BAB 39

Romance Completed 137457

QAIZ TALHA mengukir senyuman kemenangannya. Dia telah berjaya membuat Faira menuruti kehendaknya hari ini. Pasal Aqil pula, mamanya sudah menguruskannya tadi. Bukan main degil lagi Aqil mahu mengikuti mereka. Mujurlah mamanya itu pandai memujuk. Dia tidak mahu Aqil ikut mereka hari ini kerana dia mahu berduaan dengan Faira dulu. Banyak benda yang dia mahu selesaikan dengan perempuan itu.

Dia mengerling Faira. Dia tahu perempuan itu tidak puas hati dengan apa yang dia lakukan sekarang ini. Tapi dia tidak peduli semua itu. Sebelum keluar rumah tadi dia sudah menghubungi abang Faira dan juga puan Daliya. Dia telah meminta keizinan mereka berdua untuk membawa Faira keluar berjalan dan mereka menyetujuinya.

“Diam saja. Cakaplah sesuatu.” Tegur Qaiz. Mereka beriringan menuju ke garaj kereta.

“Tak ada benda nak cakap. Baik diam saja.” Faira menjelingnya tajam.

“Okey. Tak apa.” Qaiz terus mengunci mulut. Tapi, tidak bermakna dia tidak mahu bersuara terus. Dia mahu perempuan itu tenangkan diri dulu. Sampai di garaj kereta nanti barulah dia akan menegur perempuan itu semula.

FAIRA ALISHA langsung tidak mahu memandang lelaki itu. Dia masih sakit hati lagi dengan apa yang lelaki itu buat padanya tadi. Adakah patut Qaiz menyuruh pemandunya itu menghantar keretanya ke rumah. Dia pula terpaksa menurut kata lelaki di sebelahnya ini.

“Janganlah berdiam saja. Awak ni marah sangatkah dengan saya?” Qaiz masih tidak berputus asa. Dia mahu Faira bersuara juga.

Faira mengetap bawah bibirnya. Aku kata diam. Diam sajalah, marahnya dalam hati.

Qaiz mengerlingnya dan mengenyitkan mata kepadanya.

Faira cuba menahan marah. Kecil besar sahaja dia tengok lelaki di sebelahnya itu. Sabar Faira. Sabar.

Mereka sudah tiba di depan pintu garaj kereta. Qaiz menekan butang kawalan dan pintu garaj pun terbuka. Qaiz melangkah masuk ke dalam diikuti oleh Faira yang berjalan di belakangnya.

Ketika itu Faira tercengang melihat kereta mewah yang pelbagai jenama dan gaya itu. Semuanya cantik dan memikat hatinya. Sebaik sahaja Qaiz menoleh ke belakang Faira cepat-cepat berubah riak. Dia kembali dengan air muka yang tegang.

“Tak terkejutkah tengok kereta-kereta ni?” Qaiz mengumpannya.

Faira tetap mengunci mulutnya. Tspi, hati tetap berkata-kata. Siap mengutuk lagi lelaki itu.

Kereta aku dibiarkan saja berpanas di luar. Kereta dia pula senang-senang duduk dalam garaj tu. Aku tahulah kereta aku tu murah daripada kereta dia. Eleh, mentang-mentanglah orang kaya, Faira terus-terusan mengomel lelaki itu di dalam hati.

Qaiz menoleh ke depan semula. Dia berjalan sambil berfikir kereta mana yang dia hendak guna hari ini.

“Cakap tak nak. Kenyit mata pun langsung tak ada tindak balas. Hmm...” Qaiz mula berjauh hati dengan Faira.

Faira rimas. Lelaki ini langsung tidak mahu mendiamkan diri. Mahu sahaja Faira zip mulut lelaki di depannya ini. Nasib baiklah tak ada zip. Kalau ada dia sudah jahit dekat mulut lelaki itu. Biar padan dengan muka dia. Ish, kejam juga kau ni Faira.

“Cakaplah sesuatu. Saya penatlah tengok awak diam sahaja.”

“Huh, penatlah sangat.” Perkataan terakhir itu ditekannya.

Qaiz tersenyum. Dia berjaya menarik perhatian Faira dan membuatkan perempuan itu bersuara kepadanya.

“Yalah. Mestilah penat. Sebelum ni saya dah biasa dengar bebelan awak. Tapi, bila awak diam macam tu serasa dunia saya ni tak berfungsi tanpa suara awak.”

Wekk!! Mahu muntah Faira mendengarnya.

“Eee! Geli tau telinga ni nak dengar ayat macam tu.”

“Bukannya selalu saya keluarkan ayat power begini. Bertuahlah awak dapat mendengarnya. Lagipun, ayat ni hanya untuk awak saja. Talita pun tak pernah lagi saya bagi ayat macam ini tau.” Kata Qaiz tanpa memandang Faira yang berjalan di belakangnya.

Faira mengajuk katanya. Kemudian mencebik lelaki itu.

“Awak ingat saya tak tahukah apa yang awak buat di belakang saya ni?”

“Macamlah awak tu ahli sihir.” Dia menggenggam tangan seolah-olah mahu menumbuk kepala lelaki itu.

“Hah. Nak buat apa pula tu?” Qaiz yang masih berjalan memandang ke hadapan itu ketawa kecil.

“Mana ada buat apa-apa.” Faira cuak.

“Yakah? Bukan awak nak tumbuk kepala sayakah tadi?” Qaiz berpaling ke belakang menghadap Faira. Dia berpeluk tubuh dengan kening yang terangkat sebelah.

“Eee! Mana awak tahu, hah? Awak ni ada matakah dekat belakang? ” Faira menggeram. Tahu saja lelaki ni apa yang aku buat dekat belakang dia. Ergh!

“Saya tak ada mata dekat belakang tapi ada mata besar dekat depan tu. Boleh nampak lagi apa yang awak buat dekat belakang saya ni tau.”

Faira mengerutkan dahi. Dia menolak Qaiz ke tepi.

“Mana mata besar yang awak cakapkan ni?” Faira mencari benda yang dimaksudkan oleh Qaiz itu.

Qaiz memuncungkan mulut menunjuk ke arah depan mereka.

Faira ternganga.

“Cermin besar?! Buat apa letak cermin besar dalam garaj kereta ni?” Faira sungguh tidak percaya.

“Saja. Saya kan kaya. Suka hati sayalah nak letak apa dalam garaj kereta ni.” Katanya dengan riak.

Faira memandangnya sinis. Kayalah sangat. Kalau miskin padan dengan muka tu.

“Cepat pilih. Kereta yang mana satu awak nak saya bawa?”

“Malas nak pilih. Awak pilihlah sendiri.” Balas Faira malas. Pening kepalanya melihat kereta-kereta mewah itu.

“Janganlah begitu. Cepatlah pilih.” Pujuknya.

Ish, dia ni. Pilih sajalah sendiri. Nak suruh aku pula yang pilih kereta untuk dia ni, omel Faira dalam hati.

“Faira lekaslah. Antara semua kereta-kereta ni, yang mana satu pilihan awak?”

Faira tengok dari atas ke bawah. Main gedik-gedik pula lelaki ni. Haaih... Pelik. Pelik. Bukan sebelum ni dia ni seriuskah? Main kasar lagi dengan aku. Masa makan tengah hari tadi pun tak macam ni. Sekarang ni pula kenapa perangai dia berubah jadi pelik? Dah bukan macam Mr. Richest yang aku kenal.

“Kena pilih jugakah?”

“Yalah. Cepat.”

Faira menggeram. Menyampah dia tengok lelaki itu.

“Ni. Yang ni. Puas hati!” Faira berdiri di depan sebuah kereta jenis mini cooper yang berwarna biru.

Qaiz tersenyum. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar dan melangkah ke tempat perempuan itu berdiri.

Faira cuak. Jarak mereka terlalu dekat sehinggakan Faira tidak boleh melarikan diri kerana lelaki itu sudah menutup jalannya.

“Apa awak nak buat ni, hah?!” Cepat tangannya mengadang dada Qaiz.

“Tak ada. Saja nak usik.” Dia tersenyum sambil mengenyitkan mata.

“Kenapa dengan awak ni, huh? Tadi, bukan main lagi serius. Bercakap pun main ugut-ugut lagi. Sekarang kenapa jadi ulat bulu pula?” Faira menjelingnya. Dia menolak tubuh itu ke belakang.

Qaiz ketawa. Perasan juga Faira dengan sikapnya itu.

“Kalau ada orang kenalah tegas sikit. Kena serius. Tapi... kalau dah berduaan dengan awak, saya kenalah jadi lelaki romantik.”

Faira buat-buat tidak dengar. Geli dia mendengar perkataan ‘romantik’ itu.

“Sudahlah. Cepatlah buka pintu ni.” Faira beralih ke arah pintu kereta mini cooper itu.

“Tadi beria-ia suruh pilih kereta. Sekarang dah pilih, lambat pula nak bergerak.” Faira memerlinya.

“Awak tahu tak? Walaupun awak hilang ingatan tapi pilihan kereta awak tetap sama seperti sebelum ni.”

Faira tersentak. Dia memandang Qaiz yang sudah masuk ke dalam perut kereta.

“Yakah?” Tanyanya pada diri sendiri. Dia memandang kereta-kereta yang ada di dalam garaj kereta itu dan kemudian berpaling semula ke arah kereta mini cooper ini.

Aku pilih kereta ni sebab kereta ni comel berbanding dengan kereta-kereta yang lain, ujarnya dalam hati.

PON! PON! PON!

Bunyi hon kereta di belakang menyedarkan Faira dari lamunanya. Dia memandang Qaiz. Lelaki itu menyuruhnya masuk ke dalam. Sempat lagi Faira mengomel sebelum masuk ke dalam kereta tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience