BAB 21

Romance Completed 137457

SITUASI tegang di antara Alya dengan Shazwan tadi sudah dilupakan oleh para tetamu di dalam dewan Q’Star itu. Mereka lagi teruja mahu merasa kek hari jadi Faira dan juga kek lamaran Alya. Siap bergambar lagi dengan kek-kek tersebut. Masing-masing merasa dan memuji keenakkan kek-kek itu.

Faira mengerling ke arah Qaiz yang sedang melayan tetamu. Pengetua Shaun juga ada bersama dengan mereka. Aqil pula duduk bersama dengan adik-adik sepupunya. Suka dia melihat Aqil bergelak tawa dengan mereka.

“Faira.”

Dia menoleh. Dua pasangan suami isteri menyapanya dengan senyuman.

“Aunty. Uncle.” Faira menyalami Madam Alina. Tuan Hafizuddin pula hanya diberikan senyuman sahaja.

“Aunty gembira dapat sambut hari jadi kamu di sini.” Madam Alina memeluk Faira dan kemudian mengucup dahinya.

“Terima kasih aunty Alina. Susahkan aunty dengan uncle saja sediakan kejutan ni.” Segan Faira dibuatnya.

“Kalau Faira nak berterima kasih jangan dengan kami. Faira berterima kasih dengan dua orang tu. Beria-ia mereka nak buat semua ini untuk kamu tau.” Tuan Hafizuddin menyampuk.

Faira tersengih. “Nantilah Faira ucap terima kasih dengan dia orang.”

“Eh, kawan kamu tu mana pula? Tak balik-balik sini lagikah?” Madam Alina meliau mencari kelibat Alya.

“Entahlah, aunty. Bukan dia saja yang Faira tak nampak. Lelaki yang lamar dia tadi itu pun tak nampak-nampak sampai sekarang.”

“Bukan main geram lagi Alya tu dengan Sahzwan. Kalau keluarga dia tahu yang dia lamar perempuan tu dengan cara begini mesti budak tu kena marah.” Ketawa Tuan Hafizuddin.

Faira bingung.

“Err... uncle. Keluarga lelaki tu tak tahukah yang dia buat macam ni?”

“Tahu. Keluarga dia dah tahu pasal Alya. Mereka gembira. Cuma, keluarga mereka dah buat syarat dengan Shazwan. Kalau nak lamar perempuan, Shazwan kena bawa perempuan yang dia suka itu ke rumah mereka. Tinggal situ untuk beberapa hari dulu sebelum Shazwan hendak melamarnya.”

Faira berkerut. “Kenapa kena tinggal sana pula? Tak takutkah kalau terjadi apa-apa nanti. Lagipun mereka berdua tu belum ada apa-apa hubungan yang sah lagi.”

“Takkan ada apa-apa berlakulah.” Madam Alina mencelah pula.

“Lagipun, keluarga Shazwan banyak perempuan. Dia anak yang bongsu daripada enam beradik. Atas dia itu semuanya perempuan dan semuanya sudah berkahwin. Kalau Alya ke sana pun takkan ada apa-apa. Mereka semua baik-baik orangnya. Tak memilih asalkan perempuan yang Shazwan bawa tu mempunyai latar belakang yang baik-baik.”

Dalam diam Faira mentertawakan temannya itu. Habislah kau, Alya. Kena tinggal sana mesti kena buli dengan kakak-kakak dia tu.

“Kakak-kakak Shazwan tu sayang sangat dengan dia. Maklumlah adik bongsu, kan. Sebab itulah mereka mahukan yang terbaik untuk adik mereka tu. Kalau Shazwan betul-betul sukakan si Alya tu, dia kenalah bawa perempuan tu ke sana jumpa dengan mereka. Berkenalan dengan mereka.” Kata Tuan Hafizuddin.

“Biasanya, kalau yang sayang sangat ni mereka tak akan lepaskan atau terima pasangan adik mereka macam tu saja, kan? Yalah. Lagipun, uncle dengan aunty sendiri yang cakap Shazwan tu satu-satunya lelaki dalam adik-beradik mereka tu.”

“Ya. Tapi, jangan risaulah. Mereka okey. Tak adanya yang nak marah-marah. Setakat gurau senda saja. Keluarga Shazwan tu memang baik dan mesra.”

Madam Alina angguk setuju dengan kata-kata suaminya itu. Mereka meneruskan lagi perbualan sehinggalah salah seorang tetamu datang menegur mereka. Faira tidak mengenali tetamu tersebut. Jadinya, dia meminta diri untuk ke tempat lain.

MAJLIS diteruskan dengan beberapa acara yang disediakan oleh mereka. Tapi, satu acara pun tidak menarik minat Faira. Apatah lagi apabila dia melihat acara fesyen tadi. Semua pakaian yang diperagakan oleh model-model itu sangat menjolok mata. Tetamu-tetamu lelaki bukan main lagi bersorak apabila melihat model-model itu. Apa yang membuatkan mereka lagi suka dengan acara itu adalah kehadiran model terkenal kota Allend iaitu Talita. Dia dijemput sama untuk memeriahkan lagi acara fesyen tersebut.

“Aku tak tahu pula dia jemput kekasih dia. Menyampah.”

Tadi, Faira langsung tidak perasan dengan kehadiran model itu. Mungkin juga tadi model terkenal itu sedang bersiap-siap untuk acara fesyen.

Faira meluat melihatnya. Dari atas pentas sampailah model itu ke tempat Qaiz dan melayan lelaki itu dengan gaya gediknya.

Faira mengambil keputusan untuk menyendiri di hujung dewan itu. Lebih baik dia melayan game yang ada di telefonnya. Sesekali matanya memandang ke arah saudara-maranya yang sedang berbual mesra dengan Madam Alina dan juga Tuan Hafizuddin. Pengetua Shaun juga turut serta dengan mereka. Pada masa yang sama dia mencari kelibat abangnya dengan Zahwan. Sejak dari awal majlis lagi dia tidak nampak batang hidung mereka berdua itu di sini.

“Ke manalah pula abang aku dengan abang Zahwan tu pergi?” Faira melepas keluhan. Teman baiknya juga tidak kelihatan di situ dengan lelaki yang bernama Shazwan. Agaknya mereka masih bergaduh di luar sana. Jangan sajalah si Alya tu terjun dari kapal.

Alya fokus dengan permainan sudokunya di dalam telefon. Leka dengan dunia sendiri sehingga acara majlis dan orang-orang disekelilingnya pun dia tidak ambil tahu.

“Sini rupanya awak.”

Faira tersentak. Dia mendongak. Air mukanya terus berubah. Lelaki yang tidak disukainya itu ada di depan mata bersama dengan model terkenal kota Allend.

“Ada apa cari saya? Kalau awak datang saja nak sakitkan hati saya baik awak bawa saja teman wanita awak ni ke sana.” Faira mendengus. Dia mahu senang sikit pun tidak boleh.

“Aik. Marahkah? Cemburu?”

Faira tercengang. Dia menjulingkan matanya ke atas. “Saya nak cemburu?” Perkataan itu buatkan dia rasa hendak ketawa.

“Buat apa saya nak cemburu. Awak dengan saya bukannya ada apa-apa pun.”

“Eh, sayang. Saya rasalah saya macam pernah nampak dia ni tau.” Talita bersuara selepas meneliti perempuan di hadapannya itu. Dia memperkemaskan lagi pelukan di lengan Qaiz.

“Maaf ya cik. Setahu saya, kita tak pernah bertemu lagi sebelum ni.” Faira menutup telefon dan meletakkannya di dalam beg tangan.

Talita melepaskan pelukan di lengan Qaiz. Wajahnya membahang apabila melihat Faira. Aku yakin aku tidak salah. Aku pasti dia orang yang sama yang hancurkan hidup aku sebelum ini.

Faira perasan pandangan perempuan itu lain macam sahaja. Lebih baik aku beredar dari sini, katanya dalam hati. Namun, belum sempat dia berbuat apa-apa perempuan itu sudah menolaknya duduk semula.

Qaiz hanya menjadi pemerhati dua orang perempuan di hadapannya itu. Dia duduk sambil berpeluk tubuh di belakang. Dia mahu tengok sejauh mana kesabaran Faira terhadap Talita. Dia tahu Talita ini bagaimana orangnya. Nampak sahaja baik tetapi sebenarnya tidak. Talita itu talam dua muka.

“Kau jangan buat-buat tak ingat pula. Kau tahu tak apa yang kau dah buat sebelum ni, hah?!” Suara Talita berubah rentak. Dia merenung tajam wajah manis itu.

Hati Faira mula panas dengan sikap perempuan itu.

“Huh? Aku memang ada buat apa-apa dekat kaukah? Setahu aku, kau dengan dunia model kau tu saja. Tak pernah pula model terkenal jumpa orang biasa macam aku ni.” Faira berdiri dan membalas renungan itu.

Talita pamer riak sinisnya. Tidak cukup dengan itu dia menunjal-nunjal lagi kepala Faira. “Kau nak main-main pula dengan aku, ya. Eh, kau tahu tak sebab kau, aku dengan Qaiz putus tunang dua tahun lepas. Sebab kau juga aku tak disukai oleh arwah papa dengan mama si Aqil tu. Semuanya sebab kau, tau!” Makin kuat dia menunjal kepala itu.

Faira mengetap gigi. Marah apabila kepalanya dibuat begitu. Mujurlah mereka jauh daripada tetamu-tetamu di dalam dewan itu. Kalau tidak sudah tentu ada yang mengambil gambar mereka dan menyebarkannya di media sosial.

Faira menepis kuat jari yang menunjal kepalanya itu. “Kau ingat kepala aku ni apa, hah?! Jangan ingat kau tu model terkenal suka hati saja nak menunjal kepala ni.”

Talita berpeluk tubuh. Langsung tidak takut dengan perempuan berhijab di depannya ini.

“Kalau aku penyebabnya kau putus tunang dengan dia, aku ucapkan tahniah! Aku rasa aku tahu kenapa dia putus tunang dengan kau dan aku rasa aku juga tahu kenapa arwah ibu bapa Aqil tak suka kau. Sebab kau ni tak ada ciri-ciri yang mereka nak. Aku sendiri tengok kau ni pun, kau tak layak jadi isteri orang kaya untuk dia ni tau. Kau layaknya ke tempat lelaki-lelaki yang gilakan kau saja. Lelaki yang gilakan NAFSU.” Faira menekan perkataan terakhir itu. Sabarnya sudah hilang. Membuak-buak marahnya pada perempuan itu.

PANG!!!

Faira terkesima. Dia menyentuh pipinya yang sudah merah itu.

“Hoi, cik perampas kekasih orang! Kau dengar sini.” Talita mendekatkan wajahnya ke telinga Faira.

“Aku memang tak sangka betul kau muncul depan aku lagi. Tapi, jangan ingat kau akan dapat Qaiz Talha semula. Dia hanya milik aku seorang saja. Aku akan pastikan yang korang berdua tak akan rapat atau mesra lagi seperti sebelum ni. Kalau tak, kau tahulah nasib kau.” Lantas dia menjauh dari Faira.

Faira mengetap bibir. Pipinya masih terasa sakit. Dia mengerling ke arah Qaiz. Sakit hatinya apabila lelaki itu hanya mendiamkan diri sahaja. Langsung tidak ada perasaan mahu membantunya.

“Apa?! Kau ingat dia nak tolong kaukah?” Talita ketawa sinis apabila perasan yang Faira sedang merenung ke arah Qaiz. Talita mendekati Qaiz dan memeluk lengan lelaki itu.

Faira mengepal tangan. Apa sebenarnya yang berlaku dua tahun lepas? Faira menyentuh kepalanya yang terasa berat. Bayangan-bayangan misteri tiba-tiba muncul di mindanya.

Kenapa dengan aku ni? Berkerut-kerut wajah Faira menahan rasa sakit kepala.

Qaiz mula risau apabila perempuan itu asyik menyentuh kepalanya. Dia perlu buat sesuatu untuk menghentikan pergaduhan tersebut.

“Nak berpura-pura sakitlah tu. Supaya dapat perhatian daripada Qaiz.” Talita memerlinya.

“Kau!” Bertambah sakit kepalanya. Dia harus pergi dari situ sebelum apa-apa terjadi pada dirinya.

“Mana kau nak pergi hah?!” Jerit Talita apabila Faira mula menjauh darinya.

Faira hanya mengunci mulutnya. Dia terus melangkah pergi.

“Kau ingat kau boleh lari dari aku kali ni.” Talita mahu mengejarnya tetapi dihalang oleh Qaiz.

“Sayang kenapa awak halang saya. Takkan awak nak membela dia pula.” Talita mendengus.

“Ya. Saya memang nak membela dia. Saya nak lindungi dia daripada perempuan macam awak ni.”

“Qaiz Talha! Sampai hati awak.” Talita mengepal tangan.

Qaiz ketawa dan kemudian wajahnya kembali serius. “Kau dengar sini Talita. Aku saja nak guna kau untuk cemburukan dia.”

Talita tercengang. Jadi, dia sudah salah anggap dengan layanan Qaiz sepanjang majlis inilah. Tadi, bukan main suka lagi dia apabila Qaiz berbual dengannya. Tidak sangka pula lelaki itu ada niatnya sendiri.

“Kalau kau boleh guna aku sebelum ini, aku pun boleh guna kau juga Talita. Kau ingat, aku tak tahukah apa niat kau dekat dengan aku.” Matanya mencerlung tajam ke wajah Talita.

Talita telan liur. Qaiz terus meninggalkannya.

QAIZ TALHA meminta mama dan papanya untuk menguruskan majlis tersebut kerana dia ada urusan lagi penting untuk diselesaikan. Dia perlu cari Faira sekarang. Entah ke mana agaknya perempuan itu menyembunyikan dirinya.

Hampir sejam dia mencari Faira. Namun, kelibat perempuan itu tetap tidak dijumpai olehnya. Dia mahu menghubungi perempuan itu tetapi isyarat talian pula tidak ada. Maklumlah mereka sekarang berada di kawasan laut.

“Faira, mana awak pergi ni?” Dia bercekak pinggang sambil meramas kasar rambutnya. Tiupan angin malam itu langsung tidak dapat menyejukkan hatinya yang dilanda risau.

Dia meneruskan lagi pencariannya. Bilik penginapan Faira dengan Alya juga sudah dia pergi tetapi Faira tidak ada di sana. Orang-orang yang lalu lalang di situ juga tidak tahu keberadaan perempuan itu. Akhirnya Qaiz berputus asa. Kakinya melangkah ke arah pejabat. Hilang sudah perasaannya mahu kembali ke majlis itu semula.

Pintu bilik pejabat yang tidak berkunci itu dikuak perlahan. Dia menuju ke ruang kerjanya. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas lantai. Qaiz panik.

“Faira Alisha!” Laju dia mengangkat tubuh itu ke sofa.

“Faira! Faira!” Qaiz menampar-nampar pipi Faira. Dia cuba menyedarkan perempuan itu.

“Faira, tolonglah sedar sayang.” Dia mencuba lagi. Dia mengaku dia memang bersalah tadi. Dia langsung tidak membela Faira. Dia sengaja berbuat begitu untuk kembalikan ingatan perempuan ini.

Setelah beberapa kali mencuba menyedarkan Faira dari pengsan akhirnya dia berputus asa. Qaiz membiarkan sahaja Faira berbaring di atas sofa itu. Dia mengambil selimut dan kemudian menyelimutkan perempuan itu. Wajah polos Faira dipandang lama sebelum dia beredar dari situ. Lebih baik dia menunggu Faira di bilik sebelah sahaja. Lagipun dia sudah mengantuk.

Suasana menjadi sunyi. Qaiz akhirnya terlena di bilik tetamu dan Faira pula di ruang pejabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience