BAB 30

Romance Completed 137457

SEJAK dari awal makan malam mereka itu lagi Madam Alina perasan yang anak dan cucunya tidak banyak bersuara. Apa yang merisaukannya lagi apabila melihat cucunya itu langsung tidak mahu makan. Hanya beberapa potong buah epal sahaja yang dia sumbat ke dalam mulutnya tadi.

“Kenapa dengan Aqil tu, huh?” Bisik Madam Alina pada anak terunanya yang duduk di sebelahnya itu.

“Dia rasa bersalah dengan mama dialah tu. Mama biarkan sajalah budak tu. Nanti pandailah Qaiz pujuk dia.” Ujar Qaiz. Tadi, Aqil telah menjelaskan apa yang berlaku di antara dia dengan Faira. Qaiz faham tetapi Aqil perlu ditegur juga kerana budak itu mengambil barang kepunyaannya tanpa izin.

“Yalah. Jangan pula kamu marah-marah dia. Itu satu-satunya cucu mama tau. Harapkan kamu pun kamu belum kahwin lagi.”

Qaiz tersengih. Madam Alina terus berlalu ke meja sebelah. Lagipun, puan Daliya dengan puan Zaliah ada di situ.

Sebaik sahaja Madam Alina pergi, Talita laju melabuhkan punggungnya di tempat bekas wanita itu duduk tadi. Qaiz mula rasa rimas dengan kehadiran perempuan itu. Dia mahu berganjak dari situ tetapi Talita lagi cepat menghalangnya. Perempuan itu menarik tangan Qaiz sehingga lelaki itu terduduk semula.

“Talita!”

“Apa?” Dia menyimpul senyuman menggoda. Tetapi senyuman itu langsung tidak menarik perhatian lelaki itu.

“Kenapa dengan awak ni, hah? Tak tahu malukah?” Perlahan tapi keras nadanya. Nasib baik papanya tidak ada di situ. Tuan Hafizuddin beralih ke belakang bercerita dengan pak long Faira dan juga suami puan Qayla.

“Qaiz. Qaiz. Saya tak pernahlah nak malu bila nak dapatkan hati awak balik.” Suaranya dilunakkan. Tetapi tidak berjaya menambat hati teruna itu.

Talita menggeram di dalam hati. Dia mencuba menarik perhatian lelaki itu lagi.

“Saya tahu saya salah sebelum ni. Tapi saya dah minta maaf, kan? Awak janganlah begini. Janganlah dingin dengan saya. Mama dengan papa awak layan saya tadi baik saja. Awak saja yang macam ni tau.” Talita memuncungkan mulut.

Malas Qaiz hendak melayan kerenahnya. Dia berpaling ke belakang memandang Faira yang duduk jauh darinya. Perempuan itu tidak memandang ke arah sini pun. Dia lagi sibuk berbual dengan Alya. Shazwan juga ada bersama dengan mereka di hujung meja panjang itu.

“Qaiz, sayang. Pandanglah saya.” Talita menarik wajah itu ke depan.

Qaiz mendengus geram.

“Papa.” Tiba-tiba Aqil berdiri. Kelihatan lemah sahaja budak itu. Dua pengawal peribadinya yang berdiri tidak jauh dari mereka itu laju ke hadapan.

“Kenapa Aqil?” Talita pula yang bertanya.

Aqil menjelingnya tajam. Dia tidak suka namanya dipanggil oleh perempuan yang sudah dilabelkan sebagai perempuan jahat itu. Lagi menyampah dia melihat perempuan itu berkepit dengan papanya.

Aqil memandang papanya. “Papa, Aqil nak masuk biliklah. Aqil rasa lemah sekarang ni.”

Qaiz mengerutkan dahi. “Kenapa pula Aqil lemah ni? Itulah, tadi grandma suruh makan Aqil tak nak. Tak ada selera. Sekarang ni kata lemah pula.” Dia menarik kasar lengannya yang cuba disentuh oleh Talita.

“Aqil bukan lemah pasal tu. Aqil lemah bila mama tak layan Aqil. Aqil pergi dululah.” Jawabnya lalu melangkah pergi diiringi dengan dua pengawal peribadinya.

Aqil sebenarnya cuba memberanikan diri untuk ke tempat Faira tetapi dia takut kerana wajah marah perempuan itu petang tadi masih terngiang di fikirannya. Beberapa kali jugalah dia mengintai Faira dengan ekor matanya tadi. Dia mengharapkan perempuan itu memandang ke arahnya tetapi Aqil hampa. Faira langsung tidak menoleh pun sewaktu mereka makan tadi.

“Aqil tunggu papa.” Qaiz berdiri tapi sekali lagi Talita menghalangnya.

“Talita!”

“Qaiz. Tolonglah sekejap saja. Awak dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni, ya.” Pintanya. Tangannya menggenggam kuat lengan yang kekar itu.

Qaiz mengetap gigi.

SAKIT telinganya mendengar pertelingkahan Alya dengan Shazwan. Yang satu duduk disebelahnya dan yang satu pula duduk bertentangan dengan mereka.

Faira mengurut dahi. Daripada dia duduk dengar pergaduhan mereka lebih baik dia beredar daripada situ. Lagipun, dia baru sahaja nampak Aqil meninggalkan tempat ini. Dia mahu memujuk budak itu. Hatinya rasa bersalah terhadapnya.

“Alya. Aku pergi dululah. Ada hal. Kau uruslah hal cinta kau dengan dia.” Faira menepuk bahu Alya dan kemudian meninggalkan mereka.

Shazwan tersenyum lebar. Makin senanglah kerjanya mahu memujuk Alya kerana Faira sudah tidak ada di situ.

Faira sempat mengerling ke arah Qaiz dengan Talita. Jijik pula dia melihat perempuan itu. Ah, peduli apa aku. Biarkan sajalah mereka berdua. Faira meneruskan langkahnya. Sempat dia menjeling pengetua Shaun yang duduk agak jauh dari mereka semua. Lelaki tua itu sedang memerhatikan Talita.

“Aku tak sangka pula pengetua tu macam tu. Kalau cikgu Kiah tahu pasal ni mesti cikgu tu akan beritahu dengan cikgu-cikgu yang lain. Habislah orang tua tu. Dia yang malu sendiri.” Faira ketawa sinis.

QAIZ TALHA melihat Faira pergi. Hatinya mula galau melihat perempuan itu. Talita pula masih mengunci tangannya. Kata-kata Talita itu langsung tidak masuk di otaknya. Apa yang dia fikir sekarang adalah Aqil dan juga Faira.

“Sudahlah, Talita. Saya malas nak dengar pujuk rayu awak tu.” Qaiz berdiri. Tangan yang masih menggenggam kuat lengannya itu ditarik kasar.

“Qaiz! Janganlah begini. Apa salah saya sampai awak buat saya macam ni, hah?” Talita turut berdiri.

“Awak tahu tak. Sampai sekarang saya tertanya-tanya kenapa awak putuskan pertunangan kita? Cuba berterus terang saja dengan saya, Qaiz. Saya tahu alasan yang awak selalu berikan pada saya tu bukanlah sebab awak putuskan pertunangan awak dengan saya, kan? Awak sendiri tahu yang saya ni berduit. Saya tak miskin macam perempuan tu.”

“Talita! Awak jangan nak hina Faira macam tu. Dia tak miskin. Yang miskin tu awak sendiri.” Suaranya tegang.

Talita senyum sinis. “Saya miskin? Celah mana saya ni miskin, hah? Saya ada semua tau. Duit. Populariti. Rumah besar. Kereta mewah. Dia adakah semua tu?” Talita berpeluk tubuh.

“Miskin yang awak nampak pada dia hanyalah luaran saja. Tapi dalaman dia lagi kaya daripada awak kalau awak nilai dia dengan mata hati.” Qaiz menjegilkan matanya.

Talita mengerutkan dahi. “Dalaman apanya? Dia sama sajalah dengan perempuan-perempuan lain yang nakkan duit awak.”

“Cukup! Jangan hina dia. Awak jangan menyesal kalau saya beritahu awak sebab saya putuskan pertunangan kita. Kalau awak sudah tahu sebabnya saya tidak teragak-agak akan buat sesuatu pada awak. Saya lebih kejam daripada pembunuh-pembunuh di luar sana.” Qaiz menunding jari ke wajah Talita.

Talita telan liur.

“Memandangkan awak nak tahu sangat, saya akan beritahu sebabnya. Marah saya ni dah lama saya simpan. Jadi, sebaik saja awak tahu tentang ni awak tak akan selamat lagi lepas ni.” Qaiz sedia memberi amaran kerasnya.

“Tak... Tak apa. Lain kali saja saya ambil tahu.” Laju Talita melarikan diri.

“Hoi.”

Qaiz menoleh ke sebelah.

“Kau ni Shaz. Buat aku terkejut saja.” Qaiz menyentuh dada.

Temannya tersengih.

“Kali ni apa pula yang kau cakap dekat dia sampai langkah dia tu tak teratur nak larikan diri daripada sini, huh?”

“Macam biasalah. Ayat-ayat yang kejam supaya dia tak ganggu aku.”

Bulat mata Shazwan mendengarnya.

“Sudahlah. Kita berbual nanti sajalah. Aku kena pujuk Faira dengan Aqil dulu.”

“Yalah. Aku pun perasan yang Faira tak ada moodlah tadi.”

“Okeylah. Aku pergi dulu.” Qaiz meminta diri.

Shazwan angguk. Dia teringat Alya. Pantas dia mencari perempuan itu. Alya sudah tidak ada di situ.

“FAIRA ALISHA! Berhenti!”

Faira memekakkan telinga. Dia terus mengatur langkahnya ke bilik penginapan.

“Faira!” Laju dia mengejar perempuan itu.

“Awak ni kenapa, hah? Saya nak balik tau. Saya letih. Nak tidur.” Faira tangkas menarik tangannya apabila lelaki itu cuba menyentuhnya.

“Awak masih marah pasal hal petang tadikah?”

“Mana ada. Yang lepas, lepaslah. Sekarang ni saya nak balik.”

“Awak tak boleh balik selagi masalah kita tak selesai. Saya tau awak marah Aqil.”

Faira menjulingkan mata ke atas. “Jadi apa masalahnya kalau saya marah anak awak tu?”

Qaiz geram. Lantas pipi Faira menjadi cubitannya.

“Sakitlah!”

“Tau sakit. Begitu jugalah sakitnya hati saya bila awak tinggikan suara macam tu.”

Faira mendengus. Dia menggosok pipinya yang sudah memerah.

“Awak tau tak? Sepanjang makan malam tadi Aqil langsung tak nak makan. Dia asyik mengintai awak mengharapkan awak menegur dia.”

Faira diam.

“Awak tahukan yang Aqil sayangkan awak. Bila awak buat dia macam ni dia sudah tentulah rasa takut. Susah hati lagi.”

Faira memandangnya tanpa kata. Dia berfikir.

“Masih ada masa, kan? Jadi, esok sajalah saya pujuk budak tu.” Ujar Faira lalu meninggalkannya.

Qaiz meramas kasar rambutnya. Kalau Faira dia tak boleh selesaikan apatah lagi dengan budak itu nanti. Macam mana aku nak pujuk budak tu?

FAIRA ALISAH bertukar arah. Dia tidak jadi balik ke bilik penginapannya. Dia mahu mengambil angin di luar. Tapi, tiba-tiba dia ditarik oleh Talita ke tempat lain.

“Cik Talita! Lepaskan tangan saya.” Pintanya.

Talita buat-buat tidak dengar. Dia terus menarik Faira ke tempat yang sunyi.

“Kau nak bawa aku ke mana ni, hah?” Faira bersuara kasar.

“Kau diam boleh tak! Bingit telinga aku ni dengar suara kau. Tambah lagi dengan rasa panas hati aku ni dengan kau.” Talita mencengkam kuat tangan Faira itu lagi.

“Sakitlah!” Faira mengadu kesakitan.

“Aku peduli apa kalau kau sakit.” Talita menjelingnya.

“Masuk!” Talita menolaknya masuk ke dalam sebuah stor yang sempit dan gelap.

“Apa yang kau nak buat dekat aku ni, hah?” Faira cuak. Ruang bilik stor itu kecil dan hanya muat untuk dua orang sahaja di dalamnya.

“Aku nak kau mati.” Talita ketawa jahat. Dia terus menutup pintu itu dan menguncinya dari luar. Jeritan Faira tidak dipedulikan olehnya.

“Selesai kerja aku. Kau matilah seorang-seorang di sini. Aku pastikan tak ada seorang pun yang akan cari kau dekat sini.” Talita terus pergi. Dia membawa kunci stor itu keluar daripada kawasan tersebut dan membuangnya ke dalam laut.

“Puas hati aku!” Dia ketawa dan terus ketawa.

Kelmarin, dia berjaya memujuk salah seorang pekerja kapal layar ini. Mulanya, pekerja lelaki itu tidak mahu tetapi setelah dia memujuk dengan nafsunya akhirnya pekerja lelaki itu mengalah dan menurutinya. Dia juga menyuruh pekerja itu menjaga tempat itu agar tidak ada seorang pun yang lalu di situ.

FAIRA ALISHA meronta-ronta di dalam stor gelap itu. Dia langsung tidak nampak apa-apa didalamnya. Ruang yang gelap itu sempit dan agak panas. Cahaya yang menembusi pintu stor itu pula hanya sedikit sahaja. Langsung tidak membantunya untuk melihat benda-benda disekelilingnya.

“Tolong!” Dia meronta lagi. Namun perbuatannya itu sia-sia sahaja. Dia mendengar bunyi tapak kaki berjalan di depan bilik stor ini. Tapi orang itu buat tidak tahu sahaja dengan kehadirannya.

“Errghhh!!”

Faira menekup mulut. Suara yang didengarinya itu agak tegang. Sepertinya suara itu sedang meraung. Dia tidak tahu apa yang sudah terjadi di luar itu.

“To... tolong...” Faira melekapkan telinganya pada pintu itu dan tiba-tiba pintu stor itu ditumbuk kuat. Faira ke belakang terus. Dia menggeletar.

“Kau duduk diam saja dekat dalam tu, ya.” Suara garau yang agak kasar itu sungguh menakutkannya.

“Kau siapa?” Faira berani bertanya. Namun tiada balasan.

Tiba-tiba dia mendengar bunyi sesuatu sedang diheret dari tempat tersebut. Faira menundukkan kepalanya. Dia cuba mengintai situasi di luar dari lubang-lubang kecil di pintu itu. Tetapi penglihatannya terbatas. Dia tidak nampak dengan jelas apa yang diheret itu.

Lelaki itu bersiul. Faira ketakutan. Dia menjauhkan diri dari pintu itu. Tangannya pula tersentuh sesuatu.

“Botol mineralkah?” Dia cuba memastikan botol yang dipegangnya itu.

Ruang itu semakin terasa bahang panasnya. Ditambah lagi dengan denyutan di kepalanya. Faira tidak tahan. Dia cuba meronta lagi tetapi nafasnya sudah tersekat-sekat. Jadinya, dia mendiamkan diri sahaja. Dia akan meminta tolong sekiranya ada orang yang lalu di situ nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience