BAB 41

Romance Completed 137457

QAIZ TALHA pulang dengan wajah gembira. Langkah pertamanya itu sudah berjaya. Faira tidak lagi sedingin seperti sebelumnya.

Sepanjang dia membawa Faira berjalan berduaan tadi perempuan itu tidak banyak buat hal kepadanya. Sebaliknya, dia banyak bertanya dan reaksi teruja Faira itu membuatkan hatinya berasa berdebar.

“Fikir apa sampai tersenyum sendiri tu?” Tuan Hafizuddin menegur anaknya yang baru pulang.

“Tak ada apalah, pa. Qaiz naik dulu. Nak mandi.”

“Qaiz dah makan? Kalau belum mama panaskan lauk.” Muncul pula Madam Alina di ruang tamu itu. Dia baru keluar daripada bilik bacaan.

“Qaiz dah makan tadi dengan Faira.”

Membulat mata wanita itu apabila mendengar nama Faira.

“Kamu berdua tak bergaduhkah?” Tanya mamanya. Dia tahu anaknya itu membawa Faira berjalan tadi dan dia juga tahu Faira itu tidak menyukai anak terunanya itu.

Qaiz mengukir senyuman lebar. Dia menoleh ke arah papanya pula.

“Pa, terima kasih dengan tip cintanya. Langkah pertama Qaiz dah berjaya buat hati dia lembut sedikit. Kami tak banyak gaduh pun tadi. Qaiz suka tengok wajah teruja dia tu. Comel.” Pujinya di depan kedua ibu bapanya itu.

“Baguslah! Macam itulah anak papa. Apa yang penting jangan tergesa-gesa.” Tersenyum Tuan Hafizuddin.

Madam Alina memandang suaminya. “Tip cinta apa yang abang berikan pada anak kita ni, huh?”

Tuan Hafizuddin ketawa kecil. Qaiz juga turut sama ketawa.

“Rahsia lelaki. Perempuan mana boleh tahu.” Katanya. Dia menyambung semula tawanya apabila melihat wajah cemberut isteri kesayangannya itu.

Qaiz geleng kepala. Ada-ada sahaja perangai orang tuanya ini.

“Aqil mana?” Qaiz baru teringat budak kecil itu.

“Dah tidur. Ingatkan berjayalah pujuk budak tu tadi. Rupanya tak. Nak juga dia jumpa dengan Faira.” Madam Alina mendengus kecil.

“Kalau macam ni lagaknya baik mama pergi pinangkan kamu cepat-cepat dengan dia saja. Kahwin dulu baru cinta.” Kata Madam Alina serius.

Qaiz tersengih.

“Mama jangan pandai-pandai buat macam tu. Nanti karang lari bakal menantu mama tu. Yang merajuk panjang bukannya mama tapi si Aqil. Qaiz tak nak pujuk budak tu kalau Faira larikan diri.”

“Jadi, cepat-cepatlah ambil hati Faira.” Balas Madam Alina.

“Sabarlah, Lina. Tak lari ke mana pun bakal menantu kesayangan awak tu.” Tuan Hafizuddin ke tempat isterinya berdiri dan memeluk bahu si isteri.

“Tak lari abang kata. Kita tak tahu apa yang ada dalam hati Faira tu. Kalau dia suka lelaki lain macam mana? Nak harapkan anak teruna abang ni belum tentu dapat tempat di hati Faira tu. Lagipun, Qaiz ni bukannya lelaki idaman Faira.” Madam Alina menjeling anaknya.

“Mama sengaja nak lukakan hati Qaiz, kan.” Qaiz menjuih bibir. Lagaknya macam budak kecil yang mahu merajuk.

“Mama bukannya nak lukakan hati kamu. Tapi, mama dah tengok dengan mata sendiri. Faira macam tak suka saja dengan kamu.”

“Dia tak suka sebab dia tak ingat siapa Qaiz ni lagi. Sekarang ni pun Qaiz tengah usaha mahu kembalikan ingatan dia. Mama dengan papa janganlah risau. Faira tetap milik Qaiz.”

“Yakah? Habis bekas tunang kamu tu macam mana pula? Dah putus masih lagi terhegeh-hegeh nak dekat kamu.” Tuan Hafizuddin mencelah.

“Papa dengan mama ni sebenarnya dah malas dah nak layan perempuan tu. Masa dekat kapal layar tempoh hari itu pun bukan main gedik lagi dia melayan papa dengan mama ni. Lagi papa tak suka bila perempuan tu sibuk mengacau mama kamu. Sampai telefon mama kamu tanya itu ini pasal kamu. Lepas tu ajak mama kamu jalan. Tapi mama kamu tolak sebab tak suka.” Tuan Hafizuddin berasa geram apabila teringat bekas tunang anaknya itu. Sakit hati pun ada juga. Sebab perempuan itu menyusahkan isterinya. Nasib baiklah isterinya itu tidak ada penyakit jantung atau pun darah tinggi.

“Papa dengan mama tak payahlah pedulikan perempuan tu. Hal dia pandailah Qaiz selesaikan nanti.” Kata Qaiz.

“Papa. Mama. Qaiz naik dululah.” Dia meminta diri.

“Yalah. Nanti pergi tengok Aqil tu. Kesian budak tu nak mama dia.” Pesan Madam Alina. Qaiz angguk dan terus naik ke bilik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience