BAB 32

Romance Completed 137457

MEREKA bertambah risau. Hampir semua stor telah dibuka dan Faira masih tidak dijumpai. Farish semakin panik dan runsing memikirkan keadaan adiknya itu. Mungkin juga Faira tidak disembunyikan di dalam stor ini tetapi disembunyikan di tempat lain.

Farish menyandarkan tubuh di dinding sambil menenangkan diri. Qaiz dan yang lain masih lagi tidak berputus asa mencari adiknya di sekitar kawasan itu. Bukan sahaja stor, malah bilik penginapan pekerja-pekerja itu juga mereka periksa sama ada Faira ada di situ atau pun tidak.

Farish berpeluk tubuh sambil menggigit-gigit ibu jari kanannya. Itu sudah menjadi tabiatnya jika dia panik dan risau yang teramat. Sambil menenangkan diri dia mengimbas semula ingatan semalam.

Selepas mengambil angin dengan Zahwan dia terus mencari adiknya. Dia ke bilik penginapan Faira yang lama tetapi adiknya tidak ada di situ. Hanya teman baik adiknya sahaja yang baru selesai menunaikan solat isyak. Bila ditanya ke mana adiknya itu pergi Alya tidak menjawab. Dia ada perasan juga air muka Alya berubah saat dia bertanyakan tentang keberadaan adiknya itu. Tetapi dibiarkan sahaja.

Baru sahaja dia hendak pergi dari situ, Alya pula menghalangnya. Kata Alya, dia serba salah dengannya dan akhirnya berterus terang kepadanya. Alya memberitahunya tentang bilik penginapan Faira yang baru.

Apabila tiba di bilik penginapan Faira, dia terus mengetuk pintu bilik tersebut. Mulanya dia tidak risau. Tetapi setelah beberapa minit berlalu dan tiada balasan dari dalam, Farish mula rasa tidak sedap hati.

Kebetulan pula Qaiz muncul di situ. Dia terus meminta bantuan daripada lelaki tersebut. Namun, cubaan Qaiz memanggil Faira keluar gagal.

Dia memberi cadangan kepada Qaiz untuk membuka sahaja pintu bilik itu. Qaiz bersetuju dan dia meminta pertolongan daripada salah seorang pekerjanya untuk mengambil kunci pendua bilik penginapan Faira.

Farish bertambah panik sebaik sahaja mereka masuk ke dalam. Dia dengan Qaiz sudah memeriksa ruang bilik itu dan Faira tidak ada di situ. Kasut yang adiknya selalu pakai juga tidak ada di tempatnya. Dia memberitahu Qaiz tentang kasut itu dan lelaki itu mengambil keputusan untuk mencari Faira di semua tempat dalam kapal layar ini.

FARISH rasa tertekan. Dari semalam hingga ke pagi ini, pencarian mereka masih lagi gagal. Hampir separuh sudah semangatnya hilang kerana ketakutan menguasai diri. Dia betul-betul takut kehilangan adik kesayangannya itu.

Saat dia melayan perasaan dia terasa bahunya disentuh oleh seseorang. Dia menoleh ke tepi. Qaiz tersenyum nipis.

“Sabarlah Farish. Aku yakin adik kau ada dekat-dekat sini saja.” Kata Qaiz dengan nada tenangnya.

Farish membalas dengan senyuman tawar. Dia tahu lelaki itu hanya menyedapkan hatinya sahaja.

“TUAN MUDA! Encik Farish!”

Serentak mereka menoleh ke arah suara itu. Seorang pengawal peribadi yang berbadan sasa berlari menuju ke arah mereka.

“Tuan!!” Jerit pengawal peribadi itu lagi.

“Kenapa Sham?” Tanya Qaiz sebaik sahaja pengawal peribadi itu mendekati mereka.

“Pintu stor semua dah terbuka tapi hanya pintu stor dekat sana saja yang masih berkunci. Saya dah tanya mereka dan seorang pun tidak memiliki kunci stor tu.” Beritahu Sham sambil menunjuk ke arah hujung lorong itu.

“Kunci pendua?”

“Tak ada tuan. Dua-dua kunci tu dah hilang.”

Qaiz bercekak pinggang. Dia memikirkan sesuatu.

“Qaiz. Lebih baik kita pecahkan saja pintu tu. Mana tahu Faira ada dekat dalam tu.” Kata Farish.

“Ya, tuan muda. Saya setuju dengan cadangan encik Farish tu.” Sokong Sham.

“Baiklah.”

Mereka bertiga terus ke hujung lorong itu.

“Ke tepi semua!” Arah Qaiz. Dia meregangkan tangannya sebelum merempuh pintu itu.

“Tak apa tuan muda. Biar saya saja yang buat.” Pengawal peribadi yang bernama Brian itu menawarkan dirinya untuk membuka pintu tersebut. Lagipun, di antara mereka semua dia yang paling sasa dan kuat.

“Okey.”

Mereka semua ke tepi memberi ruang kepada Brian membuat kerjanya. Pengawal peribadi itu membuka kot hitamnya dan memberikan kepada salah seorang temannya di situ. Dia menyingsingkan lengan bajunya hingga ke siku.

“Errrragh!!” Dia merempuh sekuat hatinya.

Cubaan pertama gagal. Dia mencuba sekali lagi tetapi tetap juga tidak dapat membuka pintu tersebut. Brian mula rasa tercabar. Hatinya mula panas dan dia mahu marah. Qaiz dan yang lain cepat-cepat menenangkan lelaki itu. Mereka tahu sangat sikap Brian yang mudah panas jika benda itu tidak berjalan dengan lancar.

“Brian! Kamu boleh!” Qaiz memberi semangat. Begitu juga dengan yang lain.

Farish yang berada di belakang Qaiz itu terpinga-pinga. Ada juga orang macam dia ni, ya. Katanya dalam hati.

Farish tidak lepas memandang pengawal peribadi yang bersikap pelik itu. Yalah, sampai majikan dia sendiri takut dengan pengawal peribadinya yang satu ini.

Brian sudah tenang dan dia kembali bersemangat. Dia menjerit sekuat hatinya dan merempuh kuat pintu itu semula.

“Good job my boy!” Qaiz bangga dengannya. Akhirnya berjaya juga Brian merempuh pintu yang berkunci itu.

Sebaik sahaja pintu terbuka alangkah terkejutnya mereka melihat sekujur tubuh terbaring lemah di atas lantai. Terdapat juga beberapa botol air mineral yang telah kosong bertaburan di atas lantai itu.

“Faira!” Pantas Farish mengangkatnya dan membawa keluar daripada tempat tersebut.

“Brian. Mika. Kamu berdua ikut Farish. Yang lain ikut saya.” Arah Qaiz. Ada perkara lain lagi yang perlu dia uruskan.

“Mujurlah cik Faira tak mati dalam stor gelap tu.” Salah seorang pengawal peribadi itu bersuara. Namanya Rais.

“Tapi... aku pelik. Aku dah periksa semua stor ni sebelum ni. Kenapa stor tempat cik Faira dikurung tu tak ada lampu pijar. Siapa pula yang membukanya?” Sham tertanya-tanya.

“Nasib baiklah cik Faira tak mati dalam tu.”

“Ya. Nasib baik jugalah pintu stor tu ada lubang-lubang kecil. Walaupun ada sikit saja udara masuk tapi dapat juga bantu cik Faira bernafas.”

“Kalau saja kita terlambat tadi mungkin cik Faira kamu dah hilang nyawa. Apa pun sekarang ni kita cari dulu pelakunya.” Qaiz menyampuk.

“Ya, tuan. Kejam sungguh orang yang buat cik Faira tu. Kami semua memang tak boleh maafkan pelaku tu tau.” Kata Sham. Geram. Sebenarnya sejak dia dengan yang lain mengenali Faira, mereka mula menyukainya. Perempuan itu sedikit sebanyak telah mengubah sikap majikan mereka. Tapi bila mereka dapat tahu Faira dibuat begini oleh seseorang, mereka semua naik marah. Mereka tidak akan memaafkan orang tersebut.

PENGETUA SHAUN dan Talita senyap-senyap keluar daripada dewan Light. Mereka perasan ada beberapa pengawal sedang berjaga di bahagian pintu utama. Tetapi dia telah berjaya memujuk salah seorang pengunjung di situ untuk menarik perhatian pengawal-pengawal tersebut.

“Dia orang nampak kitakah?” Tanya Talita takut.

“You jangan risau. Yang penting sekarang kita dah berjaya keluar daripada dewan tu.” Ujar pengetua Shaun dengan tenang.

Sebentar tadi, mereka semua diarahkan supaya tidak keluar daripada dewan tersebut kerana kapal mengalami sedikit masalah. Itu apa yang pengawal keselamatan itu beritahu kepada mereka. Tetapi, pengetua Shaun tahu apa yang terjadi disebaliknya dan sebab itulah dia mahu membawa Talita keluar daripada situ.

“Uncle Shaun nak bawa ke mana model terkenal tu, hmm?”

Serentak dua pasangan itu berpaling ke belakang. Terkejut mereka melihat Qaiz ada di situ. Lelaki itu tidak keseorangan. Dia ditemani oleh pengawal-pengawal peribadinya yang lain.

Pengetua Shaun tersengih. “Uncle tak bawa ke mana-mana pun Talita ni. Uncle dengan dia cuma nak berjalan-jalan dekat atas kapal saja.” Tipunya.

Qaiz senyum sinis. Dia berpeluk tubuh, merenung tajam kedua-dua pasangan itu.

“Betulkah? Atau pun uncle dengan dia nak larikan diri dari sini?” Tebak Qaiz.

Talita yang agak ketakutan itu menyembunyikan diri di belakang tubuh pengetua Shaun.

“Cik Talita dah kenapa sembunyikan diri di belakang orang tu? Cik Talita takut dengan kamikah? Atau cik Talita ada buat salah dengan tuan muda kami ni?” Sham pula menegur model terkenal itu.

“Ma... Mana ada!” Laju Talita membalas.

“Kalau tak ada, kenapa takut-takut nak berdepan dengan saya dan yang lain?” Qaiz maju ke depan.

“Mestilah takut. Saya masih ingat lagi tau amaran awak semalam.” Alasan talita.

“Yakah? Selalunya awak abaikan saja amaran saya tu. Atau...”

“Sudahlah tu Qaiz. Uncle cuma nak keluar ambil angin saja. Takkan itu pun tak boleh? Lagipun bosan duduk dekat dalam tu. Talita ni pun nak ambil angin juga sebelum balik ke bilik penginapan dia.” Potong pengetua Shaun.

“Saya tak kisah kalau uncle nak pergi bersiar-siar. Tapi, pelik. Saya perasan yang uncle dengan Talita ni macam ada sesuatu. Padahal uncle dengan dia bukannya rapat, kan?”

“Ish, kamu ni. Kamu pun tahukan yang uncle suka berkawan dengan orang-orang yang lawa saja. Kalau buruk uncle tak layanlah.”

Terlepas tawa salah seorang daripada pengawal peribadi itu apabila mendengar alasan pengetua Shaun.

“Qaiz, uncle dengan Talita minta diri dululah. Uncle harap kamu dapat selesaikan masalah kapal ni.” Tanpa menunggu balasan daripada Qaiz, pengetua Shaun laju membawa Talita pergi daripada situ.

“Takkan nak lepaskan mereka macam tu saja?” Rais sungguh tidak puas hati. Mereka dapat rasakan sesuatu pada dua pasangan itu. Sepertinya, mereka berdualah dalang disebalik semua ini.

“Sabar. Kita masih ada banyak masa lagi. Seperti biasa, saya nak kamu semua cari bukti. Kumpul dulu semua bukti-bukti tu. Tunggu masa yang sesuai barulah kita bertindak.” Kata Qaiz.

“Habis mereka berdua tu macam mana pula? Saya takut mereka larikan diri pula dari sini?” Sham mencelah.

“Jangan risau. Mereka berdua tak akan dapat buat apa-apa sekarang ni.” Qaiz senyum segaris.

“Satu lagi.” Dia berpaling menghadap mereka semua.

“Arahkan kapten kapal kembali ke pelabuhan. Beritahu juga kepada pengunjung-pengunjung yang lain tentang hal ni. Bagitahu mereka yang kita terpaksa berhenti dekat pelabuhan terdekat kerana masalah kapal ni.” Arah Qaiz.

“Baik tuan!”

Mereka tunduk hormat sebelum meninggalkan majikan mereka yang masih terpacak di situ.

Qaiz masih berfikir panjang. Dia tahu niat mereka berdua itu. Tetapi dia tidak boleh pastikan lagi kerana bukti-bukti yang dikumpulnya itu belum mencukupi untuk menuduh perbuatan mereka berdua.

Qaiz menghela nafas. Dia teringat akan Faira. Pantas langkah diatur ke bilik perempuan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience