BAB 15

Romance Completed 137457

FARISH sibuk menguruskan stok-stok bahan mentah yang baru sahaja sampai tadi. Sementara Faira pula sibuk melayan kerenah Aqil. Mereka duduk di hujung kafe. Lagipun, tempat itu terlindung dengan pemidang kayu palet.

“Sedap tak kek yang mama buat ni?” Seronok Faira melihat Aqil makan kek yang dibuatnya sebentar tadi. Sampai comot wajah Aqil makan kek yang berkrim itu.

“Sedap! Apa saja masakan yang mama masak semuanya sedap-sedap. Aqil suka. Mama tinggallah dengan Aqil. Boleh hari-hari makan masakan mama. Lagi-lagi dengan pencuci mulut yang mama buat hari tu.” Dia menjilat bibirnya. Faira ketawa. Lantas cubitan manja mengena di pipi budak itu.

Mereka berbual lagi. Sesekali Faira mengelap bibir yang sudah comot itu. Salah seorang pekerja Farish datang memberikan minuman jus oren dan juga air kosong kepada mereka. Sebaik sahaja pekerja itu pergi muncul pula seorang lelaki yang tidak dikenali oleh Aqil. Tapi, Faira mengenalinya. Faira membalas senyuman lelaki itu.

“Abang Zahwan bila lagi sampai?”

Zahwan tersenyum. Dia mengerling sekilas budak yang ada bersama dengan Faira itu.

“Abang sampai tadi lagi. Abang jumpa abang Faira tadi berkenaan dengan projek kecil kami.”

“Eh, bukan pasal kursus perniagaankah?” Faira masih ingat lagi perbualan abangnya dengan Zahwan tempoh hari.

“Pasal tu, abang Faira tak jadi ikut kursus tu. Kalau abang Faira tak pergi abang pun tak jadi pergi juga.”

“Kenapa pula? Abang Farish tak cerita apa-apa pun pada Faira.” Faira sedikit kecewa. Dia sepatutnya tahu tentang itu. Lagipun, sekarang dia pekerja sementara di kafe ini dan apa-apa pasal kafe mestilah dia hendak ambil tahu.

“Tiada apa-apa hal serius pun. Kursus perniagaan tu bila-bila masa boleh ambil lagi.”

“Habis, projek kecil yang abang dengan abang Farish buat sekarang ni projek apa pula?”

“Rahsia. Mana boleh bagitahu.”

Faira buat muka. Aqil yang perasan dengan reaksi wajah Faira itu berasa geram. Cemburu menguasai diri budak itu. Aqil menjeling tajam lelaki yang berdiri di tepinya ini.

“Mama, mama tak dibenarkan buat muka macam tu depan lelaki ni. Aqil tak suka.”

Faira terkedu. Zahwan memandang budak itu dengan tanda tanya.

“Err... Faira siapa budak ni?” Tanya Zahwan.

Aqil mencebik. Baru sekarang nak tanya pasal akukah. Dia mengetap bibir.

“Saya Aqil Syauqi.” Laju Aqil memperkenalkan diri. Dia tanpa rasa malunya terus berdiri di atas kerusi. Renungan tajam dihadiahkan kepada lelaki itu. Sakit hatinya bila lelaki ini menunjukkan sisi mesranya pada Faira yang dianggapnya mama itu.

“Aqil, apa Aqil buat ni? Janganlah berdiri atas kerusi tu. Bahaya.” Faira mula tidak keruan melihat tindakan Aqil. Budak itu langsung tidak mahu mendengar katanya. Mujurlah tempat mereka itu terlindung daripada orang ramai.

“Uncle. Uncle tak boleh ganggu mama saya. Mama saya dah ada kekasih. Dia dah ada suami. Saya ni anak dia.”

Bulat mata Faira mendengar bicara budak itu. Begitu juga dengan Zahwan.

“Err... adik. Uncle dengan dia...” Zahwan terkelu lidah. Tidak tahu hendak berkata apa. Dia masih terkejut dengan kata-kata budak itu.

“Aqil. Kenapa Aqil cakap macam tu? Cepat minta maaf dekat uncle.” Faira menahan perasaan. Kalau diikutkan hatinya dia memang hendak marah budak itu tetapi Aqil agak sensitif budaknya. Jadi sabarlah jawabnya.

“Kenapa Aqil kena minta maaf pula? Mama tak sayangkan Aqilkah? Mama tak sayangkan papa? Mama lebih suka lelaki ni berbanding dengan Aqil.” Reaksinya berubah sayu.

Aduh, main banding-banding pula budak ni. Dah tu masuk papa dia lagi. Faira menggigit bibir.

“Err...” Faira rasa bersalah. Dia berpaling ke arah Zahwan.

“Abang Zahwan, Faira minta maaf. Aqil ni sensitif sikit. Lain kali sajalah kita berbual lagi.” Faira mengangkat Aqil turun dari kerusi. Sempat si Aqil menjeling lelaki itu.

“Yalah. Maaflah kalau abang dah ganggu masa kamu berdua.”

“Tak apa. Apa yang Aqil cakap tadi janganlah abang Zahwan ambil hati. Dia tak bermaksud apa-apa pun cakap macam tu. Biasalah budak-budak, kan. Ada masa nanti saya cerita dengan abang lagi, ya.” Faira betul-betul malu dengan tutur bicara budak itu pada Zahwan tadi.

“Okey. Kalau macam tu abang pergi dulu. Assalamualaikum.”

Faira tersenyum. “Waalaikumussalam.”

Senyuman itu menambah rasa sakit di hati budak kecil itu. Aku tak akan biarkan senyuman manis tu diberikan kepada orang lain. Senyuman mama Faira hanya milik aku, papa dan ahli keluarga kami saja.

“Aqil tak suka uncle tu. Aqil nak keluarlah.” Aqil mengorak langkah. Pura-pura merajuk.

Faira tangkas menangkap tangan Aqil.

Aqil ketawa dalam hati.

“Tak payahlah keluar. Uncle Zahwan dah pergi, kan.”

“Tak nak! Aqil nak keluar juga. Kalau Aqil dekat sini, nanti uncle tu datang lagi.” Dia mendengus kasar.

“Aqil...” Pujukan Faira langsung tidak berkesan kepadanya. Aqil tetap berkeras mahu melangkah keluar daripada kafe tersebut.

Faira mengeluh. Geram juga ada.

“Yalah. Yalah. Mama bawa Aqil keluar jalan.” Mengalah.

“Yeah!” Laju tangan kecil itu memeluk Faira. Tidak sia-sia dia memprotes tadi.

“Kejap. Mama panggil abang mama dulu, ya. Lepas tu kita jalan. Okey?”

“Okey.” Aqil angguk, setuju.

Tadi bukan main marah lagi. Sekarang gembira pula. Macam-macam perangai si Aqil ini tahu. Faira berasa lega sedikit. Senang hatinya melihat wajah gembira Aqil.

AQIL SYAUQI mundar-mandir di depan Farish. Sepatutnya, mereka sudah lama keluar berjalan tadi. Tapi, disebabkan pekerja di dapur itu meminta bantuan Faira terpaksalah dia menunggu di luar ditemani oleh abang Faira.

Rancangan aku hampir saja nak berjaya. Aku dah halau lelaki tu. Tapi, pekerja uncle Farish pula buat hal dengan mama. Dia orang tu memang tidak sukakah tengok aku keluar dengan mama aku sendiri? Aqil menggeram dalam hati.

Jam menunjukkan hampir pukul 3.00 petang. Aqil merengus. Sia-sia dia menyusun rancangannya untuk hari ini. Banyak benda yang dia mahu buat dengan Faira hari ini. Tapi, masanya sudah banyak terbuang kerana Faira masih lagi di dalam dapur.

“Uncle Farish, lambat lagikah mama dekat dalam tu?” Aqil merungut.

“Sekejap lagi mama keluarlah. Aqil sabarlah. Manalah tahu mama ada buat sesuatu untuk Aqil di dalam tu.” Farish saat itu sibuk meneliti buku kerjanya. Dia perlu menyusun atur tugas pekerja-pekerjanya untuk aktiviti minggu depan kafe ini.

Bola matanya besar. “Uncle, mama buat apa untuk Aqil? Makanan apa? Manisan? Aiskrim?”

Ketawa Farish. “Amboi, uncle tak sebut pun pasal makanan. Laju saja Aqil fikir pasal benda tu.”

“Mestilah. Mama buat apa lagi dekat dalam dapur tu kalau bukan masak, kan?” Aqil mencebik.

Farish menggosok kepala Aqil. Dia tersenyum. Sambil melayan kerenah Aqil sambil dia membuat kerjanya.

“Uncle Farish,”

“Hmm,”

“Tadi, uncle Zahwan ada bercakap dengan mama Faira tentang projek kecil uncle dengan dia. Boleh Aqil tahu projek itu projek apa?”

Farish tersentak. Dia menghentikan kerjanya dan berpaling ke arah budak itu. Aqil. Aqil. Kecil-kecil lagi dah pandai pasang telinga, dengar cerita orang.

“Uncle tak boleh bagitahu Aqil. Ini rahsia.”

“Ala, Aqil bukan bagitahu dengan siapa-siapa pun. Kalau uncle cakap projek tu apa pun bukannya Aqil tahu juga, kan.”

Farish geram lalu mencubit pipi budak itu.

“Cikgu Aqil pernah tak bagitahu apa-apa masa Aqil belajar di tabika? Budak kecil macam Aqil ni mana boleh curi dengar perbualan orang tua. Tak baik. Itu maknanya tidak menghormati orang tua tau.”

Aqil menatap wajah Farish lama sebelum menghela nafas berat. “Maaf.” Ucapnya lalu diam.

Air muka budak itu berubah masam. Farish perasan akan perubahan tersebut.

“Kenapa ni?” Farish memeluk tubuh si kecil sambil menepuk-nepuk hujung bahu itu. Pasti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh budak ini.

“Sebenarnya, Aqil tak pernah pergi tabika pun uncle Farish. Aqil tak suka pergi tempat tu. Tak seronok.”

Farish tersentak lagi. Habis, selama ini Aqil duduk diam bermain di rumah sajakah? Langsung tak belajar? Persoalan mula timbul di benak fikirannya.

“Kenapa Aqil tak suka pergi tabika? Aqil, kan dah 6 tahun. Rugi tau kalau tak pergi tabika. Sana ada ramai kawan. Aqil tak nak ada kawankah?” Lembut nadanya. Dia kesian tetapi dia mahu tahu juga sebab budak ini tidak mahu ke tabika.

“Aqil tak nak. Aqil tak suka kawan dengan budak-budak tabika. Nanti, mereka mengata Aqil. Buli Aqil. Kata yang Aqil ni tak ada mama.”

Tersentuh jiwa Farish mendengarnya. Siapa yang tidak terasa apabila diperkatakan seperti begitu. Semua orang mahukan keluarga yang lengkap. Jika salah satu ahli keluarga tidak ada pasti akan membuatkan seseorang itu berasa pilu. Lagi-lagi budak kecil seperti Aqil ini yang kehilangan orang tersayang.

“Papa ada pujuk Aqil juga tapi Aqil tolak. Jadinya, papa upah cikgu untuk ajar Aqil di rumah saja. Itu pun kadang-kadang saja papa panggil cikgu ke sana.”

Dia mengusap kepala budak itu. “Baguslah macam tu. Apa yang penting ada seseorang yang boleh mengajar Aqil. Kalau Aqil tak belajar dari sekarang macam mana nak pandai, kan?” Farish mencuit hidungnya. Aqil tersenyum kecil.

“Lupakanlah saja pasal hal Aqil tu. Uncle tak bagitahu lagi projek tu pasal apa. Cepatlah cakap.” Aqil kembali pada reaksi sebelumnya. Dia menggesa Farish untuk memberitahunya juga.

“Ish, Aqil ni. Ingatkan dia dah lupa.”

“Mana boleh Aqil lupa. Perkataan ‘projek’ tu dah melekat dalam otak Aqil ni tau.”

Tercuit hati Farish. “Yakah? Hmm... Kalau uncle cakap projek ni mengenai mama Faira, Aqil nak bocorkan juga rahsia tu dekat mama Fairakah?”

Aqil tiba-tiba teruja. “Projek untuk mama Fairakah? Apa tu? Cepatlah bagitahu Aqil.”

“Janji jangan cerita dengan mama Faira, ya?”

Laju budak itu membuat pinky promise dengannya.

“Janji. Aqil janji tak akan beritahu mama Faira. Cepatlah uncle Farish. Projek apa tu?” Dia sudah tidak sabar untuk tahu.

“Sebenarnya, uncle Zahwan yang cadang semua ni. Uncle ikut saja. Lagipun, uncle Zahwan dah lama nak buat benda ni untuk mama Faira. Projek ni kami nak buat minggu depan.”

Aqil terus buat muka apabila mendengar projek tersebut adalah hasil cadangan daripada Zahwan. Wajahnya diketatkan lagi.

Farish perasan dengan perubahan reaksi Aqil sebaik sahaja menyebut nama teman baiknya itu. Apa tidaknya. Tadi, salah seorang pekerjanya memberitahu yang Aqil memarahi Zahwan kerana teman baiknya itu berbual dengan adiknya.

“Minggu depan? Projek tu pentingkah sampai mama Faira pun ada sekali?”

“Mestilah. Uncle dengan kawan uncle nak buat projek tu dekat sini.”

“Tapi, uncle tak bagitahu Aqil lagi apa projek tu.” Dengusan kecil dilepaskan.

Ketawa Farish melihat wajah cemberut itu. Dia menggosok kepala Aqil.

“Nanti Aqil tahulah. Nanti, uncle bagi kad istimewa untuk Aqil.”

“Ala, Aqil tak nak kad. Uncle Farish bagitahu sajalah dengan Aqil. Bukankah Aqil dah janji tadi? Aqil tak akan bagitahu mama Fairalah.” Dia menjuih bibir. Ada tanda-tanda hendak merajuk dia ini.

“Yalah. Yalah.” Farish mengalah. Aqil tersenyum menang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience