BAB 26

Romance Completed 137457

SERONOK sungguh Aqil bila dapat tidur di bilik Faira semalam. Apa yang menyeronokkan lagi mereka ditemani oleh Alya. Macam-macam permainan yang mereka bertiga main semalam. Semuanya budak itu suka. Tapi, permainan yang paling Aqil tidak lupa adalah permainan Pinochio.

Aqil hanya menahan tawanya sahaja apabila mereka bermain permainan Pinochio itu. Permainan itu sama sahaja seperti permainan lain yang memerlukan jawapan yang jujur. Kalau Pinochio bercakap bohong hidungnya akan panjang tapi dalam permainan ini pula orang yang bercakap bohong atau menunjukkan air muka yang tidak jelas akan didenda dengan hukuman yang mereka beri. Aqil suka dengan hukuman-hukuman yang Alya beri pada Faira itu. Hukuman-hukuman itu semuanya tidak disukai oleh Faira.

“Mama! Aunty Alya! Bangunlah!” Aqil melompat-lompat di atas katil bersaiz king itu.

“Mama! Aunty Alya!”

“Ya. Ya. Aunty bangunlah ni.” Alya bangkit dari tidur sambil menguap.

Aqil berjaya bangunkan Alya tetapi wajahnya masih tidak berpuas hati. Dia duduk dan menyandarkan tubuhnya di belakang tubuh Faira. Ketika itu Faira tidur mengiring ke sebelah kiri.

“Mama bangunlah.” Aqil menggoncang tubuh Faira.

Faira mengerekot sambil berbuat bunyi. Tidak mahu dia di ganggu tidurnya.

“Ish, mama ni. Tidur mengalahkan budak-budak. Bangunlah, ma."

“Sudahlah, Aqil. Biarkan mama tidur. Aqil pergi mandi dulu, ya.” Alya menyuruh budak itu pergi mandi dan Aqil menurutinya tanpa membantah.

ALYA UFAIRA dan Aqil duduk bercerita di sofa sementara menunggu Faira bangun daripada tidur. Mereka bergelak tawa di ruang itu. Sekejap-kejap Aqil buat lawak. Alya geli hati melihat gaya lucu Aqil. Bakat lawak budak ini kalau di asah dengan betul pasti akan menyerlah di masa akan datang nanti.

Tiba-tiba pintu bilik penginapan mereka diketuk. Alya dan Aqil berpandangan. Aqil menuju ke arah pintu tetapi dihalang oleh Alya.

“Kenapa aunty Alya?”

“Kejap. Aunty nak bangunkan mama kamu dulu. Mama tak pakai tudung.” Kata Alya. Segera dia menuju ke katil menyedarkan Faira.

Berkali-kali Alya cuba untuk bangunkan dia tetapi gagal. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh teman baiknya itu.

“Faira bangunlah.” Alya sudah naik rimas bila temannya itu tidak mahu bangun.

“Eee... Janganlah kacau aku. Aku nak tidurlah.” Faira menarik selimut hingga menutupi wajahnya.

“Ish, kau ni. Ada orang ketuk pintu tu. Kalau aku buka nanti kau pula yang marah. Sudahlah kau tak bertudung.”

“Ala, apa susah. Tutup saja pintu bilik ni.”

Mahu ketawa Alya mendengarnya.

“Kau ingat ada pintu? Sudahlah bilik penginapan ni kecil saja.”

Faira menggeram. Dia lupa bilik penginapan barunya ini tidak sama dengan bilik penginapan tempat Alya.

“Yalah. Yalah.” Faira bangun dan mencapai tudung segeranya yang diletakkan di atas meja sudut tepi katil itu.

“Aqil buka pintu. Tengok siapa di luar tu.” Arah Alya. Dia mengerling temannya. Geleng kepala dia melihat Faira. Dia ingatkan Faira akan terus bangun. Rupanya, temannya itu hanya memakai tudung dan kemudian menyambung tidurnya semula.

“Faira, bangunlah.” Alya menggeram.

“Papa! Uncle Shazwan!” Aqil laju memeluk papanya dan kemudian memeluk Shazwan. Erat sungguh pelukan mereka.

Alya yang membelakangi mereka itu mula cuak. Matanya langsung tidak berkedip. Nafasnya ditahan. Dia kaku di tempat dia berdiri. Apa aku nak buat ni?

Faira pula masih belum sedar dengan situasi mereka itu.

“Boleh kami masuk?” Shazwan bertanya.

Alya yang masih membelakangi mereka itu laju menggelengkan kepala.

“Ala, aunty bagi sajalah papa dengan uncle Shazwan masuk. Mereka bukan berdua pun. Ada pengawal peribadi dengan pembantu perempuan juga.”

Ish! Dia orang ni tahu-tahu saja apa yang aku tengah fikir sekarang ni. Alya menggeram dalam hati. Dia menarik nafas dan kemudian menoleh ke arah mereka.

Shazwan tersenyum kepadanya. Alya buat muka tidak suka.

“Faira mana?” Tanya Qaiz.

“Err...”

“Papa, uncle dengan yang lain masuklah dulu. Buat macam rumah sendiri.” Aqil menyampuk, tersengih. Qaiz tersenyum dan menggosok kepala Aqil.

Alya cepat-cepat duduk di birai katil. Tubuhnya cuba melindungi wajah Faira. Janganlah dia pergi dekat sini. Tolonglah, Alya berdoa dalam hati.

Qaiz memerhati segenap ruang itu. Dia kemudian menyuruh empat orang pembantu perempuan itu mengemas ruang tersebut.

“Eh, tak payalah suruh mereka buat kerja ni semua. Nanti, biar saya dengan Faira saja yang kemas.”

“Eh, mana boleh macam tu Alya. Kalau Alya yang kemas nanti Alya yang penat.”

“Suka hati sayalah. Yang penat bukannya awak tapi saya.” Alya menjeling Shazwan.

“Papa. Kenapa papa dengan yang lain datang ke sini?” Laju Aqil mencelah. Dia tidak mahu dua pasangan itu bergaduh di dalam bilik ini.

“Papa datang cari Aqil dengan mamalah. Hah, mana mama Aqil?” Qaiz meliau mencari kelibat Faira.

“Faira keluar!” Belum sempat Aqil bersuara, Alya terlebih dulu memintasnya.

Qaiz memandang Alya. “Keluar?”

“Ya. Dia pergi jumpa keluarga dia.” Tipu Alya. Sempat lagi dia memberi isyarat pada Aqil supaya tidak memberitahu apa-apa pasal Faira kepada lelaki itu.

“Betulkah Aqil?” Qaiz memandang budak itu pula.

“Err...”

“Aqil tahukan papa tak suka Aqil menipu papa.”

Alya yang mendengarnya menelan liur. Seram pula dia melihat wajah tegang itu. Saat itu dia terasa tubuhnya di tolak ke tepi.

“Ish, Alya. Sanalah.” Dalam keadaan yang masih mamai-mamai Faira menolak temannya ke tepi. Dia masih belum menyedari lagi kehadiran mereka yang lain.

Qaiz tersenyum. Dia menuju ke arah katil. Dengan isyarat matanya sahaja sudah cukup membuatkan Alya takut kepadanya. Laju Alya berdiri di tepi katil itu.

Nasib baiklah Faira dah pakai tudung, kata Alya dalam hati.

SHAZWAN dari tadi lagi mengusik Alya. Aqil juga ikut sama mengusik perempuan itu. Pengawal peribadi dan juga pembantu-pembantu bilik masih setia berdiri di ruang bilik itu. Sesekali sahaja Qaiz menyuruh mereka keluar mengambil sesuatu untuk dia dengan yang lain.

“Eh, Qaiz. Sejam lagi nak masuk tengah hari. Sampai bila kau nak tengok si Faira tu tidur, huh? Kejutkan sajalah dia.” Shazwan bosan duduk di dalam bilik itu. Nasib baik ada Alya. Hilang juga rasa bosannya.

Tadi, dia hendak ke tempat Qaiz tetapi lelaki itu marah pula dengannya. Katanya, tiada siapa yang boleh tengok Faira tidur selain dia. Alya dengan Aqil buat muka menyampah bila lelaki itu berkata seperti begitu.

“Aku tak nak kejutkan dia. Aku nak dia sendiri bangun tengok wajah aku ni.” Ujarnya. Dia duduk di kerusi berpeluk tubuh memerhatikan Faira yang masih lena di katilnya.

Tidak lama kemudian Faira tersedar. Seperti biasa dia akan mengerekot sambil menguap. Sebaik sahaja dia berpaling dia terkejut besar melihat ruang bilik penginapan itu. Apa yang membuatkan dia lagi terkejut bila melihat wajah Qaiz di depan mata.

“Assalamualaikum, cinta.”

Faira tergamam. Kaku. Wajahnya membahang tambah malu.

“Faira, aku minta maaf. Tapi salah kau juga tak bangun tadi.” Alya bersuara.

Kau salahkan aku pula?! Sepatutnya kau tarik saja aku bangun tadi, omel Faira dalam hati. Marah pula dia dengan teman baiknya itu. Mana dia hendak letak muka dia lepas ni. Bukan seorang dua yang tengok dia tidur. Lebih daripada tiga orang. Nasib baiklah mereka jauh darinya kecuali lelaki itu.

“Comel awak tidur.”

Faira berdeham. Hampir termakan dengan pujian tersebut.

“Comel tak comel itu lain cerita. Eh, Mister Qaiz.” Faira tunding jari ke arahnya.

“Awak tak belajar agamakah, hah? Dah tahu dalam bilik ni ada dua anak dara, awak tetap nak masuk sini. Lepas tu, ikut sedap mata awak saja tengok saya tidur. Saya tak suka, tau tak!” Faira melampiaskan kemarahannya. Nasib baik aku tak pakai seksi. Kalau tak, entah apa pula yang dia buat nanti.

Faira menarik selimutnya ke tepi dan berdiri mengambil tualanya.

“Faira!”

Terkejut Faira dek suara tinggi itu.

“Apa?!” Temannya pula menjadi mangsa marahnya.

“Tu...” Dia menjuih bibir menunjuk sesuatu pada tubuh Faira.

“Tu. Tu apa?! Ish!” Faira naik geram. Dia perasan yang lain sedang menundukkan kepala. Shazwan pula ketawa terkekek-kekek di atas sofa.

“Cik Faira, sayang.” Qaiz memanggilnya. Dia cuba menahan sesuatu keluar daripada mulutnya.

Faira berpaling. “Apa lagi?” Faira menjulingkan mata ke atas.

Qaiz mendekatinya dan berbisik di telinga perempuan itu.

“Awak bocorkah?”

Terbeliak mata Faira. Dia menolak Qaiz ke belakang.

“Apa maksud awak ni?” Dia mengerutkan dahi.

Qaiz menutup mulutnya. Ketawanya hampir terlepas.

Faira masih terpinga-pinga. Semua memandangnya dengan riak yang dia sendiri tidak pasti. Dua pengawal peribadi itu sedang menahan tawanya. Pembantu-pembantu perempuan itu pula tersengih sambil menundukkan kepala mereka.

“Mama. Mama.” Aqil menarik hujung pakaian Faira.

“Kenapa Aqil?”

“Aqil risaulah. Aqil suruh uncle Shazwan dengan aunty Alya panggil doktor tapi mereka tak nak.”

“Hah?! Kenapa pula?” Makin berkerut wajahnya.

“Belakang mama berdarah. Darah tembus sampai kena tilam mama. Mama sakitkah?” Aqil mahu menangis.

Faira bungkam. Lantas dia melihat belakang tubuhnya di cermin dan kemudian berpaling ke arah katil. Bulat matanya melihat tompok besar darah di atas tilam itu.

“Oh my!! Oh my!!” Pantas dia menarik kain tilam itu.

“Keluar!!” Faira menghalau mereka termasuklah teman baiknya itu.

Qaiz yang sudah tidak tahan itu terus meledakkan tawanya. Begitu juga dengan Shazwan.

“Kamu semua keluar!!” Faira menjerit.

“Okey sayang. Abang dengan yang lain tunggu sayang dekat luar, ya.” Qaiz menyambung tawanya dan kemudian menyuruh mereka semua keluar daripada bilik tersebut.

“Faira...”

“Kau keluar sebelum aku naik marah lagi.” Faira memberi amaran kepada temannya.

“Okey. Okey. Aku keluar. Aku tunggu kau diluar, ya.”

“Tak payah tunggu aku. Daripada kau tunggu aku baik kau bawa mereka semua pergi kafe. Nanti, kalau dah siap semua aku cari kau.”

“Betul ni?”

“Ya. Dah pergilah.” Faira menghalaunya.

“Okey. Okey.” Alya terus melangkah keluar daripada bilik tersebut. Dia menarik Aqil ikut bersamanya.

Faira cepat-cepat mengunci pintu bilik.

“Malunya! Malunya!! Malunya!!!” Dia menampar wajahnya berkali-kali.

“Malu betul aku tau.” Faira menggeram seorang diri di dalam bilik. Dia memerhati dirinya di dalam cermin itu lagi.

“Sudahlah aku ni baru bangun dari tidur. Wajah aku ni pula tak bersih. Ada tahi mata. Air liur kering lagi. Bocor lagi. Argh!! Apalah nasib aku kena dengan orang macam dia tu. Nasib baiklah aku tidur pakai tudung.” Faira terus mengomel seorang diri. Kain tilam yang ada tompokkan darahnya itu dibawa ke bilik air. Dia tahu ini semua tugas pembantu bilik tetapi bila dalam keadaan begini dia sendiri yang berasa malu hendak membiarkan kain tilam itu begitu sahaja.

Macam manalah darah haid aku ni boleh tembus keluar. Ish, geram betul aku.

“Macam manalah aku nak berdepan dengan mereka lepas ni?” Malunya semakin menebal. Macam-macam benda negatif yang dia fikirkan ketika ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience