Bab 52

Drama Series 136190

Akhirnya Idris terpaksa juga menaiki penerbangan ke kota London tanpa Husna. Perasaannya usah ditanya. Sesal yang bukan sedikit. Selepas kehilangan Husna dia bertangguh dengan Syeikh Hussein sehingga sebulan dari tarikh sepatutnya.

Idris tidak berputus asa mencari kesayangannya itu. Hatinya bercampur baur risau, rindu, marah bergumpal menjadi ketakutan sehingga terasa menjerut urat perutnya. Akhirnya dia terpaksa mengalah dengan masa, janji dan tanggungjawab.

Rasa bersalah yang menjerut membuatkan Idris menjalani harinya tanpa perasaan. Masa bekerja Idris kuburkan dirinya dengan kerjanya. Dia takut dengan waktu senggang nanti dia akan teringatkan Husna. Selera makan hilang, mahu menjamah makanan juga jadi menakutkan. Idris rasa bersalah untuk menyuap makanan. Dia di serang gastrik yang teruk sehingga terpaksa di masukan ke hospital.

Tuhan marahkan dirinya. Dia pernah diuji sekali dan dia tidak belajar daripada kesilapan yang lalu. Dia sudah tahu ketakutan apabila kehilangan kesayangannya itu tapi masih tidak belajar untuk menjaga perasaan Husna supaya mempercayai kehadirannya dalam hidup isteri itu.

Dia yang salah. Sepatutnya dia tunjukkan apa yang dirasa dalam hatinya. Rasa yang ikhlas itu bukan untuk dia sahaja yang tahu. Dia gagal meyakinkan Husna dia bersungguh-sungguh menghargai kehadiran Husna sebagai isterinya.

*****************

Idris ambil pakai saranan Kak Jun. Kerana dia tahu dia tidak mampu berada di dua tempat dalam satu masa. Dia mengupah seorang penyiasat persendirian untuk mencari keberadaan Husna. Meminta penyiasat itu sentiasa melaporkan kepadanya setiap minggu hasil siasatan namun masih hampa.

Penyiasat persendirian yang Idris upah sudah ke Kelantan mencari di hampir seluruh ceruk negeri. Haji Mokhtar dan Hajjah Habibah Ibubapa kepada arwah Sabariah Ibu angkat Husna juga tidak pernah menerima kunjungan Husna.

Mereka tidak pernah lagi bertemu Husna setelah berpisah kerana mengikut arwah anaknya berpindah ke Labuan Sabah dahulu. Mereka tahu keterbatasan gadis itu untuk mencari mereka kerana Husna di didik arwah Salina dan arwah Sabariah bukan jenis lepas bebas pandai ke mana-mana bersendirian tanpa teman.

Mana Husna Sayang. Tolonglah balik pada Abang. Menyesalnya Abang. Idris merintih dalam hati.

****************

Masa berjalan begitu pantas diam tak diam tahun sudah berganti tahun. Husna hilang tanpa jejak.

Idris bingung. Ke mana jauh Husna boleh pergi dan bertahan dengan tunai sepuluh ribu itu. Duit yang Idris masukan ke dalam akaun Husna setiap bulan juga tidak berusik. Akaun itu yang sebelumnya digunakan untuk kemasukan gaji Husna, sebelum cerita Idris membayar tunai ditangan. Tiada langsung transaksi keluar, hanya transaksi masuk melalui Idris sahaja.

Idris beli rumah Bong yang pernah dia diami bersama Husna kemudian Idris tukar rumah itu kepada nama Husna. Idris minta Encik Salim uruskan segalanya jika dia di ambil Tuhan pulang sebelum dapat bertemu Husna dia minta Encik Salim beritahu Husna tentang aset itu. Idris sediakan juga sejumlah hibah untuk Husna. Duit Bong itu Idris sedekahkan kepada beberapa rumah kebajikan yang memerlukan supaya dapat manfaat kepada Bong di alam sana.

Makankah Husna? Berbumbungkah teduhan Husna? Bertilamkah tidur malam Isterinya itu? Dalam setiap doanya tidak pernah tertinggal Idris memohon Allah letakkan Husna di bawah perlindungan yang Esa setiap saat, semoga Husna sentiasa sihat walafiat, gembira dan baik-baik sahaja.

***************

Cuaca sangat cerah, tidak terlalu panas dan tidak pula mendung. Dia baru pulang dari Kota London sejak sebulan yang lalu. Perniagaannya di luar negara iaitu syarikat perancang majlis, pengedar makanan sejuk beku halal seluruh Eropah dan hotel mesra Muslim Alhamdulillah, benar-benar berada di aras kejayaan. Dan dia sudah boleh senang hati untuk memantau sahaja perniagaan itu di bawah kakitangan yang dipercayai.

Idris melangkah keluar daripada sebuah rumah kebajikan di Kuala Lumpur. Hari ini 16hb Januari hari lahir Husna. Idris raikan dengan menderma kepada rumah anak yatim dan asnaf yang baru sahaja dia pergi.

Begitulah saban tahun cara Idris meraikan ulang tahun Husna. Menderma atas nama Husna, dirinya, kedua ibubapanya, arwah ibubapa mertuanya yang tidak pernah dia kenal, Bong, ibu angkat yang Husna sayang, seluruh ahli keluarganya dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Ini tahun ke lima Idris kehilangan Husna. Tanpa Idris sedar dia sudah menjalani hidupnya dengan penyesalan selama lima tahun. Husna seharusnya meraikan hari lahirnya yang ke 21 bersama Idris hari ini. Lima tahun yang menyakitkan!

Tahun ini dia sendiri sahaja akan berusia 31 tahun. Ummi sudah bising tentang jodoh. Mahu dicerita kepada Ummi tentang Husna dia tiada keberanian. Jika dia bercerita hanya akan menyakitkan Ummi. Hanya akan membuat Ummi risau dan takutkan kebajikan Husna yang entah apa khabar di luar sana berseorangan tanpa waris.
Dia mungkin hebat dalam menguruskan kewangan dan perniagaan tapi dia lelaki yang gagal dalam soal hati dan perasaan. Gagal menunjukkan kepada kesayangannya rasa hatinya. Gagal membuatkan kesayangannya rasa disayangi. Gagal membuat seorang isteri yang terbaik merasa selamat dalam rumahtangga yang dibinanya.

Benarlah tentang kehidupan ini. Tiada siapa yang sempurna. Jika lebih dalam suatu perkara pasti ada kekurangan dalam perkara yang lain.

****************

"Ummi risaulah Ris ni..."

Idris yang berbaring terus duduk tegak di sofa apabila Ummi datang ke ruang tamu menatang sebiji dulang dengan dua biji cawan di atasnya.

"Kenapa Mi?"

"Ris sekarang tak banyak bunyi, kurang ceria... dulu Ris tak macam ni." Hajjah Hasiah meluahkan kebimbangan yang di rasa dalam hatinya.

"Dulu suka menyakat, suka bergurau... sekarang kalau ramai-ramai Ris cuma suka dengar je orang bercakap. Paling baik pun senyum dengar lawak orang. Dulu Ris yang suka melawak."

"Ye ke Mi?"

"Tak kan lah Ummi tak kenal anak sendiri. Perangai sorang-sorang macam mana? Ris ada masalah apa?"

"Tak adalah Mi. Ris okay je."

"Ris kecewa bercinta ke?"

"Eh, Ummi ni ke situ pulak" Idris gosok tengkuk.

"Nak Ummi carikan ke? Dulu kata umur 30 baru nak kahwin Ummi yang carikan. Ni sekarang dah 31. Dah boleh Ummi buat kerja Ummi?"

"Aduh... relaxlah Mi".

"Ris straight kan!? duduk luar negara lama sangat ada buat yang bukan-bukan ke!?" tegas dan kuat suara Datin Hasiah menyergah Idris.

"Astaghfirullah hal 'azim! Ummi... apa ke situ pulak ni?"

"Ummi risau benda yang betul! orang lelaki sihat, handsome, segak macam kamu bolehkan tak ada rasa nak kahwin, girlfriend pun tak ada, mahunya Ummi tak risau?!. Contoh banyak sekarang ni!"

"Ummi... dulu kecik-kecik Ummi cakap tak elok bersumpah, tapi Wallahi Mi.. Ris lurus, tegak tak serong tak songsang."

"Kalau macam tu kahwinlah!"

"Ye Mi... InsyaAllah Ris kahwin. Bagi Ris relax, chil chill dulu, rehat puas-puas baru kita bincang. Penat Mi empat lima tahun ni."

Untuk hari ini Idris selamat dapat menenangkan Datin Hasiah. Esok-esok dia yakin Datin Hasiah akan menyerangnya dengan soalan yang sama.

Husna Sayang... baliklah Sayang!

****************

Idris beli sebuah apartment mewah di tengah ibu kota. Idris suka duduk apartment kerana kemudahan yang lengkap dan lebih privacy. Jika ada yang mahu bertandang suka atau tidak harus memberitahu dahulu. Lagipun kemudahan semua lengkap terutama gimnasium. Sudah beberapa aset hartanah yang dibelinya sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar di negeri yang lain. Kemudian Idris sewakan atau jadikan homestay yang menjana pulangan.

Sekarang Idris sangat berminat dengan perniagaan hartanah. Harga tanah di mana-mana tempat di dalam dan luar negara yang saban tahun semakin meningkat membuatkan Idris berfikir untuk melebarkan perniagaannya dalam bidang hartanah pula.

Dia mendapat beberapa tawaran dengan harga yang cantik untuk mengambil alih syarikat hartanah dan sedang mempertimbangkannya. Idris sedang berfikir lokasi perniagaan yang sesuai. Tengah minggu ini dia akan ke Pulau Pinang untuk satu perbincangan harga pembelian sebuah syarikat hartanah di sana.

Inilah sahaja caranya untuk Idris memujuk hatinya reda dengan kehilangan Husna. Sentiasa menyibukkan diri dengan kerja, kerja dan kerja. Buat duit banyak-banyak supaya apabila bertemu Husna dia hanya mahu menghabiskan masanya dengan kekasih hati itu.

Percayalah Na Sayang, Abang tak pernah lupakan Na, Abang rindu. Abang cuma memujuk hati bersabar dengan ujian pernikahan kita ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience