BAB 1

Romance Completed 137457

FAIRA ALISHA masih duduk termenung di meja kerjanya sambil menghadap ke luar tingkap. Cuaca petang hari ini tidak begitu baik. Angin kuat seiring dengan bunyi guruh dan petir yang saling sahut menyahut di luar sana. Faira beristighfar setiap kali petir menyambar ke bumi. Dia agak takut dengan cuaca sebegini. Yalah, kalau balik dalam keadaan begini apa pun boleh terjadi. Sudah banyak kes yang didengarinya tentang panahan petir. Jarang sekali mangsa yang hidup selepas disambar petir. Jadi, dia mengambil keputusan untuk duduk di dalam bilik guru itu sehingga cuaca di luar reda.

Bunyi deringan telefon menyedarkan dia dari lamunan panjang. Faira segera menjawab panggilan. Tertera nama umi di skrin telefonnya itu.

“Ya, umi. Kenapa?” Tanya Faira.

“Kamu tahu tak dah pukul berapa sekarang ni?” Marah uminya di hujung talian.

Faira buat muka. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Waktu menunjukkan pukul 6.00 petang.

“Maafkan Faira kalau Faira dah buatkan umi risau. Faira masih di sekolah. Hujan lebatlah umi. Takut Faira nak balik sekarang ni. Lagipun, ada petir.” Dia menjenguk ke luar tingkap lagi. Hujan semakin lebat membasahi bumi.

“Kenapa tak balik dengan Alya saja tadi?”

“Dia balik awal, umi. Katanya ada hal.”

“Habis, sekarang ni?”

“Tunggu hujan berhentilah. Ala, umi jangan risaulah. Faira bukan balik naik bas pun. Ada kereta juga, kan. Umi jangan risau sangatlah.”

“Ish, kamu ni. Kalau susah sangat nak pulang tu umi telefon abang kamu sajalah. Suruh dia ambil kamu di situ. Tinggalkan saja kereta di sana.”

Faira menggaru hujung kepala yang berlitup itu.

“Tak payahlah susahkan abang Farish. Mesti abang Farish tengah sibuk uruskan kafe dia.”

“Umi sebenarnya risau Faira. Kalau jadi apa-apa dekat kamu macam mana? Kamu tu satu-satunya anak perempuan umi.”

“Umi ni. Setiap kali Faira pulang lewat mesti umi kata macam ni. Umi tak payahlah risau. Faira tahulah jaga diri. Sudahlah, umi. Faira nak berkemas. Nak kunci lagi pintu perpustakaan sekolah ni.”

“Hmm... Yalah. Hati-hati. Kalau ada apa-apa terus telefon umi atau abang kamu tu.”

“Ya. Faira tahu. Assalamualaikum.” Faira terus mematikan talian sebaik sahaja uminya menjawab salam. Dia mengemas meja kerjanya dan kemudian mengunci bilik guru itu. Dia melangkah ke perpustakaan sekolah yang terletak di tingkat dua.

Sudah setahun lebih dia mengajar di Sekolah Rendah Polaris ini. Dia bersyukur kerana sepanjang pengajarannya di sini semuanya berjalan dengan lancar. Murid-murid di sekolah ini pun sukakannya walaupun kadang-kadang mereka nakal dengannya. Tidak apa, bagi Faira ada banyak cara lagi untuk menangani kenakalan mereka itu. Apa-apa pun dia sukakan budak-budak dan dia suka mengajar di sekolah ini.

Selesai semua tugas dia turun ke bawah. Dia mengibas-ngibas baju kurung yang dipakai olehnya itu. Sebahagian pakaiannya telah terkena dengan air hujan yang menitis jatuh dari atas bumbung lorong tersebut. Sedang dia mengibas pakaiannya yang basah itu tiba-tiba dia terdengar suara tangisan seorang budak lelaki. Tangannya berhenti bergerak.

“Ada lagi murid yang tak balikkah?” Dia berfikir dan kemudian mengatur langkah mencari arah suara itu.

Semakin dia melangkah ke hadapan semakin kuat suara tangisan yang didenagarinya itu. Faira melajukan langkah ke arah pondok yang tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Faira cuba bertenang apabila ternampak seorang budak lelaki sedang memeluk lutut sambil menangis teresak-esak. Budak lelaki itu menjerit memanggil mamanya. Perlahan-lahan Faira menghampiri budak tersebut.

“Adik, kenapa duduk menangis seorang diri di sini ni?” Faira menyentuh lembut bahu budak lelaki itu.

“Mama... Mama...” Itu sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Dia masih menunduk dengan tangisan yang kuat.

Faira mengerling ke sebelah kanan dan kiri. Tidak ada sesiapa pun di situ melainkan mereka berdua.

Sudahlah hujan lebat, budak ini pula menangis. Aku tengok dia ini bukanlah pelajar dari sekolah ini. Lagipun pakaian yang dia pakai itu hanyalah pakaian biasa saja, katanya di dalam hati.

“Adik, macam mana adik masuk ke dalam sekolah ni? Siapa mama dan papa adik?” Tanya Faira.

Budak lelaki itu mengangkat wajah dan terkaku melihat Faira. Lama dia memandang wajah ayu Faira itu.

“Mama!”

Faira tergamam. Budak lelaki di depannya ini tiba-tiba sahaja memeluknya dengan erat.

“Mama... Aqil rindu sangat dengan mama. Janganlah tinggalkan Aqil lagi.”

Faira tercengang. Dia bingung seketika.

Bila masa aku kahwin ni? Tanyanya dalam hati.

Dia mengesat air mata budak lelaki yang bernama Aqil itu.

“Shhh... Aqil janganlah nangis. Sebenarnya Aqil dah salah orang ni. Akak bukannya mama Aqil.”

Dia geleng kepala berkali-kali. Dia menidakkan kata Faira itu.

“Mama, mama Aqil. Mama janganlah tinggalkan Aqil.” Dia memeluk kuat tubuh Faira.

“Err... Aqil...” Faira tidak tahu hendak berbuat apa pada masa ini. Hujan mula menunjukkan tanda mahu berhenti. Sekarang sudah pukul 6.30. Dia harus segera pulang ke rumah sebelum uminya menelefonnya lagi.

“Cikgu Faira, ada apa masalahkah?” Tiba-tiba pengawal keselamatan sekolah itu muncul di depannya.

“Pak Wan, budak ni...”

Pak Wan beralih pandang. Dia bercekak pinggang.

“Sini pula budak ni.” Orang tua itu menggeram.

“Begini, cikgu Faira. Tadi budak ni lari masuk ke sini. Pak Wan kejarlah budak ni. Dia pula hilang tiba-tiba. Nasib baiklah cikgu Faira yang jumpa.”

“Yakah?” Faira memandang budak itu pula.

“Aqil datang dari mana ni? Larikan diri daripada siapa? Mana keluarga Aqil?” Tanya Faira bertubi-tubi.

Aqil diam. Tangisannya sudah reda tapi tangannya masih memeluk Faira. Dia langsung tidak mahu melepaskan Faira.

“Pak Wan, apa kita nak buat ni? Saya tak tahu siapa keluarga budak ni.” Faira menggerutu.

“Pak Wan sendiri pun tak tahu siapa keluarga dia. Kalau cikgu Faira nak cari orang tua dia ni Pak Wan boleh temankan. Lepas tu, boleh kita pergi makan.” Orang tua itu tersengih. Faira buat muka. Situasi macam ini pun sempat lagi orang tua ini mahu menggatal dengannya.

“Tak apalah Pak Wan. Saya bawa Aqil balik rumah saya sajalah.” Faira meleraikan pelukan.

“Aqil. Kita balik rumah akak dulu, ya?”

Budak lelaki itu tidak memberi reaksi kepadanya. Tapi kalau budak bernama Aqil itu ditinggalkan di situ, takut pula terjadi apa-apa yang buruk padanya.

“Aqil ikut kakak, ya.” Faira tekad mahu membawa Aqil bersamanya. Dia menarik budak itu ke tempat dia memarkirkan keretanya.

“Hati-hati kalau memandu cikgu Faira.” Laung Pak Wan.

“AQIL sebenarnya lari daripada siapa? Boleh akak tahu?” Soal Faira sebaik sahaja mereka berada di dalam perut kereta. Dia memandu keluar dari kawasan sekolah.

“Lari dari papa.”

“Papa? Kenapa Aqil lari papa? Apa yang papa Aqil buat sampai Aqil lari dari dia, huh? Papa pukul Aqil?” Faira mengerling ke sebelah. Bertubi-tubi soalannya pada budak itu. Aqil menundukkan wajah.

“Papa tak bagi Aqil jumpa mama.”

Faira terkedu mendengar jawapan tersebut.

“Kenapa papa tak bagi Aqil jumpa mama? Siapa mama Aqil?” Tanya Faira lagi.

“Mamalah, mama Aqil.”

Faira tercengang. Budak ni okeykah tak okey? Takkanlah mama sendiri dia dah lupa. Sampai aku pula yang jadi mangsa dia ini.

“Err... Aqil, boleh akak tahu siapa papa Aqil?”

Tiba-tiba Aqil merenungnya dengan tajam. Dia mendengus kasar.

“Kenapa dengan mama ni, hah?! Papa itukan suami mama. Mama, mama Aqil. Suami sendiri pun mama tak kenalkah?” Dia menggeram.

Faira tidak tahu hendak beri reaksi apa pada budak itu. Dia bingung.

“Kenapa mama tinggalkan Aqil, hah?! Apa salah Aqil dengan papa sampai mama tinggalkan kami berdua?! Mama tahukan Aqil perlukan mama. Aqil rindukan mama.” Dia marah tapi di hujung ayat, suaranya semakin perlahan. Aqil menangis lagi.

Faira jadi tidak keruan. Lantas dia menghentikan kenderaanya di bahu jalan.

Tenang Faira. Tenang...

Faira menarik nafas dan menghembuskannya semula. Dia buat begitu untuk beberapa kali. Budak di sebelahnya ini bukan main marah lagi kepadanya.

“Aqil dah salah faham ni. kakak ni bukan mama Aqil. Aqil tengok muka kakak ni baik-baik. Aqil boleh bezakan mama Aqil dengan akak, kan? Kakak ni bukan mama Aqil.” Faira cuba menjelaskannya.

“Tak! Mama, mama Aqil. Aqil ni anak mama!” Dia memukul tempat duduknya berkali-kali dengan kuat. Faira tergamam dengan tingkah budak itu.

Apa yang harus aku buat ni? Dia mengetap bibir. Dahinya diurut-urut sambil berfikir.

“Apa bukti akak ni mama Aqil?”

“Aqil tak ada bukti. Tapi, papa ada bukti. Aqil pernah nampak gambar mama dekat papa.”

Faira tergamam. Aku ada buat apa-apakah sebelum ini?

“Aqil...” Faira cuba untuk tenangkan budak lelaki itu. Dia baru perasan Aqil ada membawa beg kecil di sisinya. Faira mengambil beg itu dan memeriksa isi di dalam beg tersebut.

“Telefon?” Faira memandang Aqil yang masih tidak berpuas hati kepadanya.

“Ini telefon siapa?”

“Aqil.”

“Boleh kakak pinjam sekejap?”

Laju dia merenung tajam ke arah Faira.

“Err... Kenapa Aqil pandang kakak macam tu?” Telefon Aqil sudah ada di tangannya.

“Bukan kakak tapi mama. Mama Aqil! Mama ni kenapa?” Dia menggeram. Faira senyum paksa.

“Okey. Okey. Maafkan mama. Mama nak pinjam telefon Aqil sekejap, ya?” Faira terpaksa ikut rentak Aqil.

“Mama nak telefon siapa?”

“Papa Aqil.”

“Kenapa tak guna telefon mama saja?”

Faira terdiam. Kenapalah budak ni bijak sangat? Kalau dia suruh aku telefon papa dia guna telefon aku pun, aku tak ada nombor lelaki tu.

“Err... Telefon mama habis bateri. Mama pinjam sekejap, ya?”

“Okey.” Terus berubah riaknya. Faira menghembus nafas lega.

Dia mencari nama papa Aqil di dalam telefon tersebut. Jumpa saja perkataan ‘papa’ dia terus mendailnya. Panggilan pertama dan kedua gagal di jawab oleh pemanggil tersebut. Faira mencubanya sekali lagi. Matanya masih fokus pada Aqil yang sedang memeriksa beg tangannya yang diambil dari tempat duduk belakang kereta. Nasib baiklah telefonnya tidak ada di dalam beg tangan itu kerana telefon itu sudah diletakkan di dalam poket baju kurung yang dipakainya.

“Aduh, kenapa dia tak jawab pula ni?” Gerutunya.

“Mungkin papa sibuk. Dia mana ada masa nak jaga Aqil.”

Faira memandangnya. “Habis, selama ni siapa yang jaga Aqil kalau bukan papa?”

“Orang-orang gaji papalah.”

Faira telan liur. Anak orang kayakah budak ni?

“Tak apalah. Aqil ikut mama pulang dulu. Nanti, mama telefon papa di rumah.”

“Okey.” Dia tersenyum riang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience