BAB 44

Romance Completed 137457

RESTORAN PERMATA PEARL. Qaiz membawa Faira masuk ke dalam restoran yang bertaraf lima bintang itu. Bukan main mewah lagi perhiasan didalamnya sehingga membuatkan mata Faira bersinar-sinar melihat perhiasan-perhiasan tersebut.

Faira tersedar. Dia tidak sepatutnya bereaksi begini. Nasib baiklah Qaiz berjalan di hadapannya. Kalau tidak, malu dia jika lelaki itu melihat air muka terujanya itu.

Faira menggumam sendirian. Macam-macam yang dia kutuk lelaki di hadapannya itu. “Kata dating. Nak melawat tempat-tempat menarik.” Faira menjeling dari kanan ke kirinya.

“Tempat menarik apa kalau macam ni. Makanan sudahlah mahal. Dia ingat aku banyak duitkah mahu makan dekat sini? Paling tidak pun dapat cuci mata saja.” Faira mencebik pula. Dia memerhati pelanggan-pelanggan yang ada di situ. Macam-macam gelagat mereka. Tapi, ada satu yang menangkap pandangannya ketika itu. Dahinya berkerut-kerut.

“Bukankah itu abang Zahwan? Siapa pula perempuan yang ada di sebelahnya itu?” Faira tertanya-tanya. Dia tidak pernah lagi melihat perempuan itu. Mereka berdua kelihatan mesra sekali.

Faira menoleh ke arah Qaiz yang sudah jauh berjalan mencari tempat duduk mereka. Lelaki itu sibuk bercakap dengan pengurus restoran ini.

“Dia masih tak perasan lagi yang aku tak ada dengan dia.” Faira ketawa terkekek-kekek. Pantas dia melarikan diri. Dia mahu keluar daripada tempat tersebut. Sempat juga dia mengerling ke arah Zahwan. Tidak mahulah dia menganggu lelaki itu dengan pasangannya.

Dia berhenti di depan pintu utama restoran Permata Pearl. Kali ini matanya menangkap pula pasangan lain yang ada di situ. Dia tidak kenal dengan lelaki itu tetapi dia kenal dengan perempuan yang memakai pakaian seksi di depan matanya.

“Hari tu dengan pengetua Shaun. Kali ni dengan lelaki lain pula. Tapi, dalam media sosial penuh gosip dia dengan si Mr. Richest tu.” Faira mencebik.

“Dasar kaki lelaki!” Terus dia melangkah keluar dari situ.

CUTIE ICE CREAM. Faira singgah sebentar untuk makan aiskrim di kedai tersebut. Kedai aiskrim itu bertentangan dengan restoran lima bintang tempat yang Qaiz bawa dia pergi tadi. Selesai memesan dia mencari tempat duduk yang sesuai.

Ikutkan hati tadi dia mahu sahaja balik ke sekolah tetapi tidak jadi. Lagipun, hanya tinggal beberapa jam lagi sebelum pukul 6.00 petang. Malaslah dia hendak pergi balik ke sana.

Ada sebab lain juga dia tidak mahu kembali ke sekolah itu sekarang. Sebabnya adalah kedai aiskrim ini. Faira teruja bila melihat kedai aiskrim yang masih baru ini. Di dalamnya pula ada bermacam-macam jenis aiskrim yang dijual. Dia memang sukakan aiskrim. Apa sahaja jenis aiskrim dia suka asalkan halal.

Faira mengeluarkan telefonnya dari dalam beg tangan. Sepuluh panggilan daripada Qaiz tidak di jawab olehnya. Tapi dia tidak kisah. Dia meletakkan telefon itu di atas meja dan membuang pandang ke luar dinding kaca kedai tersebut.

Jalan raya masih basah lagi kerana hujan tadi. Orang yang lalu lalang pula tidak ramai ketika itu. Faira menongkat dagu sambil menunggu pesanannya tiba. Tiba-tiba telefonnya berdering lagi. Siapa lagi kalau bukan lelaki itu yang menelefonnya.

Faira hanya menjeling dengan ekor matanya. Malas dia hendak mengangkat panggilan tersebut.

“Kakak.”

Faira menoleh. Seorang budak perempuan berusia 5 tahun datang menegurnya.

“Ya.”

“Wiwi nak duduk.” Kata budak itu sambil menunjuk tempat duduk di hadapannya.

“Err...” Faira meliau mencari ibu bapa budak ini.

“Adik datang dengan siapa?”

“Abang sepupu.” Jawabnya sambil menggigit jari. Wajah budak itu agak ketakutan.

“Abang sepupu?” Faira meliarkan matanya lagi mencari abang sepupu budak itu.

“Adik jangan takut, ya. Kita cari abang sepupu adik tu sama-sama, okey?” Faira menenangkan budak perempuan yang bernama Wiwi itu.

“Err... Cik.”

Faira menoleh ke belakang. Seorang lelaki berpakaian kasual menegurnya. Dia tidak kenal pun dengan lelaki itu.

“Ya. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” Tanya Faira.

Lelaki itu senyum dan kemudian menunjuk ke arah budak perempuan itu.

“Oh, ini adik sepupu awakkah?” Faira meminta kepastian.

Lelaki itu mengangguk.

“Terima kasih sebab tolong jagakan dia. Tadi, saya ke tandas. Saya minta dia tunggu di luar. Tapi tak sangka pula dia lari ke sini. Takut juga saya bila dia hilang tadi. Nasib baiklah dia masih ada dalam kedai ni.”

Faira senyum. “Ya. Nasib baik juga saya yang jumpa dia ni.” Faira memandang Wiwi.

“Adik. Lain kali dengar cakap abang, ya. Jangan pergi mana-mana selagi abang sepupu adik tak ada dengan adik.” Nasihat Faira.

Wiwi menundukkan kepala. Dia tahu dia salah. “Ya. Saya minta maaf.”

Lelaki itu mengusap kepala adik sepupunya. “Err... kami minta diri dululah, ya. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong jagakan dia tadi.”

“Sama-sama.”

Faira menghantar mereka dengan senyuman. Hilang kelibat mereka datang pula pelayan perempuan kedai aiskrim itu. Dia memberi pesanan yang Faira pesan tadi. Tapi, Faira agak pelik sedikit melihat aiskrim tersebut.

“Ini bukan aiskrim yang saya pesan tadi, kan? Aiskrim ni langsung tak sama dengan aiskrim dalam gambar tu.” Dia menunjuk salah satu gambar aiskrim di papan menu yang tergantung di atas kaunter pembayaran itu.

Pelayan perempuan itu mengukir senyuman. “Ya. Aiskrim yang cik pesan tadi akan sampai sekejap lagi. Yang ni, kami bagi istimewa untuk cik. Cik jangan risau yang ni sudah di bayar.”

“Betul aiskrim ni untuk saya? Boleh saya tahu siapa orang yang baik hati belanja saya makan aiskrim ni?” Faira masih tidak puas hati.

“Sekejap lagi cik tahulah. Saya minta diri dulu, ya.” Pelayan itu terus pergi.

Faira memandang aiskrim itu tanpa berkelip. Siapa agaknya, ya?

AISKRIM GULUNG perisa coklat dan juga vanila itu sungguh menggiurkan. Faira pandang tepi dan belakangnya. Dia juga memandang pelanggan-pelanggan yang beratur di kaunter aiskrim itu. Entah siapalah yang baik hati belanja aiskrim ini?

Tidak lama kemudian datang lagi pelayan membawa aiskrim kepadanya. Kali ini aiskrim pesanannya iaitu taco aiskrim.

“Terima kasih.” Ucapnya dengan senyuman lebar.

Pelayan itu membalasnya dengan senyuman juga.

“Tapi cik ada lagi.”

Faira mengerutkan dahi. “Ada lagi?”

“Ini dia.”

Faira berpaling ke tepi. Datang lagi seorang pelayan memberi beberapa jenis aiskrim kepadanya. Semuanya terhidang di atas meja itu. Faira perasan beberapa pelanggan sedang memerhatikannya dan ada juga yang sempat mengambil gambar aiskrim-aiskrim tersebut.

“Err... Saya tak pesan pun semua ni. Aiskrim yang saya pesan cuma taco aiskrim ni saja.” Kata Faira.

“Tapi ini semua untuk cik.”

Faira bungkam. Belum sempat dia mengeluarkan kata, pelayan itu terus beredar dari situ.

Faira menarik nafas dan menghembuskannya perlahan. “Takkan aku nak habiskan semua aiskrim ni?” Faira menggaru dahi.

FAIRA ALISHA menikmati taco aiskrimnya sambil memerhatikan gelagat manusia yang berjalan di luar kedai Cutie Ice Cream ini. Sesekali matanya memandang ke arah pintu utama restoran Permata Pearl itu. Tertanya-tanya juga dia sama ada lelaki itu sudah pergi dari restoran itu atau pun belum. Telefonnya juga tidak menerima panggilan daripada lelaki itu lagi.

“Mungkin juga dia sudah pulang, kan?” Tanyanya pada diri sendiri.

Dia menyuap lagi sesudu aiskrim ke dalam mulut. Pandangan masih ke tempat yang sama.

Tersedak dia apabila melihat Talita dengan lelaki yang tidak dikenali keluar dari restoran lima bintang itu. Sebuah kenderaan hitam menghampiri mereka. Talita dan lelaki itu kemudiannya meloloskan diri ke dalam perut kereta dan meninggalkan tempat tersebut.

“Dasar playgirl!” Faira mencebik.

Tidak lama kemudian muncul pula kelibat Zahwan dengan pasangannya. Faira menajamkan mata memandang tepat ke arah mereka berdua.

“Bukan main mesra lagi mereka berdua tu. Tapi...” Saat itu terlintas di fikirannya hadiah yang diberikan oleh Zahwan kepadanya sebelum ini. Hadiah itu tidak sempat pun dia terima.

“Kalau dalam kotak baldu itu cincin, kenapa dia hadiahkan dekat aku? Perempuan itu pula siapa pada dia? Mereka nampak sangat mesra.” Faira menongkat tepi kepala sambil menggigit hujung sudu. Dia masih memerhatikan dua pasangan itu.

“Assalamualaikum.”

Faira tersentak. Dia berpaling ke tepi. Seorang budak memakai hud membelakanginya memberi salam kepadanya.

“Waalaikumussalam. Adik ni siapa?” Faira cuba mengintai dari tepi. Siapa pula budak kecil ni, hah?

“Mama!”

Faira tergamam. Aqil laju memeluk lengannya. Tersengih-sengih budak itu.

“Aqil. Mana tahu mama dekat sini? Aqil datang dengan siapa?” Risau Faira melihat budak itu datang seorang diri. Dia langsung tidak nampak penjaga budak ini di sini.

“Aqil datang dengan saya.”

Faira melopong. Qaiz Talha?!

Matanya laju berpusing ke arah restoran lima bintang itu dan kemudian berpaling ke arahnya semula.

“Mana awak tahu saya dekat sini?” Matanya langsung tidak berkedip melihat lelaki itu di depan mata.

“Saya tahulah. Awak lupakah siapa yang hantar kita tadi?”

Faira mengetuk kepala sendiri. Dia langsung tidak ingat akan hal itu. Patutlah tadi masa dia keluar daripada restoran itu dia rasa lain macam sahaja. Rasa seperti diperhatikan. Mungkin juga pemandu itu yang beritahu lelaki ini tentang keberadaannya sekarang.

Faira menggeram. Baru nak enjoy sikit dia muncul pula, marahnya dalam hati.

“Aqil pula macam mana? Awak yang suruh dia ke sinikah?”

“Ya. Kalau ada budak ni senang sikit. Sebab saya rasa hari ini saya tak boleh kawal awak.” Dia mengambil salah satu aiskrim itu dan kemudian merasanya.

Aqil pula tidak menghiraukan mereka berdua. Dia sudah leka dengan dunia aiskrimnya. Habis satu jenis aiskrim dia mencuba lagi aiskrim yang lain.

“Aqil jangan makan banyak sangat benda-benda sejuk ni. Nanti demam Aqil datang balik.” Tegur Faira sambil mengelap sisa aiskrim di tepi mulut Aqil.

“Ala, bukannya selalu dapat makan aiskrim macam ni. Mama dengan papa teruskanlah berbual. Aqil nak duduk dengan uncle-uncle Aqil dekat belakang tu.” Laju Aqil berdiri dan meninggalkan dua pasangan itu.

Sempat dia memerhatikan dua pengawal peribadi budak itu. Mereka berdua sedang menikmati aiskrim di dalam mangkuk besar dekat meja hujung belakang mereka. Dia kenal sangat dengan dua orang pengawal itu. Mereka adalah Eddy dan juga Ariz.

“Kenapa larikan diri tadi?” Pertanyaan Qaiz menyentak Faira.

“Sebab saya tak suka tempat tu.” Balas Faira.

“Yakah? Atau pun sebab awak nampak Zahwan? Tak pun sebab nampak Talita? Kan?”

Ish, tahu-tahu saja!

“Buat apa saya kisah dengan mereka tu. Kalau saya cakap tak suka. Tak sukalah! Lagipun, restoran tu mahal sangat. Lebih baik makan aiskrim dekat sini.”

Qaiz buat-buat faham sambil menganggukkan kepala.

Mereka senyap seketika. Qaiz memandang Faira yang sedang menikmati aiskrimnya. Dia senyum segaris.

“Suka?”

“Suka apa pula lagi ni?” Rimas betul Faira dengan soalan itu. Sekejap tadi tanya lain. Sekarang tanya lain pula.

“Aiskrimlah.”

“Mestilah suka. Ini makanan kesukaan saya.”

“Oh, yakah?” Dia ketawa kecil. Suka dia melihat wajah teruja itu.

Sebenarnya, dia tahu Faira sukakan makanan-makanan sejuk ini semua. Dia masih ingat lagi dua tahun lepas itu. Bukan main lagi perempuan di depannya ini merengek mahukan aiskrim. Dia pula hanya menurut sahaja kemahuan perempuan ini.

“Lepas ni kalau nak makan aiskrim datanglah sini. Kalau untuk awak semuanya percuma saja dekat sini.”

“Apa maksudnya?” Faira memandang sekilas lelaki yang duduk di hadapannya itu. Kali ini dia merasa aiskrim vanila yang dicampurkan dengan perisa buah-buahan yang lain pula. Sedap!

“Kedai aisrkim ni sebenarnya saya buka untuk awak. Saya tahu awak sukakan aiskrim. Aqil pun suka dengan benda-benda manis sejuk ni. Jadi, saya cadang untuk buka kedai ni dan hadiahkan kepada awak. Saya juga nak awak uruskan kedai aiskrim ni.”

Faira tersedak. Biar betul dia ni?!

“Awak jangan main-main dengan saya.”

“Bila masa saya main-main dengan awak. Saya serius tahu. Apa yang saya cakap dekat kafe Shazwan tu pun saya serius. Saya nak awak berhenti mengajar dekat sekolah tu dan uruskan kedai aiskrim ni.” Qaiz kembali pada topik perbualan mereka semasa di kafe temannya tadi.

“Tapi kenapa? Kenapa tiba-tiba saja awak suruh saya berhenti mengajar dekat sana?”

“Sebabnya saya nak lindungi awak.”

Faira tercengang. “Nak lindungi saya daripada apa pula ni? Saya okey sajalah. Lagipun, selama ni tak pernah ada bahaya lagi menimpa saya sepanjang saya mengajar dekat sana.”

“Itu sebelum ni. Tapi sekarang dah jadi bahaya.”

“Bahaya? Cuba awak bagitahu saya dekat mana bahayanya mengajar dekat Sekolah Rendah Polaris tu? Kalau awak bagi jawapan yang memuaskan hati saya, saya akan berhenti mengajar.”

Qaiz mengetap bibir. Dia pula yang jadi geram dengan perempuan itu.

“Tak apa. Kalau awak tak nak berhenti sendiri, saya ada cara lain lagi yang boleh buat awak berhenti mengajar dari sekolah tu.”

Faira menyampah. Cakaplah apa saja yang kau nak cakap. Aku tetap tak akan berhenti mengajar dari sekolah tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience