BAB 53

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA duduk termenung di hadapan cermin meja solek. Fikirannya melayang memikirkan situasi petang tadi. Sepanjang dia berada di taman tema kanak-kanak itu dia berasa tidak sedap hati. Dia merasakan seolah-olah dirinya sedang diperhatikan oleh seseorang.

Setiap kali mereka bertukar tempat permainan setiap kali itu jugalah hatinya tidak senang. Perasaan negatif itu semakin kuat dirasakan apabila dia ke tandas seorang diri. Apa yang membuatkan dia panik lagi apabila mendengar suara dua orang lelaki di dalam tandas perempuan tersebut.

Dalam keadaan yang menakutkan itu dia tidak berani untuk keluar dari situ. Dia menghantar mesej kepada Rais dan mujurlah pengawal peribadi itu tiba dengan cepat. Tapi malangnya dua lelaki itu berjaya melarikan diri sebelum sempat Rais menangkapnya.

Rais memberitahunya, dua lelaki itu memakai pakaian serba hitam dan menutup wajah dengan topeng muka yang berwarna putih tanpa corak. Selepas kejadian itu Sham dan Rais terus membawanya dengan Aqil pulang ke rumah.

“Kenapa aku rasa lelaki tu macam nak cari aku saja? Sama macam dua lelaki misteri yang datang ke kafe abang Farish hari tu. Apa sebenarnya tujuan mereka tu, huh?” Macam-macam soalan dan kemungkinan yang bermain di fikirannya. Dia ada meminta dua pengawal peribadi itu untuk merahsiakan hal tersebut daripada pengetahuan ahli keluarganya dan juga Qaiz. Fikirnya, selagi dirinya itu dalam keadaan selamat mereka tidak perlulah tahu tentang kejadian tersebut.

Bunyi ketukan menyentaknya. Segera Faira memakai tudung dan membuka pintu. Tersembul wajah Madam Alina di muka pintu itu. Wanita itu tersenyum manis kepadanya.

“Ya, aunty. Ada apa?” Tanya Faira.

“Jom, turun. Makan malam dah siap.” Beritahu Madam Alina.

“Aunty pergi dulu sekejap lagi saya turun. Saya tak solat isyak lagi.” Kata Faira seiring dengan sengihannya.

“Yalah. Lepas solat turun, ya. Aunty dengan yang lain tunggu Faira di bawah.”

Faira angkat kening sebelah.

“Eh, cepatnya dia orang balik. Uncle dengan Qaiz dah ada dekat bawah itukah? ” Setahunya Tuan Hafizuddin dengan lelaki itu ada di luar kota.

“Soalan apa pula macam tu? Uncle dengan Qaiz tak ada dekat sinilah.” Madam Alina geleng kepala.

“Habis, yang aunty kata tadi? Aunty cakap yang lain tunggu di bawah.”

Madam Alina tepuk dahi.

“Faira. Faira. ‘Yang lain’ aunty maksudkan bukan mereka berdua tu. Tapi, Aqil dengan orang-orang yang ada dalam rumah ni. Aunty ajak semua makan sekali malam ni.” Madam Alina menggeram.

Faira tersengih. “Maaf aunty. Maklumlah kepala bingung tadi.”

“Sudah. Kamu pergi solat cepat. Aunty turun dulu.”

“Okey.”

SELEPAS makan malam Faira terus berlalu ke bahagian dapur. Dia sudah janji dengan budak itu tadi. Dia mahu buatkan beberapa jenis biskut untuk budak itu. Sambil dia mengeluarkan bahan-bahan asas membuat biskut sambil dia berfikir jenis biskut yang dia hendak buat pada malam itu.

“Cik Faira tengah buat apa ni?” Seorang pembantu rumah datang menegurnya.

Faira terkejut kecil.

“Oh, Melli. Ingatkan siapalah tadi yang tegur saya. Sudahlah saya seorang-seorang saja dekat dalam dapur ni.”

Melli tersengih. “Takut juga cik Faira seorang-seorang dekat sini, ya.”

“Eh, mana ada takut. Saya takut hantu saja.”

“Yakah? Tuhan?”

Faira tersentak dan kemudian tersengih. “Lupa. Kita sepatutnya lebih takutkan Tuhan daripada benda-benda yang ada di atas muka bumi ni.”

“Betul. Tak macam orang-orang sekarang ni. Mereka macam dah tak ingat Tuhan dah. Asyik dengan dunia mereka saja. Bila hilang harta dunia, bukan main takut lagi mereka. Meroyan. Marah. Sedangkan yang beri semua tu Tuhan, kan.” Balas Melli.

Faira geleng kepala. Marah pula si Melli ni.

“Melli. Melli. Bukan semua manusia lupa pada Tuhan. Hanya mereka yang terlalu memuja dunia sahaja yang jadi macam tu. Hati mereka ditutupi dengan kemewahan dunia sehinggakan mereka membelakangi Tuhan mereka sendiri.”

Suasana senyap seketika. Kata-kata itu terlalu dalam bagi Melli. Begitu juga dengan Faira.

Melli berdeham. “Err... Cik Faira.”

“Ya.” Faira sibuk mencari bahan-bahan lain untuk biskutnya.

“Boleh ajar saya buat aiskrim yang cik Faira buat untuk Aqil?” Malu-malu dia hendak menyuarakan hasratnya itu.

“Eh, Melli tak tahukah buat aiskrim?” Faira pelik. Bukankah semua pekerja-pekerja di dalam dapur ni kena belajar semua jenis masakan? Yalah, majikan mereka itukan bukan orang-orang biasa. Jutawan.

“Tugas saya di rumah ni cuma jaga dan pantau tuan muda kecil saja cik Faira. Kalau masak-memasak tu tugas pekerja-pekerja dalam dapur ni.” Tersengih si Melli.

“Oh, okey. Boleh saja kalau nak belajar. Tapi lepas inilah. Saya nak buat dulu biskut-biskut ni semua lepas tu baru buat aiskrim.”

Laju Melli angguk kepala. “Kalau macam tu saya tolong cik Faira, boleh?”

“Boleh.” Faira tersenyum senang. Tidak sangka Melli ini mesra orangnya. Pekerja-pekerja lain di dalam rumah ini pun apa kurangnya. Semuanya baik-baik belaka dan mesra orangnya.

SERONOK Faira dapat berbual dengan Melli. Banyak jugalah topik yang mereka bualkan tadi. Sampai Melli sendiri luahkan rasa sakit hatinya tentang model terkenal itu. Katanya, Talita itu bukannya baik. Depan Tuan Hafizuddin dengan Madam Alina bukan main lagi dia tunjuk baik. Tapi, bila di belakang pula sibuk mengata hal mereka dengan orang lain.

Pernah beberapa kali Melli ternampak Talita sedang bertelefon di halaman belakang rumah. Dia dengar dengan jelas perempuan itu sedang mengata majikannya.

Ada hati juga Melli mahu menceritakan perangai buruk Talita itu pada Madam Alina tetapi niatnya selalu tidak kesampaian. Ada sahaja halangannya. Setiap kali hendak berjumpa dengan Madam Alina mesti ketua pembantu rumah itu muncul di hadapannya dan memberi kerja tambahan.

Faira tersenyum sinis.

“Rupanya pekerja-pekerja di dalam rumah ni pun banyak yang tak suka dengan perempuan tu.” Faira berbaring di atas tilam dan menarik selimut hingga ke paras dada.

Dia masih belum mengatuk lagi. Masih memikirkan cerita Melli tentang Talita.

Berkerut-kerut wajahnya memikirkan hubungan Qaiz dengan Talita. Macam manalah lelaki tu boleh jatuh cinta dengan perempuan tak cukup kain macam tu? Seksi satu hal. Lepas tu kaki lelaki lagi. Apalah yang dia pandang pada diri Talita masa tu?

Dia memandang siling atas. Dia teringat dengan kata-kata Talita semasa mereka berada di atas kapal layar. Perempuan itu menyalahkannya kerana disebabkan dia hubungan dua pasangan itu putus di tengah jalan.

“Tapi, betulkah aku penyebabnya? Ish! Serabut kepala ni tau!” Faira meramas kasar rambut panjangnya itu.

“Ya, Allah. Sembuhkanlah ingatan aku ni. Aku nak sangat tahu apa yang berlaku dua tahun lepas tu.” Doanya dengan penuh harapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience