BAB 24

Romance Completed 137457

BERHATI-HATI Faira berjalan di lorong bilik penginapan tingkat dua itu. Dia takut kalau-kalau papa si Aqil mengekorinya dari belakang. Tadi, dia pergi ke bilik uminya dan kemudian berjumpa dengan abangnya. Dia sekadar mahu melaporkan diri sahaja. Kalau dia tidak muncul di depan mereka nanti mereka mencarinya pula. Tapi, dia tidak memberitahu mereka yang dia sudah berpindah ke bilik penginapan lain.

Sedang dia melayan perasaannya tiba-tiba dia ternampak sesuatu yang tidak di duga. Faira amat kenal sangat dengan dua manusia yang baru sahaja keluar daripada bilik penginapan yang tidak jauh dari tempat dia berdiri itu. Matanya terbeliak. Tercengang melihat adegan yang tidak sepatutnya ditonton itu.

“Ke... kenapa mereka buat macam tu? Apa hubungan mereka berdua?” Faira tertanya-tanya.

Saat itu dia menyedari situasinya. Dia tidak tahu sama ada dia perlu berganjak dari situ atau pun tidak. Di lorong bilik penginapan itu hanya ada dia dengan dua pasangan itu sahaja.

“Apa aku nak buat ni?” Faira panik. Takut jika dirinya diketahui oleh mereka berdua.

Perlahan-lahan dia mengundur ke belakang. Matanya masih memerhati pasangan itu yang sedang asyik melayan dunia mereka.

Bila-bila masa sahaja mereka itu akan pandang ke sini. Sudahlah tidak ada tempat untuk aku sembunyikan diri. Macam mana ni? Hatinya mula gelisah. Takut, kalau diapa-apakan nanti oleh mereka terutama sekali perempuan itu.

“Faira.”

Belum sempat dia berpaling dia terus ditarik masuk oleh seseorang yang berada di dalam salah satu bilik penginapan yang dekat dengan tempat dia berdiri itu. Faira tergamam melihat Qaiz. Lelaki itu telah menyelamatkan dia dari bahaya.

“Macam mana...”

“Shh!” Qaiz menyuruhnya diam. Ketika itu Talita sedang bergerak pergi menuju ke arah mereka. Qaiz cepat-cepat menutup dan mengunci pintu bilik itu.

Faira melepas lega.

Qaiz menarik Faira ke arah sofa dan menyuruhnya duduk di situ. Segelas air kosong diambil untuk perempuan itu.

Faira membisu. Kepalanya mula terasa sakit. Ditambah lagi dengan perbuatan dua pasangan tadi yang masih melekat di kepalanya.

“Minum air ni dulu.” Qaiz menghulurkan gelas yang berisi air itu kepadanya.

Faira memandang Qaiz dengan riak kosong. Gelas di tangan lelaki itu diambil dan diletakkan di atas meja. Tekaknya belum haus lagi.

“Awak okey tak ni?” Tanya Qaiz. Suaranya tidaklah setegang seperti sebelum ini.

“Awak nampak saya sekarang ni okeykah?” Hatinya sedikit panas apabila diajukan soalan seperti itu. Sudahlah fikirannya masih belum tenang. Masih terngiang-ngiang lagi perbuatan keji dua manusia itu tadi.

“Kalau ya pun, janganlah naik angin.”

Faira menjelingnya. Qaiz buat tidak tahu dengan pandangan tersebut.

Faira mendengus kecil. Saat itu, dia teringat kembali dengan kata-kata Talita kepadanya. Betulkah aku ni penyebab mereka putus tunang?

“Mister Qaiz Talha.” Panggilnya tanpa memandang lelaki itu.

“Betulkah apa yang dikatakan oleh Talita malam tu? Betulkah saya ni penyebab awak dengan dia putus tunang?” Dia tahu lelaki di sebelahnya ini pernah bertunang dengan Talita dan mereka putus atas sebab tertentu yang hanya mereka berdua sahaja yang tahu. Dia tahu pun sebab selalu sahaja membaca gosip-gosip mengenai mereka berdua itu.

Dalam media massa tidak habis-habis isu mengenai hubungan tidak kesempaian Talita dengan anak jutawan yang ada di sebelahnya ini. Bukan itu sahaja, gosip mengenai anak jutawan yang menerima kembali model terkenal itu juga masih hangat diperkatakan. Macam-macam lagilah cerita mengenai mereka berdua itu di dalam media massa. Semuanya Faira baca.

Faira juga pelik dengan dirinya sendiri. Selalu sahaja ambil tahu pasal Talita dengan anak jutawan itu. Padahal dia bukannya suka pun buat benda-benda itu semua. Mungkin juga sebab dia terpengaruh dengan si Alya yang suka baca gosip-gosip tidak kira artis atau pun orang lain di media massa.

“Ya. Saya tak nafikan yang saya pernah bertunang dengan dia dan kemudian kami putus. Tapi, sebab kami putus itu bukanlah disebabkan awak. Hal tu awak tak payahlah nak ambil tahu. Apa yang penting sekarang ni adalah ingatan awak. Pulihkan dulu ingatan awak tu. Barulah saya akan ceritakan semuanya yang awak tak tahu.” Lembut dan tenang sahaja bicaranya pada Faira.

“Tapi kenapa? Kenapa awak nak sangat ingatan saya ni pulih, hah?”

“Sebab saya nak awak kembali ke sisi saya. Saya tahu saya sudah silap langkah sebelum ini. Saya buat awak macam tu tanpa berfikir panjang.”

Faira mengerutkan dahi. Langsung tidak mengerti dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Dia ada buat salahkah dengan aku dua tahun lepas?

Faira mahu menyoalnya lagi tetapi terbantut kerana matanya tertancap pada laptop milik Qaiz. Mulutnya melopong apabila menangkap isi di dalam laptop itu. CCTV?!

“Sejak bila awak intip saya dengan cctv ni, huh?” Faira merenungnya tajam.

“Sejak beberapa jam yang lalu.”

Faira bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Sampai begini sekali dia cari aku, dia menggeram di dalam hati.

Fikirannya melayang pula pada situasi tadi. Dia tahukah? Agaknya, dia marahkah dengan dua orang tu? Yalah, yang satu itu pak cik saudara kepada arwah abang iparnya. Yang satu lagi tu pula kekasih dia.

“Apa yang awak nampak tadi tu saya dah nampak. Sebab itu saya tarik awak ke sini.” Qaiz tahu apa yang bermain difikiran perempuan itu.

Faira tercengang. “Awak tak marah?”

“Daripada saya marah mereka baik saya marah awak.”

Faira sakit hati mendengarnya. Lantas dia berdiri dan menuju ke arah pintu. Lebih baik dia pergi dari sini. Namun langkahnya terhenti apabila Qaiz menegurnya lagi.

“Awak tahu tak, seharian awak menghilangkan diri buatkan saya dengan Aqil berasa risau. Saya dah pergi ke kaunter pendaftaran dan tanya pada mereka tentang awak.” Qaiz pandang tepi dan tersenyum sinis. Dia berdiri mendekati Faira yang sedang cuak itu.

“Tak sangka pula saya, ya. Pandai juga awak merasuah mereka. Awak berjaya menutup mulut mereka. Seorang pun tak nak beritahu ke mana awak pergi.” Senyuman itu amat menjengkelkan Faira.

Faira menundukkan kepala. Dia mengetap bibir. Masa dia ke kaunter pendaftaran itu dia sudah meminta pekerja di situ untuk merahsiakan bilik penginapan barunya daripada Qaiz. Tapi, tidak sangka pula lelaki ini boleh fikir cara lain untuk mencarinya di dalam kapal layar yang besar ini.

“Saya nak balik.” Faira berpaling dan mengorak langkah.

Qaiz menangkap lengan Faira. Mujurlah perempuan itu tidak jatuh.

“Faira, saya tak habis cakap lagi dengan awak.”

Faira memandangnya dengan riak tidak puas hati. Dia menarik lengannya dari genggaman lelaki itu.

“Apa lagi yang awak nak cakap ni, hah?” Faira meninggikan suaranya.

“Sepatutnya hal ni saya beritahu awak lepas acara potong kek tu. Tapi tak jadi sebab kawan baik awak tu pula yang buat hal. Saya tengok awak malam tu pun tak ada mood.”

“Saya memang tak ada mood kalau orang macam awak ni.” Balas Faira seiring dengan jelingannya.

Qaiz ketawa kecil. Dia masih berlagak tenang.

“Awak tak fikirkah kenapa nama kapal layar ni Qalisha’Qil Star Cruise?” Qaiz berpeluk tubuh. Matanya memandang seraut wajah manis itu.

“Tak. Malas nak fikir.”

Qaiz mengetap gigi. Dia pula yang berasa geram dengan perempuan ini.

“Kapal ni saya buat setahun lebih yang lalu.”

“Jadi apa masalahnya?”

Qaiz mengepal tangannya kuat. Sabar Qaiz, dia cuba menenangkan diri.

“Qalisha’Qil Star Cruise. Awak tahu tak apa Qalisha’Qil tu?”

Faira menjulingkan matanya ke atas. “Awak beria-ia nak saya tahu pasal kapal layar ni kenapa?” Geram sungguh dia. Apa kena mengenanya aku dengan kapal besar ni, hah?

“Sebab kapal layar ni saya buat khas untuk awak. Kapal layar ni hadiah saya pada awak. Nama yang ada pada kapal layar ni nama gabungan kita bertiga. Saya nak awak jadi sebahagian daripada hidup saya dengan Aqil.” Dia berterus terang.

Saat itu dia merasakan ada sesuatu yang lain di hatinya. Perasaan yang dia sendiri tidak mengerti.

“Mama!”

Faira tersentak. Aqil memeluknya dengan erat.

“Papa ni. Janganlah marah mama. Kesian mama tau.” Aqil melepaskan pelukan dan menggosok matanya. Dia baru sahaja sedar dari lenanya tadi. Dia terbangun pun disebabkan suara bising di ruang bilik itu.

“Bila masa papa marah mama?”

“Tadi tu.” Aqil menguap. Dia mendongak memandang Faira pula.

“Mama...” Aqil menarik Faira ke sofa.

“Kenapa ni Aqil?” Faira melabuhkan punggungnya di sofa lalu mengusap wajah polos itu.

“Aqil rindu dengan mama.” Aqil bersuara manja dengan mulut itiknya. Dia melentokkan kepala di sisi kanan Faira.

“Aqil risau bila mama hilang tau. Tadi, Aqil tidur sampai termimpikan mama.” Aqil mengemaskan pelukannya.

“Aqil mimpi mama? Mimpi yang macam mana tu?” Faira mengusap kepala Aqil. Timbul rasa bersalahnya pada Aqil. Dia sudah membuatkan budak itu risau kepadanya.

“Mimpi tu... Dalam mimpi tu, mama pergi jauh. Mama tinggalkan Aqil dengan papa. Aqil tak suka. Aqil nak mama selalu ada dekat dengan Aqil.” Dia buat muka kesiannya.

“Aqil. Pergi tidur. Tinggalkan mama dengan papa saja di sini.” Qaiz mencelah.

“Tak nak! Mana boleh tinggalkan papa dengan mama di sini. Lagipun papa dengan mama belum kahwin lagi, kan.”

“Betul tu Aqil. Mama pun hampir lupa pasal ni.” Faira melihat jam di telefonnya. Sejam lagi pukul 11.30 malam. Dia harus kembali ke biliknya. Dia takut Alya mencarinya nanti. Lagipun, temannya itu mahu bermalam dengannya malam ini.

“Aqil. Mama tak boleh lama-lama dekat sini. Nanti, kalau orang lain nampak orang akan salah faham dengan mama dan juga papa.”

Aqil buat muka cemberut. “Aqil kan ada.”

Faira mencubit pipinya. “Kalau Aqil ada pun, mama tetap tak biasa. Mama tak suka papa Aqil.”

“Aqil tahu. Tak apa. Mama jangan risau. Lepas ni, Aqil buat mama jatuh cinta dekat papa. Aqil suka tengok mama dengan papa.” Aqil tidak segan silu mengatakan apa yang tersirat di hatinya itu.

Aqil berpaling ke belakang memandang papanya yang sedang berdiri berpeluk tubuh di hadapan mereka. Dia mengenyitkan mata pada papanya itu.

Qaiz faham sangat dengan kehendak Aqil. Dia dengan budak itu sama-sama menyukai perempuan yang bernama Faira Alisha ini. Tapi, bukan senang hendak dapat apa yang mereka mahukan itu. Hati Faira begitu keras. Entah, bagaimanalah hendak melembutkan hati perempuan itu?

Faira tersengih. Dia tidak mahu budak ini fikir lebih tentang dia dengan lelaki itu.

“Aqil...”

“Tolong jangan hampakan harapan budak tu Faira.” Qaiz memotong kata Faira sebelum sempat perempuan itu meneruskan bicaranya.

Faira buat muka. Harapan apa kalau hati aku ni tak suka pada kau?! Marahnya dalam hati. Dia berdiri dan berura-ura mahu keluar daripada bilik tersebut namun dihalang lagi oleh Aqil.

“Aqil, bagilah mama pulang. Lain kali lagi kita berbual, ya?” Faira memujuknya.

“Papa...” Aqil meminta pertolongan daripada papanya.

Qaiz memandang Faira. Mereka berperang mata untuk seketika. Tidak lama kemudian Faira melepaskan keluhan kecilnya.

“Baiklah. Aqil ikut mama. Aqil tidur di bilik mama saja malam ni, ya. Aunty Alya pun ada sekali.”

“Yeah!!” Aqil menjerit girang.

Qaiz tersenyum menang. Memang niat dia hendak menyuruh Aqil tidur di bilik penginapan Faira. Dia mahu budak itu perhatikan Faira dan ambil tahu sebanyak yang boleh tentang diri perempuan itu.

“Aqil jaga mama, ya.” Pesan Qaiz. Aqil laju angguk. Dia berlalu dan mengambil bantal busuknya. Faira berdiri menuju ke arah pintu.

“Ingat, Faira. Kalau awak lari lagi lepas ni siaplah awak.” Amaran Qaiz.

Faira mencebik. “Kalau saya lari pun dalam kapal ni juga, kan. Lainlah kalau saya terjun dari kapal ni.”

“Kalau tak sayang nyawa cubalah terjun. Saya tak kisah pun.” Bidas Qaiz. Sengaja dia hendak menguji kesabaran perempuan itu.

“Mister Qaiz Talha!!” Faira naik angin.

“Mama sudahlah. Jom.” Laju Aqil menarik Faira keluar daripada bilik. Mujurlah tiada siapa di lorong bilik penginapan itu.

Faira mendengus kasar. Tak apa. Hari ni hari kau. Esok-esok hari aku pula nak balas kau.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience