BAB 48

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA masih merenung mereka bertiga dari jauh. Tidak sangka abangnya itu juga turut sama menyertai Qaiz dan juga Zahwan di sana. Dia mahu ke situ tetapi di halang pula oleh Sham dan juga Rais yang setia berdiri di tepinya sejak dari tadi lagi.

Faira menggeram. Sukar untuk dia bergerak ke tempat lain. Qaiz sudah menyuruh dua pengawal peribadinya ini menjaganya di sini. Ergh! Sakit hati betul dengan mereka berdua ni tau. Ke sana tak boleh. Keluar kafe pun tak boleh. Faira menjulingkan mata ke atas.

Makin panas punggung aku duduk dekat kerusi ni. Sekejap-kejap dia menjeling dua orang itu. Entah, sampai bilalah mereka berdua hendak berdiri di situ.

“Abang Sham. Abang Rais.”

“Ya, cik Faira.” Sham memandangnya. Rais turut sama berpaling.

“Jom, berbual dengan saya.” Faira tidak tahan dari tadi asyik diam membisu sahaja. Daripada biarkan mereka berdua ni berdiri lebih baik aku bawa mereka duduk bercerita dengan aku.

Apa lagi, mereka berdua laju menerima ajakan Faira. Lagipun, mereka sudah penat berdiri.

Macam-macam jugalah cerita yang mereka bualkan ketika itu. Faira sesekali cuba mengorek rahsia Qaiz daripada mereka. Dia ketawa dalam hati. Rupanya senang sahaja hendak pujuk dua orang ini. Setiap kali Sham dan Rais terlepas cakap pasal majikan mereka pasti mereka akan memarahi diri mereka sendiri.

“Abang Sham cerita lagilah pasal majikan abang Sham tu.” Pinta Faira lagi.

Sham garu kepala. “Tak boleh cik Faira. Cukup-cukup sudahlah cik Faira kenakan kami tadi.”

“Kalau cik Faira nak tahu lebih lagi pasal Tuan Qaiz tu, apa kata cik Faira tanya sendiri dengan dia.” Kata Rais. Laju Sham menganggukkan kepala, setuju dengan cadangan Rais itu.

Faira mencebik. Bagitahu sajalah. Bukan lelaki tu pandang dekat sini pun, marahnya dalam hati.

Dia memandang ke luar dinding kaca kafe. Saat itu dia perasan ada dua orang lelaki berpakaian serba hitam memakai topeng mulut merenung ke arah kafe ini. Lagi tepat ke arahnya.

Tiba-tiba kata-kata pengetua Shaun tempoh hari terlintas di fikirannya. Hatinya berdebar-debar. Ketakutan mula menguasai dirinya.

“Abang Sham... abang Rais... orang... dia...” Faira menggelabah. Bicaranya juga tidak teratur. Dua lelaki yang mencurigakan itu semakin menghampiri kafe abangnya ini.

“Cik Faira...” Belum sempat Rais menghabiskan bicaranya Faira laju menyembunyikan diri di bahagian kaunter pembayaran. Rais terkejut. Begitu juga dengan teman sekerjanya. Mereka langsung tidak tahu apa yang sedang berlaku.

“Kita ikut cik Faira cepat.” Kata Sham.

Mereka yang masih bingung itu terus mengejar Faira.

BUNYI loceng menandakan ada orang masuk ke dalam kafe D’Raish itu. Beberapa pengunjung termasuklah dua pengawal peribadi itu memaku ke arah pintu utama kafe. Ketika itu juga mata tiga jejaka itu terarah ke arah tempat yang sama.

“Qaiz! Farish! Ciri-ciri orang yang aku ceritakan tadi itu seperti mereka berdua itulah.” Zahwan menunjuk ke arah dua lelaki yang berpakaian serba hitam dengan wajah separuh bertutup itu.

“Aku rasa dia cari Fairalah.” Kata Zahwan dengan yakin. Matanya mencari kelibat Faira. Tetapi tidak ada. Mana pula dia pergi ni?

Qaiz dan Farish berpandangan.

“Kau jangan main-main Zahwan.” Farish mula risau.

“Aku tak main-mainlah. Aku memang ingat lagi ciri-ciri orang tu.”

Farish telan liur.

Qaiz memerhatikan dua lelaki yang mencurigakan itu. Nampak sahaja tenang tetapi pandangan mereka sedang mencari sesuatu. Pasti mereka sedang mencari Faira.

“Jangan risau. Dia selamat. Dua pengawal peribadi aku ada bersama dengan dia. Mereka sedang melindungi dia.” Qaiz memerhatikan dua pengawal peribadinya itu dari jauh. Sempat mereka membuat isyarat mata tadi.

Baru sahaja Qaiz hendak bergerak ke tempat mereka, dua lelaki itu terus meninggalkan tempat tersebut. Masing-masing melepas lega.

“Mari kita ke sana.” Qaiz mengajak mereka berdua ke tempat dua pengawal peribadinya sedang berdiri.

“SHAM. RAIS. Mana Faira?”

Kedua-duanya menunjuk dengan ekor mata. Faira duduk bersembunyi di bawah kaunter pembayaran. Dia duduk sambil memeluk lututnya.

“Faira!” Laju Farish menerpa ke arah adiknya.

“Abang Farish. Faira takutlah.” Dia memeluk erat lengan abangnya.

“Dah. Dah. Jangan takut. Mereka dah pergi.” Farish menenangkan adiknya. Dia menarik Faira masuk ke dalam pejabat kecilnya. Qaiz dan Zahwan membuntuti mereka dari belakang. Begitu juga dengan dua orang pengawal peribadi itu.

Sesampainya di bilik pejabat, Farish menyuruh adiknya duduk terlebih dulu. Dia keluar sekejap ke bahagian bar minuman.

Qaiz dan Zahwan menemani Faira sementara Farish menyediakan minuman untuk mereka. Sham dan Rais pula berjaga di depan pintu bilik tersebut.

Nasib baiklah keadaan masih terkawal. Tidak ada seorang pun yang perasan dengan apa yang berlaku tadi. Hanya pekerja di bahagian kaunter itu sahaja yang berasa panik apabila melihat Faira tiba-tiba sahaja menyembunyikan diri di bawah meja kaunter itu.

“Saya betul-betul takut tadi. Dua lelaki itu dari luar kafe lagi asyik pandang saya saja.” Faira bersuara. Gusar hatinya sudah reda.

“Faira jangan risau. Semuanya akan okey.” Kata Zahwan. Qaiz pula ketika itu sedang sibuk melayan telefonnya. Entah dengan siapa pula lelaki itu sedang bermesej.

“Err... Qaiz. Boleh tinggalkan aku dengan Faira sekejap tak? Aku nak cakap dengan dia sikit pasal hal tadi. Kau jangan risau aku tak akan buat apa-apa pada dia ni.”

Jari-jemarinya berhenti menekan huruf-huruf di screen telefon itu apabila mendengar bicara tersebut. Qaiz memandang Zahwan dengan rasa berat hatinya.

“Baiklah. Tapi, jangan lama.” Qaiz akur. Dia berdiri dan meninggalkan dua pasangan itu. Pintu dibiarkan terbuka sedikit. Qaiz duduk dan memerhatikan mereka berdua dari jauh dengan pandangan yang terbatas. Sham dan Rais pula masih setia berdiri di tepi kanan dan kiri pintu pejabat.

Farish muncul. Qaiz cepat menghalangnya apabila lelaki itu mahu masuk ke dalam bilik pejabatnya. Dia tidak mahu ada sesiapa yang menganggu Faira dengan Zahwan saat ini.

“Kenapa kau tak nak aku masuk ke sana?”

“Aku nak bagi peluang Zahwan untuk terangkan semuanya pada Faira. Aku tak nak dia ada simpan apa-apa lagi perasaan dengan Faira.” Kata Qaiz. Dia serius.

Farish diam. Dia tidak tahu hendak balas apa. Semua keseluruhan cerita di antara adiknya dengan lelaki ini dia sudah tahu. Hati tak suka tapi melihat kesungguhan lelaki ini mahu melindungi adiknya dia mengalah. Dia melihat Qaiz juga benar-benar menyayangi adiknya.

“ABANG sebenarnya nak betulkan keadaan kita ni.” Walaupun hal ini akan melukakan hatinya tetapi dia harus mengalah. Lagipun, dia tidak setanding dengan Qaiz yang sanggup melindungi Faira tidak kira jauh atau dekat.

“Betulkan keadaan apa, abang Zahwan?”

“Ingat tak hadiah yang abang beri pada Faira hari tu. Tapi, hadiah tu abang ambil balik dan sampai sekarang abang tak bagi pada Faira lagi.”

Faira menunduk. “Ingat.”

“Abang rasa Faira dah agak isi hadiah tu, kan?”

Faira tidak menjawab. Angguk pun tidak.

“Abang anggap diam Faira itu sebagai ‘ya’. Faira tahu isi di dalam hadiah kecil tu, kan.”

Perlahan-lahan Faira menganggukkan kepalanya.

“Abang sebenarnya dah lama sukakan Faira. Mungkin juga apa yang abang rasa ini lebih daripada suka. Abang cinta pada Faira. Tetapi cinta abang tak setanding dengan cinta Qaiz pada Faira. Jadi, abang mengalah.”

Laju dia mengangkat wajah memandang lelaki itu.

“Abang sukakan saya?”

“Ya. Tapi abang mengalah. Lepas ni abang akan buang semua perasaan suka cinta abang di dalam hati ni. Abang doakan kebahagian Faira dengan Qaiz.”

Faira berkerut. “Cepat sangat abang mengalah.”

“Yalah. Lebih baik mengalah sekarang daripada menangung luka di masa akan datang. Belum tentu Faira ada perasaan dengan abang kan kalau abang luahkan isi hati ni pada Faira sekarang?”

“Err... ya. Lagipun, saya tak bersedia lagi.”

Zahwan menyimpul senyuman. Dia berdiri dan melepas lega.

“Okey. Nampaknya hal kita dah selesai. Abang nak balik dululah.”

“Tunggu.” Faira berdiri dan menghalang Zahwan.

“Abang Zahwan. Saya tahu abang kecewa. Tapi, saya tak nak disebabkan hal ni abang dengan abang Farish putus kawan.”

Zahwan senyum segaris. “Abang tak akan buat macam itulah. Abang dengan abang Faira tetap kawan sampai bila-bila. Begitu juga dengan kita. Abang harap kita dapat teruskan persahabatan ni seperti sebelum ni. Apa yang terjadi hari ini biarlah sampai di sini saja.”

Faira senyum lebar. “Ya! Abang Zahwan sahabat saya yang paling baik. Saya tak mungkin putuskan persahabatan kita disebabkan hal kecil ni saja.”

Zahwan tercuit dengan senyuman Faira itu.

“Err... Abang Zahwan. Ada lagi.”

“Apa?”

Faira tersengih.

“Hari tu, saya nampak abang dengan seorang perempuan dekat restoran mewah. Siapa perempuan tu abang?” Tanya Faira ingin tahu.

“Hmm... Faira anggap sajalah dia tu teman wanita abang.”

Faira mengerutkan dahi. “Abang betul-betullah. Bagitahulah siapa perempuan tu? Saya tengok dia cantik dan sepadan dengan abang.”

Bicara Faira membuatkan Zahwan ketawa kecil. “Tak payahlah Faira tahu.”

Dia mengerling jam di pergelangan tangan. “Abang pergi dululah. Abang ada kerja lagi nak diselesaikan. Lagipun, Qaiz dengan Farish ada dekat luar tu.” Zahwan terus keluar daripada bilik pejabat tersebut. Sempat dia memberitahu Farish dan Qaiz yang dia mahu pulang terlebih dulu.

SESAMPAINYA dia di tempat parkir kereta dia terus masuk ke dalam perut kereta dan memanaskan enjin keretanya. Dia menghentak-hentakkan tapak tangannya ke stereng dengan kuat dan akhirnya menangis seperti anak kecil.

Bukan mudah dia hendak bereaksi tenang di depan Faira tadi. Dia betul-betul sudah kecewa. Apa yang dia kata pada Faira tadi hanya bohong semata-mata. Perempuan yang dilihat oleh Faira itu sebenarnya adik sepupunya sendiri.

“Sabarlah Zahwan. Mungkin Faira itu bukan jodoh kau.” Dia cuba memujuk diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience