Bab 65

Drama Series 136190

"Penat ye Na?"

Husna yang sedang merenggangkan badan terhenti terus. Tersenyum segan. Tapi memang lenguh badannya menyiapkan tempahan.

"Minta maaf ye Na. Minta tolong sangat janganlah Na berhenti."

"Eh! tak kanlah sampai berhenti Kak Izzah. Apa-apa kerja pun memang penat kan. Tak penat badan penat otak."

Husna tertawa kecil sambil menyambung membuat kocek pada sehelai baju kurung.

"Kan.."
"Kita kena siapkan semua ni cepat-cepat. Akak dah cakap customer, akak nak cuti dua minggu bulan depan. Cuti sekolah ni sepupu akak nak bertunang. Dia minta tolong buat hantaran."

"Oh ye ke?"

Husna tersentak sedikit. Lupa akan cuti sekolah. Di sini Ibrahim dan Ismail bersekolah di tadika swasta milik rakan Kak Izzah kerana tadika perpaduan terletak jauh dari butik dan lagi sudah tiada kekosongan kerana sudah setengah tahun.
Bagaimana dengan dia dan kembar berdua jika Kak Izzah sekeluarga pergi bercuti. Kasihannya Ismail dan Ibrahim tiada Abang Adib.

"Akak dah cakap Mak akak, nak bawa staff. Mak akak okay je. Na dengan anak-anak ikut tau nanti."

Ceria terus wajah Husna. Ya dia gembira untuk Ismail dan Ibrahim. Kasihan anak-anak itu jika hanya terkurung di dalam butik sepanjang dua minggu. Lagi pula anak-anak itu sudah terbiasa berjalan ketika ada Pakcik Ayah yang rajin melayan. Alhamdulillah atas perlawaan Kak Izzah.

*******************

"Pada pengalaman saya baik Encik Idris jangan war-warkan dalam media kehilangan ini. Masuk media hanya akan membahayakan Husna dan anak-anak Encik Idris."

Inspektor Haslam datang ke rumah Datuk Idham untuk memberi laporan terkini berhubung kehilangan Husna dan usaha mencarinya.

"Sebab Tuan millionaire... ditakuti ada yang berniat tidak baik jika mereka tahu siapa Husna dan anak-anak."
"Lagipun mesti ada yang ambil kesempatan beri maklumat tidak benar semata-mata untuk wang imbuhan."
"Bimbang juga Husna yang tidak faham tujuan usaha akan bertindak berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Kasihan dia dan anak-anak."

Semua di situ terangguk-angguk faham dengan penerangan Inspektor Haslam.

"Habis tu bagaimana sekarang ni? Saya sekeluarga sudah berusaha mencari Husna ke serata tempat yang mungkin dia berada."

"Anggota kami sedang lakukan pencarian Encik Idris. Semua balai di seluruh Malaysia sudah ambil maklum. Kes ini di beri keutamaan tapi tidak pada publik sebab itu ambil masa."
"Kita sama-sama usaha ye"

Idris sekadar mengangguk lemah. Ummi dan Walid juga nampak begitu lemah. Ummi tidak berapa mahu bercakap dengan Idris. Masih marah dan geramkan Idris untuk rahsia dan tindakannya kepada Husna sejak enam tahun lepas.

Inspektor Haslam mengundur diri seketika kemudian.

Tinggal Idris dan Encik Salim di sofa ruang tamu rumah Datuk Idham.

"Ibu angkat Husna yang nama Aunty Mary, kawan Tok Udin nama Uncle Wong dan anak saudara dia Miss April sedang usaha tolong cari Puan Husna dan anak-anak sekitar Penang dan Kedah"
"Aunty Mary tu marah betul dengan Tuan. Dia bercuti balik Malaysia memang nak cari Husna lepas tu dengar cerita macam ni pula."
"Menangis saja dia."

Idris tarik nafas. Dadanya sesak dengan cerita Encik Salim. Semua orang Sayang Husna yang baik budi pekerti. Dia sahaja hidup buta tuli.

"Kes Sheila sudah masuk pejabat pendakwaraya. Lepas ni perbicaraan bermula. Tuan pasti ke mahu charge Sheila hanya untuk kes tender itu sahaja? Kes ugut tu Tuan nak bawa sekali tak?"

"Kalau boleh saya nak bawa naik mahkamah... tapi bila mengenangkan kalau kes tu naik, Husna akan terpaksa jadi saksi. Turun naik mahkamah... bila masanya dia akan merasa hidup yang tenang?"
"Kalau saya jumpa Husna dan anak-anak... saya cuma nak bagi kehidupan yang sempurna, stabil, aman dan penuh kasih sayang."

Menitis lagi air mata Idris ketika mengungkapkan kata-kata itu. Encik Salim turut tersentuh hati. Nampak Idris yang sangat ralat dan mengharap keajaiban Husna berada di depan matanya.

Dia saksi selama ini perubahan perasaan Idris yang berperingkat-peringkat kepada Husna. Dia ingat lagi ketika Idris pulang daripada London selepas kematian Ehsan lelaki ini sangat keras menuduh Husna punca Ehsan terjun membunuh diri. Kemudian merancang pula menikahi Husna untuk membalas dendam. Akhirnya dendam Idris hanya memakan dirinya sedikit demi sedikit.

Husna pula pada mata Encik Salim seorang anak gadis paling kuat pernah dia jumpa. Berbagai cabaran hidup membuatkan Husna tidak takut untuk berada dalam apa jua situasi. Husna sekadar mengikut sahaja aliran hidupnya. Ketika deras dia bertahan dan ketika air cetek dan berselut dia berkayuh. Sangat kuat semangat.

Encik Salim pelik kenapa Sheila sanggup mengugut Husna begitu. Terlalu cemburu dengan Husna yang sebenarnya menjalani kehidupan dengan sangat kasihan.

Dan lebih pelik lagi dari mana Sheila tahu Husna dan Idris sudah bernikah. Rahsia itu hanya dia sahaja yang tahu. Lihat sahaja bagaimana kecil hati Ibu bapa Idris ketika mengetahui rahsia besar Idris itu.

Licik sungguh perempuan ular itu.

Tidak sedarkah Sheila orang tidak mahukan dia kerana pembawakan dirinya yang sentiasa kelihatan bodoh sombong. Memilih kawan dan tidak mesra alam dengan mereka yang dirasa di kalangan lebih rendah darinya.

Encik Salim juga minta mengundurkan diri kemudiannya.

Idris capai kunci kereta di atas meja kopi. Mahu ronda-ronda lagi keliling Kuala Lumpur dan mungkin hari ini boleh lebih ke atas sikit dari Kuala Lumpur. Perak pula mungkin.

*******************

"Nanti kita tengok dulu kalau rumah arwah nenek akak tu tak penuh kita tidur situ... tapi kalau penuh kita tidur kat rumah mak akak aje ye."
"Mak ayah akak pun sebenarnya dah tak berapa duduk rumah sini. Diaorang banyak duduk kat kampung sekarang. Sekali sekala aje balik. Rumah nenek tu ada sepupu akak duduk situ, jadi macam hidup sikitlah rumah tu. Tapi ni ramai berkumpul mesti penuh sangat."

"Boleh Kak Izzah. Mana-mana pun tak apa Na ikut aje."

"Terima kasih tau Na sudi ikut kami. Na ada cepat sikit dapat siapkan hantaran tu. Na kan kreatif kerja-kerja tangan ni."

"Bolehlah sikit-sikit Kak Izzah."

"Ibrahim dengan Ismail seronok tak tu?"

Jerit Abang Anuar suami Kak Izzah yang sedang memandu di sebelah.

"Seronok Papa Nuar."

"Alhamdulillah."

"Yang seronok tu... bujang papa tu dah ada army hah. Jangan di ajar adik berdua tu membukan sudahlah."

"Mama ni... tak baik tuduh Adib macam tu tau. Adib Sayang army ni dari lubuk hati paling dalam tau."
"Kan gang!"

Menyengih sahaja Ibrahim dan Ismail membalas cakap Abang Adib tersayang. Mahu tak sayang... Adib melayan kembar berdua dengan games di telefon bimbit dan rajin pula membawa mereka ke taman berdekatan.

Semua di dalam kereta yang bergerak menuju ke Kuala Lumpur ketawa kerana gelihati dengan gurauan bujang bertiga.

Anak Kak Izzah dan Abang Anuar ada tiga orang. Seorang sudah bekerja dan seorang lagi di universiti. Husna sudah pun jumpa ke dua mereka. Adib anak bongsu bersekolah tingkatan empat.

Memandangkan sudah mula cuti sekolah dan cuti hujung minggu. Perjalanan daripada Nilai ke Kuala Lumpur menjadi sangat lambat kerana kesesakan teruk di lebuhraya. Ada masa-masanya kereta langsung tidak bergerak.

Husna tertidur akhirnya.

***************

"Na..."
"Na..."
"Na!"

Husna dengar sayup-sayup namanya di panggil. Bila sudah boleh celikkan mata, rupanya kereta sudah terpakir di bawah sepohon pokok yang Husna agak pokok mangga.

"Maaf Kak, Na tertidur."

Husna raup mukanya dua tiga kali. Segan kerana tertidur lena begitu.

"Apa pula nak minta maaf. Tak apalah nak tidur."
Kak Izzah ketawa menjawab.

"Tu... army tiga orang sedap betul tidur berhimpit macam sandwich belakang tu."

Husna toleh ke belakang. Adib di tengah di apit Ibrahim dan Ismail di kiri dan kanan remaja itu. Husna tersenyum memandang mereka bertiga.

"Ni rumah mak akak. Tadi masa kat jalan akak telefon makcik, dia kata rumah arwah nenek jam! dah ramai kat situ. Esok aje kita pergi sana."

"Baik Kak."

"Jom turun. Abang Nuar dah turun tu. Dia geramkan buah pelam. Na nampak tu?"

Husna pandang ke luar. Nampak kelibat Abang Anuar suami Kak Izzah sedang berbual dengan sepasang warga emas.

"Tu Mak dengan ayah akak. Jom akak nak kenalkan diaorang dengan adik angkat akak ni."

Husna angguk kepala. Terharu dengan sikap Kak Izzah sekeluarga yang melayannya dan anak-anak dengan amat baik sekali.

"Adib, Ibrahim, Ismail! jom turun dah sampai.!

Jerit Kak Izzah dari hadapan. Bujang bertiga bergerak-gerak sedikit kemudian mencelikkan mata. Adib gerakkan adik-adik untuk turun daripada mpv.

Kak Izzah sudah buka pintu penumpang hadapan untuk turun daripada mpv starex. Adib turun dari pintu sebelah kiri dan menolong pula Ibrahim dan Ismail turun.

Husna turun daripada pintu sebelah kanan kemudian menuju kepada Kak Izzah yang sedang bersalam dengan ibunya.

"Ummi ni Husna. Adik angkat orang."

Husna pandang wajah Ibu Kak Izzah.

"Ya Allah! Husna!!!"

Datin Hasiah menjerit dan menerpa kepada Husna yang masih tergamam kemudian Datin Hasiah menangis mengongoi-ngongoi dalam pelukan Husna yang sudah turut sama menangis memeluk kuat Datin Hasiah.

Semua yang lain terpinga-pinga!
Kenapa? Apa dah berlaku?

Hanya Datuk Idham di situ yang faham.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience