BAB 54

Romance Completed 137457

AWAL pagi lagi Faira sudah bersiap-siap hendak pulang ke rumahnya. Sham dan Rais menunggunya di luar rumah agam itu. Selesai mengemas tempat tidur dia terus keluar dan turun ke bawah. Kebetulan, masa itu juga Tuan Hafizuddin muncul.

“Bila uncle balik? Saya tak perasan pun.” Tanya Faira sedikit pelik.

“Macam mana nak perasan kalau Faira dengan yang lain masih tidur. Uncle balik sebelum subuh tadi.”

“Jadi, masalah dekat sana dah selesailah?” Mahu juga dia bertanya tentang Qaiz tetapi dia segan.

“Tak selesai lagi. Uncle tinggalkan Qaiz dekat sana. Biar dia dengan orang-orang kanan dia saja yang uruskan. Lagipun, syarikat dekat sini mana boleh tinggal lama. Nanti, sini pula yang jadi masalah besar.”

“Betul juga.”

“Hah, Faira pula siap-siap ni dah nak balikkah?”

Faira tersengih. “Ya, uncle. Cukuplah sehari di sini. Lagipun, banyak benda lagi yang nak kena buat dekat rumah. Nanti tak ada orang pula nak tolong umi saya buat kerja-kerja rumah tu semua.”

“Untung umi kamu dapat anak macam kamu ni.”

Faira senyum.

“Err... Uncle. Dia baik-baik sajakah dekat sana?” Tanya Faira.

“Siapa? Qaiz?”

Faira angguk.

“Dia okey. Cuma tertekan sikit dengan masalah dekat sana.”

“Yakah?”

“Kalau ada masa Faira telefonlah dia. Beri dia semangat.”

“Tengoklah nanti. Kalau saya lapang nanti saya telefon dia.” Ujar Faira. Dia sekadar mahu menyenangkan hati orang tua itu sahaja.

Tuan Hafizuddin mengukir senyuman.

“MAMA! Mama!” Aqil berlari menuruni anak-anak tangga mengejar Faira yang sudah berada di depan pintu.

“Aqil jangan lari. Nanti jatuh!” Marah Faira.

“Ish, budak ni. Kalau nak mama pun janganlah lari macam tu. Kalau jatuh dekat tangga tu siapa yang susah, huh?” Madam Alina menegur cucunya.

“Maaf. Tapi, Aqil tak nak mama pergi lagi. Aqil nak mama tinggal sini.” Aqil laju memeluk Faira.

“Aqil. Mama bukan pergi jauh pun. Mama nak balik rumah mama saja. Esok mama datang sini lagilah.” Pujuk Faira.

Aqil memuncungkan mulut. Wajahnya masam.

Faira melepaskan keluhan kecilnya. Dia mencubit pipi Aqil.

“Merajuk pula budak ni. Tak payahlah Aqil tunjuk mulut itik tu sangat. Mama dah buat banyak biskut untuk Aqil. Aisrim pun ada. Aqil minta saja dengan kak Melli nanti, ya.”

Air mukanya terus berubah. Senyum lebar terus si Aqil mendengar nama makanan kegemarannya itu.

“Bila mama buat? Kenapa mama tak ajak Aqil buat sama?”

Lagi sekali pipi gebu itu dicubit oleh Faira.

“Geram mama dengan Aqil ni tau.”

Aqil ketawa kecil.

“Mama buat semua tu semalam. Lepas Aqil tidur mama terus ke dapur. Ada lima jenis biskut semuanya mama buat. Aiskrim pula mama buat tiga jenis. Aqil kena berterima kasih dengan kak Melli juga tau. Kalau tak ada dia semalam tak siaplah biskut dengan aiskrim Aqil tu.”

Aqil angguk kepala.

“Aunty, saya balik dululah.” Kata Faira lalu bersalaman dengan Madam Alina. Tercari-cari juga dia kelibat Tuan Hafizuddin. Tadi mereka beriringan jalan bersama. Selepas itu, dia tidak tahu ke mana kelibat orang tua itu pergi.

“Tak payahlah cari uncle kamu tu, Faira. Dia ada dalam bilik bacaan. Biasanya, waktu-waktu macam ni dia akan habiskan masanya di dalam bilik bacaan tu. Dia akan keluar kalau dah nak masuk waktu zohor.” Beritahu Madam Alina yang kenal sangat dengan sikap suaminya itu.

“Oh. Tak apalah. Kalau macam tu saya pulang dululah.”

Madam Alina angguk. Dia berpaling pula pada dua orang pengawal peribadi itu.

“Sham. Rais. Jaga cik muda kamu ni. Hati-hati bawa kereta. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat telefon sini atau telefon tuan muda kamu tu, ya.”

“Baik madam!” Serentak mereka menjawab.

DALAM perjalanan pulang, telefonnya itu asyik berbunyi sahaja. Malas Faira hendak melayan mesej-mesej tersebut. Sham yang sedang memandu hanya menjungkit bahu dengan temannya.

“Kenapa cik Faira tak balas mesej-mesej tu?” Tanya Rais. Dia tahu mesej itu pasti datang daripada majikan mereka. Yalah, tengok dari air muka Faira itu sahaja dia sudah tahu. Perempuan itu hanya akan buat muka pada orang yang bernama Qaiz Talha sahaja.

“Tak suka balas.” Jawab Faira ringkas.

“Kalau cik Faira tak balas nanti kami yang kena.” Kata Sham pula.

“Biarlah. Saya tetap tak nak balas.” Tegas Faira. Dia berpeluk tubuh dan menghalakan pandangan ke luar tingkap. Saat itu dia terfikir sesuatu. Tiba-tiba hatinya teringin hendak buatkan kek cawan untuk Aqil.

“Abang Sham, singgah kedai runcit kejap. Saya nak beli barang.”

“Ke... kedai runcit? Kedai runcit yang mana satu ni?” Tanya Sham bingung.

“Mana-mana sajalah.”

Sham pandang temannya, meminta pendapat.

“Pasaraya sajalah.” Bisiknya.

“Okey. Okey.” Sham memandu terus ke pasaraya Magellan iaitu pasaraya yang terbesar di kota Allend ini. Lagipun, pasaraya itu milik majikan mereka dan hanya pasaraya itu sahaja yang mereka biasa.

TERBELIAK mata Faira memandang pasaraya Magellan itu. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki di sini.

Faira mendesit. Geram. Kecil besar sahaja dia tengok dua orang itu. Apa hal dia orang bawa aku ke sini, hah? Padahal aku suruh pergi kedai runcit saja.

“Maaflah cik Faira. Bila cik cakap kedai runcit tadi saya terus terfikirkan pasaraya ni. Lagipun, kami dah biasa ke tempat ni kalau nak beli barang.” Terang Rais apabila menyedari renungan tajam itu.

“Saya suruh pergi kedai runcit supaya jimat masa nak cari bahan-bahan yang saya nak. Kalau abang Sham dengan abang Rais bawa saya ke sini alamatnya malam nantilah baru dapat pulang ke rumah, tau!” Faira menggeram.

Mereka tersengih.

“Tak apa. Beginilah cik Faira. Cik Faira senaraikan semua bahan-bahan yang cik Faira nak lepas tu biar kami yang belikan.” Laju Sham mengeluarkan pen dan kertas dari poket sut hitamnya.

“Betul ni?”

“Ya, cik Faira. Cik Faira tunggu sini dan biar kami saja yang masuk ke dalam.” Kata Rais.

“Okey.” Faira dengan senang hati menyenaraikan bahan-bahannya.

BOSAN pula dia menunggu dua orang itu. Punggungnya sudah panas duduk di dalam kereta. Ah, lebih baik aku keluar dulu.

Faira meregangkan tangannya ke atas. Kemudian beralih ke pinggang dari kiri ke kanan. Sedang dia melakukan senaman ringkas itu matanya menangkap tiga susuk tubuh lelaki yang berpakaian pelik sedang memerhatikannya dari jauh. Faira telan liur.

“Seram sejuk pula aku rasa sekarang ni.” Faira menjeling di sekitarnya dengan ekor mata. Tidak ramai orang lalu di kawasan tempat parkir kereta ini.

“Oh, tidak!” Faira cuak. Tiga lelaki tadi sedang menuju ke arahnya.

Faira tidak sempat hendak mengambil beg tangan dan telefonnya yang ada di dalam kereta itu. Dia terus melarikan diri dari situ.

TIGA lelaki itu masih lagi mengejarnya. Faira yang sudah termengah-mengah masih berlari mencari tempat persembunyian.

“Kenapa mereka tiba-tiba kejar aku ni?” Sambil berlari sambil dia mengerling ke belakang. Takut sekiranya mereka dekat dengannya.

“Apa aku nak buat ni?” Hampir sesak nafas dibuatnya. Faira mematikan langkah. Dia berada di tengah-tengah sekumpulan manusia yang sedang menunggu lampu isyarat melintas jalan.

Dia ketakutan. Sempat dia mengerling ke belakang dan ternampak kelibat tiga orang lelaki itu sedang mencarinya. Faira menundukkan sedikit kepala agar mereka tidak melihatnya di situ.

“Aduh, masa ni juga kepala ni buat hal.” Tiba-tiba dia berasa pening kepala. Sekejap-kejap dia memandang ke belakang dan tiga orang itu sudah tidak kelihatan lagi di situ.

Faira mengurut dada sambil memandang ke belakang lagi. “Nasib baik.”

Isyarat melintas jalan menyala. Faira melajukan langkah ke seberang tetapi berundur semula ke belakang. Begitu juga dengan orang-orang yang berada di belakang dan tepi kiri-kanannya.

Mereka panik dan mula menjerit apabila melihat sebuah lori tangki air dari jauh tiba-tiba hilang kawalan. Lori tersebut telah melanggar beberapa buah kenderaan dihadapan sebelum merempuh sisi bangunan di bahagian kanan. Manakala dua kenderaan kecil terbabas masuk ke dalam parit dan satu kenderaan lagi terbalik sebelum merempuh tiang lampu isyarat.

Matanya terbelalak apabila melihat situasi tersebut. Kemalangan itu hampir meragut nyawanya dengan yang lain. Nasib baik lori itu menghala ke seberang mereka. Kenderaan yang lain pula terbabas tidak jauh dari mereka.

Saat itu ada sesuatu menjengah ke fikiran. Satu-persatu bayangan misteri muncul. Kejadian di depan mata itu sama seperti apa yang bermain di fikirannya sekarang.

Kepalanya berdenyut. Dia terduduk.

“Cik. Cik tak apa-apa?” Seorang wanita separuh abad menegurnya.

Faira tidak membalas apa-apa. Penglihatannya semakin kabur. Kelam. Suara wanita itu semakin lama semakin perlahan didengarinya.

“To...” Faira tidak sempat menghabiskan ayatnya. Matanya sudah bertutup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience