"Adik makcik accident. Balik dari hantar barang kat asrama anak dia. Koma sekarang ni."
Idris bersimpati mendengar cerita makcik Zainab. Tapi lebih bersimpati pada dirinya.
"Makcik tak tahu dia minta tolong siapa ganti cuci rumah hari tu. Masa accident tu handphone dia hilang. Polis kata mungkin ada orang curi."
Idris biar makcik Zainab terus bercerita sebab kepalanya memikirkan penyesalan yang lain.
"Tuan ada apa ye cari cleaner tu? dia ada buat masalah ke? ada barang hilang? ada yang rosak ke?"
Suara cemas makcik Zainab menyedarkan Idris yang jauh pergi fikirannya.
"Eh, tak la makcik. Saya fikir balik mungkin saya salah letak barang yang saya nak tanya tu. Nanti saya cari dekat rumah mak saya dulu."
Idris segera menjawab. Bimbang pula jika makcik Zainab sudah tahu Husna yang cuci rumahnya, perkumpulan cleaner upahan akan memburukkan Husna pula.
"Takziah ye makcik untuk pihak adik makcik. Terima kasih. Assalamualaikum." Idris berpamitan dengan makcik Zainab.
Idris pusing-pusing telefon di tangan berfikir. Husna tipu dia kata tinggal di Kampung Baru. Habis dikerah penyiasat persendirian mencari di seluruh Kampung Baru tapi tiada siapa mengenali Husna.
Kau memang bodoh macam batu Idris!
*****************
Husna sikat rambut Ismail yang duduk di hadapannya di birai katil. Ibrahim duduk di atas karpet di lantai menonton kartun Upin dan Ipin sementara menunggu giliran rambutnya pula disikat. Senyum suka Husna menyikat rambut potongan cendawan anak-anaknya. Dia suka potongan begini. Pada Husna nampak comel untuk anak kecil seumur Ismail dan Ibrahim.
Tiba-tiba teringat Idris yang rajin melayan rambutnya yang panjang. Pandai pula suaminya itu mengayakan cara menyiapkan rambutnya ketika dia sakit perasaan dahulu. Semerta hatinya dipagut pilu.
Itulah saat Idris melayannya bagai ratu. Penuh lembut dan rasa sangat disayangi.
"Mak okay?"
Ismail yang berpusing tubuh mendongak memandang wajahnya. Dia pelik tangan Mak dah diam tak menyikat lagi dan sekarang pula wajah mak sedih sangat.
"Okay".
"Mak nangis ke?"
"Tak ah. Mana ada Mak nangis. Pusing... mak sikat semula."
Ismail akur cakap Husna, dia berpusing semula menghadap television menonton kartun Upin dan Ipin.
"Mak... Upin dan Ipin ni sama macam Ismail dengan Ibrahim."
Ibrahim yang dari tadi senyap melayan kartunnya tiba-tiba bersuara.
"Kenapa?"
"Diaorang tak ada ayah, tapi kami ada Mak, Atok Abah dan Mak Tok".
"Ibrahim dan Ismail ada ayah... cuma Ayah kerja jauh belum boleh balik."
Tunggu Mak ready ye anak-anak. Mungkin 20 tahun lagi. Mak takut Ayah ambil awak berdua dari Mak. Ayah tu kaya banyak duit. Husna bercakap sendiri dalam hati.
"Tapi kenapa Ayah tak cuti balik jumpa Ismail dan Ibrahim. Mimi tu ayah dia kerja jauh juga tapi ambil cuti balik jumpa Mimi."
Ismail menyampuk bercerita tentang rakan sekolah.
"Ayah Mimi kerja mana?"
"Kerja kat Singa"
"Ha!?"
"Bukan Singalah Ismail... kat Singapura"
Ibrahim yang membetulkan Ismail ketawa mengekek.
"Eh! Salah"
Sudahnya mereka tiga beranak ketawa dengan kesilapan Ismail. Maka cerita tentang Ayah hilang begitu sahaja. Setiap kali juga begitu. Husna akan cerita serba sedikit tentang Idris kemudian menamatkannya cepat-cepat. Biar anak-anaknya tahu asas yang penting sahaja tentang si Ayah.
Lebih-lebih lagi selepas kisah hujung minggu lepas. Husna tidak boleh biar Idris tahu tentang kembarnya. Tidak mustahil Idris merampas mereka. Tidak dapat Husna lupa kemarahan Idris pagi Sabtu itu.
Marah yang penuh dendam!
*****************
"Cik Sheila!"
Husna tidak sangka perempuan yang baru keluar dari kubikel tandas adalah Cik Sheila setiausaha Idris. Tetap wajah Cik Sheila bercat cantik, berambut perang dan berpakaian penuh gaya. Sedang buat apa Cik Sheila di sini? jika Cik Sheila di sini adakah Idris juga berada di syarikat ini?
"Kau kerja sini pulak sekarang? jawatan apa? pegawai?"
Husna sekadar diam. Dia tahu Cik Sheila menyindirnya. Jadi Husna sekadar matikan diri dan meneruskan kerjanya mengelap sinki batu dan cermin tandas.
"Kau jangan nak belagak dengan aku ye Husna. Aku pegawai human resources kat sini. Bila-bila aje aku boleh buang kau kerja!"
Sergah Cik Sheila apabila Husna tidak menjawab. Sebelum berpaling dan berjalan keluar dari tandas perempuan Cik Sheila beri jelingan tajam pada Husna.
"Eh Na! perempuan tu nak apa?"
Kak Lin masuk ke dalam tandas berselisih dengan Cik Sheila yang keluar dan nampak Cik Sheila menjeling Husna tajam. Kerana kehairanan dia kepochi mahu ambil tahu.
"Tak ada apa. Na terenjis dia dengan air tu yang dia tak puas hati sikit. Kak Lin kenal ke dia tu?"
"Officer baru human resources. Tapi tak mesra alam. Budak-budak department tu cakap dia tak nak campur orang. Dia nak bercakap dengan pegawai je. Dengan level bawah bawah ni hal kerja je baru dia nak bercakap."
Nampaknya itu sememangnya perangai Cik Sheila.
Seronok Kak Lin bergosip pasal pegawai baru yang sedang hangat dibincangkan kakitangan bahagian pejabat.
Maknanya tiada Idris di sini. Cik Sheila mesti sudah berhenti dari syarikat Idris.
Tenang Husna, jangan gelabah sangat. Hari Sabtu tu sekadar kebetulan.
*****************
Idris tetap meronda sekitar Kuala Lumpur jika ada waktu terluang. Cuba mengesan keberadaan Husna.
Seperti yang pernah dirancangnya dahulu pulang dari Eropah dia mahu work smart. Kerja santai-santai sahaja. Mahu meraikan hidup selepas penat berkerja keras sejak zaman sekolah sehingga projek besar di Eropah yang lalu.
Sekarang dia hanya memantau perniagaannya. Pegawai-pegawai yang dilantik boleh diharapkan menguruskan semua perniagaannya. Sekarang dia lebih kepada membuat pelaburan sahaja di dalam perniagaan syarikat lain yang kukuh.
Terbaharu perniagaan Hartanah. Satu Perlaburan hartanah sudah Idris buat di sebuah syarikat di Pulau Pinang dan dia sedang dipelawa pula oleh sebuah lagi syarikat hartanah di Kuala Lumpur dan sedang dalam pertimbangan.
Kerana projek usahasama dengan Syeikh Hussein yang berjaya Idris ada dengar ura-ura dia bakal mendapat gelaran dato'. Dia tidak rasa apa-apa keterujaan. Dia mungkin berjaya dari segi bidang perniagaan yang diceburi. Tapi dia gagal sebagai suami dan kekasih.
Buat masa sekarang dia mahu mencari Husna bersungguh-sungguh. Dia mahu menangani masalah rumahtangganya dahulu baru kembali fikir tentang kesukaannya kepada bidang perniagaan.
Tidak sabar mahu selesaikan masalah. Mahu pulang membawa menantu kepada Ummi. Tak sabar mahu memeranjatkan Ummi, isterinya ialah Husna yang sering Umminya rindui. Cuma dia menyesal Tok Ibu pergi bertemu pencipta sebelum sempat ditemukan dengan Husna.
******************
"Allah! Allah! Pakcik minta maaf nak. Pakcik tak sengaja"
"Tak pe Pakcik. sikit je ni. Pakcik okay tak? Berdarah Ibu jari tu pakcik!"
Idris tunjuk di kaki kepada Pakcik yang tersadung mata tangga sehingga tumpah air yang dibawanya ke baju Idris.
"Allah!... baru pakcik perasan."
Segera Idris bantu memapah Pakcik itu ke bangku berdekatan di medan selera itu.
"Jomlah saya hantar pergi klinik."
"Tak pelah nak. Mengganggu awak saja nak bekerja. Nanti Pakcik ambil grab aje."
"Eh! janganlah gitu. Saya cuti hari ni sebenarnya tadi pegi kedai insuran tu renew road tax. Jomlah... Pakcik jangan risau saya memang tengah free, tak kerja hari ni."
"Segan Pakcik nak... dah lah baju awak Pakcik kotorkan lepas tu awak tolong Pakcik."
"Allah Pakcik, baju ni pekara kecil aje. Marilah kita pergi klinik sekarang."
Idris terus memapah Pakcik itu ke keretanya. Nampak raut wajah Pakcik itu segan untuk naik kereta mewah Idris.
"Kotor kereta awak nanti."
"Tak kanlah sampai macam tu." Idris ketawa kecil. Sekadar menenangkan Pakcik yang sedang menahan sakit. Mesti sakit sebab kuku Ibu jari kakinya terjongket dan berdarah.
Idris bawa Pakcik itu ke Klinik berdekatan dan menunggu sehingga urusan selesai. Juga menolong membayarkan harga rawatan dan ubat.
"Pakcik duduk mana saya tolong hantarkan"
Soal Idris apabila Pakcik yang memberitahu dia datang ke kawasan itu dengan kereta yang mengalami sedikit kerosakan kemudian terpaksa meninggalkan di bengkel. Cadang Pakcik itu dia akan pulang dengan Grab.
"Segan sungguh Pakcik ni, A sampai Z awak tolong."
"Tak apa. Mudah-mudahan masa saya susah Allah datangkan pertolongan."
"Amin Ya Allah" sambut Pakcik itu atas doa yang Idris ucap.
"Pakcik tinggal jauh ni boleh ke? Kat Bangi sana."
"Allah Pakcik ni. Ingat dekat Perlis." sambut Idris ketawa berseloroh. Pakcik itu ikut ketawa. Kemudian Idris taip alamat yang telah Pakcik beri ke dalam GPS Navigator keretanya.
Ketika sampai ke rumah Pakcik itu, kecoh isterinya menyambut Pakcik itu keluar daripada kereta Idris melihatkan ibu jarinya yang berbalut besar. Sebahagian atas kaki itu di sekeliling Ibu jari yang berbalut nampak keunguan. Pasti sangat sakit.
"Kuat rasanya Pakcik tersadung tadi. Sebab tu dah lebam tu." Idris mulakan bicara.
"Makcik dah cakap tukar cermin mata. Power dekat jauh tu dah masalah."
"Mari nak masuk. Siapa nama ni?"
"Idris makcik."
"Pakcik tak tanya pun nama awak dari tadi ye. Maaf ye Idris." Pakcik itu segera mencelah.
"Pakcik memang macam tu. Kalau bagitau pun dia ada masalah nak ingat nama orang. Nanti memandai aje dia tukar nama orang. Tapi benda lain sepuluh tahun dua puluh tahun lepas pun dia boleh ingat." Isteri Pakcik cepat menjawab mengenakan suaminya sambil ketawa.
"Nama Pakcik ni Karim, nama makcik Zainon. Orang kat sini, orang kat kampung panggil Acik Yem dengan Acik Enon je."
"Idris orang mana? Muka macam yang main bola tu sapa nama tu Naldo. Makcik macam pernah jumpa kamu ni... Muka kamu macam familiar je"
Idris ketawa kecil mendengar soalan Acik Enon.
"Taklah makcik saya orang Malaysia. Cuma bapa saya Arab. Tapi dah cairlah Arabnya." terang Idris.
"Oo... asal mana? Johor ke?"
"Ye makcik"
"Parit Bunga Muar kan. Kamu cucu Hajjah Hassanah kan?"
"Eh! makcik kenal ke?"
"Allah! muka kamu ni rare kan macam orang Latin tu. Makcik macam teringat jumpa kamu masa kamu budak sikit."
"Mak kamu Datin Hasiah tu satu sekolah dengan makcik dulu. Dengan Pakcik pun."
"Tapi kami masuk maktab aje. Dapatlah jadi cikgu sekolah rendah. Mak kamu masuk U dapat jadi pensyarah."
"Ayah kamu Datuk Idham orang Tanjung Agas kan."
Cerita Acik Enon dan Acik Yem suami isteri melarat panjang selepas tahu Idris sekampung dan kenal pula dengan seluruh ahli keluarga mereka. Kemudian meminjamkan Idris sehelai t-shirt kerana bajunya sudah kotor terkena Neslo Acik Yem yang tumpah.
"Eh! eh! Abah... cucu dua belum ambil"
"Kejap ye Idris Acik nak pergi ambil cucu balik sekolah."
"Jauh ke Acik sekolahnya? saya boleh tolong hantar."
"Taklah... Tadika Perpaduan depan ni aje. Jalan kaki aje ambil. Ni lorong depan ni sebelah bangunan Tadika Kemas tu."
"Saya ajelah tolong pergi ambil"
"Idris nak tolong? Bagus juga Acik boleh siapkan makan. Kamu kena makan kat sini. Kejap Acik call cikgu cakap kamu ambil. Cikgu kalau orang lain tak bagitau awal tak di bagi ambil anak orang lain. Kejap ye."
Acik Enon capai telefon di atas meja dan menelefon seseorang dan bercakap ringkas.
"Okay Acik dah cakap cikgu. Acik cakap atok Abahnya cedera kamu tolong ambil."
"Okay, siapa nama cucunya ye Acik?"
"Ismail dengan Ibrahim"
"Kembar ke?"
"Ye."
"Okay. Saya pergi sekarang."
*****************
Sepanjang hari itu Idris melepak di rumah Acik Enon dan Acik Yem. Lagipula Idris jatuh suka kepada kembar Ibrahim dan Ismail yang sangat cerdik. Wajah kembar yang comel imbas wajah seseorang yang dekat tapi Idris gagal memadankan. Idris fikir mungkin wajah keluarga di Muar memandangkan mengikut cerita Acik Enon dan Acik Yem mereka ada hubungan saudara jauh.
Duduk santai selepas solat Asar Idris memerhati kembar menyiapkan kerja sekolah.
"Budak-budak ni pandai. Umur empat tahun dah lancar membaca. Cakap Inggeris pun pandai. Emaknya rajin melayan belajar dari kecik. Cakap tak ada pelat-pelat."
Acik Enon yang baru sampai ke sofa dengan sepinggan pisang goreng bercerita tentang Ibrahim dan Ismail. Idris bersetuju dengan cakap Acik Enon kerana sebentar tadi Ibrahim bertanya tentang climate issues apabila berita di televisyen menayangkan masalah dunia itu.
"Kalau saya melepak selalu kat sini boleh tak Acik?"
"Apa pulak tak bolehnya. Acik lagi suka. Riuh sikit rumah ni."
"Ismail dengan Ibrahim ada kawan."
Tiba-tiba Ismail menyampuk
"Ye betul tu. Tengok ni dah siap kerja Ibrahim pakcik tolong"
Idris ketawa suka. Memang dia gembira budak kembar berdua ini senang menerimanya.
"Ibrahim dengan Ismail ni nama panggilnya apa?" soal Idris.
Muka kembar berdua kelihatan pelik dengan soalan Idris.
"Memang kami panggil Ibrahim dan Ismail nama penuh. Mak dia memang panggil penuh tak nak ada nama gelar. Kami ikut aje. Nama pun elok"
Acik Enon menolong menjawab bagi pihak kembar berdua.
"Idris panggil apa kat rumah?"
"Macam-macam Acik. Ris, Deris yang menyakat panggil Keris pun ada. Tapi anak buah panggil Pak busu." Idris ketawa bercerita.
"Kalau Ibrahim panggil Pakcik... errmm Pakcik Ayah boleh tak? sebab atok panggil Tok Abah, Tok panggil Mak Tok jadi Pakcik kenalah panggil Pakcik Ayah."
Semua di situ ketawa gelihati dengan ayat Ibrahim. Jadi semua setuju Idris itu kembar berdua memanggilnya Pakcik Ayah.
Menjelang petang barulah Idris beransur pulang. Baru mahu pulang sahaja dia sudah merindukan kembar berdua. Idris fikir dia mesti datang lagi ke rumah Acik Yem. Dia sudah jatuh sayang kepada kembar berdua yang comel dan petah berbual. Idris rasa dia memang patut mencari Husna bersungguh-sungguh. Dia mahu bina keluarga besar dengan Husna. Mahu anak yang ramai dan cerdik seperti Ibrahim dan Ismail.
Share this novel