BAB 60

Romance Completed 137457

Dua tahun lepas...

HOSPITAL WARADANA. Faira datang membawa bekalan untuk abangnya dan juga barang-barang keperluan untuk anak saudara lelakinya, Izzul. Dua hari lepas abangnya dimasukkan ke hospital kerana demam denggi. Anak kakak sepupunya itu pula baru sahaja selesai pembedahan jantung tiga hari lepas.

Menjaga abang dan anak saudaranya sudah menjadi rutin hariannya ketika itu. Lagipun, dia tidak buat apa-apa di rumah dan tugasan di universiti juga tidak banyak.

Beberapa hari kemudian abangnya dibenarkan pulang ke rumah. Tapi, Faira masih tetap ke hospital untuk menjaga Izzul. Ada kalanya, jururawat bertanya tentang keluarga Izzul dan alasan Faira adalah kedua ibu bapa budak itu sibuk ketika itu. Pak longnya pula tidak dapat pergi kerana melawat keluarga sebelah arwah isterinya.

Faira tidak mengambil hati pun apabila kakak sepupunya meminta bantuan daripadanya. Lagipun, apa yang dia lakukan itu adalah atas kerelaan hatinya sendiri.

HAMPIR seminggu lebih sudah Faira menjaga Izzul. Kadang-kadang dia berasa bosan juga di dalam bilik pesakit itu. Izzul lebih banyak tidur daripada bercakap dengannya. Disebabkan hal itu dia selalu keluar ke taman kawasan hospital mengambil angin sebelum naik ke bilik Izzul semula.

Sewaktu jururawat sedang memeriksa Izzul, dia keluar ke kantin membeli minuman. Selesai membeli dia naik semula ke atas tetapi dihalang oleh satu suara milik seorang wanita. Terkejut juga dia apabila wanita itu tiba-tiba meminta tolong dengannya. Wanita itu meminta Faira untuk menjaga anak lelakinya yang berusia 4 tahun. Pada mulanya Faira menolak tetapi wanita itu sudah tidak tahan lagi hendak ke tandas dan akhirnya dia akur.

Comel, pendiam dan tidak banyak ragam. Itu apa yang Faira nampak pada budak kecil itu. Beberapa minit kemudian wanita itu datang semula mengambil anaknya. Mereka berbual seketika dan di situlah dia mengenali mama Aqil, Adellia.

Pertemuan mereka tidak terhenti di situ sahaja. Mereka juga sering berjumpa di luar hospital. Keserasian mereka membuatkan hubungan mereka menjadi semakin rapat.

Adellia membuka cerita tentang lawatan mereka ke wad kanak-kanak. Sebelumnya, mereka ke sini bukanlah sebagai pelawat. Adellia membawa anaknya ke situ untuk dirawat. Aqil pada masa itu demam panas. Adellia dan suami membawa Aqil berjumpa dengan doktor. Tapi Aqil memberontak tidak mahu dan terus lari bersembunyi di wad kanak-kanak. Mujurlah budak-budak di sana pandai memujuknya.

Apa yang membuatkan dia rasa senang hati lagi apabila melihat kegembiraan Aqil dengan pesakit-pesakit di wad kanak-kanak itu. Jadi, dia membuat keputusan untuk melawat mereka setiap minggu.

Aktiviti melawat pesakit-pesakit kecil di sana sudah menjadi sebahagian aktiviti tetapnya dengan Aqil. Suaminya pula kadang-kadang sahaja menyertai mereka. Setiap minggu dua kali mereka ke sana membawa hadiah dan makanan untuk mereka. Adellia pula tidak pernah bosan melayan kerenah mereka. Lagipun, anaknya suka dengan mereka semua.

FAIRA ALISHA yang semakin mengenali Aqil itu mula suka dan sayang pada budak itu. Sehinggakan dia berangan mahukan anak seperti Aqil. Padahal, masa itu dia belum berpunya. Kahwin pun tidak.

Pernah sekali dia terlepas cakap di depan Adellia dan juga Naqiuddin iaitu suami Adellia. Tiba-tiba sahaja dia mahu jadikan Aqil sebagai anak angkatnya. Tapi tidak sangka pula mereka bersetuju. Lagipun, Aqil juga selesa dengan Faira.

TIDAK lama kemudian hal itu diketahui oleh adik Adellia, Qaiz Talha. Qaiz marah dan tidak bersetuju dengan kakak dan juga abang iparnya. Dia tidak suka perempuan-perempuan lain mendekati anak saudaranya. Namun, kemarahannya itu tidak dilayan oleh mereka.

Qaiz mencari jalan untuk tahu siapa mama angkat Aqil itu. Dia menggunakan peluang yang ada untuk mengekori kakaknya dan juga Aqil ke hospital. Tidak sangka pula mama angkat Aqil itu adalah perempuan yang sama yang selalu bertembung dengannya sebelum ini.

Sejak daripada pertemuan itu mereka sering bertemu. Pada awalnya, Faira memang tidak menyukainya. Tetapi Qaiz pandai memujuk hati perempuan itu dan lama-kelamaan persahabatan mereka membibitkan rasa yang mereka sendiri tidak mengerti.

HAMPIR tiga bulan perkenalan mereka. Semuanya manis-manis sahaja sehinggalah muncul perempuan seksi itu. Talita, model terkenal yang menjadi buah mulut orang ramai ketika itu.

Talita tiba-tiba datang kepadanya dan memarahinya kerana dia punca retaknya hubungan perempuan itu dengan kekasihnya. Faira terkejut apabila mengetahui tunang misteri yang selalu diperkatakan oleh mereka itu adalah Qaiz. Talita memberitahunya lagi bahawa mereka berdua telah putus tunang. Tapi itu tidak bermakna dia berputus asa dengan Qaiz. Talita siap beri amaran lagi kepadanya supaya menjauhkan diri daripada Qaiz. Kalau tidak Talita akan lakukan sesuatu pada dirinya.

Kalau diikutkan hati memang Faira hendak membalas Talita. Dia kenal siapa Talita itu sebenarnya. Tapi, ada sesuatu bermain di fikirannya ketika itu. Kadang-kadang dia berasa pelik juga. Entah kenapa dia sering terserempak dengan perempuan itu.

Setiap kali Faira nampak perempuan itu pasti dia ada bersama dengan lelaki lain. Di situ juga peluangnya untuk merakam perbuatan Talita. Rakaman yang dia ambil itu pula diberikan kepada Alya yang berada di luar negara melanjutkan pelajarannya di situ.

Rakam dan hantar sesuatu pada Alya adalah tugasnya setiap kali mereka bermesej. Faira sebenarnya tidak suka tapi itu permintaan temannya. Alya buat begitu pun kerana kebosanan di tempatnya.

Di sana, Alya langsung tidak ada teman yang sekepala dengannya. Sebab itulah dia selalu menghubungi Faira. Apa-apa sahaja gosip di kota Allend itu dia mahu tahu. Tapi gosip yang selalu menjadi topik hangat mereka berdua adalah Talita dengan tunang misterinya dan juga hal yang berlaku di kampung mereka. Jarang sekali Faira dan Alya bercerita tentang perkembangan hidup mereka. Paling tidak pun mereka akan bertanya khabar masing-masing sahaja.

SELEPAS situasi itu hubungan Faira dengan Qaiz renggang. Qaiz sudah sedia maklum tentang bekas tunangnya yang berjumpa dengan Faira secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya. Qaiz bukan main marah lagi dengan Talita.

Berkali-kali jugalah Qaiz memujuk Faira supaya memberi peluang untuk menjelaskan semuanya. Tetapi perempuan itu tetap sama. Tidak mahu melayannya. Faira hanya melayan Aqil dengan Adellia sahaja apabila mereka bertemu.

Adellia yang menyedari masalah yang dihadapi oleh adiknya itu cuba untuk menolongnya. Dia memujuk Faira bagi pihak adiknya dan pada masa yang sama dia juga meluahkan rasa tidak sukanya pada Talita. Tetapi, pujukannya itu sia-sia sahaja.

FAIRA ALISHA faham dengan kehendak Adellia tetapi dia tidak boleh meneruskan hubungan itu kerana amaran Talita kepadanya. Talita bukanlah seperti yang selalu dilihat di kaca televisyen. Nampak sopan dan berbudi bahasa. Tetapi sebenarnya tidak. Sikapnya jauh beza sekali.

Dia boleh sahaja berbaik semula dengan Qaiz tetapi Talita sentiasa memerhatikan gerak-gerinya dan disebabkan itu jugalah dia berusaha mahu menjauhkan diri daripada lelaki itu. Sehinggalah kejadian yang tidak diingini berlaku pada dirinya.

Masa itu, Alya menghubunginya dan seperti biasa mereka akan bergosip tentang Talita dan juga orang-orang kampung mereka. Faira pula meluahkan rasa sakit hatinya pada Alya tentang model terkenal itu. Tapi tidak semua diluahkan olehnya. Apa yang terjadi pada dirinya dengan Qaiz itu tidak diceritakan kepada temannya.

Seperti biasa, temannya itu akan meminta rakaman dari tempatnya berada pada waktu itu. Ketika itu, Faira berada di jalan Alpha dan mahu menuju ke hospital Waradana.

Sambil dia menunggu lampu isyarat berhenti kawasan lintasan pejalan kaki sambil dia merakam video di sekitarnya untuk Alya. Tetapi, kejadian buruk telah berlaku di situ.

Matanya terbeliak apabila melihat sebuah lori tangki minyak yang hilang kawalan merempuh beberapa kendaraan di hadapan sebelum terbabas ke dalam parit. Apa yang mengejutkannya lagi apabila salah satu kenderaan yang terbalik itu dia kenal. Kereta mini cooper berwarna hitam merah itu adalah milik suami Adellia.

Faira berhenti merakam dan berlari ke arah kenderaan tersebut. Bukan Naqiuddin sahaja yang ada di dalam perut kereta itu. Isteri dan anak juga ada bersama.

Faira panik. Dia menjerit meminta tolong orang ramai untuk keluarkan mereka bertiga dari situ. Tetapi Naqiuddin menghalangnya. Sebaliknya, lelaki itu memberinya telefon dan juga kotak kecil. Naqiuddin meminta dia supaya memberikan benda-benda itu semua kepada Qaiz.

Adellia juga menolaknya apabila dia cuba menyelamatkannya. Dia cuma minta Aqil diselamatkan.

Faira menangis. Dia betul-betul tidak tahu hendak berbuat apa saat itu. Telefon dan kotak kecil sudah di simpan di dalam beg sandangnya. Lantas, dia menarik keluar Aqil yang cedera di bahagian tangan kanan itu. Budak itu menangis dan semakin lama semakin perlahan suaranya.

Faira menjerit meminta tolong mereka menyelamatkan papa dan mama Aqil. Namun belum sempat mereka datang membantunya, mereka menjerit menyuruhnya menjauhkan diri dari situ kerana api mula keluar daripada kereta tersebut. Faira yang agak ketakutan terus berlari membawa Aqil bersamanya.

Malangnya, dia tidak sempat lari jauh kerana kereta itu meletup. Dia dengan Aqil terpelanting masuk ke dalam semak. Kepala Faira terhantuk dengan batu besar dan menyebabkan dia dengan Aqil pengsan di tempat kejadian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience