Idris buka mata yang masih kelat mengantuk. Tapi terpaksa menutup semula dan mengerut muka apabila rasa sakit yang tajam tiba-tiba tertumpu di satu tempat di tengkuknya. Idris paut tengkuk dengan sebelah tangan, terasa satu bengkak yang agak besar di situ.
Idris paut tebing katil. Bangunkan badan dan duduk berlunjur kaki. Kenapa dia tidur di atas lantai di tepi katil siap berbantal dan berselimut? Idris raup muka dua tiga kali cuba mengingat cerita malam tadi. Gagal. Pukul berapa sekarang?
Telefon di atas meja kecil di tepi katil di belakangnya berbunyi. Sakit di kepala Idris menyucuk semakin tajam dengan bunyi yang nyaring itu. Idris capai cepat-cepat.
"Assalamualaikum! kenapa tak sampai lagi? Hari ni Boss cakap ada mesyuarat penting pukul sembilan. Nanti lambat nak bancuh air nak sedia bilik meeting. Kang si vouge tu bising..."
"Pukul berapa sekarang?" tidak menunggu Kak Jun habis bercakap Idris soal cepat-cepat.
"Eh! Boss ke? Maaf Boss saya tersalah tekan. Saya nak telefon Husna."
"Pukul berapa sekarang?" Idris yang terpejam mata menyoal sekali lagi sambil mengurut tengkuknya yang sakit.
"Lagi setengah jam pukul sembilan Boss."
Untuk seketika Idris terdiam. Kenapa dia langsung tidak mendengar bunyi alarm telefonnya dan kenapa si comel itu tidak mengejutnya bangun subuh seperti selalu. Idris duduk bersila tegakkan badan. Idris tersentak. Mana Husna? Dia menunggu Husna tidak pulang-pulang ke rumah malam tadi. Allahuakbar! Mana Husna?!
"Boss!"
Lamunan Idris mati apabila terdengar suara Kak Jun di sebelah sana telefon.
"Kak Jun cakap semua... meeting postponed! Okay bye!"
Idris segera matikan panggilan. Idris letak semula telefon di atas meja kecil di belakangnya kemudian berkuat pada tebing katil untuk membantunya berdiri. Cepat-cepat Idris keluar bilik.
"Na..."
"Na!"
"Na Sayang!"
Dapur kosong. Tiada tanda-tanda ada aktiviti di situ. Cahaya matahari terang menyuluh tingkap kaca. Atas meja kecil di ruang dapur juga tiada hidangan sarapan pagi seperti selalu, yang ada hanya... telefonnya!?
Kenapa telefon dia berada di sini? sebentar tadi dia bercakap dengan Kak Jun guna telefon siapa?
Idris masuk kembali ke dalam bilik dan duduk di birai katil. Idris capai telefon di atas meja kecil. Ini telefon Husna. Husna sudah pulang malam tadi? Idris pandang pada jam digital di atas meja. 8:45 am. Bukan itu yang Idris mahu lihat, tapi sehelai kertas yang jam digital tindih. Idris tarik kertas separuh saiz A4 itu.
'Tuan,
saya minta maaf. saya tak sengaja. saya sayangkan Tuan. tapi Tuan garang sangat. saya sentiasa takut dengan Tuan. tolong maafkan saya. halalkan makan minum saya. terima kasih sebab jaga saya masa sakit. bagi saya tumpang tinggal rumah tuan. saya ambik duit rm100 Tuan ni. pinjam dulu. InsyaAllah satu hari nanti saya ganti semula.
Na.'
Allahuakbar!
Semerta Idris teringat cerita malam tadi. Allah! Allah! apa dia sudah lakukan. Mesti Husna sangat takut dan panik. Api cemburunya menyebabkan dia berkasar dengan Husna yang sudah pasti ketakutan dengan cerita semalam. Sedangkan apa yang berlaku bukan salah Husna.
Idris ramas rambutnya kuat-kuat kemudian mengusalnya pula kasar. Sakit hati dengan diri sendiri yang hilang sabar tidak bertempat. Sedangkan dia tahu sejak Husna baik sakit kerana kehilangan arwah Ahmad isterinya itu sangat sensitif, mudah ketakutan dan semakin hilang keyakinan diri.
Allah!
Na ke mana sayang!?
******************
Idris menyusur sepanjang jalan yang biasa Husna lalu untuk pergi dan balik kerja. Isterinya yang manis itu kesukaan pekedai-pekedai di sepanjang laluan kerana suka tersenyum dan menyapa uncle, auntie tidak kira bangsa. Di dalam beg Husna juga pasti ada sepeket kecil makanan kucing untuk bersedekah kepada kucing jalanan, jadi Idris bertanya kepada mereka jika ada ternampak Husna. Semuanya meminta maaf kepada Idris kerana tidak dapat membantu.
Idris patah balik semula dan tukar laluan ke kedai atau mini market kebiasaan Husna berbelanja dan hasilnya juga sama tiada siapa nampak Husna.
Idris tuju pula ke masjid tempat Husna mengikut Ustazah Radiah mengajar mengaji.
"Eh! Encik Idris apa khabar?"
"Baik."
"Awalnya nak tunggu Zuhur? Nak solat dhuha ke? masuklah" Seorang wanita pertengahan umur menyapa Idris. Di belakangnya ada seorang lelaki yang Idris tahu suami kepada wanita ini dan siak di masjid ini.
Idris serba salah mahu bertanya nanti mereka membaca pula kisah rumahtangganya.
"Subuh tadi Husna datang sorang dia kata Encik Idris ada kerja luar urgent awal pagi, sebab itu tak dapat subuh di masjid. Ni... baru habis kerja ke?"
Tegak telinga Idris mendengar cerita isteri abang siak masjid.
"Ermm ye Kak... saya kerja luar."
"Ooo... tu yang Husna cerita, sebab Encik Idris nak out station tu yang dia nak balik kampung ye? Besar beg diheretnya subuh tadi."
Allah! Allah! Idris tidak sempat memeriksa rumah sebelum keluar pagi tadi. Mandi pun macam kerbau, solat subuh qada dan terus keluar rumah mencari Husna sepanjang pagi. Betul ke Husna bawa beg besar?
"Jauh kampung ye Encik Idris. Kelantan sana."
Idris rasa badannya sudah seram sejuk bagai mahu demam kura-kura.
"Ye..ye Kak."
"Eh! kami jalan dulu ye Encik Idris, nak ambil anak yang tadika tu balik sekolah."
"Ba..baik Kak, bang."
Idris berjabat tangan yang di hulur abang siak masjid sambil tersenyum canggung. Macam mana ni? Kuala Lumpur ini hanya bahagian ini sahaja yang Husna tahu jalan. Boleh ke isterinya itu menuju ke Kelantan? Idris rasa jantungnya berdenyut ngilu.
***************
Idris duduk menyandar di bangku kerjanya. Menyilang jarinya tangan kiri dan kanan. Sudah seminggu Husna menghilangkan diri. Idris mati akal untuk mencari Husna. Dia sudah ke Terminal Bersepadu Selatan bertanya kepada semua kaunter tiket yang berada di situ pada hari isteri abang siak masjid kata Husna mahu pulang ke kampung di Kelantan, jika mereka di kaunter tiket ada terlihat Husna membeli tiket ke mana-mana destinasi, namun jawapannya hampa.
"Boss... kopi susu."
Kak Jun letak secawan kopi di atas meja kerja. Kak Jun boleh rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan majikannya ini. Dia ingat lagi pagi itu, dia sememangnya tidak tersalah dail. Sekarang pula Husna sudah seminggu tidak datang kerja dan majikannya sentiasa terlihat murung.
Tapi Kak Jun tidak berani bertanya atau bercerita kepada sesiapa kerana majikannya ini sangat baik dan bertimbang rasa. Husna pula budak baik yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Idris sekadar merenung cawan kopi. Dia hilang nafsu makan dan minum. Sepanjang kehilangan Husna dia berpuasa, dia tiada nafsu mahu makan dan minum mengenangkan Husna di luar sana entahkan sudah menjamah makanan atau belum.
Baru hari ini dia tidak berpuasa kerana kepalanya sangat sakit pagi tadi. Mana Na Sayang? hanya itu dalam fikirannya.
"Boss..."
Idris angkat kepala yang menunduk kemudian memandang Kak Jun yang merenungnya dengan simpati dan perihatin.
"Ce guna P.I Boss?"
"Ha?"
"Guna private investigator... cari orang hilang."
Idris renung muka Kak Jun. Rasanya Kak Jun sudah dapat meneka masalahnya kerana dia tersalah jawab telefon Husna, dirinya yang kusut sekarang ini dan Husna yang tidak datang kerja sejak seminggu lalu.
"Thanks Kak Jun. InsyaAllah nanti. Tolong jangan cerita sesiapa ye."
"Baik Boss. Akak keluar dulu ye."
"Baik."
Idris pandang visa untuk Husna berhijrah ke London yang telah siap disediakan. Matanya panas serasa mahu menangis. Mana Na Sayang? Dia sudah kesuntukan masa. Projek hotel mesra Muslim itu sudah hampir bermula. Syeikh Hussein juga sudah beberapa kali menghubungi Idris.
Minggu depan sepatutnya tarikh untuk dia dan Husna terbang ke kota London tapi satu persiapan pun tidak dilakukan lagi. Kalau dia pergi juga bagaimana dengan Husna?
Kepalanya bertambah pening memikirkan keselamatan isterinya. Isterinya yang baru pulih dari kemurungan. Isterinya yang tidak tahu jalan. Isterinya yang tiada duit di tangan... kenapa Husna hanya ambil satu ikat duit rm100 itu? hanya berjumlah sepuluh ribu ringgit.
Cukupkah untuk belanja Husna di luar sana. Bagaimana kalau lama lagi baru dia temui Husna dan duit di tangannya sudah kehabisan? akan pulangkah Husna ke rumah jika dia kekurangan duit? Bagaimana jika Husna pulang dia tiada di rumah dan masih di London?
Allah! Allah! sakitnya kepala Idris.
Tiada kata-kata dapat dikarang untuk mengambarkan betapa ralatnya hati Idris kerana terlalu mengikut rasa hati yang cemburu.
Sejak Husna masuk kerja kembali selalu dia marahkan isterinya itu jika Onn atau kakitangan lelaki yang lain mengusik atau bergurau dengan Husna. Sedangkan dialah suami yang dayus tidak mewar-war berita pernikahan hingga isteri yang menjadi tanggungjawabnya itu pula dipaksa menjaga diri dari gangguan lelaki lain.
Terngiang-ngiang kata-kata kasar dan kerasnya menengking-nengking Husna. Isterinya itu pula hanya tertunduk takut. Jahatnya dia!
Ye dia jahat. Husna itu baru mahu pulih perasaannya. Dia sendiri lihat ketika Husna sakit yang sentiasa dalam ketakutan dan Idris tahu walau Husna nampak seperti sudah pulih tapi jiwanya sangat sensitif.
Allahuakbar!
Ampunkan aku Ya Allah!
Maafkan Abang Sayang!
Share this novel