BAB 22

Romance Completed 137457

BANGUN sahaja dari tidur Qaiz terus keluar mencari Faira di ruang pejabatnya. Tetapi perempuan itu sudah tidak ada di situ. Kejadian semalam bermain semula di kotak mindanya. Rambutnya diramas kasar. Fikirannya kembali kusut.

“Selamat pagi papa!” Aqil datang bersama pengawal peribadinya.

“Aqil. Ada apa ni?” Soalnya. Tentang Faira dilupakan seketika.

“Cari papalah. Nenek kata mama ada dengan papa. Sebab tu Aqil datang cari papa dekat sini.”

Pandai-pandai saja mama cakap macam tu dekat budak ni, omelnya di dalam hati. Qaiz menguap sambil meregangkan otot-otot sendinya.

“Mama tak ada dengan papalah. Kalau Aqil nak jumpa mama, pergi bilik penginapan dia.” Qaiz beredar menuju ke bilik air. Tapi langkahnya mati. Dia memandang semula anak arwah kakaknya itu.

“Macam mana Aqil tahu papa ada dekat sini?”

Aqil tersengih. Qaiz angkat kening sebelah.

“Err... tuan muda. Saya yang bagitahu tuan muda kecil ini yang tuan muda ada di sini. Sebenarnya semalam saya tidak sengaja masuk ke bilik pejabat tuan muda ini. Saya masuk sini pun... hendak pinjam...” Dia tertunduk malu. Dia sedar akan kesalahannya masuk ke bilik pejabat tanpa kebenaran majikannya ini.

“Kamu masuk sini pinjam apa?” Qaiz bersuara tegang. Dia mula berfikiran negatif. Dia takut kalau pekerjanya ini mengapa-apakan Faira dan membuatkan perempuan itu menghilangkan diri lagi.

Qaiz memandang Aqil. Budak itu hanya tersengih-sengih. Pengawal peribadi itu pula masih menundukkan wajahnya.

“Semalam...” Malu dia hendak memberitahu perkara sebenar.

“Semalam apa?!” Suara Qaiz naik satu oktaf.

“Papa janganlah marah pengawal peribadi Aqil ni. Kesian uncle Eddy tau. Sudahlah semalam dia sakit perut.” Aqil menahan tawa.

“Tuan muda, saya minta maaf sangat-sangat. Semalam tuan muda kecil bagi saya makan banyak. Lepas tu, Madam Alina pula suruh saya cari tuan muda. Masa mencari tuan muda, tiba-tiba perut saya buat hal. Saya tak tahan dan terus masuk ke sini. Saya minta maaf sebab pinjam bilik air tanpa kebenaran tuan muda.” Pengawal peribadi itu betul-betul berasa malu.

“Jadi, masa kamu ke sini ada tak nampak apa-apa dalam ni?” Berhati-hati dia menyoalnya.

Laju pengawal peribadi itu menggelengkan kepala. “Saya tak nampak sesiapa pun selain tuan muda. Saya cuma buka bilik tetamu dan ternampak tuan sedang tidur di situ. Saya tak ada niat pun hendak mengganggu tidur tuan muda. Saya ke sini cuma hendak meminjam bilik air saja.” Pengawal peribadi itu masih ingat lagi akan hal semalam. Perutnya asyik memulas-mulas dan dia sudah tidak tahan untuk membuang air besar. Jadinya, dia mengambil keputusan untuk masuk ke bilik majikannya ini. Lagipun, bilik pejabat ini tidak berkunci dan tempat ini juga paling dekat dengan kedudukannya ketika itu.

Tidak terlintas langsung di fikirannya semalam hendak memeriksa ruang pejabat ini. Apa yang ada di kotak fikirannya itu hanyalah bilik air. Mujurlah, bilik air itu ada di luar sebelah dengan bilik tetamu dekat ruang pejabat. Selepas dia ke bilik air, terdetik di hatinya untuk membuka pintu bilik tetamu itu. Dia lega apabila melihat tuan mudanya ada di situ dan terus keluar dari tempat tersebut.

Qaiz mengerutkan dahi. Dia membelakangi mereka berdua. Habis, ke mana pula dia pergi? Qaiz berfikir.

FAIRA ALISHA tersedar dari lenanya. Dia melihat ke jendela dan hari sudah petang. Mujurlah dia tidak boleh solat hari ini. Semalam dia tersedar dan berada di ruang pejabat. Dia terbangun pun gara-gara bunyi hempasan pintu yang terlalu kuat. Sempat dia meneliti meja kerja yang ada di ruang pejabat itu dan ternyata bilik tersebut adalah milik Qaiz Talha.

“Macam mana pula aku boleh pengsan di atas sofa? Aku ingat aku terjatuh dan terbaring di atas lantai. Pelik. Nasib baiklah tak ada orang di situ. Tapi, siapa pula di dalam bilik air tu semalam, ya?” Dia mengetuk-ngetuk tepi kepalanya sambil berfikir.

Tiba-tiba pintu bilik penginapannya diketuk. Segera Faira memakai tudung dan membuka pintu. Tersembul wajah Alya di depan mata. Faira mengerling ke kiri dan kanannya. Takut dia sekiranya ada orang mengekori temannya itu ke sini. Pantas dia menarik Alya masuk ke dalam setelah memastikan lorong di kawasan itu kosong. Tangannya laju mengunci pintu bilik itu.

“Tak ada orang ikut kau, kan?” Faira meminta kepastian.

“Tak ada. Nah, aku bawakan kau makanan.” Alya meletakkan bungkusan makanan itu di atas meja.

“Kau tau tak, penat tangan aku ketuk-ketuk bilik kau ni. Pagi tadi aku pergi kau tak buka. Tengah hari tadi pun macam tu juga. Aku ingat kau pengsan tau. Nasib baik tadi kau buka. Kalau kau tak buka, aku memang nak panggil Mr. Richest kau tu.”

Faira tersengih. “Maaflah. Aku terlajak tidur.”

Semalam, selepas dia keluar daripada bilik pejabat itu dia terus balik ke bilik penginapan mereka. Dia bertekad mahu keluar daripada bilik penginapan itu dan berpindah ke bilik lain. Tentang apa yang terjadi di majlis semalam hanya sedikit sahaja yang dia ceritakan pada Alya. Dia juga meminta Alya agar tidak memberitahu pada sesiapa tentang bilik penginapan baru yang dia sudah tempah ini. Dia tidak mahu di ganggu oleh sesiapa pun buat masa sekarang.

“Itulah kau. Bergaduh tak ajak aku sekali. Tengok apa dah jadi semalam. Kau pengsan dekat dalam bilik pejabat si Mr. Richest tu pula.”

“Dah itu saja bilik yang terbuka. Lagipun, bilik tu jauh dari tempat majlis semalam.” Faira membuka tudungnya semula dan meletakkannya di atas sofa. Dia menuju ke almari mengambil tuala serta pakaiannya.

“Kau tunggu sini dulu. Aku nak pergi mandi. Lepas tu baru makan. Jangan buka pintu kalau ada ketuk ya. Siapa-siapa termasuk keluarga aku pun kau jangan buka.” Amaran Faira dengan muka garangnya.

“Yalah. Yalah. Kau pergilah mandi. Bau busuk tau tak.”

Faira mencebik. Dia terus berlalu ke bilik air meninggalkan temannya di ruang bilik itu.

KAFE ERIANTHE. Di satu sudut kafe itu ahli keluarga Faira dan juga ahli keluarga Alya berkumpul minum petang. Zahwan turut sama menyertai mereka. Hanya Faira dan Alya sahaja yang tidak ada di situ.

“Ke mana adik kamu ni Farish. Dari semalam lagi tak nampak-nampak batang hidung dia.” Puan Daliya menggeram. Selepas daripada acara memotong kek semalam terus sahaja anak perempuannya itu menghilangkan diri.

“Farish pun tak tahu. Lagipun, semalam Farish tak ada dalam majlis tu. Farish dengan Zahwan keluar ambil angin.” Risau juga Farish bila adik kesayangannya itu tidak ada di depan mata.

“Alya pula pergi entah ke mana. Tadi, elok saja dia dengan kita di bilik. Lepas tu hilang. Tak balik-balik sampai sekarang ni.” Puan Zaliah juga merisaukan ketiadaan anak sulungnya itu.

“Agaknya Alya cari Faira. Mungkin dia tahu di mana Faira sekarang ni.” Farish memerhati kawasan kafe itu. Manalah tahu dua anak dara itu ada di situ.

“Tak payahlah kau orang risau sangat dua orang tu. Kapal ni bukannya besar sangat. Kalau hilang pun dalam kapal ni juga, kan. Lainlah kalau dua orang tu terjun dari kapal nak ke seberang sana.” Puan Qayla datang menyampuk sekejap dan kemudian berlalu ke tempat hidangan.

Puan Daliya dan temannya hanya berpandangan. Malas hendak mencari gaduh dengan orang tua itu. Ada sahaja yang dia tidak puas hati dengan Faira dan juga si Alya.

“Umi, Farish ke tempat Zahwan dululah.” Farish meminta diri. Temannya sedang sibuk bercerita dengan Qisha dan juga adik sepupunya yang lain. Puan Daliya hanya mengangguk.

Tidak lama itu muncul pula Madam Alina sekeluarga. Aqil berlari ke arah puan Daliya dan memeluk tubuh tua itu.

“Rindu nenek.” Aqil mengetatkan pelukannya. Puan Daliya tersenyum.

“Baru berapa jam berlalu Aqil dah mula rindu dengan nenek.” Puan Daliya mencubit pipi gebu milik Aqil itu.

“Aqil ni sebenarnya bukan rindu dekat nenek, kan. Mesti rindu dekat mama dia. Kan? Kan?” Entah kenapa hatinya mula senang dengan sikap Aqil itu. Tidak menjengkelkan seperti sebelum ini.

“Pandailah nenek. Mana mama? Aqil dari semalam lagi tak nampak mama. Aqil nak berkepit dengan mama.” Suaranya dimanjakan.

“Nenek pun tak tahu. Cuba tanya papa kamu. Mana tahu papa kamu tahu.” Puan Daliya memandang Qaiz yang baru tiba. Madam Alina dan suaminya juga turut ada bersama.

“Papa cakap papa pun tak tahu.” Aqil buat muka kesian. Puan Daliya menggosok kepala budak itu.

Qaiz mematikan langkah. Dia teringat satu benda yang boleh membantunya untuk mencari keberadaan Faira sekarang ini.

“Err... Qaiz nak minta diri dulu. Qaiz nak pergi ke bilik pengawal. Ada urusan.” Segera dia meminta diri dari situ.

“Pergilah.” Ujar Madam Alina.

Keluar daripada kafe Erianthe, Qaiz bertemu pula dengan Talita. Bukan main bergaya lagi perempuan itu berjalan dengan pakaian seksinya. Langsung tiada perasaan malu pada diri sendiri.

“Sayang!” Jerit Talita dari jauh. Langkahnya dipercepatkan apabila melihat Qaiz mahu melangkah ke arah lain.

“Sayang tunggulah!” Talita mengejarnya.

“Cik Talita.” Muncul pula pengetua Shaun menghalangnya.

“Pe... pengetua Shaun.” Ekor matanya bergerak ke kanan dan kiri sebelum berpaling ke arah Qaiz. Lelaki itu sudah tidak ada di situ.

“Kenapa cik Talita?” Pengetua Shaun turut sama memandang ke kiri dan kanannya.

Air muka Talita berubah. Lantas dia menarik pengetua Shaun ke tempat lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience