BAB 59

Romance Completed 137457

BAMBOO INN. Pagi itu, seorang wanita 50-an sedang sibuk menyediakan makanan dan pakaian untuk salah seorang tetamunya. Minuman herba juga turut disediakan olehnya. Sebaik sahaja tugasnya selesai dia terus membawanya ke tempat penginapan tetamu istimewanya.

Dia berjalan masuk ke dalam kawasan Bamboo Calet yang menempatkan 20 buah calet yang diperbuat daripada kayu dan bambu. Setiap calet dihuni oleh dua atau empat orang sahaja. Di dalamnya telah dilengkapi dengan satu unit katil, tiga buah tilam lipat, televisyen, penghawa dingin, tempat mandi dan juga dapur mini.

Selain Bamboo Calet, di Bamboo Inn ini juga ada menyediakan jenis penginapan yang lain iaitu penginapan jenis rumah pokok dan juga hotel. Tapi, kebanyakan pengunjung yang datang ke sini lebih suka memilih Bamboo Calet kerana kawasan itu lebih hijau dan tenang berbanding dengan penginapan lain di Bamboo Inn.

WANITA itu meletakkan sarapan dan pakaian tetamu di atas meja panjang dekat bahagian sofa. Dia kemudiannya menuju ke arah tingkap dan menyelak langsir.

“Aunty Iyza.”

Wanita itu berpaling apabila mendengar namanya dipanggil. Dia mengukir senyuman.

“Kamu dah bangun. Macam mana? Dah okey?” Puan Iyza menerpa ke arahnya.

“Bolehlah. Kepala masih terasa sakit.”

“Rehatlah. Doktor pun suruh kamu rehat dulu.”

Dia tersenyum kecil. Sewaktu dia sedar dari pengsan semalam, dia terkejut dirinya berada di tempat lain. Dia langsung tidak kenal dengan tempat ini sehinggalah puan Iyza muncul. Puan Iyza telah menceritakan apa yang berlaku pada dirinya dan bagaimana dia dibawa ke sini.

“Faira.”

Faira tersentak. “Ya, aunty.”

“Mengelamun apa pula tu?” Puan Iyza membawa sarapan tadi ke meja kecil tepi katil Faira.

“Err...” Faira tersengih. Dia sebenarnya gembira dengan keadaannya yang sudah pulih sepenuhnya. Tapi, dia belum ada hati mahu cerita semua ini pada puan Iyza.

“Masih tak nak cerita dengan auntykah?”

“Cerita apa aunty?” Faira buat-buat tidak tahu.

“Ingat aunty tak tahukah apa yang kamu dengan doktor cakap semalam. Kamu dah ingat semua, kan.”

Faira diam.

“Cuba cerita dekat aunty. Apa yang berlaku sebenarnya masa tu? Jangan nak tipu aunty pula, ya. Aunty nampak semuanya tau. Kamu lari dari tiga orang lelaki bertopeng, kan. Apa yang mereka nak dari kamu? Kamu ada berhutang dengan merekakah?” Puan Iyza duduk di birai katil sambil menunggu cerita Faira.

“Eh, mana ada saya hutang aunty. Saya sendiri pun tak tahu kenapa mereka cari saya.”

Puan Iyza menghela nafas. “Aunty bukan nak masuk campur tapi aunty musykil. Pelik bila tengok tiga lelaki pakai warna pakaian yang sama. Lepas tu pakai topeng mulut lagi. Kejar kamu sampai ke jalan besar. Nasib baik kamu berhenti di situ. Kalau kamu terus berlari menyeberang jalan, takkah bahaya tu? Sudahlah ada kemalangan besar berlaku masa tu.”

Faira hanya tersenyum nipis.

“Kalau kamu tak nak cerita tak apalah. Aunty nak keluar dulu. Kalau nak apa-apa cari saja aunty dekat Glass Garden tu. Sepanjang hari ni aunty ada dekat sana. Banyak anak-anak pokok baru tumbuh nak kena alih ke taman penjagaan.”

Faira angguk. Belum sempat puan Iyza mengorak langkah, Faira menghalangnya kembali.

“Aunty, terima kasihlah sebab jaga saya.”

Puan Iyza senyum. “Kita sama-sama manusia. Kenalah saling membantu. Lagipun, Aunty kesian tengok kamu yang tak ada apa-apa melainkan diri kamu sekarang ni.” Disebabkan itu jugalah puan Iyza mahu membawanya ke sini kerana Faira langsung tidak membawa apa-apa pada masa itu. Telefon tidak ada. Beg tangan juga tidak ada bersamanya.

“Masa saya kena kejar hari tu barang-barang saya semua tertinggal dalam kereta.”

“Oh.”

“Tak apalah aunty. Saya nak rehat dulu. Tengah hari nanti saya cari aunty. Nanti, saya cerita dekat aunty semuanya.”

“Yalah. Ingat. Kalau nak apa-apa cari saja aunty. Kalau tak jumpa aunty cari pekerja-pekerja aunty ni. Mereka akan tolong kamu juga. Lagipun aunty dah bagitahu mereka semua yang kamu tetamu istimewa aunty.”

“Okey. Err... Aunty Iyza.”

“Ya. Ada apa-apa lagi yang aunty perlu tolongkah?”

“Tak ada. Saya cuma nak minta izin aunty boleh?”

Puan Iyza mengerutkan dahi. “Izin untuk apa?”

“Boleh tak aunty izinkan saya tinggal lama dekat sini. Saya janji saya akan bayar semuanya nanti. Sekarang ni saya perlukan tempat tinggal dan kalau boleh saya tak nak keluar dari sini.”

“Tinggallah berapa lama yang kamu nak. Tapi, jangan terperuk saja dalam ni. Keluar tolong aunty buat kerja. Boleh?”

Tersenyum lebar si Faira seiring dengan anggukkan lajunya.

“Pergi mandi. Lepas tu makan sarapan tu.” Kata puan Iyza lalu meninggalkan calet Faira itu.

FAIRA ALISHA duduk termenung di balkoni kecil caletnya. Tidak sangka puan Iyza itu baik hati. Pekerja-pekerja di sini juga sudah sedia maklum tentang kehadirannya sebagai tetamu istimewa puan Iyza.

Semalam, puan Iyza ada menceritakan serba sedikit tentang keluarganya dan juga kawasan ini selepas doktor itu pergi. Puan Iyza mempunyai anak tunggal lelaki yang masih belajar diluar negara. Suaminya pula sudah meninggal dunia setahun yang lepas.

Bamboo Inn tempat penginapannya ini pula sudah diusahakan lebih daripada lima tahun. Hampir sahaja puan Iyza menutup perniagaan keluarga ini setahun yang lepas. Semangatnya ketika itu sudah hilang. Penyokong kuatnya juga sudah tidak ada di sisinya lagi. Hendak mengharapkan anak tunggal, anaknya itu pula masih di luar negara. Mujurlah ada pekerja-pekerja di sini memujuknya agar tidak berputus asa kerana dia masih ada mereka yang sama-sama membangunkan Bamboo Inn ini.

Bersyukur puan Iyza kerana pekerja-pekerjanya selalu ada bila dia perlukan. Mereka juga setia dan jujur kepadanya. Segala suka dan duka dalam Bamboo Inn ini mereka kongsi bersama.

“Termenung jauh cik Faira ni.”

Faira tersentak. Seorang pekerja perempuan menegurnya.

“Eh, Miena. Terkejut saya tau.” Faira kenal dengan pekerja perempuan itu. Miena dengan puan Iyzalah yang menjaganya semalam selepas doktor yang merawatnya itu pulang.

Miena ketawa kecil. “Duduk seorang-seorang dekat sini ni mesti cik Faira tengah rindu dengan seseorang, kan?”

“Ish, tak adalah. Saya cuma menikmati pemandangan hijau di depan mata ni saja. Cantik bambu-bambu yang ada di sini, kan. Pandai kamu semua jaga.”

“Mestilah. Kalau tak jaga nanti tak ramai yang datang menginap di sini. Kami semua dah bertungkus lumus mencantikkan tempat ni tau. Ada kolam ikan. Taman rekreasi. Gym...”

“Dah. Dah. Saya tahu penginapan ni serba lengkap. Semua ada.”

Miena ketawa lagi.

“Err...” Faira mahu meminjam telefon Miena tetapi niatnya itu ditahan. Rasanya lebih baik dia tidak menghubungi mereka. Dia tidak mahu nanti mereka mencarinya di sini terutama sekali lelaki itu.

“Cantik cincin tu. Cik Faira mesti dah berpunya, kan?”

Faira tersentak. Laju dia menyembunyikan tangannya itu.

“Mana ada. Saya masih singlelah.”

“Yakah? Entah-entah, cik Faira tipu.”

Eee! Aku ketuk juga kepala si Miena ni tau.

“Hoi, Miena Cendana! Sibuk pula kau borak-borak dekat sana. Ni kerja kau belum selesai lagi.” Jerit seorang pekerja lelaki yang berdiri tidak jauh dari tempat mereka.

Miena mencebik. “Kalau nak jerit pun janganlah sampai panggil nama tu. Aku tak suka.” Dia menggeram.

Faira pula ketawa. “Miena marah-marah ni kenapa?”

“Lelaki itulah. Dia selalu saja buat saya sakit hati. Elok-elok nama saya Syarmiena. Dia pula pandai-pandai tambah nama Cendana.”

“Macam mana pula dia boleh panggil Miena macam tu?”

“Sebab masa kecil-kecil dulu saya selalu pakai wangian yang hampir sama dengan bau pokok cendana. Tak sangka sampai sekarang dia masih panggil saya dengan panggilan tu.”

Faira melopong. “Maksudnya, kamu berdua ni kawan dari kecillah?”

“Ya.” Miena menjulingkan matanya ke atas. Lelaki itu memanggilnya lagi.

“Cik Faira, kita sambung cerita lain kali sajalah. Pak murai tu tak habis-habis jerit nama saya.” Miena terus pergi dari situ.

Faira ketawa melihat telatah dua pasangan itu. Miena sempat lagi memukul bahu lelaki itu dengan penyapu lidinya.

“Haaih...” Perasaannya mula tidak tenang. Kalau boleh dia mahu melarikan diri sejauh yang mungkin. Dia tidak mahu berjumpa atau terserempak dengan orang-orang yang dia kenal terutama sekali Qaiz Talha.

Cerita yang selama ini hilang dari ingatannya kembali segar bermain di minda. Amaran Talita dua tahun lepas itu membuatkan dia rasa takut. Apa yang membuatkan dia rasa trauma lagi apabila melihat bayangan keluarga kandung Aqil yang mati dalam kemalangan tersebut.

“Apa perlu aku buat sekarang?” Faira berfikir. Selain cerita lepasnya, kejadian yang berlaku padanya baru-baru ini juga menggusarkan hatinya. Dia berharap agar orang-orang misteri itu tidak menjejakinya di sini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience