BAB 17

Romance Completed 137457

HARI yang ditunggu-tunggu telah tiba. Persiapan semuanya telah siap. Bertungkus-lumus mereka mencantikkan kafe D’Raish itu sejak dari awal pagi tadi lagi. Hari ini mereka tidak membenarkan pengunjung datang ke situ kerana teman baik Farish sudah merancang sesuatu di kafe D’Raish hari ini.

Farish ada juga bertanya dengan teman baiknya tentang tempat untuk projek kecil mereka itu. Tapi Zahwan memberitahunya yang kafe D’Raish lebih sesuai untuk projek tersebut berbanding dengan kafe dia. Lagipun kafe D’Raish besar dan luas berbanding dengan kafe Zahwan yang hanya berkeluasan sederhana sahaja.

Hanya beberapa minit sahaja lagi sebelum masuknya waktu zohor. Sementara menunggu kedatangan ahli keluarga, saudara-mara yang terdekat dan juga keluarga teman baik adiknya itu, Farish meminta pekerja-pekerja muslim menunaikan solat terlebih dahulu sebelum memulakan projek mereka.

“Eh, itu bukan kereta adik kau dengan Alyakah?” Tanya Zahwan sambil membetulkan rambut depannya yang masih basah dengan air wuduk. Dia dengan yang lain baru sahaja selesai menunaikan ibadah.

“Mana?”

“Tu. Depan kafe inilah.” Zahwan menunjuk ke arah kawasan parkir kereta di depan kafe D’Raish.

Farish menajamkan mata meneliti dua orang perempuan yang keluar daripada perut kereta masing-masing. Beberapa kenderaan lain yang baru tiba turut berparkir di kawasan tersebut.

Bola matanya besar. Adiknya dan juga Alya semakin menghampiri kafe D'Raish. Ahli keluarga yang lain juga telah turun daripada kereta masing-masing dan membuntuti Faira di belakang.

“Baiklah! Semua okey? Ada apa-apa lagi yang perlu disiapkan?” Tanya Farish kepada pekerja-pekerjanya. Dia perlu pastikan semua kerja berjalan dengan lancar sebelum majlis bermula nanti.

“Semua okey bos!” Laung mereka serentak disertakan dengan senyuman dan sengihan. Teruja.

“Nampaknya mereka semua dah sedia. Aku ke sana dulu. Nak siapkan kejutan.” Zahwan terus meminta diri. Dia memanggil beberapa orang pekerja untuk menolongnya di bahagian dapur.

Pintu utama ditolak dan semua mata terarah ke sana. Faira dengan yang lain terpinga-pinga di situ. Farish segera memberi isyarat kepada pekerja-pekerjanya agar berpura-pura membuat kerja.

“Abang Farish, kenapa dengan pekerja-pekerja abang tu? Tengok kami macam nampak hantu saja.” Matanya masih lagi memerhatikan tingkah laku pelik pekerja-pekerja abangnya itu.

“Mana ada. Faira saja yang rasa macam tu.” Farish menyengih dan meluru ke tempat uminya.

“Umi,” Farish menyalami puan Daliya. Dia kemudiannya bersalaman dengan pak long dan juga mak ngah sekeluarga.

Dalam keluarga besar Farish, sebelah uminya mempunyai tiga orang beradik dan uminya adalah anak yang bongsu. Manakala keluarga sebelah arwah abahnya pula mempunyai lima orang adik-beradik dan arwah abahnya adalah yang kedua. Tetapi, sayangnya saudara-mara sebelah arwah abahnya itu tidak ada di sini kerana semuanya tinggal berjauhan daripada mereka.

“Hah, kami semua dah sampai. Bila kamu nak mulakan projek makan besar kamu tu?” Tanya puan Daliya, sedikit keras nadanya. Dia hanya diberitahu oleh anaknya semalam yang hari ini adalah hari istimewa. Makan besar bersama dengan ahli keluarga yang lain. Tapi, apa yang membuatkan dia berasa geram apabila mengetahui hari istimewa ini di taja oleh Zahwan, teman baik anaknya itu. Bukan dia tidak tahu niat lelaki itu. Sahaja mahu mengambil hatinya supaya senang mahu mendapatkan Faira.

“Sekejap lagi. Umi janganlah buat muka macam tu. Farish tahulah umi tak suka Zahwan. Tapi, umi kena hormat juga dengan dia sebab apa yang dia rancang ini pun untuk Faira.” Perlahan suaranya. Dia tidak mahu adiknya dengar perbualan mereka berdua.

“Untuk Faira, ya. Baiklah. Tapi kalau teman kamu tu buat sesuatu yang umi tidak suka, tahulah apa yang umi buat nanti. Umi tidak teragak hendak malukan dia di depan mereka semua.” Amaran puan Daliya.

Farish cuba berlagak tenang. Dia tahu sangat sikap uminya itu. Kasihan dia dengan adiknya.

“Umi janganlah macam tu. Zahwan pun...”

“Sudah. Umi malas nak dengar penjelasan kamu tu.” Dia menoleh ke belakang.

“Zaliah. Abang long. Kak Ngah. Jom. Ke sana kita.” Puan Daliya mengajak mak Alya dan adik-beradiknya ke ruang yang telah disediakan. Tidak lupa juga dengan ahli keluarga yang lain. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam pada anak terunanya itu.

“Abang Farish, kenapa dengan umi? Macam marah saja dengan abang.” Faira mendekati abangnya. Begitu juga dengan Alya.

“Marah-marah sayang saja umi tu. Biasalah, umi tak suka bila abang kata yang Zahwan pun ada sekali di sini.”

“Oh...” Faira faham sangat apa yang uminya sedang fikirkan. Lagi-lagi kalau pasal lelaki.

“Jom. Kita ke sana.” Ajak Farish. Mereka berjalan beriringan.

“Eh, mana pelanggan-pelanggan abang yang lain?” Soal Faira lagi. Dia baru sedar dengan keadaan kafe abangnya itu. Ya, memang ada perubahan pada kafe ini. Tetapi, ke mana pelanggan-pelanggannya? Selalunya kafe D’Raish ini penuh dengan pengunjungnya. Kenapa hari biasa macam ni tak ada pelanggan pula?

Faira mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada mereka dan juga kafe tersebut. Sepertinya ada sesuatu yang disembunyikan oleh abangnya ini. Tapi, apa yang diberitahu oleh abangnya semalam hanyalah makan besar bersama ahli-ahli keluarganya dan juga teman rapat uminya. Abangnya tidak pula beritahu apa-apa tentang kafe ini. Takkanlah sebab nak makan bersama saja abang aku ini tak nak terima pelanggan hari ni?

“Buat apa abang nak bawa pelanggan-pelanggan ke sini. Lagipun, hari ni abang dengan Zahwan buat khas untuk keluarga kita dengan keluarga Alya saja.”

“Yakah?” Faira berfikir. Mana mungkin hanya makan besar dengan keluarga saja, kan?

Alya yang dari tadi berasa geram terus mengetuk kepala temannya itu.

“Sakitlah. Kau dah kenapa ketuk kepala aku macam tu, hah?” Marah Faira.
“Hoi, Faira. Aku geram betul dengan kau ni tau. Kau langsung tak ingat apa-apa pasal hari inikah? Abang Farish dengan abang Zahwan buat ini semua untuk kau juga tau.” Alya menghadiahkan jelingan tajam kepada Faira. Geram sungguh dia.

“Untuk aku? Bukankah abang Farish sendiri kata yang hari ini makan besar dengan keluarga?”

Alya menampar kepala sendiri. Alahailah... kawanku. Bertambah-tambah pula hilang ingatan dia ini.

“Aku ingatkan kau ingatlah pasal hari ni.”

Faira geleng kepala. Dia betul-betul tidak ingat. Tidak tahu.

“Dah. Dah. Tak payah gaduh. Kejap lagi dia tahulah. Kita ke sana dulu.” Farish membawa mereka ke tempat uminya dengan yang lain. Faira terus bungkam.

BUKAN main gembira lagi mereka di kafe D’Raish itu. Masing-masing menikmati hidangan yang disediakan. Pekerja-pekerja kafe D’Raish itu juga turut sama bergembira. Farish tidak mahu memaksa mereka untuk membuat tugasan mereka hari ini. Dia mahu pekerja-pekerjanya sama-sama bergembira dengan mereka.

“Daliya, kita ke sini takkan untuk makan saja? Ini mesti ada apa-apa yang kita tak tahu, kan? Farish tak bagitahu apa-apa dekat kamukah?” Tanya Puan Qayla yang mula rasa sangsi dengan majlis makan itu. Puan Qayla adalah kakak kepada puan Daliya. Sejak dari tadi lagi mereka menikmati makanan sedap yang disediakan oleh pekerja-pekerja Farish itu. Perbualan mereka pula sekadar cakap-cakap kosong sahaja.

“Farish hanya bagitahu Daliya yang ini majlis makan besar keluarga. Pasal lain...” Puan Daliya berfikir.

“Semalam, Alya ada cakap dengan saya yang hari ni hari jadi Faira. Mungkin juga makan-makan hari ni untuk raikan ulang tahun Faira.” Puan Zaliah mencelah.

Puan Daliya tepuk dahi. Sungguh dia lupa akan hal itu. “Ya Allah, macam mana aku boleh lupa dengan hari lahir anak aku sendiri. Mungkin juga si Farish buat ni untuk sambut hari jadi adik dia. Budak tu pun bukannya nak ingatkan aku."

Puan Qayla mencebik. Dia menjeling tepi. “Macam manalah kamu boleh lupa dengan ulang tahun anak sendiri.” Dia menggeram. Pandangan dilarikan ke arah suami yang sedang bercerita dengan abang sulung mereka.

Di sudut lain pula, Alya sibuk melayan adik-adiknya dan juga saudara-mara Faira. Mesra sungguh dia dengan mereka. Faira pula menyendiri di hujung kafe itu kerana melayan panggilan daripada Aqil. Entah apa yang bermain difikiran budak itu mahu membuat panggilan lama dengan Faira. Kalau tidak dilayan merajuk pula budak itu dengannya.

Faira melepas lega. Hampir satu jam dia bercakap dengan budak itu di talian. Telefonnya juga sudah panas kerana panggilan yang begitu lama.

“Hah, dah habis berbual dengan Aqil?” Sergah puan Daliya.

Faira tersenyum nipis. Telefon dimasukkan ke dalam beg tangan yang dibawa.

“Dah. Umi, Aqil nak Faira bawa dia jalan-jalan kejap lagi.”

“Jalan-jalan? Majlis tak habis lagi dah nak keluar. Nanti, kecil hati pula abang kamu tu kalau kamu keluar awal.” Puan Daliya mengerling ke arah anak sulungnya yang sedang berucap di hadapan mereka.

“Faira dah cuba pujuk Aqil tadi. Tapi, dia tak nak dengar. Budak tu siap ugut Faira lagi.” Dia mengeluh berat. Puan Daliya menggeram.

Apa pasal si Aqil tu, hah? Dia ingat dia cucu jutawan aku suka dialah! Tengok saja apa yang aku buat nanti. Apa sekalipun aku tak nak dia mahupun papa dia kacau anak aku.

Faira yang tidak lepas merenung uminya itu sedikit hairan melihat riak wajah tua itu. Berkerut dan sedang menahan marah pada seseorang. Faira menyentuh bahu uminya.

“Umi fikirkan apa sampai muka berkerut-kerut ni? Macam nak marah seseorang saja.”

Puan Daliya menjelingnya. “Tak payah nak ambil tahu. Daripada kamu duduk dekat sini lebih baik pergi sana. Layan sepupu-sepupu kamu tu.” Puan Daliya terus ke depan meninggalkan anak perempuannya di situ.

Faira buat muka. “Ingat Faira tak tahukah dengan air muka tu. Ini mesti marah sebab si Aqil.” Faira mencebik. Dia tahu yang uminya memang tidak suka dengan Aqil sejak pertama kali jumpa lagi. Uminya melayan budak itu pun hanya sekadar mahu menjaga hati sahaja.

“ABANG FARISH. Abang Zahwan. Bila nak mula? Alya takut nanti Faira keluar awal. Lagipun, tadi si Aqil telefon dia. Bukan main lama lagi mereka berbual.” Alya berbisik pada dua jejaka itu.

Tadi, dia sibuk melayan kerenah adik-adiknya dengan sepupu-sepupu Faira yang sebaya dengan adik-adiknya itu. Entah macam manalah dia boleh tersangkut dengan mereka yang sedang bermain permainan Battle Shoot. Sebelum ini bukan main marah lagi dia dengan adik-adiknya itu. Sampai anak kepada pengarah syarikat Starspiel itu pun dia marah sebab mencipta permainan RPG ini.

“Hah, Zahwan. Nak mula bila? Lagipun, kau yang beria-ia nak buat semua ni, kan.”

“Aku gemuruhlah. Ini kali pertama aku buat semua ni tau. Umi kau pula dari tadi asyik perhatikan aku saja.”

Ketawa Alya mendengarnya. “Tahu takut.” Dia menyambung tawa kecilnya.

“Ala, abang Zahwan. Pedulikanlah mak cik Daliya tu. Apa yang penting niat abang Zahwan pada Faira sampai.”

“Betul cakap Alya tu. Pergilah bawa keluar kejutan kau tu. Kami semua dah tak sabar.”

“Tapi, abang Zahwan. Ini untuk meraikan hari jadi Faira saja, kan? Abang Zahwan tak ada niat lain, kan?” Alya meminta kepastian.

Zahwan dan Farish berpandangan. Dia mahupun Farish langsung tidak mahu menjawab soalan tersebut. Hanya senyuman lebar yang diukir di wajah mereka berdua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience