Husna duduk tercongok seorang diri di dalam bilik. Nun jauh entah di bahagian mana bandaraya Kuala Lumpur dapat dia dengar bunyi mercun berdentam-dentum. Husna agak pasti daripada arah apartment-apartment atau mungkin juga Kampung Baru.
Surau dan masjid berdekatan sudah bertakbir hari raya. Mendayu-dayu memuji nama Ilahi.
Husna berseorangan. Kosong sekosong kosongnya perasaan yang ada dalam dunia ini rasanya milik dirinya seorang. Sedih!
Ada juga terbit rasa di hati mahu memasak juadah raya. Tapi di dapurnya tiada yang boleh di tenggek di atas api. Husna cuma ada beras dan garam. Alhamdulillah!
Tadi Husna tidak ke surau berdekatan lagi untuk solat Maghrib. Husna takut nanti dia sedih kerana sudah tidak ada solat Terawih yang ada hanya takbir raya. Hatinya sayu dan dia takut dia menangis di surau kerana takbir yang berkumandang. Jadi Husna sekadar masak bubur nasi untuk berbuka puasa di Ramadan terakhir tahun ini. Alhamdulillah!.
Esok subuhnya di hari raya pertama juga begitu. Husna bangun awal. Sebelum Subuh Husna sudah bangun mandi, solat tahajud, solat sunat dua rakaat sebelum subuh, mengaji sebentar hadiah untuk Mak, Mek, Tok dan Ehsan. Tidak lupa juga buat ayahnya yang Husna tidak kenal dan tidak pernah diberitahu namanya. Teringat arwah Tok Udin yang beramaran melarang semua orang untuk bercerita kepada Husna tentang ayahnya.
Husna tanak lagi bubur nasi sebagai juadahnya di hari raya. Husna sarung juga kurung baru pemberian Encik Onn. Bak kata orang Pantai Timur. 'Ambo nak kan suasano jah'. Husna tersenyum seorang mengenang nasib diri.
Masa betul-betul mendengki Husna. Bergerak amat perlahan seolah mengejek Husna kerana tiada sesiapa pedulikannya. Sedih!
*****************
9:00 pm
Husna tutup semua lampu. Hanya tinggalkan lampu di hadapan pintu utama dan lampu di hadapan bilik air.
Husna fikir lebih baik dia tidur awal malam ini. Cadang Husna dia mahu keluar ke mana-mana pusat membeli belah pada esok hari. Bukan untuk ber'shopping'. Sekadar memujuk hati dengan berjalan-jalan. Atau mungkin boleh membeli ais krim berharga rm1.50 yang digemarinya itu.
Keluar dari bilik air mahu masuk ke biliknya yang terletak di bahagian dapur rumah, Husna sekali lagi ke pintu utama bagi memastikan semuanya berkunci dan dalam keadaan selamat.
Satu masalah rumah yang disewakan bilik-bilikya ini ialah tiada selak pintu. Tiada juga meja kecil yang boleh Husna buat sendal. Meja makan di dapur terlalu besar dan berat. Ruang di hadapan pintu utama sempit sahaja. Kerusi makan di dapur semuanya jenis plastik.
Okay! sudah berkunci. Husna lepaskan pintu dan menuju ke biliknya.
Kuala Lumpur lengang kerana warganya ramai keluar dari pusat bandar. Lagipula kawasan ini lorong gelap kehidupan kota. Husna rasa bangunan tempat tinggalnya semacam sahaja sunyinya. Hanya sekali dua terdengar bunyi kenderaan daripada jalan di bawah.
Bila sudah sunyi begitu Husna gagal melelapkan matanya. Macam-macam perkara menakutkan menerjah masuk ke fikirannya. Bagaimana jika berlaku kebakaran, bagaimana jika ada pencuri yang buat kerja lebih masa ketika semua orang bercuti dan bagaimana... jika ada Rock mengumpil pintu untuk berbuat tidak baik kepadanya!
Takutnya!
Berdiri seluruh roma Husna. Dia takut yang amat. Semalam keadaan lebih riuh. Hari ini suasana dirasakan memang lebih sunyi. Pintu hadapan rumah Uncle Wong juga kosong. Semua penyewanya juga pulang ke kampung dan pergi bercuti.
Sabar Husna. Mainan perasaan sahaja. Sekejap lagi tiba-tiba sudah Subuh dan mengantuk untuk bangun solat. Husna memujuk hatinya yang rawan.
******************
"Abang Ris. Jomlah."
"Along main je lah."
"Abang Ris tolonglah sini. Boi takutlah nak pegang."
Allah! Si kenit ni pulak. Idris sebenarnya malas mahu turut serta dengan anak-anak Acu Hasry bermain bunga api.
Duduk di apartment tapi mahu main bunga api. Sudahnya bermain di balkoni rumah. Idris risau di marah Pengurusan Apartment sahaja nanti. Sebenarnya apartment Acu Hasry ini tidak jauh mana dari apartment Bong yang dia tinggal sekarang kerana itu dia menumpang beraya di sini.
Ye. Idris di sini di rumah Acu Hasry menumpang berhari raya bersama keluarga bapa saudaranya. Acu Hairy kembar kepada Acu Hasry suami isteri dapat giliran bercuti raya pada tahun ini. Jadi mereka sekeluarga sudah pulang ke Muar, Johor pada Ramadan terakhir semalam.
Isteri kepada Acu Hairy orang Segamat, Johor jadi berbaloi untuk mereka sekeluarga pulang berhari raya di kampung.
Idris malas pulang ke Muar kerana tiada Tok Ibu di kampung. Ummi, Walid, Tok Ibu, PakUda Jalil dan Mak Uda Hasidah berhari raya di Mekah pada tahun ini.
Abang Idris nombor dua yang bernama Idrus, sekeluarga berhari raya di rumah mertuanya di Kuantan Pahang. Kakak Sulungnya tidak pulang ke Malaysia lagipun keluarga yang sekarang beraya di Mekah akan ke Moscow Rusia selepas seminggu hari raya.
"Mana? Nak Abang Ris buat apa. Boi cucuh je la kat lilin tu."
"Macam ni ke?"
"Ye, Betul! Pandai pun."
Anak nombor dua Acu Hasry yang di panggil Boi dalam keluarga senyum senang apabila dipuji Idris. Lebih gembira bila melihat bunga api yang terpercik-percik cantik di tangkainya.
****************
Akhirnya Husna tertidur juga.
Malangnya baru Husna mahu terlalai ke alam mimpi telinganya bagai terdengar sesuatu. Terus tegak Husna duduk di birai katil bujangnya.
Husna rasa bagai tidak mahu bernafas bagi memastikan apa yang di dengarinya. Telinganya menangkap bunyi pergerakan di luar biliknya. Ye, lebih tepat bunyi itu bagai di hadapan biliknya sahaja.
Husna bangun menuju pintu bagi memastikan telah di tekan kunci tombolnya dan sudah di selak dengan betul. Husna capai telefon di atas tilam. Husna scroll mencari nombor telefon yang boleh Husna panggil untuk meminta bantuan.
Siapa? siapa? Husna scroll ke atas dan ke bawah dan kemudian ke atas semula. Semua yang ada dalam simpanannya Husna tahu sudah pulang ke kampung. Lagipun tidak banyak nama dalam simpanannya.
Ya Allah! macam mana ni. Romanya sudah tegak berdiri mendengar bunyi di luar bilik.
Ada satu nombor yang kerap naik dalam panggilan masuk kebelakangan ini. Tapi nombor ini milik Idris majikannya yang kerap menefonnya sebelum ini untuk urusan borang dan temuduga nikah. Apabila selesai urusan tersebut Idris tidak lagi ada menghubunginya.
Bolehkah Husna menelefon lelaki itu meminta bantuan? Di mana lelaki itu berada sekarang ini? Pulang ke kampung jugakah?.
Husna tidak peduli. Cepat-cepat Husna tekan nombor Idris.
Tut Tut
Tut Tut
Husna tunggu panggilan bersambut
'Hello...saya ada urusan. Sila tinggalkan pesanan selepas bunyi beep'
Beepp
"Tuan! tuan! tolong saya. Ada orang masuk rumah saya. Saya takut..."
Masuk peti simpanan! Husna sudah tergigil-gigil menangis ketakutan.
Besama juraian air mata Husna dail nombor 999. Bunyi sudah beralih ke tombol pintunya. Sah! memang ada seseorang di luar sana yang berniat tidak baik kepadanya.
****************
Idris berjaya juga masuk ke dalam rumah setelah dua orang sepupu kecilnya itu terpujuk untuk bermain pula pada esok malam.
Idris terus masuk ke dalam bilik yang disediakan untuknya. Kebetulan telefon bimbitnya menyala dan panggilan baru sahaja terputus.
Idris dengar suara yang masuk dalam peti simpanan untuk mengetahui sepenting bagaimana panggilan yang diterima.
Allah!
Allahuakbar!
***************
Ketika Idris sampai di bawah bangunan kediaman Husna sudah ada sebuah kereta peronda polis dengan lampu kecemasan yang menyala. Idris rasa semput melihatnya. Buru-buru Idris keluar daripada kereta dan berkejar ke pintu utama di tingkat bawah.
"Kenapa ni Encik?"
"Kami dapat panggilan kecemasan. Ada orang pecah masuk rumah di tingkat lima. Encik ni siapa?"
"Saya dapat panggilan dari tunang saya. Ada orang cuba masuk bilik dia. Saya dah cuba call dia semula tapi panggilan engaged."
"Pintu grill bawah ni berkunci. Kejap kami potong locknya."
Seorang pegawai polis membawa cutter untuk membuka pintu grill yang berkunci. Sebentar kemudian pintu berjaya di buka.
Dua orang anggota polis peronda segera memanjat tangga diikuti oleh Idris.
Tiba di tingkat lima pintu utama juga berkunci. Seolah-olah tiada tanda pecah masuk. Idris merasa pelik. Husna ni betul ke? atau dia cuba memerangkapnya kerana tahu Idris mahu membalas dendam. Hatinya sudah mula mahu marah. Tapi kemudian dia terfikir kalau mahu memerangkapnya kenapa menelefon polis. Hati Idris jadi libang libu kebimbangan.
Pintu utama di tingkat lima juga berjaya polis pecahkan. Ke dua anggota polis masuk dahulu berhati-hati. Kemudian di ikuti Idris. Hanya lampu di hadapan pintu menyala. Kemudian masuk ke dalam lagi mereka nampak lampu di bahagian dapur di hadapan pintu bilik air juga menyala.
Kemudian mereka terdengar bunyi kuat di bahagian balkoni dapur. Ke dua anggota polis segera berkejar ke balkoni.
Idris di ruang dapur melihat satu pintu bilik yang tidak tertutup rapat. Idris tolak perlahan dan berhati-hati pintu yang telah rosak tombolnya dan pecah sebahagian papan pintu. Selak pintu telah tercabut dan bersepah di atas lantai. Husna terbaring tidak sedarkan diri di atas katil bujang. Baju tidurnya sudah koyak rabak dan seluar panjang yang dipakainya sudah terlondeh separuh seperti ditarik paksa dari bawah. Nasib baik seluar kecilnya dalam kedudukan yang betul walau sedikit senget.
Idris segera mendekati Husna. Meletakkan jari di nadi bahagian leher. Alhamdulillah, masih bernyawa. Husna yang putih melepak sudah merah merah di bahagian leher dan tulang dada kemungkinan akibat di cekik dan di tekan dengan kuat. Sekejap lagi mesti lebam. Syukur, walaupun bajunya sudah koyak rabak tapi coli Husna masih menutup dadanya. Dahi Husna benjol dan bibirnya luka. Kemungkinan besar akibat di tumbuk atau di tampar dengan kuat.
Idris betulkan kedudukan seluar Husna yang terlondeh kemudian mencapai selimut di bawah kaki Husna dan menyelimut tubuh terdedah gadis itu. Idris pergi ke almari pakaian dan mengambil sehelai t-shirt. Idris alih selimut, membuka baju yang koyak kemudian memakaikan baju t-shirt yang baru di ambil.
"Encik! macam mana? Dia okay?"
Idris tersentak apabila di sapa seorang anggota polis wanita yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik Husna.
"Dia pengsan. Baju dia koyak saya sudah ganti baju lain. Saya nak bawa dia ke hospital sekarang."
"Baik. Anggota kami yang kejar suspek dah dapat tangkap dia dekat blok bangunan belakang. Kita bawa dulu tunang Encik ke hospital. Nanti ada anggota kami akan datang ambil keterangan."
Idris sekadar mengangguk. Idris angkat Husna yang pengsan tidak sedarkan diri. Ya Allah! berapa berat budak ni. Ringannya!
Share this novel