Bab 22

Drama Series 136190

Malam tadi keluarga Hajjah Hassanah mengadakan bacaan tahlil dan Yassin untuk arwah Ehsan, arwah Haji Hassan, kaum keluarga dan seluruh kaum muslimin dan muslimat yang telah pulang ke negeri abadi.

Pagi ini mereka bersarapan seisi keluarga. Husna segan untuk berada di situ. Wataknya sudah tamat dalam keluarga Ehsan. Tapi layanan yang keluarga Ehsan berikan benar-benar membuktikan mereka datang dari induk yang terbaik.

Selesai bersarapan Hajjah Hassanah raih tangan Husna agar mengikutnya masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik Hajjah Hassanah sudah ada Datin Hasiah yang sedang duduk di atas katil ibunya. Datin Hasiah turun dari katil dan bangun menuju ke kiri bilik mengambil sebuah bangku.

"Ibu duduk atas tilam bu. Selesa sikit tulang punggung Ibu. Semalam banyak sangat Ibu bergerak."
"Na duduk sini". Bangku yang diambil tadi Datin Hasiah letak di tepi katil ibunya. Kemudian Datin Hasiah bangun dan menutup pintu bilik. Di luar masih ramai adik-beradiknya dan anak-anak saudara kecil dan besar. Datin Hasiah kembali ke katil dan duduk di birai katil berhadapan Husna.

"Na rasa macam mana? Masih panas ke? Pening ada lagi tak." soal Datin Hasiah berbunyi perihatin.

"Dah kurang Kak Yong... Ibu." Hakikat sebenarnya Husna masih pening dan badannya rasa melayang. Tapi Husna lawan rasa sakit kerana tidak mahu menyusahkan keluarga Ehsan yang baik ini. Mereka juga dalam kesedihan.

"Boleh Na tolong jangan panggil Ibu lagi." Hajjah Hassanah bersuara.

Berubah air muka Husna. Adakah?...

"Eh! Na jangan salah faham Sayang. Maksud Ibu... sebenarnya macam tak selesa Na panggil Ibu sebab Na patutnya pangkat cucu. Na kena panggil Tok Ibu."

"Ye jangan panggil Kak Yong lagi tau. Segan dengar dek orang. Lepas ni panggil Ummi. Semua budak-budak ni panggil Ummi."

Menitik-nitik air mata Husna dengan pinjaman kasih sayang ini walaupun sementara. Mudah-mudahan ramailah orang baik seperti keluarga Hajjah Hassanah dalam dunia ini supaya dapat direnjis sedikit kepada orang melata seperti Husna.

"Ummi ada salah cakap ke Na. Ummi minta maaf kalau Ummi ada kecikkan hati Na."

"Takkk... Terima kasih sebab baik dengan Na, layan Na macam keluarga."

"Allahuakbar... Na memang keluarga Tok Ibu. Sekarang Na cucu Tok Ibu tau."

Husna terangguk-angguk sayu, bangun dan memeluk Hajjah Hassanah kemudian memeluk pula Datin Hasiah. Mereka sama-sama menangis.

"Nanti Na jangan berhenti kerja tau. Kerja aje kat situ. Tapi kalau Na rasa nak berubah angin Na telefon Ummi. Nanti Ummi carikan kerja lain untuk Na."

"Baik Ummi. Tapi Na rasa memang selesa kerja kat situ nak balik uruskan Tok pun senang dekat je." Balas Husna walaupun jauh di sudut hati adalah sebaliknya. Sebabnya kerana dalam waktu terdekat Aunty Mary akan mengikut Sam berhijrah ke Australia. Bagaimana dia mahu menguruskan Tok tanpa bantuan mereka walaupun rumah Aunty Mary itu berdekatan tempat kerjanya.

"Ye juga kan...
"Sebenarnya ada benda Tok Ibu dan Ummi nak bagi pada Na. Ini amanah Ehsan." Hajjah Hassanah tarik sebuah beg kecil di atas bantal bersebelahan dengannya. Hajjah Hassanah keluarkan sebuah kotak baldu leper berwarna merah.

"Sekarang fahamlah Tok kenapa Ehsan bersungguh-sungguh nak bagi Na masa hari lahir Na bukan untuk buat hantaran. Sepatutnya barang ni masa pilih tu nak buat hantaran nikah. Dia tertinggal barang ni kat Hasiah, bersungguh-sungguh dia mintak si Siah hantar barang ni ke ofis petang kelmarin. Tapi masa Siah datang ofis petang tu Ehsan tak ada, Na pun tak ada. Telefon tak berjawab jadi Siah datang rumah Tok bagi ke sini. Siah ingat kot la Ehsan ada balik sini. Tapi... tak ada la sampai mencari dia ke apartment."

Husna tunduk menahan air mata. Kalaulah Tok Ibu tahu cerita hari Khamis. Adakah Tok masih layan Husna sebaik ini kerana menyedihkan anak bujangnya.

"Dia dah cakap ni hadiah hari lahir Na. Ambil ye Cu." Hajjah Hassanah hulur kepada Husna kotak baldu berwarna merah yang sudah Hajjah Hassanah buka tutupnya. Di dalam kotak satu set barangan kemas. Tebal dan rekabentuk terkini. Seutas rantai berserta loket, sebentuk cincin dengan sekuntum bunga Ros di atasnya, sepasang subang juga dengan bentuk bunga Ros, seutas gelang tangan dengan buah-buah loket bergantungan dan seutas gelang kaki.

"Maaf Tok. Na bukan nak menyombong tapi... Na tak boleh terima barang ni. Hari tu masa cari barang Na dah cakap dengan Abang Ehsan Na tak nak apa-apa. Dah banyak Abang Ehsan berhabis untuk Na dengan Tok Udin."

"Na kena ambil Sayang. Ini dah jadi amanah. Kami berdosa jika tak sampaikan amanah." Datin Hasiah memujuk Husna.

"Yang ni... untuk nikah sepatutnya. Yang ni pun Na ambil ye." Hajjah Hassanah hulur pula kotak baldu berwarna merah juga tapi leper dan panjang. Di dalamnya seutas lagi gelang tangan berbentuk tali sauh yang tebal.

"Tapi Tok Ibu..."

"Jangan gitu Na. Kalau Na tak ambil nanti Tok susah hati selagi barang ada pada Tok. Kalau Na ambil selesai dah tanggungjawab Tok kat Ehsan sebagai Ibu. Nanti InsyaAllah Tok jumpa San kat akhirat sana taklah Tok malu."

Husna hilang kata. Serta-merta teringat Kak Badriah penyewa bilik nombor satu di rumah Aunty Mary. Seorang balu kematian suami yang menyewa bilik dengan tiga anak kecil. Diminta keluar oleh ibu mertua kerana mahu direbut rumah flat yang didiami mereka.

Sekarang ini Husna yang hanya tunangan sahaja dilambak harta peninggalan Ehsan sebegini banyak. Kenapa ibu mertua Kak Badriah tidak sebaik Hajjah Hassanah. Betul kata Mek hidup ini benar-benar ujian.

Kemudian Datin Hasiah keluarkan pula dari almari Hajjah Hassanah segala barang hantaran yang sepatutnya Ehsan serahkan pada majlis nikah. Sepasang baju, sebuah beg tangan, sepasang kasut, minyak wangi, seutas jam tangan berjenama dan set mandian berjenama. Datin Hasiah masukkan segala barangan ke dalam sebuah bagasi beroda. Kata Datin Hasiah supaya senang Husna bawa balik.

"Tok dengan Ummi sebenarnya nak ke Mekah. Ikut perancangan lepas je Na dengan San nikah Tok terus ke sana." jelas Hajjah Hassanah.

"Tapi esok ni pulak Ummi dan Walid kena ke Korea. Walid ada operation lutut dah buat appointment lama dulu. Patutnya ada Ehsan tunggu Tok kat sini tapi sebab San dah tak ada Tok Ibu kena ikut Mak Ngah Azni balik Muar esok. Sebab tu kami serahkan amanah Ehsan sekarang juga pada Na takut dah kemudian hari payah nak jumpa. Tahlil semua kami buat kat Muar aje nanti. Tok nak ajak Na tapi mesti Tok Udin tak selesa pulak kat rumah orang lama-lama."

Husna setuju tentang itu. Sekarang Tok Udin mahu di ajak ke hospital juga sudah pandai mengelat tidak mahu. Dia hanya mahu duduk di biliknya sahaja.

Keadaan jeda seketika. Hajjah Hassanah dan Datin Hasiah saling berpandangan bagai ada perkara masih belum sepenuhnya selesai dengan Husna.

"Maaf Tok bertanya ye Na..."

"Ye Tok. Tak pe Tok tanya aje, kalau berkenaan urusan Abang Ehsan yang Na boleh tolong... InsyaAllah Na tolong Tok."

"Ehsan ada berhubungan lebih tak dengan Na" serba payah Hajjah Hassanah menyusun kata bimbang menyinggung hati anak gadis di hadapannya. Husna terkebil-kebil matanya cuba memaham soalan Hajjah Hassanah.

"Maksud Tok tu... Ehsan ada buat hubungan suami isteri tak dengan Na. Kami harap sangat Na jawab dengan jujur." Datin Hasiah segera menolong ibunya yang kelihatan amat payah mencari perkataan paling sesuai.

"Tak ada. Abang Ehsan baik, dia hormat Na." Husna jawab malu-malu merona merah pipinya. Kecuali cerita di dalam bilik stor ketika Ehsan tertangkap bermesra dengan Sheila. Tapi Ehsan sekadar mencium pipinya sahaja.

"Kalau betul Alhamdulillah. Kami cuma risau mana tahu arwah sudah berhubungan lebih dengan Na kemudian dia dah tak ada ni kami tak boleh la lepas tangan sahaja. Tapi dah Na cakap tak ada kami bersyukur sangat."

"Kami cadang mana harta yang Ehsan ada, kami nak wakafkan supaya dapat membantu dia di alam sana mudah-mudahannya. Lagipun Ehsan tak ada waris kan." sambung Datin Hasiah.

Husna sekadar mengangguk setuju. Sepuluh sen pun dia tiada kaitan dengan harta Ehsan. Barang yang Ehsan tinggalkan untuknya ini juga sudah merungsingkan hatinya.

****************

Husna dihantar pulang oleh pemandu Datin Hasiah tengah hari itu selepas makan. Datang sehelai sepinggang pulang membawa sebagasi penuh barang. Terbit rasa malu di tangkai hatinya.

"Na Sayang. You come back already." Aunty Mary menyapa ketibaan Husna dengan suara lembutnya.
"You okay Sayang. My condolences on the loss of your fiance Sayang."

"Thank you Aunty" sambil menangis Husna masuk ke dalam pelukan Aunty Mary. Terasa sangat selamat. Husna lepas pelukan apabila terasa badan Aunty Mary bergetaran menangis.

"Na mintak maaf susahkan Aunty dan Sam kena tolong jaga Tok"

"That's okay. I'm glad I can help you. Demam Na dah baik?" soal Aunty Mary masih lagi teresak-esak menangis.

"Ye Aunty. I'm good." Husna berbohong. Sebenarnya kepala Husna sangat sakit dan badannya rasa sangat lemah.
"Is something bad happened Aunty" Soal Husna pula apabila melihatkan Aunty Mary tidak berhenti menangis dan wajahnya kelihatan sangat kusut. Nak kata ada sesuatu yang buruk berlaku pada Tok, dari pintu bilik yang terbuka Husna nampak Sam sedang menolong Tok Udin minum secawan air. Sam tertoleh-toleh juga kepada Husna dengan wajah serba salah.

"You must be tired. Take a rest first and later we can have a chit chat." dari nada suara itu Husna tahu Aunty Mary cuba berdalih.

Husna cuba bersetuju dengan mengangguk walaupun hatinya berasa sangat tidak enak. Dia kenal Aunty Mary yang sentiasa tenang dan lemah-lembut. Tidak mungkin kerana kematian Ehsan Aunty Mary sesedih yang tidak terkawal ini.

"Na terlupa nak bawa handphone semalam."

"Oh!..." itu sahaja yang di jawab Aunty Mary. Sam keluar dari bilik Husna membawa sebiji cawan memandang Husna dengan senyum canggung. Husna tahu Sam memang pendiam tapi sekarang ini cara Aunty Mary dan Sam benar-benar pelik.

"Na masuk dulu ye Aunty. Na nak telefon Mek."

Aunty Mary terduduk di bangku meja makan sambil menangis mengongoi-ngongoi. Sam datang memeluk ibunya, cuba untuk menenangkan ibunya. Dari dalam bilik Husna pula Tok Udin juga menangis teresak-esak.

Kenapa ni?

Husna pegang kuat jenang pintu yang terbuka. Ya! pasti ada sesuatu yang sangat buruk terjadi.

Aunty Mary bangun mendapatkan Husna yang sudah dapat mengesan ada sesuatu yang buruk sudah berlaku. Aunty Mary peluk Husna seeratnya dan menangis teresak-esak di bahu Husna. Dia benar-benar rasa sangat tidak berguna kerana tidak kuat untuk mengawal perasaannya sendiri supaya dapat membawa berita buruk itu dengan tenang kepada Husna.

"Na Sayang... Mek dah tak ada!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience