nak. Awak tetap pertahankan diri awak. Bila saya mengaku yang saya pemilik bangunan ni pun awak masih buat tak kisah saja.”

“Saya sampai begitu sekalikah?” Faira sungguh tidak percaya dengan dirinya dulu.

“Yalah. Jom.” Qaiz berdiri.

Faira yang masih duduk itu mendongak memandang Qaiz. “Pergi mana lagi?”

“Kita ke tempat seterusnyalah.”

“Mana?”

Qaiz hanya menyimpul senyuman. Dia menarik lengan Faira yang berlapik itu dan terus membawanya ke destinasi mereka yang kedua.

“KAFE FLORAL. Kita buat apa dekat sini?” Tanya Faira. Kafe Floral adalah tempat destinasi kedua mereka.

“Kita nak makanlah.” Ujar Qaiz lalu memanggil salah satu pelayan yang berdiri tidak jauh daripada mereka.

Selesai memesan, Qaiz memerhati kawasan kafe itu. Kafe ini jauh daripada pusat beli-belah tadi. Dia memandang Faira semula dan tersengih. Faira pelik melihat sengihan lelaki itu.

“Dah kenapa tersengih sendiri?”

“Teringat pasal pertemuan kita yang kedua inilah. Pertemuan kita kali kedua tu lagi teruk daripada pertemuan yang pertama.”

“Yakah? Apa yang jadi? Saya buat apa pula dekat awak?” Faira tiba-tiba berminat hendak tahu hal mereka itu.

“Pertemuan yang kedua itu salah saya pula. Masa tu saya tengah pesan minuman dengan kek dekat kaunter tu. Ketika tu saya ada mesyuarat dengan beberapa clients dekat sini. Kami duduk dekat hujung sana tu.” Qaiz menunjuk meja panjang yang terletak di hujung kafe sebelah tepinya itu.

“Lepas tu apa jadi?” Teruja pula Faira ingin tahu.

“Masa tunggu pesanan dekat kaunter tu saya tengah bertelefon dengan kakak saya.”

“Kakak awak?” Faira berfikir sejenak.

“Ya. Kakak saya itu namanya Adellia. Dia juga mama kepada Aqil. Tapi... dia dah tak ada. Kakak dan abang ipar saya dah lama meninggal. Dua tahun yang lepas akibat kemalangan jalan raya.” Qaiz memandang Faira. Mahu saja dia buka cerita tentang kemalangan yang menimpa arwah kakak dan abang iparnya itu. Tetapi ditahannya.

“Kesian Aqil.” Katanya perlahan. Sekarang ni kalau Aqil nak papa, dia dah ada. Tapi, kalau mama... aku memang tidak bersedia lagi nak jadi mama dia.

Qaiz berdeham. “Pasal arwah mama dengan papa Aqil nanti sajalah saya cerita. Apa yang penting sekarang ni adalah kisah kita berdua.” Dia mengukir senyumannya semula. Dia tidak mahu merosakkan mood mereka kerana hal sedih itu. Dia cuma mahu mengingatkan Faira tentang pertemuan-pertemuan mereka sebelum mereka kenal rapat.

“Okey. Cepatlah cerita. Apa yang jadi masa awak bertelefon dengan arwah kakak awak tu?” Tanya Faira. Dia kembali teruja.

Meletus tawa kecil lelaki itu. Dia ingatkan Faira akan beremosi bila dia buka cerita tentang arwah kakaknya dan juga abang iparnya itu. Rupanya tidak.

“Mister Qaiz! Ish, ketawa pula dia ni. Cepatlah cerita.” Gesa Faira.

“Okey. Okey. Masa tu, arwah kakak saya...”

Faira memasang telinga mendengar cerita mereka dua tahun lepas.

Ketika itu, kakaknya memarahinya kerana tidak mengambilnya di butik pakaian. Abang iparnya pula tidak ada masa itu kerana terpaksa ke luar kota atas urusan kerja.

Sebaik sahaja pesanan tiba, Qaiz terus mengangkat dulang berisi pesanannya itu ke tempatnya. Sebelah tangan memegang dulang yang ada minuman dan keknya. Sebelah tangan lagi masih memegang telefon.

Dia asyik bertelefon dengan kakaknya sehinggakan tangan sebelahnya itu hilang keseimbangan memegang dulang tersebut. Akibatnya, dulang itu jatuh terkena Faira yang ketika itu sedang menikmati minuman panasnya. Habis basah dan kotor pakaian Faira.

Qaiz masih ingat perempuan yang buat salah kepadanya sebelum ini dan dia tidak menyangka yang mereka berdua akan bertemu lagi. Cuma, ketika itu salahnya pula hingga membangkitkan kemarahan Faira.

Dia mematikan talian dan kemudian meminta maaf pada Faira tetapi Faira tidak menerimanya. Sebaliknya, Faira mengambil kek yang jatuh di atas lantai itu dan kemudian mengelap tangan kotornya itu di baju Qaiz. Bukan itu sahaja. Dia juga mengambil minuman pelanggan lain dan kemudian menyimbah ke tubuh Qaiz sebelum berlalu ke tandas.

FAIRA ALISHA ketawa besar apabila mendengar cerita Qaiz itu. Dia tidak sangka dirinya begitu berani buat begitu di hadapan orang ramai. Lagi teruk lelaki itu kena berbanding dengan pertemuan mereka yang pertama.

Qaiz pula langsung tidak melepaskan pandangannya pada Faira. Rasanya ini kali pertama Faira ketawa mesra begini dengannya.

“Sudahlah. Cepat habiskan makanan tu. Lepas ni saya nak bawa awak ke tempat lain pula.” Kata Qaiz.

Faira mengangguk dengan tawa yang masih bersisa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience