9:15 am
"Husna!"
Husna dan Kak Lin yang sedang berbual sambil berjalan terus terdiam dan menoleh gerangan yang memanggil Husna bagai mahu mencari gaduh.
"Pukul lima setengah masuk bilik I. Make sure you datang. Alone!"
Sesudah bercakap langsung Cik Sheila berlalu pergi dengan wajah ketat dan masam mencuka.
"Hek eleh perempuan ni! Kau nak aku pukul dia tak Na? Sakit pulak hati aku!"
Husna tergelak. Kak Lin tidak pernah gagal mencuit hatinya.
"Tak pe Kak Lin. Na okay. Dah tak heran dengan perangai dia."
"Ha!? Kau kenal dia ke sebelum ni. Kau berkawan dengan dia ke? Apa punya jenis kawanlah kau pilih ni Na!?"
Husna tergelak lagi. Kata-kata dan aksi Kak Lin menuturkannya amat mencuit hati. Jihan RajaLawak sudah ada pelapis. Orang yang lalu lalang menoleh kepada Husna dan Kak Lin, mungkin pelik melihat Kak Lin yang bersuara garang di balas ketawa mengekek oleh Husna.
Husna pilih untuk tidak menjawab soalan Kak Lin. Dia tahu dengan perangai Kak Lin sekejap sahaja lagi dia akan lupa topik perbualan. Husna fikir seronok sungguh jadi Kak Lin. Masalah tidak pernah singgah lama dalam hidupnya. Masalah pun takut dengan Kak Lin.
Husna suka berkawan dengan Kak Lin. Seminggu bekerja bersama dia paksa Husna panggil dia Kak Lin. Semuanya kerana Husna masuk bekerja ramai sungguh mahu 'usha' Husna dan Kak Lin bertindak mahu menjadi kakak yang melindungi padahal dia hanya tua setahun daripada Husna.
"Kak Lin jaga sikit keayuan tu. Kejap lagi Encik Rizal lalu."
"Yelah Na. Macam ni ayu tak?" Kak Lin tayang senyum paling manis. Kak Lin memang cantik cuma dia kasar dan ganas.
"Cenggini Kak Lin." Husna angkat dua Ibu jarinya memuji Kak Lin.
"Arghhh! Layan kau lambat aku nanti." Tiba-tiba Kak Lin berbunyi ganas kembali dan menolak pintu kecemasan untuk turun ke tingkat bawah. Dalam sisa tawa Husna geleng kepala dengan tingkah Kak Lin yang pelbagai dan menghiburkan.
Husna tarik nafas panjang. Apa juga yang Cik Sheila mahukan darinya. Pekerjaannya tidak berkaitan dengan Cik Sheila kerana dia bukan bertugas di tingkat yang sama dengan Jabatan Kemanusiaan.
Terpaksa Husna pulang lewat hari ini kerana temujanji terpaksa dengan Cik Sheila. Dia risaukan terpaksa mengejar bas. Menunggu bas sahaja menyeksakan kerana bas penuh waktu pulang kerja.
*****************
2:00 pm
"Assalamualaikum Sayang."
"Waalaikummussalam."
"Sayang buat apa tu."
"Baru sudah solat Zuhur. Kat dalam surau ni."
"Oh!"
"I miss you. So much"
"Abang... baru pagi tadi Abang call Na tau."
"Ye ke? bukan semalam?"
Husna ketawa tertahan-tahan. Bimbang ada yang dengar.
"Abang buat apa tu?"
"Sekarang pukul tiga petang kat sini. Abang lari keluar kejap. Tak tahan..."
"Kenapa? makanan tak serasi ke? Abang sakit perut?"
"Bukan... Tak tahan rindu. Kan Abang dah cakap tadi." Kedengaran jelas suara Idris yang menahan ketawa.
"Nyampah!"
"Eh! janganlah."
"Eh! Okay Sayang. Kawan Abang dah datang. Bye Sayang. Jaga diri baik-baik okay. Love you."
"Assalamualaikum."
Idris cakap berebut-rebut tapi masih nak ayat panjang.
"Waalaikummussalam."
Husna simpan telefon dalam kocek baju kerja dan senyum meleret.
Idris pergi hari Jumaat... Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan hari ini sudah Jumaat kembali. Sudah seminggu dan sudah angau macam ni. Tak sabar tunggu Idris balik, nak mulakan hidup baru dengan Idris dan anak-anak.
*****************
5:00 pm
Husna sudah siap kerja. Dia pandang sekali lagi ruang pantry. Semua sudah siap dikemas. Semua sudah siap disusun. Walau Husna tahu esok pagi dia datang keadaan tidak akan sama lagi. Mesti banyak cawan dan gelas di dalam sink. Tong sampah penuh kembali, tapi tak mengapa. Kerana yang penting bagaimana keadaan pantry sebelum Husna tinggal pulang.
Okay semua settled.
Husna ambil beg dalam kabinet bawah. Cadang Husna hari ini mahu pulang cepat tapi terpaksa dibatalkan kerana arahan Cik Sheila.
Entah apalah perempuan serba canggih itu mahu. Bunyi suaranya pagi tadi jelas-jelas bukan berniat baik. Pasti ada yang Cik Sheila tidak puas hati dengannya. Cuma Husna tidak tahu apa masalah yang telah Husna guris pada hati perempuan cantik itu.
****************
Waktu bekerja tamat jam lima. Apa sebab Cik Sheila mahu berjumpa dengannya jam 5:30. Dia mahu pulang cepat dan lagi nanti harus menunggu bas pula.
Husna duduk di sebuah bangku di tingkat pejabat Jabatan Kemanusiaan.
Pelik sungguh, Cik Sheila yang tidak mesra dengan kakitangan itu dipilih menjadi pegawai di Jabatan Kemanusiaan.
Tapi bila difikirkan semula mungkin syarikat menyimpan Cik Sheila untuk kes-kes salah laku jadi tidak perlu melibatkan budi bicara hati dan perasaan untuk menyelesaikan urusan kes yang sebegitu.
Kakitangan beransur pulang. Ada juga yang lalu dan tersenyum manis kepada Husna. Ada yang langsung tidak perasankan Husna yang duduk di situ. Maklumlah mahu mengejar masa, mengambil anak, urusan rumah dan sebagainya.
Pagi tadi lagi Husna sudah menelefon berpesan kepada Acik Enon yang dia akan pulang lewat kerana urusan kerja. Acik Enon bersetuju sahaja kerana tidak menjadi masalah untuk kembar berdua berlama di rumahnya dan itu yang menjadi kegembiraan mereka.
Bosannya. Mahu menelefon Idris, suami itu sudah berpesan jangan kerana dia tidak tahu bila waktu senggang suaminya dan bimbang mengganggu. Selama Idris berpergian hanya Idris yang menelefonnya dan hanya di waktu pagi sebelum konvensyen bermula.
Baru tengah hari tadi Idris menelefonnya pada waktu itu. Hati sudah rindu.
Hermmm... lama lagi ke?!
****************
5:30 pm
"Kau tau kenapa aku panggil kau!?"
Husna geleng kepala. Dia baru masuk bilik pejabat Cik Sheila, sudah disembur begitu. Tidak langsung Cik Sheila mempelawanya duduk. Cik Sheila pula duduk di penjuru birai meja kerjanya.
"Licik kau kan!"
Husna diam matikan diri. Apa jugalah Cik Sheila ni?
"Engkau ingat Syikin?!"
Husna cuba mengingat. Bukankah itu nama salah seorang kakitangan Idris di syarikat pengangkutan. Cik Syikin sudah meninggal dunia selepas muntah darah di pejabat. Ada yang kata Cik Syikin sakit. Tapi Husna tidak tahu Cik Syikin sakit apa kerana Husna baru mula bekerja yang ditawarkan Ehsan pada masa itu.
Tapi memang Husna ingat Cik Syikin sebab masih terbayang dia membersihkan meja kerja Cik Syikin yang bersembur darah dari mulutnya. Masih Husna terasa ngeri. Simpati melihat Cik Syikin yang mengelupur bagai ayam yang baru disembelih selepas memuntahkan darah yang bersembur di meja kerja.
"Kau ingat kan!"
Hanya Cik Sheila yang bercakap. Husna mendengar sahaja. Dia masih gagal mengaitkan sebab dia dipanggil masuk ke pejabat Cik Sheila, cerita Cik Syikin dan dirinya.
"Sekarang aku nak... sementara laki kau tak ada kat Malaysia ni... kau nyahkan diri kau dari tempat ni. Kalau tidak... laki kau tu muntah darah macam Syikin!"
Husna tersentak. Apa?. Macam mana? Kenapa? Siapa yang...? terlalu banyak soalan tiba-tiba menyerbu benak fikirannya. Husna boleh rasa darahnya menyerbu turun ke perut. Terlalu kelu dengan arahan Cik Sheila.
"Kenapa? Kau tak sangka aku tahu?."
"Licik kau kan!!!"
"Bapak saudara.. kau punya, dia dah mati anak saudara dia pulak kau ganti!"
"Kau ni!... nampak aje naif tapi dua dua kau sanggup mengangkang kan!".
Husna rasa dia sudah mengeras di situ. Terasa darahnya bagai hilang dari badan.
"Aku tau sebelum laki kau balik Malaysia kau mesti hilang dari kawasan ni... kalau tidak aku santau laki kau macam aku santau Syikin!"
"Kalau kau nak tengok laki kau bersembur darah macam Syikin silakan. Kalau kau masih di sini maknanya kau memang nak laki kau mati supaya semua harta dia kau dapat kan!"
"Tapi kau kena ingat ye aku tak bodoh! Kalau kau fikir macam tu kau dengan laki kau aku santau."
Patutlah! Patutlah Cik Sheila mulakan perbualan petang ini dengan Cik Syikin. Dia mahu memberi bayangan bertapa teruknya akibat yang akan berlaku jika Husna ingkar arahannya.
Tidak! Dia tidak akan biarkan apa-apa yang buruk berlaku kepada Idris. Dia cintakan Idris. Idris ayah kepada kembarnya. Idris anak Ummi yang melayannya bagai anak sendiri. Ummi yang sangat baik dan penyayang. Husna tidak boleh biarkan Ummi bersedih.
Husna tidak boleh biarkan Idris mengalami kesakitan seperti Cik Syikin. Husna juga tidak boleh sakit begitu. Dia ada Ibrahim dan Ismail yang harus dilindungi.
Tidak mengapa. Demi kebaikan Idris cinta hatinya dia sanggup bekorban. Dia sudah biasa hidup susah dan sedih. Nasib malang dan dirinya berpisah tiada. Dia sudah biasa berseorangan. Sekali ini lagi apa salahnya. Lagipun dia ada Ibrahim dan Ismail penguat hati yang lara.
******************
"Assalamualaikum"
"Waalaikummussalam. Senah... meh masuk. Ibrahim dengan Ismail tengah makan. Dah nak sudah ni. Nah dah makan?"
"Sudah Acik."
"Nah okay? Kenapa muka keruh sangat ni?"
"Ermm... Nah ada benda nak bincang dengan Acik."
Acik Enon mara ke arah Husna yang duduk di sofa ruang tamu. Mengambil tempat di sebelah Husna yang dirasanya ada perkara teramat penting mahu dikongsi.
"Kenapa Nah? Nah ada masalah. Meh kongsi dengan Acik."
Husna tarik nafas panjang dan lepas tertahan-tahan. Kerana menahan air matanya jangan gugur sekali.
"Acik... Nah nak pindah."
"Ha! kenapa?"
"Kerja ni tak sesuai dengan Nah. Balik lambat. Ada outstation pulak. Lagipun tempat tu ada gangguan. Bimbang suami Nah salah faham. Nah cuba nak selamatkan rumahtangga kami."
Ya Allah ampunkan Na. Na cuma nak jaga semua orang supaya berada dalam keadaan baik-baik sahaja.
"Habis tu Nah nak pindah mana? Nak kerja apa?"
Acik Enon goncang-goncang tangan Husna yang digenggamnya. Dia sudah terasa dia bakal dipisahkan daripada Ibrahim dan Ismail.
"Nah nak ikut majikan lama Nah yang butik pengantin dulu tu. Kat Pulau Pinang Acik."
"Jauh tu Senah!"
Naik seoktaf suara Acik Enon.
"Sini-sini kan ada aje kerja. Kenapa nak jauh ke sana? Nanti Nah pergi kerja siapa nak jaga Ibrahim dengan Ismail? Bahaya beri orang tak kenal jaga budak berdua tu!"
Ye Husna tau itu. Rumah Acik Enon dan Acik Yem inilah syurga dunia buat anak-anaknya. Mahligai penuh kasih penuh sayang untuk kembar berdua.
"Miss April dah tolong carikan sekolah."
"Allah Senah! Kenapa tiba-tiba? Biar Acik carikan kerja kat sini-sini dulu! Tak payahlah pergi sana Sayang!"
Acik Enon sudah mengongoi menangis. Tidak rela bakal dipisahkan daripada anak cucu yang sudah biasanya ada di depan mata.
"Nah minta maaf Acik. Nah terpaksa. Lagipun Miss April dulu jaga Nah baik juga. Nah rasa mudah-mudahan dengan berhijrah hati Nah gembira sikit. Lagipun kata suami Nah dia habis kerja kapal dia nak cari kerja kat Pulau Pinang."
Husna rasa pening dan mahu muntah kerana bertubi-tubi berbohong kepada Acik Enon yang amat baik melayannya bagai anak. Ampunkan Na Acik, Ampunkan Na Ya Allah.
Sudahnya malam itu lama Husna di rumah Acik Enon kerana bersoal jawab dengan pasangan guru pencen itu.
Setelah Husna berjanji akan kerap menelefon barulah Acik Enon dan Acik Yem beralah dengan terpaksa. Apabila kereta Acik Yem berhenti di hadapan butik pengantin yang dulunya milik Miss April bersambung lagi babak air mata di situ.
Ibrahim dan Ismail yang baru diberitahu sebab tangisan Atok Abah dan Mak Tok turut sama menangis. Kembar berdua juga tidak rela berpisah daripada atok mereka.
Husna sedih yang amat. Serasa dialah orang paling zalim dalam dunia.
Tapi Husna terpaksa!
Share this novel